Home Novel Cinta DIA HANYA UNTUKKU
DIA HANYA UNTUKKU
Rozita Abd. Wahab
1/3/2013 09:06:45
55,328
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

ALISSA, masuk sekejap.”

Alissa bergegas ke blik Syed Hadif, nada suara Syed Hadif seperti dalam kesusahan. Tombol pintu dipusing, daun pintu ditolak tanpa diketuk terlebih dahulu. Alissa terlopong, kertas-kertas putih yang sudah bercetak berselerakan di atas meja dan lantai.

Syed Hadif tersengeh, memang kesilapannya, dia yang cuai. Kertas-kertas yang bersusun kemas diberikan oleh Alissa ke tangannya sebentar tadi tidak seperti keadaan asalnya. Dia mahu meletakkan dokumen itu selepas diperiksa dengan teliti ke atas meja tapi terlepas dari pegangan tangan, akibatnya kertas yang setebal 40 muka surat itu bertaburan di atas lantai.

Sorry.” Syed Hadif mengangkat kedua belah tangannya. Seperti seorang pesalah yang sedang diajukan pistol ke arahnya. Cuma bezanya seorang pesalah akan pucat wajahnya dek ketakutan tapi Syed Hadif ketika itu sedang tersengeh, menampakkan barisan giginya yang tersusun kemas tapi gigi taringnya agak panjang.

“Terlepas.”

Alissa melepaskan nafas, meredakan kekejutan sebentar tadi. Langkah diatur ke arah meja Syed Hadif, kemudian dia menunduk untuk mengutip setiap helaian kertas yang berselerakkan, sudah tidak bersusun. Nombornya sudah lintang-pukang.

“Tak apa Tuan Syed, dah nak jatuh nak buat macam mana.” Alissa bersuara perlahan.

Syed Hadif turut sama mengutip kertas yang berdekatan dengannya. Sesekali dia menjeling ke arah Alissa, gadis itu tekun mencapai kertas di atas lantai, tiada riak kemarahan di wajahnya. Rambut Alissa yang mencecah hingga ke belakang tidak berikat, dibiarkan lepas menutupi sebahagian dari wajahnya bila dia menunduk. Syed Hadif terpandang sesuatu, dadanya berombak, resah tak keruan. Alissa berkebaya pendek yang agak ketat dan terbuka sedikit di bahagian dadanya.

“Okey, biar saya susun semula.”

Syed Hadif segera berpaling, cuba disembunyikan debaran yang tiba-tiba menerjah hatinya, bukan dia sengaja ingin melihat tapi dia terpandang. Ah Alissa, mungkin gadis itu tidak menyedari akan keadaan itu.

“Tuan Syed.” Alissa menyeru nama Syed Hadif apabila lelaki itu dilihatnya diam tiba-tiba.

Syed Hadif menghulurkan kertas di tangannya, terasa bersalah kerana mencuri pandang ke arah Alissa sebentar tadi. Alissa mencapai kertas yang dihulurkan tapi terbit juga rasa hairan di hatinya bila Syed Hadif mendiamkan diri.

Alissa beralih ke arah set sofa yang diletakkan di sudut tepi ruang bilik pejabat Syed Hadif. Disusun semula kertas setebal 40 muka surat itu mengikut turutan. Syed Hadif hanya memandang, Alissa melakukan tugasnya tanpa berpaling.

“Nasib baik tak ada yang rosak.” Alissa letakkan semula kertas yang sudah bersusun di atas meja Syed Hadif.

Sorry Alissa.” Syed Hadif memohon maaf. Kemaafan untuk dua perkara.

“Perkara kecil saja Tuan Syed.” Alissa tersenyum tapi Syed Hadif masih terasa bersalah. Pertama menyusahkan Alissa dan kedua melihat sesuatu yang tidak sepatutnya, tapi salahkah dia jika terpandang sesuatu yang terbentang di depan mata.

“Ada apa-apa lagi Tuan Syed ?” tanya Alissa. Dia sudah bersedia untuk keluar dari bilik pejabat Syed Hadif.

Syed Hadif menggeleng.

