“ALISSA, masuk sekejap.”
Alissa bergegas ke blik Syed Hadif, nada suara Syed
Hadif seperti dalam kesusahan. Tombol pintu dipusing, daun pintu ditolak tanpa
diketuk terlebih dahulu. Alissa terlopong, kertas-kertas putih yang sudah
bercetak berselerakan di atas meja dan lantai.
Syed Hadif tersengeh, memang kesilapannya, dia yang
cuai. Kertas-kertas yang bersusun kemas diberikan oleh Alissa ke tangannya
sebentar tadi tidak seperti keadaan asalnya. Dia mahu meletakkan dokumen itu
selepas diperiksa dengan teliti ke atas meja tapi terlepas dari pegangan
tangan, akibatnya kertas yang setebal 40 muka surat itu bertaburan di atas
lantai.
“Sorry.” Syed
Hadif mengangkat kedua belah tangannya. Seperti seorang pesalah yang sedang
diajukan pistol ke arahnya. Cuma bezanya seorang pesalah akan pucat wajahnya
dek ketakutan tapi Syed Hadif ketika itu sedang tersengeh, menampakkan barisan
giginya yang tersusun kemas tapi gigi taringnya agak panjang.
“Terlepas.”
Alissa melepaskan nafas, meredakan kekejutan sebentar
tadi. Langkah diatur ke arah meja Syed Hadif, kemudian dia menunduk untuk
mengutip setiap helaian kertas yang berselerakkan, sudah tidak bersusun.
Nombornya sudah lintang-pukang.
“Tak apa Tuan Syed, dah nak jatuh nak buat macam mana.”
Alissa bersuara perlahan.
Syed Hadif turut sama mengutip kertas yang berdekatan
dengannya. Sesekali dia menjeling ke arah Alissa, gadis itu tekun mencapai
kertas di atas lantai, tiada riak kemarahan di wajahnya. Rambut Alissa yang
mencecah hingga ke belakang tidak berikat, dibiarkan lepas menutupi sebahagian
dari wajahnya bila dia menunduk. Syed Hadif terpandang sesuatu, dadanya berombak,
resah tak keruan. Alissa berkebaya pendek yang agak ketat dan terbuka sedikit
di bahagian dadanya.
“Okey, biar saya susun semula.”
Syed Hadif segera berpaling, cuba disembunyikan
debaran yang tiba-tiba menerjah hatinya, bukan dia sengaja ingin melihat tapi dia
terpandang. Ah Alissa, mungkin gadis itu tidak menyedari akan keadaan itu.
“Tuan Syed.” Alissa menyeru nama Syed Hadif apabila
lelaki itu dilihatnya diam tiba-tiba.
Syed Hadif menghulurkan kertas di tangannya, terasa
bersalah kerana mencuri pandang ke arah Alissa sebentar tadi. Alissa mencapai
kertas yang dihulurkan tapi terbit juga rasa hairan di hatinya bila Syed Hadif
mendiamkan diri.
Alissa beralih ke arah set sofa yang diletakkan di
sudut tepi ruang bilik pejabat Syed Hadif. Disusun semula kertas setebal 40
muka surat itu mengikut turutan. Syed Hadif hanya memandang, Alissa melakukan
tugasnya tanpa berpaling.
“Nasib baik tak ada yang rosak.” Alissa letakkan
semula kertas yang sudah bersusun di atas meja Syed Hadif.
“Sorry
Alissa.” Syed Hadif memohon maaf. Kemaafan untuk dua perkara.
“Perkara kecil saja Tuan Syed.” Alissa tersenyum tapi Syed
Hadif masih terasa bersalah. Pertama menyusahkan Alissa dan kedua melihat
sesuatu yang tidak sepatutnya, tapi salahkah dia jika terpandang sesuatu yang
terbentang di depan mata.
“Ada apa-apa lagi Tuan Syed ?” tanya Alissa. Dia sudah
bersedia untuk keluar dari bilik pejabat Syed Hadif.
Syed Hadif menggeleng.
“Saya keluar dulu. Tuan Syed nak minum ?”
“Boleh juga.”
