“RINDU ?”
Ilham menatap wajah kekasih hatinya. Alissa kelihatan lebih berisi berbanding
kali terakhir dia bertemu dengan Alissa sebelum gadis itu berangkat ke Kuala
Lumpur.
“Mestilah rindu.” Malu-malu Alissa menjawab.
“Dah berapa lama kita tak jumpa ?”
“Enam bulan.”
“Lis kira.”
“Mestilah, rasa macam dah enam tahun.”
Ilham tergelak, ditarik Alissa rapat ke sisinya, dia
juga merindui Alissa, gadis yang sudah bertakhta di hatinya sejak di bangku
sekolah lagi, sudah dikenali hati budi Alissa. Sudah masak dengan kerenah
Alissa dan sebetulnya gadis itu tidak banyak kerenah.
Mereka berjalan berpimpin tangan, menyusuri tepian Tasik
Titiwangsa, kemudian duduk di sebuah kerusi batu yang dibentuk seperti buatan
dari kayu.
“Abah Lis sihat?” tanya Alissa. Sudah agak lama dia
tidak menghubungi Alia dan bertanyakan keadaan abah. Sememangnya dia malas
hendak menghubungi telefon di rumahnya, bimbang ibu atau dua orang kakaknya
yang menjawab panggilannya.
Ilham mengangguk.
“Abah tahu Am datang sini jumpa Lis?”
Ilham mengangguk juga.
“Am jumpa abah Lis di masjid dua hari lepas. Am
beritahu dia, Am nak datang KL jumpa Lis.”
“Apa abah cakap?” Lebar senyuman Alissa. Rindu pada
abah dah gurau senda abah.
“Dia kirim salam dan berpesan supaya Lis jangan
lupakan keluarga, pandai-pandai bawa diri di tempat orang.”
Allisa terdiam.
“Abah Lis nampak kurus sikit.”
“Kurus!” Ada kekejutan di dalam nada suara Alissa.
Apakah abah tidak sihat?
“Banyak fikir agaknya.”
Alissa melepaskan keluhan, simpati pada abah, tapi apa
dayanya, kehadirannya di kampung tidak diharapkan, dia tidak mahu menimbulkan
kekecohan bila berada di sana nanti.
Wajah Ilham direnung dari sisi, Ilham sedang membuang
pandang ke arah tasik yang tenang. Lelaki itu kelihatan lebih matang dan kacak,
tentunya Ilham menjadi tumpuan gadis-gadis di sekelilingnya. Ramai rakan-rakan
sekerja Ilham yang masih muda, mungkin sebaya mereka dan masih belum berpunya.
“Bulan depan dah puasa, lepas tu hari raya. Lis mesti
balik berhari raya di kampung.” Ilham begitu mengharap.
“Tengoklah dulu, kalau ada cuti,” balas Alissa. Bukan
niatnya hendak mengelakkan diri tapi dia benar-benar tidak ada hati hendak
pulang ke kampung. Cukuplah apa yang dirasainya selama ini. 4 bulan lamanya dia
menjadi seperti orang gaji di rumah itu. Dicerca, dihina dan entah apa-apa
lagi. Dia sendiri tidak pasti di mana silapnya hingga emak dan kakak-kakaknya
membencinya.
“Boleh pohon cuti kan.” Ilham merenung wajah Alissa.
Masakan Alissa tidak mahu berhari raya bersama keluarnya sekali pun Alissa
tidak senang dengan sikap mereka.
“Memanglah boleh, tapi tengoklah macam mana. Buat masa
ni Lis tak nak fikir pasal tu. Lis rasa selesa, aman sekarang ni. Tak ada orang
nak marah-marah Lis, herdik Lis, buli Lis.” Ada kemarahan yang masih berbaki
yang tersimpul di dada.
“Kenapa mesti tengok dulu ?” Ilham tidak berpuas hati.
