SITI HAWA duduk mengadap skrin televisyen, tidak dipedulikan
Yani yang menjeritkan namanya dari ruang dapur.
“Kau ni pekak ke ?” Yani bercekak pinggang di hadapan
Siti Hawa.
“Sorry, kau
panggil aku ke ?” Siti Hawa tersengeh.
Suhaila menjengilkan matanya. “Aku nak tanya, kau ada
nampak jeans aku kat belakang tak ?”
Siti Hawa menjungkit bahu. “Dah dua hari aku tak cuci
baju.”
Yani merengus kasar, entah siapa pula yang mencuri
seluarnya, masakan Diana yang membuat kerja itu. Hatinya belum puas selagi
tidak tahu di mana seluar itu. Lokman teman lelakinya akan menjemputnya bila-bila
masa sahaja.
Pintu hadapan dibuka dan ditutup semula, tentu Alissa
baru pulang dari pejabat, mungkin dia boleh bertanya pada Alissa. Bukannya dia
hendak menuduh Alissa, dia tahu gadis itu gadis yang baik, yang boleh diharap.
“Lis, ada nampak jeans
Yani kat ampaian luar tak ?” tanya Yani.
“Jeans hitam
tu ke ?”
“Ya, Yani sidai petang semalam.”
“Pagi tadi waktu Lis nak sidai baju, ada jeans tu. Lis pegang belum kering lagi,”
ujar Alissa.
“Dah tak ada jeans
tu,” rungut Yani. Berkerut-kerut wajahnya. Itulah jeans kesayangannya. Jeans
yang kerap dipakainya.
Alissa kehairanan, baru pagi tadi dia melihat jeans yang dimaksudkan oleh Yani. Alissa
meletakkan beg tangannya di sisi Siti Hawa, rakannya itu hanya mendiamkan diri,
tidak ambil kisah tentang perkara yang sedang dikecohkan oleh Yani.
Alissa menolak daun pintu dapur yang tidak berkunci,
hanya pakaiannya yang ada di situ, seluar jeans
yang pagi tadi masih bersidai di situ sudah lesap.
“Pagi tadi ada.” Alissa menggigit jari.
“Hesy, siapa pula yang ambil ni.” Yani merungut geram.
Belum pernah terjadi di rumah itu dia kehilangan pakaiaannya.
Alissa masuk ke ruang tamu, Yani membuntutinya dengan
hati yang radang, geramnya siapa pula yang buat kerja tak senonoh ni.
“Aku rasa kawasan rumah kita ni tak selamat.”
Yani dan Alissa memandang tepat ke wajah Siti Hawa. Agak
hairan dengan kata-kata tersebut. Apa maksud Siti Hawa? Masing-masing kurang
mengerti.
“Hari tu aku berborak dengan Kak Yati, rumah kat bawah
tu, baju dalam dia hilang.”
Bulat mata Alissa dan Yani mendengar kata-kata Siti
Hawa, terkejut. Berderau darah Alissa, selalunya orang yang membuat kerja
tersebut berniat jahat, banyak yang menggunakan pakaian dalam wanita untuk
mengenakan ilmu hitam ke atas pemilik pakaian tersebut.
“Betul ke ?” Yani bertanya, kurang yakin.
“Buat apa aku nak tipu, kalau kau tak percaya, kau
tanya dengan Kak Yati sendiri.”
Yani menelan liur, terasa pahit di kerongkongnya. Sebenarnya
dia juga pernah kehilangan pakaian dalam, tapi didiamkan saja kerana menyangka
mungkin dia tersilap, mungkin pakaiannya terselit di dalam almari.
“Aku pun pernah hilang.” Yani bersuara perlahan.
Kali ini giliran Siti Hawa pula membulatkan matanya,
tepat menjilat seluruh wajah Yani. Kenapa selama ini Yani berdiam diri, perkara
seperti itu tidak boleh disorokkan, mereka tidak tahu niat sebenar manusia yang
membuat kerja tersebut.
Alissa hanya menggeleng, takut dan gementar
perasaannya, bahaya kalau manusia itu berniat jahat.