Alissa menghilang di sebalik pintu. Syed Hadif bersandar
di kerusinya, dipejamkan mata buat seketika, cuba dilupakan perbuatannya
sebentar tadi. Bagaimana perasaan Alissa kalau dia mengetahui perkara itu. Apakah
Alissa akan menganggap dia cuba mengambil kesempatan?
Alissa masuk semula ke bilik itu sambil menatang mug
berisi minuman. Syed Hadif hanya tersenyum.
“Terima kasih Alissa,” ucap Syed Hadif.
“Saya keluar dulu Tuan Syed.”
Alissa keluar dari bilik Syed Hadif kemudian duduk
semula di tempatnya. Ada beberapa surat yang perlu ditaip, minit mesyuarat yang
diadakan pagi tadi juga perlu disiapkan. Banyak kerja yang perlu diselesaikan,
kalau ikutkan hati memang dia tidak mahu bercuti pada hujung minggu, kerjanya
akan bertambah bila tiba hari isnin. Kalau dia sibuk dengan kerjanya, Syed
Hadif lebih-lebih lagi, ada kalanya Syed Hadif datang ke pejabat pada hari
sabtu dan ahad untuk menyiapkan kerjanya. Hari biasa pula Syed Hadif pulang
bila azan isyak berkumandang.
Puan Noriah menghampiri meja Alissa, simpati melihat
gadis itu, memang dia tahu Syed Hadif kuat bekerja lantas setiausahanya juga
akan menjadi orang yang sibuk bila diberikan tugas oleh Syed Hadif.
“Kak Nor tengok, minggu ni Lis sibuk betul,” komen
Puan Noriah.
“Ada kerja Kak Nor, sibuklah Lis, kalau tak ada Lis
duduk melangut saja.” Alissa terengeh.
“Lis memang rajin, bertuah Tuan Syed dapat secretary macam Lis,” pujian ikhlas dari
Puan Noriah. Alissa memang berbeza jika hendak dibandingkan dengan setiausaha
yang pernah bertugas dengan Syed Hadif sebelum ini.
“Sorry la
Kak Nor, Lis tak ada duit syiling.” Alissa bergurau kemudian tertawa kecil.
“Duit kertas pun okey juga,” balas Puan Noriah. Berderai
tawa mereka berdua. Yuhanis dan Syamsul menoleh serentak, entah apa yang
dibualkan oleh Alissa dan Puan Noriah.
Telefon di atas mejanya berdering. Puan Noriah segera
angkat kaki, tidak mahu mengganggu kerja Alissa.
“Syed Hadif office,
good afternoon.”
“Syed Hadif ada ?” Alissa menelan liur. Siapakah
wanita ini yang bercakap dengan kasar?
“Boleh saya tahu siapa yang di sana ?” tanya Alissa,
lembut suaranya.
“Kenapa nak sibuk sangat,” tengking wanita itu.
Alissa terdiam sejenak, belum pernah dia ditengking
oleh sesiapa sejak dia bekerja di situ.
“Maaf cik, saya cuma menjalankan tugas.” Alissa masih
berlembut, tak guna dia berkeras kalau wanita itu sudah tidak tahu menjaga
bahasanya.
“Cakap dengan Syed Hadif. Saya wife dia, Syarifah Haslin.”
Alissa terpempam, salahkah apa yang dia lakukan. Mampuslah
kalau Syed Hadif memarahinya jika isterinya mengadu tentang percakapan mereka.
“Sebentar puan.”
Alissa menekan butang hold kemudian menekan nombor sambungan bilik Syed Hadif.
“Tuan Syed, isteri tuan, Syarifah Haslin di talian.”
Alissa gugup.
“Sambungkan.”
Talian sudah disambungkan, Alissa meletakkan gagang,
debaran di dadanya masih bersisa, tapi dia tidak bersalah, dia cuma menjalankan
tugasnya seperti yang diarahkan oleh Syed Hadif. Lantaklah, kalau hendak
dimarah pun marahlah, dia bersedia menerima apa saja kemarahan yang bakal
dihamburkan oleh Syed Hadif padanya.