Home Novel Cinta DIA HANYA UNTUKKU
DIA HANYA UNTUKKU
Rozita Abd. Wahab
1/3/2013 09:06:45
55,369
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

LIS, ada orang cari kau.” Yani terjengul di muka pintu, Alissa sedang melipat sejadahnya, patutlah Alissa tidak mendengar sewaktu dia memanggil dari luar tadi.

“Siapa?” tanya Alissa.

“Aku pun tak tahu, dia tak sebut namanya, tapi handsome, macam kacukan,” jawab Yani.

Alissa tersengeh, siapa pula yang mencarinya di situ. Seingatnya dia tidak ada kenalan lain di Kuala Lumpur selain Siti Hawa dan Syed Akil. Apakah Syed Akil yang menantinya di bawah. Memang Siti Hawa ada menyebut tentang Syed Akil padanya sewaktu sampai ke Kuala Lumpur tempohari.

Kain batik yang dipakai dibetulkan ikatannya, dia hanya berkain batik dan mengenakan t-shirt putih yang longgar.

Thanks Yani,” ucap Alissa.

“Kirim salam dekat dia ya,” pesan Yani sebelum berlalu ke biliknya.

Alissa hanya tersenyum, tidak pasti akan kesungguhan pesanan Yani. Dia melangkah keluar dari biliknya, Siti Hawa masih di bilik air, sedang mandi.

Tepat jangkaanya, Syed Akil sedang bersandar di pintu keretanya. Lelaki itu hanya berseluar jeans dan t-shirt, nampak kemas dan bergaya.

“Alissa, apa khabar ?”

“Lis baik, Syed apa khabar ?”

“Lis, dah berapa kali Akil pesan, jangan panggil Syed, Akil tak suka.” Syed Akil mendepakan tangannya.

“Tak… Lis teringatkan bos Lis. Lis panggil dia Tuan Syed, agaknya kalau Akil jadi bos nanti, orang panggil macam tu juga.” Alissa bergurau diiringi tawa kecil.

“Akil takkan benarkan mereka memanggil Akil dengan nama itu cukuplah setakat, En. Akil.”

Alissa ketawa, Syed Akil bersungguh-sungguh dengan kata-katanya.

“Oh ya, kawan Lis yang tadi tu, kirim salam.”

“Oh, Waalaikumussalam.”

“Nak jumpa Siti ke ?” tanya Alissa.

“Buat apa jumpa Siti, Akil datang sebab nak jumpa Lis,” jawab Syed Akil.

“Merajuk Siti nanti,” giat Alissa.

“Tak apa, Siti tu ada yang nak memujuk,” balas Syed Akil.

So, Akil tahu pasal Siti dan Syafiq ?”

Syed Akil mengangguk. “Nak buat macam mana, tak ada jodoh.”

“Dah jumpa boy friend baru Siti ?” tanya Alissa. Dia teringatkan Amirul yang menemani Siti Hawa menjemputnya di Pudu Central tempohari.

“Hari-hari jumpa.”

Berkerut dari Alissa. “Maksud Akil.”

Syed Akil ketawa, tentu Siti Hawa belum bercerita tentang pertemuannya dengan Amirul.

“Amirul tu kawan sepejabat Akil,” ujar Syed Akil.

Alissa pula tertawa, macam-macam hal. Dulu Siti Hawa berkawan dengan Syafiq, rakan sekelas Syed Akil dan sekarang Amirul pula rakan sekerja Syed Akil.

“Kita macam mana ?” Syed Akil bertanya, direnung tepat wajah Alissa, dari dulu dia mencuba tapi tidak pernah berhasil. Alissa masih begitu, melayaninya seperti yang lain, tiada yang istimewa tapi dia akan terus mencuba, dia mesti mendapatkan Alissa, itu azamnya. Dia sudah cukup terpikat pada gadis itu, bukan sekali dia mencurahkan perasaan tapi Alissa masih begitu, masih menolak. Selagi Alissa belum menjadi milik sesiapa dia tetap punya peluang untuk memiliki Alissa.

