ALISSA masih di dalam bilik, malas hendak turun ke bawah, dia
tahu Syed Akil masih menanti, mengharapkan dia bersetuju mengikut mereka ke
Port Dickson. Siti Hawa sudah merajuk, tidak mahu bercakap dengannya, sepatah
ditanya, sepatah dijawab. Dibiarkan saja Siti Hawa begitu, kalau dia mengikut
perlakuan Siti Hawa berlanjutan pula rajuk rakannya nanti. Kalau dipujuk, naik
tocang pula.
Syed Akil menekan hon keretanya lagi, Alissa menutup
telinga, rimas dengan bunyi bising dari kereta Syed Akil. Apa kata penyewa di
tingkat bawah dan rumah bersebelahan. Syed Akil mengganggu ketenteraman
penghuni sekitar kawasan itu.
Hon kereta berbunyi lagi, suara teguran dari rumah di
bawah sudah kedengaran, dia mendengar Syed Akil memohon maaf tapi belum
kedengaran enjin kereta itu mengaum dan beredar dari situ.
Alissa menjenguk melalui tingkat, Syed Akil masih
tercegat di tepi kereta, matanya terarah ke bilik Alissa, mengharapkan
pertimbangan dari Alissa.
Setengah jam berlalu, Alissa menjenguk sekali lagi.
Syed Akil masih setia, bersandar di keretanya. Alissa masih berfikir, perlukah
dia mengikut kehendak Syed Akil tanpa memikirkan perasaannya sendiri.
Surat dari Ilham baru diterima semalam, lelaki itu
merinduinya, begitu juga dengan dirinya, perasaannya sentiasa teringatkan
Ilham, di mana saja dia berada, bila ada waktu terluang bayangan Ilham pasti
menjelma, tersenyum padanya.
Hon kereta berbunyi lagi, Alissa tersentak. Boleh
tahan juga kedegilan Syed Akil, masih mengharapkan persetujuan darinya. Alissa
membetulkan ikatan kain batik di pinggang, baju kurung yang tersangkut di
dinding ditukarkan dengan t-shirt
jarang yang membalut tubuhnya. Bimbang juga jika jiran terdekat mengamuk kerana
Syed Akil masih membunyikan hon keretanya.
Alissa menuruni anak tangga, Syed Akil merenung tepat
ke arahnya.
“Lis, jangan buat Akil macam ni.”
“Apa yang Lis buat.” Alissa bediri di hadapan Syed
Akil sambil berpeluk tubuh.
“Dah satu jam Akil tercegat kat sini, baru sekarang
Lis nak turun, dah berlambak sumpah seranah orang pada Akil,” marah Syed Akil
tapi nadanya biasa-biasa sahaja.
Alissa mencebek, sendiri yang cari penyakit. “Ini pun
dah bersyukur Lis nak turun tau.”
“Lis tak kesiankan Akil ?” tanya Syed Akil,
mengharapkan sedikit rasa simpati dari Alissa.
“Kenapa mesti Lis kesian ?”
“Akil macam orang bodoh asyik bunyikan hon, nasib baik
Akil belum buat macam cerita Selubung tu, M. Nasir pakai pembesar suara nak
cakap dengan Diana Yusoff.”
Alissa tersenyum, dia masih ingat cerita itu. Ilham
suka dengan babak tersebut. Dipandang sekilas wajah lelaki di hadapannya, bukan
Ilham tapi Syed Akil, dia masih di dunia nyata. Ilham jauh dari mata tapi Syed
Akil yang tercegat di hadapannya dengan harapan yang menggunung.
“Lis ikut sama ya.” Syed Akil masih mengharap, dia
sudah menempah dua buah bilik di Glory Beach Resort untuk mereka. Amirul dan
Siti Hawa sudah berangkat, pasangan itu mahu bertolak terlebih dahulu. Siti
Hawa yang mendesak, dia sudah malas hendak memujuk Alissa.
“Mana Amirul dan Siti ?” tanya Alissa.
“Mereka dah pergi.”
“So tak
payahlah Lis pergi sebab dia orang dah ada di sana.” Alissa masih cuba
mengelakkan diri.
“Lis.” Syed Akil merasa hampa, usahanya tidak
berhasil. Alissa masih berdegil, tidak berganjak dari keputusannya.
Lambat-lambat dia beredar ke pintu keretanya, tak guna merayu kalau Alissa masih
begitu. Pintu kereta dibuka, dia masuk di tempat pemandu, enjin kereta
dihidupkan. Dia sudah bersedia untuk beredar, kaki sudah diletakkan di atas
pedal minyak, gear sudah digerakkan ke keaadaan drive, bersedia untuk bergerak.
Tingkap cermin keretanya diketuk, Syed akil menurunkan
cermin tingkap. Alissa tercegat di situ merenungnya dengan bibir menguntum
senyum.
“Okeylah Lis ikut, tapi cuma untuk kali ini.”
Syed Akil tersenyum lebar, tidak sia-sia dia memujuk
merayu, menebalkan muka membunyikan hon keretanya bertalu-talu di situ hingga menjadi
kemarahan jiran tetangga.
“Masuklah.”
“Hey, nak suruh Lis pergi macam ni.” Alissa terjerit
kecil.
