“ANAK
tak guna, buat malu aku saja, baik kau berambus dari rumah ni, selagi kau ada
di rumah ni, semuanya tak guna. Kalau kau ingat jantan tu boleh sara hidup kau,
pergi duduk dengan dia, jangan balik ke rumah ni lagi.” Mak Milah sudah
kehilangan pertimbangan, anak gadisnya yang terpesorok di tepi dinding
kelihatan semakin kecil.
Baru sebentar tadi sebuah tamparan
dihadiahkan ke pipi gadis itu. Panas hatinya bila mendengar sindiran orang
kampung dan sebentar tadi Cik Lijah menyampaikan khabar padanya, Alissa sedang
berdua-duaan dengan Ilham di tepi bendang, hati ibu mana yang tidak marah dan merasa
sakit bila mendengar cerita yang sebegitu. Alissa memang sengaja hendak
memalukannya.
Alissa menangis teresak-esak. Salahkah perbuatannya? Dia
bertemu dengan Ilham di tempat terbuka, bukannya di kawasan terlindung atau di
tepi semak. Mereka berbual di atas pondok di tengah sawah, malah adik perempuan
Ilham juga ada bersama mereka. Dia cuma ingin mengucapkan selamat berpisah
sebelum dia berangkat ke Kuala Lumpur awal pagi esok. Ilham bekerja, mana
mungkin Ilham dapat datang ke perhentian bas untuk menghantar pemergiannya.
Abah tidak ada di rumah, kakaknya Azida juga tidak ada. Jika Azida berada di
rumah ketika itu tentu lebih banyak agaknya sumpah seranah yang akan menerjah
gegendang telinganya.
Alissa bingkas bangun kemudian berlari masuk ke biliknya
bila emak semakin menghampirinya. Sebelum tangan emak naik ke tubuhnya lagi,
lebih baik dia mengelakkan diri. Dalam kamus hidup emak, tiada perasaan simpati
untuk anak yang bernama Alissa dan tiada erti belaian kasih sayang dari emak
dalam kamus hidupnya. Dia diherdik dan dipukul sesuka hati oleh emak, apa lagi
bila abah tidak ada di rumah. Perkataan tak guna bagaikan sudah sebati dengan
dirinya, sudah tidak terasa akan kekasaran perkataan itu bila disebut oleh emak,
tapi dia cukup sensitif apabila mendengar perkataan itu dari mulut orang lain,
seolah-olah mereka juga seperti emak, meletakkan dirinya jauh ke bawah, terhina
dan tiada harga diri.
Alissa menangis sepuas-puasnya, andai kelahirannya ke
dunia tidak diterima kenapa dia dibiarkan terus hidup. Terus membesar hingga
dewasa dan menjadi seorang gadis yang berjaya. Seorang yang terpelajar tidak
seperti kakak-kakaknya yang hanya terkandas di sekolah menengah. Dikesat air mata
di pipi, mungkin hari ini dia berduka tapi esok pasti masih ada sinar untuknya,
pasti ada kebahagiaan yang menanti di luar sana seperti mana dia merasa tenang
dan damai bila berada di kampus, jauh dari keluarga
Dia akan berpisah dengan Ilham, lelaki yang menjadi
tempat baginya mencurahkan masaalah. Sahabat terbaik dan pendengar yang setia,
yang sentiasa menadah telinga dan melontarkan kata-kata semangat dan nasihat
padanya. Ilham lelaki yang cukup baik dia antara lelaki-lelaki yang di
kenalinya. Kasihnya tumpah pada lelaki itu, tidak goyah walaupun ada yang
mencuba nasib sewaktu di kampus dulu. Ilham adalah segala-galanya, impian
mereka ingin disatukan tapi dia perlu meninggalkan daerah itu untuk seketika
walaupun Ilham keberatan untuk melepaskannya. Meninggalkan kampung bermakna
mereka akan berjauhan. Sudah cukup tiga tahun menjadi pemisah tapi Alissa tidak
sanggup bertahan lagi, saban hari telinganya terpaksa ditadah, mendengar kata-kata
kesat dari emak. Wanita yang melahirkan dia ke dunia.
Abah pulang selepas selesai solat isyak di masjid, jam
sudah mencecah angka 9.00 malam. Perutnya sedang berkeroncong minta diisi tapi
hendak keluar dari bilik terasa berat kakinya, mungkin emak sedang menanti
kelibatnya. Entah apa lagi yang bakal emak lakukan andai emak melihat wajahnya
nanti.
“Lis!” Telinganya mendengar ada suara yang menyeru
namanya. Alissa mengesat pipinya yang masih basah, tentu matanya sembab kerana
banyak menangis.
“Ya abah.” Alissa bersuara, menjawab panggilan abah.
“Mari keluar, kita makan.”