“Saya keluar dulu. Tuan Syed nak minum ?”

“Boleh juga.”

Alissa menghilang di sebalik pintu. Syed Hadif bersandar di kerusinya, dipejamkan mata buat seketika, cuba dilupakan perbuatannya sebentar tadi. Bagaimana perasaan Alissa kalau dia mengetahui perkara itu. Apakah Alissa akan menganggap dia cuba mengambil kesempatan?

Alissa masuk semula ke bilik itu sambil menatang mug berisi minuman. Syed Hadif hanya tersenyum.

“Terima kasih Alissa,” ucap Syed Hadif.

“Saya keluar dulu Tuan Syed.”

Alissa keluar dari bilik Syed Hadif kemudian duduk semula di tempatnya. Ada beberapa surat yang perlu ditaip, minit mesyuarat yang diadakan pagi tadi juga perlu disiapkan. Banyak kerja yang perlu diselesaikan, kalau ikutkan hati memang dia tidak mahu bercuti pada hujung minggu, kerjanya akan bertambah bila tiba hari isnin. Kalau dia sibuk dengan kerjanya, Syed Hadif lebih-lebih lagi, ada kalanya Syed Hadif datang ke pejabat pada hari sabtu dan ahad untuk menyiapkan kerjanya. Hari biasa pula Syed Hadif pulang bila azan isyak berkumandang.

Puan Noriah menghampiri meja Alissa, simpati melihat gadis itu, memang dia tahu Syed Hadif kuat bekerja lantas setiausahanya juga akan menjadi orang yang sibuk bila diberikan tugas oleh Syed Hadif.

“Kak Nor tengok, minggu ni Lis sibuk betul,” komen Puan Noriah.

“Ada kerja Kak Nor, sibuklah Lis, kalau tak ada Lis duduk melangut saja.” Alissa terengeh.

“Lis memang rajin, bertuah Tuan Syed dapat secretary macam Lis,” pujian ikhlas dari Puan Noriah. Alissa memang berbeza jika hendak dibandingkan dengan setiausaha yang pernah bertugas dengan Syed Hadif sebelum ini.

Sorry la Kak Nor, Lis tak ada duit syiling.” Alissa bergurau kemudian tertawa kecil.

“Duit kertas pun okey juga,” balas Puan Noriah. Berderai tawa mereka berdua. Yuhanis dan Syamsul menoleh serentak, entah apa yang dibualkan oleh Alissa dan Puan Noriah.

Telefon di atas mejanya berdering. Puan Noriah segera angkat kaki, tidak mahu mengganggu kerja Alissa.

“Syed Hadif office, good afternoon.”

“Syed Hadif ada ?” Alissa menelan liur. Siapakah wanita ini yang bercakap dengan kasar?

“Boleh saya tahu siapa yang di sana ?” tanya Alissa, lembut suaranya.

“Kenapa nak sibuk sangat,” tengking wanita itu.

Alissa terdiam sejenak, belum pernah dia ditengking oleh sesiapa sejak dia bekerja di situ.

“Maaf cik, saya cuma menjalankan tugas.” Alissa masih berlembut, tak guna dia berkeras kalau wanita itu sudah tidak tahu menjaga bahasanya.

“Cakap dengan Syed Hadif. Saya wife dia, Syarifah Haslin.”

Alissa terpempam, salahkah apa yang dia lakukan. Mampuslah kalau Syed Hadif memarahinya jika isterinya mengadu tentang percakapan mereka.

“Sebentar puan.”

Alissa menekan butang hold kemudian menekan nombor sambungan bilik Syed Hadif.

“Tuan Syed, isteri tuan, Syarifah Haslin di talian.” Alissa gugup.

“Sambungkan.”

Talian sudah disambungkan, Alissa meletakkan gagang, debaran di dadanya masih bersisa, tapi dia tidak bersalah, dia cuma menjalankan tugasnya seperti yang diarahkan oleh Syed Hadif. Lantaklah, kalau hendak dimarah pun marahlah, dia bersedia menerima apa saja kemarahan yang bakal dihamburkan oleh Syed Hadif padanya.
Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.