“Kerja Lis banyak, bos Lis tu kuat bekerja, ada saja
kerja yang disuruhnya.” Alissa melepaskan keluhan. Itu satu kenyataan.
“Kalau boleh Lis mesti balik, Am nak suruh mak masuk
meminang.” Ilham berterus-terang akan niatnya. Dia mahu menyunting Alissa
sebagai pemaisuri hatinya. Biarlah apa pun tanggapan keluarga Alissa, dia tetap
mahu memiliki Alissa. Ibunya juga sudah bersetuju.
Alissa tergelak, Ilham bersungguh-sungguh dengan
kata-katanya.
“Kenapa ketawa ?” tanya Ilham. Ada ketidakpuasan di
dalam nada suaranya.
Alissa menutup mulutnya, bimbang juga jika Ilham
berkecil hati.
“Dah cukup duit hantaran ?” Alissa bertanya sekadar
hendak bergurau.
“Kalau mak Lis minta sikit, cukuplah, kalau minta banyak,
kenalah kerja kuat lagi.” Ilham tersengeh.
“Jangan tanya mak, kena tanya abah. Lis ni kan anak abah.”
Alissa ketawa kecil tapi Ilham dapat menangkap sesuatu di sebalik kata-kata
itu, Alissa masih berjauh hati.
“Jom.” Alissa sudah berdiri.
“Nak ke mana ?” tanya Ilham.
“Kita jalan-jalan.”
“Buat apa ?”
“Cuci mata, lepas tu kita pergi Masjid India.”
“Masjid India!” Berkerut dahi Ilham.
“Kat situ banyak orang jual pakaian, Lis nak belikan
baju melayu dan kain pelekat untuk abah,” ujar Alissa.
“Untuk abah, mak ?” Ilham merenung wajah Alissa.
“Nantilah bila Lis ada duit lebih.”
Ilham tersenyum kelat, Alissa masih menyimpan
kemarahan pada emaknya. Pak Hasyim yang meminta dia memujuk Alissa supaya
pulang ke kampung tapi nampak gayanya Alissa cuba menjauhan diri dari
keluarganya.
“YOU tunggu
sekejap, I ada kerja yang belum disiapkan,” Syarifah Haslin berlalu masuk ke
biliknya, dia perlu memastikan kain-kain yang dipesan untuk butiknya sampai
tepat pada waktunya. Ada pelanggan yang sudah menanti, jika dia lewat,
pelanggan mungkin akan ke tempat lain.
Syed Hadif keluar dari butik milik Syarifah Haslin. Terdapat
sebuah kerusi panjang di hadapan butik tersebut, dia jarang bertandang ke situ,
melainkan jika hendak bertemu dengan isterinya. Mereka sudah berjanji hendak
menziarah keluarganya di Bandar Utama, Syarifah Haslin sudah keluar dari rumah
awal pagi tadi dengan menaiki teksi kerana Syed Hadif akan menjemputnya.
Syed Hadif terpandang sebuah gerai menjual majalah dan
surat khabar di tingkat bawah, ada baiknya dia membaca sesuatu sementara
menanti Syarifah Haslin menyiapkan kerjanya. Selepas membeli surat khabar, Syed
Hadif kembali ke kerusi yang didudukinya tadi, masih kosong, dibuka lembaran
surat khabar untuk dibaca tapi matanya menangkap sesusuk tubuh yang amat
dikenalinya di hadapan butik isterinya, walaupun dia cuma melihat dari
belakang, dia begitu pasti akan tuan punya diri apa lagi bila mendengar gadis
itu bersurau dan ketawa, Alissa. Alissa kelihatan begitu gembira di samping
seorang lelaki yang kelihatan kacak dan ringkas gayanya. Disorokkan wajahnya di
sebalik surat khabar, tidak mahu Alissa menyedari kewujudannya di situ. Dia
memasang telinga, cuba mendengar perbualan mereka.
“Cantik tak baju tu ?” tanya Alissa.