Ajakan abah memang dinanti-nantikan. Siapa lagi yang
mengerti akan keadaannya di rumah itu selain abah. Alissa turun dari katil
bujangnya, bilik sempit itu menjadi bilik peribadinya, sedangkan Azida dan Azimah
mendapat bilik yang lebih luas dan cantik. Sejak kecil dia disisihkan. Kata
orang anak bongsu, anak manja, anak kesayangan tapi dia menolak kata-kata itu
seratus peratus, dia bukan anak kesayangan, dia anak terbuang, anak yang
dibenci oleh emaknya sendiri.
Pak Hasyim tercegat di muka pintu, jelas sekali kekecewaan
di wajahnya apabila melihat keaadaan anak gadisnya, kusut dan tidak terurus.
Anak yang menjadi kebencian isterinya, anak yang cuba dihindarkan dari menjadi
ahli keluarga mereka. Dia cukup kesal dengan sikap isterinya. Usia Alissa sudah
mencecah 21 tahun, tapi hidupnya dibayangi kesuraman, sedih dan menyakitkan.
“Lis dah solat ?” tanya Pak Hasyim.
“Sudah.”
“Pergi mandi, abah tunggu Lis, kita makan.”
Alissa mengangguk kemudian melangkah masuk ske dalam
bilik, memang dia perlu membersihkan diri sebelum menjamu selera bersama abah.
Tubuhnya terasa melekit, sepetang dia duduk di tengah bendang bersama Ilham,
kemudian berkurung pula di dalam bilik bejam-jam lamanya.
Terasa segar tubuhnya sebaik sahaja curahan air
menyentuh kulitnya, tiada cacat cela pada tubuhnya, tiada yang kurang. Sama
seperti 3 orang kakaknya, tapi dia miskin kasih-sayang, kurang perhatian, hanya
abah tempat mengadu juga Ucu Rabiah yang sentiasa menjaga kebajikannya, tempat
mencurah rasa, tempat meminta bila ada yang kurang. Hendak mengharapkan emak,
kata orang jangan bermimpi di siang hari. Bukan permintaan yang bakal dipenuhi sebaliknya
sumpah seranah yang berbakul-bakul bakal diterima.
BAS yang dinaiki bergerak meninggalkan daerah kelahirannya.
Baru sebentar tadi dia melambai tangan pada abah dan Raudah rakan sekolahnya,
rakan sepermainannya sejak kecil lagi. Tiada emak atau kakak-kakak yang
menghantar pemergiaannya, malah emak hanya menyambut salamnya sambil berpaling
ke arah lain. Hati siapa yang tidak terluka apabila seorang emak berpaling ke
arah lain ketika dia memberi salam.
Alissa merapatkan tubuh ke dinding bas, penumpang di
sebelahnya seorang lelaki tua yang agak gempal, tubuhnya sudah melebihi ruang,
membuatkan tempat duduknya menjadi sempit.
“Maaf ya.” Begitu lembut lelaki tua itu memohon maaf.
Alissa tersenyum, serta-merta ingatannya melayang pada
abah. Pesan abah akan diingat sampai bila-bila, akan terpahat kemas di kotak
ingatan. Dia akan menjaga dirinya sebaik mungkin, menjadi seorang gadis yang
berhemah, berbudi pekerti dan bersopan santun. Setiap perlakuan perlukan
pertimbangan yang wajar, bukannya tindakan yang terburu-buru.
Selamat tinggal semua, selamat tinggal daerah
kelahiran, teman-teman sepermainan dan Ilham. Dia akan pulang bila kehidupannya
berubah, bila dia dapat membuktikan pada emak, anak yang emak sering katakana tak
guna ini sudah berjaya dalam hidupnya, sudah menjadi anak yang boleh
dibanggakan. Dia tidak kisah jika emak masih tidak tahu menghargai dinya, tidak
berbangga dengan pencapaianya. Cukuplah abah seorang yang tersenyum lebar.
Pesan Alia kakak keduanya ketika pertemuan terakhir mereka minggu lepas akan
diingat sampai bila-bila. Berhati-hati semasa memilih kawan, jangan suka
mengikut saja kata-kata kawan, jangan diterima saja pelawaan kawan. Hanya Alia
seorang yang menjadi teman, rakan untuk bergelak ketawa dari kecil hinggalah
sekarang. Alia yang menjadi penasihat bila dia dilanda masaalah.
Alissa bersandar di kerusi yang didudukinya, Siti Hawa
akan menjemputnya di Pudu Central. Jika dia tiba lebih awal, dia akan menunggu
kedatangan Siti Hawa. Rumah sewa Siti Hawa memerlukan seorang lagi penyewa,
lantas dia meminta untuk tinggal di situ, ada sahabat yang sudah lama dikenali
hati budinya.