Syed Akil ketawa, baru dia tersedar, Alissa cuma
berkain batik dan berbaju kurung.
“Pergilah tukar pakaian dan bawa pakaian untuk
persalinan. Akil tunggu di sini., tapi jangan lama-lama,” pesan Syed Akil. Bimbang
juga jika Alissa berubah fikiran nanti.
“Hai, tunggu sampai satu jam kat sini tadi boleh, nak
tunggu Lis bersiap takkan tak boleh.” Alissa menyindir.
Syed Akil hanya tersenyum.
Alissa naik ke tingkat atas untuk bersiap. Walaupun
hatinya berat untuk mengikut Syed Akil tapi terselit juga rasa simpati pada
lelaki itu. Syed Akil memang degil dan keras hati orangnya.
KERETA yang dipandu oleh Syed Akil sudah menjejaki daerah
Port Dickson. Alissa membaca setiap papan tanda yang dilihatnya. Inilah kali
pertama dia ke tempat yang menjadi tumpuan penghuni Kuala Lumpur di hujung
minggu. Menghabiskan masa bersantai di tepi pantai bersama keluarga.
Syed Akil membelok ke arah Golry Beach Resort, dari
tadi dia cuba menghubungi telefon bimbit Amirul dan Siti Hawa tapi tidak
berhasil. Entah di mana mereka berada waktu itu.
Alissa menanti di ruang lobi sementara Syed Akil
menuju ke kaunter pendaftaran. Sepuluh minit berlalu barulah Syed Akil kembali
mendapatkan Alissa, wajahnya sedikit gelisah, seperti ada sesuatu yang tidak
kena. Alissa menyedari perubahan itu, Syed Akil tidak seceria tadi.
“Kenapa ?” tanya Alissa.
Syed Akil menghempaskan tubuhnya di sofa yang
bersebelahan dengan Alissa, dikerling ke arah gadis itu, ada keresahan di
wajahnya, bagaimana riaksi Alissa mendengar alasannya nanti.
“Ada yang tak kena ?” Alissa bertanya sekali lagi.
Syed Akil menggaru kepalanya, masih memikirkan
bagaimana hendak menerangkan keadaan sebenar pada Alissa.
“Akil.” Alissa keresahan. Syed Akil diam membisu.
“Siti dan Amirul tak menginap di sini.” Syed Akil bersuara
perlahan.
Bulat mata Alissa mendengar kata-kata Syed Akil. “Dia
orang ke mana ?” Terasa dirinya tertipu. Apa rancangan mereka sebenarnya? Dia
sudah berada di daerah itu bersama Syed Akil dek kerana mahu menjaga hati
rakan-rakannya tapi Siti Hawa dan Amirul tidak menginap di hotel tersebut.
“Akil tak tahu, Akil dah cuba call dia orang tapi tak dapat.” Syed Akil memberi alasan.
“Kalau macam tu, kita balik saja,” cadang Alissa. Ada
baiknya mereka segera pulang ke Kuala Lumpur. Dia tidak mahu mencipta masaalah.
“Dah lewat Lis, cuba tengok pukul berapa.”
Alissa menjeling jam di tangannya, hampir jam sebelas malam,
bila mereka akan sampai di Kuala Lumpur kalau mereka bertolak sekarang, Syed
Akil juga masih keletihan memandu dari Kuala Lumpur.
“Kita ambil dua bilik.”
“Itu satu lagi masaalah, kat sini tak ada bilik, tapi
macam apartment satu bilik kecil dan
satu bilik besar.”
Alissa semakin resah, masakan dia hendak duduk bersama
Syed Akil, tak pasal-pasal kena tangkap basah pula.
“Kita balik saja.” Kali ini Alissa benar-benar
bermaksud dengan kata-katanya. Dia tidak mahu menginap di hotel tersebut
bersama Syed Akil.
Syed Akil kecewa. Alissa bersungguh-sungguh mengajak dia
balik ke Kuala Lumpur dan dia tidak ada pilihan lain. Dia tidak boleh memaksa
Alissa mengikut kehendaknya, Alissa ada pendirian dan dia seharusnya menghormati
pendirian Alissa. Puas dia memujuk Alissa mengajak datang ke Port Dickson,
tidak mungkin Alissa sanggup duduk di hotel itu dengannya.
Syed Akil mengalah, dicapai beg yang berisi pakaiannya
di atas lantai. Alissa turut bangun dari sofa, terbit juga rasa bersalah di
hatinya melihat wajah Syed Akil yang sugul, tapi dia perlu mengenepikan semua
itu, dia perlu menjaga dirinya, macam-macam perkara boleh berlaku dalam sekelip
mata, seram dia memikirkan kemungkinan yang berlaku jika mereka bersama di
hotel itu.
Syed Akil memandu dengan tenang, hampa dan kecewa,
entah di mana Amirul dan Siti Hawa berada. Apakah mereka berdua tidur sebilik
malam ini? Dikerling ke arah Alissa di sisi, gadis itu hanya mendiamkan diri
sejak tadi. Cuba diselami isi hati Alissa saat ini tapi mana mungkin dia
berhasil, kalau tidak pasti Alissa sudah menjadi miliknya.