“Lis masih macam dulu, Akil Lis anggap sebagai sahabat.”

Syed Akil kehampaan tapi tidak perlu ditunjukkan pada Alissa, dia akan terus mencuba, kata orang hati perempuan seperti kerak nasi, kalau selalu disiram, lembutlah ia.

“Okey, kita tunggu dan lihat. Hmm… Lis nampak cantik pakai macam ni,” puji Syed Akil.

Alissa ketawa, ada-ada saja idea Syed Akil mahu mengusiknya.

“Amboi dah dapat berborak dengan Lis, dah tak ingatkan aku.” Siti Hawa muncul dari arah tangga. Dia sudah siap berpakaian.

“Nak ke mana ?” Alissa bertanya.

“Akil tak cakap ke ?”

Alissa menggeleng.

Sorry, asyik berborak sampai terlupa nak beritahu. Kita keluar makan malam ni, Amirul akan terus ke sana, dia ada kerja tadi sebab tu dia suruh aku jemput you dan Lis,” ujar Syed Akil.

“Kenapa pula nak jemput Lis.” Alissa menyampuk bila namanya disebut.

“Kita pergi sama-sama,” ujar Siti Hawa. Tahu sangat dia dengan sifat Alissa.

“Tak apalah, Lis tak rasa nak makan malam ni.” Alissa berdalih. Dia ada tugas sebenarnya, diari yang diserahkan oleh Syed Hadif tadi perlu diteliti, dia harus memastikan cara setiausaha Syed Hadif menguruskan setiap menyuarat dan temujanji Syed Hadif.

“Alah Lis, kau tak kesian ke dengan Akil ni, jauh-juah datang, bersesak tengah jem, semata-mata nak jemput kau dan aku, nak tolak pula,” Siti Hawa sedikit kecewa.

“Bolehlah Lis, bukan selalu aku nak ajak kau,” Syed Akil memujuk.

Alissa mengeluh, wajah kedua sahabatnya direnung silih berganti, ada riak kecewa pada kedua-duanya. Salahkah dia jika menolak, bagaimana pula dengan kerjanya jika dia menerima.

Please Lis.” Syed Akil separuh merayu.

“Okeylah, tunggu Lis tukar pakaian.” Akhirnya Alissa mengalah. Tidak sampai hati pula hendak menolak walaupun hakikatnya dia benar-benar keberatan untuk menyertai sahabat-sahabatnya itu.

Alissa memanjat anak tangga, Siti Hawa mengekori dari belakang. Dia cuma mahu memastikan pakiaan Alissa. Dia tahu temannya itu tidak mempunyai pakaian yang banyak. Masakan Alissa hendak berbaju kurung untuk keluar makan malam dengan mereka sedangkan dia cuma mengenakan t-shirt dan seluar jeans.

“Aku nak pakai baju apa ?” Alissa bertanya sebaik saja masuk ke dalam bilik.

Siti Hawa tersenyum, sudah dijangka Alissa pasti memikirkan perkara itu. Alissa anak gadis yang dilahirkan dan dibesarkan di sebuah daerah yang baru membangun, cara penampilannya masih dengan baju kurung dan kebaya. Memang sejak berada di kampus lagi dia menyedari tentang perkara itu.

“Kau pakai jeans aku,” cadang Siti Hawa.

“Muat ke ?”

“Cubalah dulu.” Siti Hawa mencapai seluar jeans miliknya, diserahkan pada Alissa, saiz badan mereka tidak banyak berbeza, cuma tubuhnya agak berisi berbanding Alissa. Alissa memiliki susuk tubuh yang menarik, cantik dan mengiurkan mata lelaki yang memandang, kulitnya putih bersih, terjaga walaupun dia dibesarkan dalam suasana kampung.

“Longgar sangat,” komen Alissa sambil memegang di bahagian pinggang seluar tersebut.

“Kau pakai tali pinggang ni.” Siti Hawa hulurkan tali pinggang miliknya.