“Kenapa selama ni kau diam ?” Siti Hawa tidak berpuas
hati.
“Aku tak yakin benda tu hilang, tapi dah lama aku cari
sampai sekarang tak jumpa.” Yani bersandar di dinding.
“Tak apalah, kita berdoa saja minta dijauhkan dari
perkara yang tak elok, mulai hari ini kita kena berhati-hati. Jangan perkara
macam ni berulang lagi,” ujar Alissa.
Alissa mencapai beg tangannya kemudian melangkah masuk
ke bilik, Tubuhnya terasa letih, banyak kerja yang disiapkan. Dia perlu menaip
dokumen yang hendak diserahkan pada pelanggan setebal 40 muka surat. Syed Hadif
menyediakan bahan-bahannya dan memberi tunjuk ajar bagaimana hendak mengatur
setiap perenggan.
Tubuhnya di hempaskan di atas katil bujang Siti Hawa,
malas hendak memanjat ke atas katilnya. Mata dipejamkan, dia cuma mahu berehat
untuk seketika.
“Penat sangat ke ?” Siti Hawa melabuhkan tubuhnya di
birai katil.
“Banyak kerja.” Alissa memejamkan mata. Dia sudah mengerjakan
solat asar di surau pejabat sebelum pulang. Dokumen yang sudah siap disimpan dan
dihantar melalui email kepada Syed Hadif. Syed Hadif akan menyemak terlebih
dahulu dan membetulkan yang mana perlu, esok dia akan memastikan dokumen itu
siap dicetak dan Syed Hadif akan menyerahkannya kepada Syarikat Saujana.
“Kau ada apa-apa rancangan hari ahad nanti ?” tanya
Siti Hawa.
“Kenapa ?” Alissa membuka matanya. Wajah Siti Hawa
menjadi sasaran.
“Aku tanya kau ada rancangan tak ?” Sekali lagi Siti
Hawa bertanyakan soalan yang sama.
“Setakat ni tak ada,” jawab Alissa.
“Amirul dan Akil ajak kita berdua pergi Port Dickson
hari ahad nanti,” ujar Siti Hawa.
Alissa hanya mendiamkan diri, tidak berminat dengan
ajakan tersebut, dia lebih suka duduk di rumah dan seboleh mungkin ingin menjauhkan
diri dari Syed Akil. Dia tidak mahu lelaki itu terus mengharap. Di hatinya cuma
ada Ilham. Tidak ada ruang yang istimewa untuk Syed Akil. Tidak mungkin dia
berpaling tadah dan menyerahkan hatinya pada lelaki lain.
“Lis, kau dengar tak ?” Suara Siti Hawa sedikit
meninggi. Tidak suka dengan riaksi dari Alissa atau sebenarnya Alissa tidak
beriaksi. Alissa mendiamkan diri seolah-olah tidak mendengar apa yang
dikatakannya.
“Aku rasa malas,” balas Alissa.
“Janganlah macam tu, kalau kau tak pergi dia orang
semua tak nak pergi.” Siti Hawa cuba memujuk.
“Pergi sajalah, suruh Akil ajak orang lain.” Alissa
masih menolak ajakan tersebut. Dia mahu berehat, itu saja yang timbul di
fikirannya ketika itu.
“Senang saja kau cakap, kau sendiri beritahu Akil, dia
yang suruh aku ajak kau.” Siti Hawa bingkas bangun. Malas hendak melayan
kedegilan Alissa, memang sahabatnya itu sukar diajak berjalan, yang dia tahu
hanya pergi dan balik kerja. Ada kalanya hari minggu dia membuat kerja-kerja
pejabat, dia sendiri tidak faham apa jawatan Alissa sebenarnya bila dia melihat
Alissa menyediakan kertas kerja untuk syarikatnya.
Alissa hanya memandang Siti Hawa berlalu, cakaplah apa
saja, dia memang malas hendak ke mana-mana. Hari minggu hari untuk berehat,
kalau dia kepenatan, bagaimana dia hendak membuat kerja dengan baik pada hari
isnin berikutnya. Rajuk Siti Hawa tidak lama dan marah Syed Akil juga tidak
akan berpanjangan.