Alissa gelisah, jam sudah mencecah angka 6.00 petang,
bebayang Siti Hawa tidak juga kelihatan. Dia duduk di kerusi yang disediakan di
Platform 10, tempat yang dijanjikan dengan Siti Hawa. Memang ini bukan kali
pertama dia datang ke Kuala Lumpur, tapi ke mana lagi yang hendak dituju jika
Siti Hawa tidak muncul. Dia cuma ada sekeping kertas yang tertulis alamat rumah
sewa Siti Hawa yang terletak di Ampang.
“Sorry Lis.”
Alissa mengurut dada, terkejut. Tiba-tiba sahaja Siti
Hawa tercegat di belakangnya sambil memohon maaf.
“Bos aku buat hal, dah cukup time nak balik, baru dia minta itu dan ini.” Siti Hawa memberi
alasan.
Alissa tersenyum, masakan dia hendak marah jika Siti
Hawa perlu menyelesaikan tugasnya di pejabat. Dia sedia maklum dengan perkara
itu.
“Aku tak marah, cuma aku risau, aku tak kenal sesiapa
di sini,” balas Alissa.
“Tapi kau boleh call
Syed Akil, mamat sorang tu tak senang duduk bila aku beritahu kau dapat kerja
di sini, senyum memanjang.” Siti Hawa ketawa sebaik sahaja menghabiskan
ayatnya.
Alissa turut sama ketawa, Syed Akil adalah rakan
sekampus, salah seorang lelaki yang mencuba nasib untuk mendekatinya. Cuba
memetik hatinya.
“Lis, kenalkan Amirul.” Siti Hawa memperkenalkan
seorang lelaki yang berdiri sisinya.
Alissa menoleh ke sebelah Siti Hawa, baru dia tersedar
akan kehadiran seorang anak muda di sisi Siti Hawa, kemas berpakaian, kacak
juga orangnya. Hanya senyuman yang dihadiahkan pada lelaki itu. Kepalanya
dianggukkan sedikit.
“Mirul, Alissa ni kawan sebilik I masa belajar dulu,”
ujar Siti Hawa.
Amirul menghulurkan tangan untuk berjabat, Alissa
serba salah, tapi disambut juga huluran tangan Amirul kerana bimbang lelaki itu
berkecil hati. Beg pakaiaannya dibawa oleh Amirul, Siti Hawa memaut lengannya.
“Kau cantik Siti,” pujian ikhlas dari Alissa. Cara
pakaian Siti Hawa sudah berubah tapi masih kelihatan bersopan, dia sedia maklum
tentang tugas seorang setiausaha, penampilan perlu dijaga.
“Kalau kau pakai macam ni, aku rasa Amirul tak pandang
aku dah.” Siti Hawa bergurau. Amirul menoleh ke belakang kemudian ketawa kecil,
Alissa hanya tersenyum, ada-ada saja kerenah Siti Hawa.
Alissa dibawa ke sebuah rumah di Kampung Melayu yang
terletak di Ampang. Dia sempat membaca papan tanda sewaktu kereta yang dipandu oleh
Amirul membelok ke kiri. Jalan raya masih sesak sebentar tadi. Kereta Proton
Persona milik Amirul diberhentikan di hadapan sebuah rumah yang besar. Terdapat
beberapa pintu di setiap sudut, begitu besar rumah yang akan didiaminya, tentu
mahal sewa yang perlu dibayar. Alissa menelan liur. Mampukah dia membayar sewa
rumah itu dengan duit simpanan yang ada padanya sebelum dia mendapat gaji
pertama?
Siti Hawa ketawa kecil, dapat dibaca riak keresahan di
wajah Alissa, bukan sebulan dua dia mengenali Alissa tapi sudah mencecah angka 3
tahun. Dari mula menjejakkan kaki ke kampus hinggalah mereka terpisah bila tempoh
pembelajaran mereka berakhir. Alissa sudah dikenali hati budinya, sudah masak
dengan sifatnya, begitu juga dengan Alissa, susah senang sama-sama di tanggung.
“Rumah ini nampak besar tapi ada empat rumah sebenarnya.
Setiap pintu depan yang kau lihat tu adalah sebuah rumah. Beginilah orang Kuala
Lumpur buat duit.” Siti Hawa tertawa kecil.
Alissa masih tidak mengerti, berkerut wajahnya
mendengar penjelasan Siti Hawa tapi diatur juga langkahnya mengekori Siti Hawa
meniti anak tangga ke tingkat atas. Terdapat dua buah pintu di tingat tersebut.
“Pintu tu rumah orang lain,” bisik Siti Hawa.
Alissa mengangguk, tapi masih kurang faham sebenarnya.
Amirul menanti di bawah, bersandar di sisi kereta Proton Persona bewarna merah.