Alissa merengus, susahnya kalau sudah meminjam, memang dia berhasrat untuk memiliki seluar jeans seperti Siti Hawa tapi semuanya bergantung pada wang gajinya nanti.

“Kau pakai dengan t-shirt ni, sesuai dengan kulit kau.”

Dihulurkan sehelai t-shirt berkolar warna biru gelap pada Alissa.

“Kejap, aku nak tanya kau pernah pakai baju ni waktu keluar dengan Amirul ?”

Siti Hawa ketawa, sempat juga Alissa memikirkan perkara itu. Tentu Alissa merasa malu jika Amirul dan Syed Akil menyedari tentang baju yang dipinjamnya.

“Aku baru pakai sekali tapi bukan depan Amirul.” Siti Hawa masih tersenyum-senyum.

Alissa menjeling tajam, termalu dia. Alissa memasukkan dompet ke dalam poket seluar jeans, malas hendak membawa beg tangan. Dia bukannya suka bergaya berlebih-lebihan, padanya ringkas itu lebih menarik.

Mereka berdua turun mendapatkan Syed Akil yang masih setia menanti. Tersenyum Syed Akil melihat Alissa berpakaiaan, belum pernah dia melihat Alissa mengenakan seluar jeans sewaktu di kampus dulu.

“Lamanya Tuan puteri berdua ni bersiap,” giat Syed Akil.

“Tuan puteri awak ni la,” balas Siti Hawa.

Alissa tersenyum cuma, malas hendak membalas usikan Siti Hawa. Belum tentu dia akan menang kalau dua berlawan satu. Siti Hawa sudah masuk ke belakang, Alissa serba salah, dia tidak mahu duduk di hadapan di sisi Syed Akil, tapi masakan hendak dibiarkan Syed Akil menjadi pemandu. Siti Hawa menutup mulutnya, menahan diri dari ketawa, pasti Alissa akan memarahinya.

Alissa memasang tali pinggang, terasa kekok duduk di hadapan, bersebelahan dengan Syed Akil. Alissa memejamkan mata, ‘Maafkan Lis Ilham’. Pertama kali di dalam hidupnya dia duduk bersebelahan dengan lelaki di dalam kereta.

Amirul sudah menanti di hadapan Stable Steak House, sudah dipesan makanan kegemaran Siti Hawa, dia tahu gadis itu tidak banyak kerenah, citarasa mereka juga sama.

Sorry, lambat sikit, tunggu puteri berdua ni bersiap.” Syed Akil menarik kerusi untuk Alissa.

“Siapa yang lambat sebenarnya ?”Amirul merenung wajah Siti Hawa. Dia tahu Syed Akil dan Alissa sudah mengenali antara satu sama lain, cuma dia yang baru mengenali Alissa, masih terasa segan hendak bergurau dengan Alissa.

“Tu.” Siti Hawa dan Syed Akil menunding jari ke arah Alissa serentak.

“Mana Lis tahu you all nak ajak keluar.” Alissa membela diri, geram dengan Siti Hawa dan Syed Akil yang sengaja hendak mengenakannya.

“Okeylah, nanti Akil informdulu kalau nak ajak Lis keluar,” ujar Syed Alissa. Bimbang juga jika Alissa berkecil hati dengan usikannya.

“I dah order untuk Siti. I tak tahu you berdua nak makan apa.” Amirul menghulurkan menu yang baru diletakkan oleh pelayan di atas meja.

“Lis nak cuba western food ?” Siti Hawa memberi cadangan.

“Tak apalah, Lis nak nasi goreng dan fresh orange.”

“Okey, saya nak New York Steakdan fresh orange.” Syed Akil mengunjukkan menu ke tangan pelayan lelaki berbaju mereah itu.

Soyou all dah lama kenal ?” Amirul bertanya.

“Tiga tahun kenal gitu-gitu saja, sebab kita orang freshie, tahun ke tiga baru rapat sikit, tapi Lis dengan Akil bukan dengan I.” Siti Hawa menjawab bagi pihak Alissa dan Syed Akil.