“Cantik, kalau Lis yang pakai lagi cantik,” jawab si
lelaki.
“Mesti mahal kan.”
“Kalau nak tahu harga, masuklah tengok.”
“Tak naklah, tengok hiasan dalaman butik ni pun Lis
dah gerun, belum tengok harganya lagi, mau habis duit gaji Lis.” Alissa tertawa
kecil.
Lelaki itu tergelak, dicuit pipi gebu kekasih hatinya.
“Jom, pergi tempat lain.”
Pasangan itu mula melangkah, beredar dari perkarangan
butik Syarifah Haslin yang diberi nama Butik Haslin. Syed Hadif masih merenung
pasangan itu, Alissa begitu manja dan mesra dengan lelaki itu, mungkin kekasih
hatinya. Pasangan yang secocok dan sepadan, bagai pinang dibelah dua, itulah
kali pertama dia melihat Alissa berseluar jeans
dan t-shirt yang agak ketat yang
menyerlahkan bentuk tubuhnya.
Syed Hadif tersenyum sendiri, rupanya Alissa sudah
punya kekasih hati. Gadis yang cantik dan menarik sepertinya pasti mendapat
perhatian dari setiap lelaki bila terpandang wajah bujur sireh milik Alissa.
Apakah dia juga sebahagian dari lelaki itu ? Syed Hadif senyum lagi, memang dia
senang dengan Alissa, dia sayangkan gadis itu. Sayang sebagai pekerjanya kerana
Alissa setiausaha yang cekap bekerja, tidak banyak keranah, mudah dibentuk dan
boleh ditegur.
“Setakat itu saja ?” soal hatinya.
Syed Hadif mengurut dagunya, baru pagi tadi dia
mencukur sedikit janggut yang mula tumbuh. Sedari dulu lagi, waktu sedang menuntut
dia memang menyimpan misai dan janggut tapi dijaga rapi, cuma bila dia
keresahan dan kebingungan, rupanya tidak terurus lagi, kusut dan berserabut.
“Soalan tadi belum dijawab.” Hatinya bertanya lagi.
Syed Hadif tersenyum. “Aku tak pasti.”
“Maksudnya kau juga ada perasaan terhadap dia.”
“Entah”
“Hah, jangan nak
menipu diri sendiri.”
“Aku sudah berkahwin, isteriku juga tidak kurang
hebat, cantik dan menarik.”
“Tapi gadis itu juga cukup menarik bukan”
Syed Hadif merengus, kenapa mesti dia memikirkan
persoalan itu, buat menyemakkan kepala.
“Aku sudah beristeri.”
“Lelaki boleh berkahwin lebih dari satu.”
“Aku tak mampu.”
“Belum cuba belum tahu.”
Syed Hadif memejamkan mata, jangan persoalkan perkara
yang akan menimbulkan sesuatu yang tidak sepatutnya. Perkara itu tidak perlu
wujud dalam hatinya. Syed Hadif berusaha menolak jauh-jauh apa yang singgah di
hatinya sebentar tadi. Dia tidak mahu wujud jurang di antara dia dan Alissa.
“Hadif, I dah siap jom.”
Syed Hadif tersentak.
“Hadif.”
Syed Hadif membuka mata seluas mungkin, siapa wanita
di hadapannya, ah bukan Alissa tetapi Syarifah Haslin isterinya.
“Apa kena dengan you ?” Syarifah Hasli kehairanan.
“Tak ada
apa-apa.” Syed Hadif gugup, cuba dihapuskan bayangan Alissa di matanya.
“Siang-siang hari pun mengigau, tempat public pula tu.” Syarifah Haslin
tergelak.
Syed Hadif tersenyum.
“Jom kita pergi.”
Mereka beriringan melangkah ke tempat meletak kereta.
Liar mata Syed Hadif memerhatikan setiap manusia di sekelilingnya. Apakah
Alissa dan pasangannya ada di situ?