“Yani, Diana, aku dah balik.” Siti Hawa menjeritkan
nama dua orang rakannya.
Muncul dua orang gadis di ruang tamu, kedua-duanya
hanya berseluar pendek dan t-shirt
tidak berlengan.
“Ini Alissa yang aku beritahu kau orang.” Siti Hawa
memperkenalkan Alissa pada Yani dan Diana.
Alissa bersalaman dengan kedua gadis itu.
“Diana.”
“Yani.”
“Alissa.”
“Alissa duduk sebilik dengan aku, so mulai bulan ni sewa rumah kuranglah sikit,” ujar Siti Hawa kemudian
tertawa kecil. Diana dan Yani turut sama ketawa, ada kelegaan menapak di hati
kedua-duanya. Alissa pula hanya tersenyum, masih tidak mengerti.
Alissa dibawa masuk ke dalam sebuah bilik, terdapat sebuah
katil bertingkat dan dua buah almari kecil.
“Sewa rumah ni empat ratus, so kalau ada tiga orang kami bahagi tiga , ada empat orang, so seorang seratus,” ujar Siti Hawa.
Alissa mengangguk, barulah dia mengerti kenapa Yani
dan Diana turut sama ketawa sebaik sahaja Situ Hawa memaklumkan yang dia akan
menyewa di rumah itu. Alissa perhatikan sekitar bilik itu, puas hatinya. Empat
bulan lamanya dia terperuk di dalam bilik sempitnya, lebih sempit dari bilik
asrama yang dikongsi seramai empat orang. Baru dia tersedar sesuatu, rumah itu
tidak begitu luas, sedangkan jika dilihat dari luar tadi, saiznya seperti
sebuah banglo. Rumah besar itu telah dibahagi kepada empat bahagian dan menjadi
empat buah rumah. Alissa tersenyum sendiri, macam-macam perkara baru yang
dilihatnya, entah esok lusa, apa pula.
“Kau berehat dulu, aku nak berbual dengan Amirul.” Siti
Hawa melangkah keluar, meninggalkan Alissa yang duduk di atas katilnya.
“Opps… lupa
nak beritahu, kau duduk katil atas ya, biasalah, aku ni gayat sikit.” Siti Hawa
tertawa kecil, seketika kemudian tubuh yang sederhana saiznya itu hilang dari
pandangan matanya.
Alissa ketawa, memang waktu mereka tinggal sebilik di
kampus dulu, dia yang menjadi mangsa memanjat ke tingkat atas. Siti Hawa tidak
berani naik ke katilnya.
Siti Hawa sudah menghilangkan diri, tentunya sedang
berbual bersama Amirul di bawah. Alissa keluar ke ruang tamu, ada sebuah
televisyen kecil di ruang tamu. Dia melangkah ke ruang dapur, bilik yang dihuni
oleh Diana dan Yani tertutup pintunya, mungkin kedua-duanya sedang berehat.
Rumah itu lengkap dengan dapur untuk memasak. Terdapat dua buah pintu di ruang
dapur, ditolak salah satu darinya, ada beranda di bahagian belakang, sama
seperti di bahagian hadapan, juga ada sebuah tangga untuk turun ke bawah,
ampaian juga diletakkan di situ. Dia masuk semula, ditolak pintu di sebelah
dalam, bilik air, itu yang dicarinya sedari tadi.
Siti Hawa masuk ke dalam bilik sebaik saja azan maghrib
berkumandang, mungkin Amirul sudah pulang.
“Lis, aku nak keluar makan dengan Amirul lepas solat,
kau nak ikut?” tanya Siti Hawa.
“Aku penat la, rasa nak tidur saja,” jawab Alissa. Dia
masih kepenatan. Dia cuma mahu tidur dan berehat.
“Okey… kau nak aku bungkus apa-apa untuk kau ?” Siti
Hawa bertanya lagi.
“Nasi goreng cukuplah.”
Siti Hawa menghilangkan diri di sebalik daun pintu,
tubuhnya hanya berbalut dengan tuala bewarna putih, menampakkan bahagian
dadanya yang terdedah.
Alissa berbaring di atas katil Siti Hawa, malas hendak
memanjat ke tingkat atas. Baru petang semalam dia bertemu dengan Ilham di tengah
bendang dan menjadi kemarahan emak sebaik sahaja dia tiba di rumah, tapi hari
ini dia sudah berada jauh dari kampung, jauh dari keluarga dan jauh dari Ilham.
Apa agaknya yang sedang dibuat oleh Ilham saat itu? mungkin Ilham sudah berada
di masjid untuk bersolat jemaah. Terbayang wajah sugul Ilham sewaktu mereka
berpisah. Sayang sekali mereka tidak dapat terus bersama untuk waktu yang terdekat,
tapi dia berazam, dia akan pulang ke kampung bila tiba masanya nanti.