Alissa menjeling Siti Hawa, kurang senang dengan jawapan yang diberikan rakannya. Syed Akil ketawa melihat perubahan wajah Alissa, dapat dibaca perasaan Alissa ketika itu. Siti Hawa hanya tersengeh, seboleh-bolehnya dia tidak mahu persoalan tentang Syafiq ditimbulkan di hadapan Amirul. Cukuplah Amirul mengetahui perkara itu serba sedikit, tidak perlu dipanjangkan, perkara yang lepas tidak perlu dikenang. Dia pernah berpesan pada Syed Akil supaya menyimpan cerita itu dan dia tahu Alissa bukan orang yang suka menjaga tepi kain orang. Alissa tidak akan bercakap tentang diri orang lain. Alissa akan bercakap tentang perkara yang perlu sahaja.

Alissa menyuap nasi goreng yang baru diletakkan oleh pelayan restoran tersebut. Boleh tahan juga rasanya, dikerling ke arah Siti Hawa dan Amirul yang sedang bergurau mesra. Ingatannya melayang ke utara tanah air, terkenangkan Ilham yang jauh dari mata. Apa agaknya yang sedang dibuat oleh Ilham waktu itu, makan malam apa yang dijamah Ilham. Ilham anak sulung dari 4 orang adik beradik, adik bongsunya Ruby baru berusia 10 tahun dan Ikmal berada di tingkat 4 dan Raihana di tingkatan 6. Ilham memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas kematian ayahnya, kerana itu juga dia terpaksa menangguhkan hasratnya untuk menyambung pelajaran di Institut Pengajian Tinggi.

“Lis.”

Alissa tersentak, Syed Akil, Amirul dan Siti Hawa merenung tepat wajahnya, tapi kenapa.

“Apa yang kau menungkan ?” Siti Hawa mengusik.

“Menungkan apa ?” Alissa cuba mengelak.

“Ini mesti tak ada kerja lain, teringat orang jauh la tu.” Siti Hawa menyambung usikannya.

Alissa meneruskan suapannya, tidak dipedulikan usikan Siti Hawa, kalau dilayan semakin menjadi pula nanti.

So Lis, bagaimana hari pertama di pejabat ?” tanya Amirul.

“Alhamdulillah setakat ni okey, bos Lis tu teliti dengan kerjanya,” jawab Alissa. Itu kesimpulan yang dibuatnya untuk hari pertama menjadi setiausaha Syed Hadif. Apa tidaknya, Syed Hadif dapat mencari kesalahannya yang kecil.

“Wah hebat, baru satu hari kerja Lis dah dapat menilai bos Lis.” Syed Akil mencelah.

“Dari apa yang Lis lihat, kerja yang Lis kena buat dan dari percakapan rakan-rakan sekerja itulah kesimpulan yang dapat Lis buat untuk hari ini,” balas Alissa.

“Harap-harap dia akan melayan Lis dengan baik.” Syed Akil merenung wajah Alissa, cepat-cepat gadis itu berpaling, dia rimas dengan tenungan Syed Akil.

“Hey, bukan dia layan Lis. Lis yang layan dia.” Siti Hawa menyambut kemudian ketawa melihat wajah Alissa yang kelat.

“Dah tu, jangan nak usik Alissa, nak makan pun tak senang.” Amirul menyampuk, simpati pada Alissa. Dia dapat melihat kelainan pada gadis itu, tidak seperti Siti Hawa yang bercakap mengikut kehendaknya, tapi dia tahu Siti Hawa cuma mahu mengusik.

Alissa mengajak mereka pulang sebaik sahaja selesai menjamu selera, dia ingin berehat dan memastikan diari Syed Hadif dapat diteliti sebelum terlena, tugasnya perlu diteruskan keesokan harinya. Dia pelu melakukan yang terbaik sebagai setiausaha Syed Hadif.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.