Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya
“INI laporan atau spekulasi, Aziz?” soal Perdana Menteri sebaik sahaja Tuan
Aziz duduk di hadapannya.
“Hipotesis,
Datuk Seri,” jawab Tuan Aziz sambil memandang kertas laporan setebal 300
halaman yang tertulis ‘RAHSIA BESAR’ di atas meja bosnya. Kertas itu diserahkan kepada Perdana Menteri petang
semalam.
“Terus
terang, I dah belek-belek kertas ini. Ia penuh dengan andaian, jangkaan dan
pandangan yang susah I nak percaya,” jelas Perdana Menteri dengan wajah serius.
“Datuk
Seri kenalah baca kesemuanya untuk pastikan sama ada apa yang saya sampaikan
itu hanya tanggapan atau rumusan terperinci kajian pasukan penyelidik BISIK.”
“Come
on, Aziz. Mana I ada masa nak baca semua ni?” keluh Perdana Menteri.
“Kalau
begitu, biar saya jelaskan. Beri saya lima minit...”
Perdana
Menteri memandang jam di dinding. Kemudian dia mengangguk sebagai tanda
mengizinkan. Dia duduk tersandar menyilang jari. Menumpukan padangan dan
memasang telinga untuk mendengar penerangan pegawai tingginya.
“Setakat
ini lima orang mat salih dari pelbagai syarikat pelaburan luar negara sudah dikesan
berada di negara ini. Masing-masing kononnya bertugas sebagai penasihat atau
perunding bagi perbadanan kemajuan ekonomi negeri dan juga GLC. Nama-nama
institusi yang terlibat ada saya letakkan dalam lampiran di belakang kertas
laporan itu.
Mereka
datang dari syarikat-syarikat pelaburan di Amerika dan Eropah bila mereka dapat
tahu syarikat-syarikat kita ini untung besar dan berhasrat mengembangkan sayap
mereka ke peringkat global. Syarikat-syarikat pelaburan ini kononnya berminat
untuk melabur berbilion dollar dengan syarikat-syarikat kita atas nama usaha sama.
Dari
mana syarikat-syarikat pelaburan ini memperoleh dana? Mereka dapat wang dari
pelbagai yayasan kebajikan pendidikan, pertanian dan pembangunan. Soalnya
mengapa yayasan-yayasan ini berminat untuk mengadakan usaha sama dengan
syarikat-syarikat kita?
Sebaliknya,
mengapa konglomerat mereka tidak berminat dengan kita? Mengapa juga bank-bank
mereka tidak berminat? Mereka tidak berminat kerana mereka sendiri ada banyak
sekali peluang perniagaan masing-masing. Mereka tak pandang syarikat-syarikat
kita sebab pelaburan mereka dengan negara Arab, China atau India jauh lebih
menguntungkan.
Justeru,
kemunculan yayasan-yayasan ini yang diwakili mat salih-mat salih ini sebagai
penasihat dan perunding dalam syarikat-syarikat utama kita, tentu ada
muslihatnya.”
“Maaf
kalau I mencelah, Aziz. Tapi I percaya yayasan-yayasan ini diuruskan oleh para
profesional. Sebab itulah pendekatan mereka juga seperti gaya konglomerat.
Datuk
Seri... di Malaysia sendiri, banyak sekali NGO-NGO yang diuruskan secara
profesional. Mereka berniaga untuk menjana wang supaya mereka tak perlu meminta
geran tahunan dari kerajaan ataupun derma ikhsan orang ramai. Bezanya, NGO kita
berskala kecil, sedangkan mereka berskala besar. Itulah sebabnya I katakan laporan you ini
hanya spekulasi,” kata Perdana Menteri dengan yakin.
“Mungkin
Datuk Seri tak tengok halaman 278 hingga halaman 290. Di situ saya cartakan
susur galur yayasan-yayasan itu,” jawab Tuan Aziz dengan yakin.
Perdana
Menteri kaget dengan keterangan Tuan Aziz. Lantas dia membuka kertas laporan
pegawainya itu. Bila tiba ke halaman-halaman yang dimaksudkan, Perdana Menteri
terus menekur dan meneliti carta tersebut. Suasana menjadi sunyi. Akhirnya dia
merenung Tuan Aziz. Satu keluhan berat dilepaskan.
“Aziz...
apa maknanya ini semua?”
“Saya
nampak satu trend, Datuk Seri. Trend yang membimbangkan. Pusat Usaha Sama
Kerajaan dan Swasta telah bekalkan kami maklumat mengenai kemunculan mat salih-mat
salih ini. Pada mulanya kami juga melihat secara biasa-biasa saja. Tapi bila
mereka melaporkan ada tujuh orang lagi mat salih yang nak masuk sebagai
penasihat pelaburan di syarikat-syarikat konglomerat kita, ia membuka mata
kami.
“Nampaknya
mereka masuk macam sebagai satu pasukan. Apa yang mereka nak buat?” Perdana
Menteri meminta penjelasan.
“Economic hitman atau EHM, Datuk
Seri.”
“Economic hitman?Mustahil!”
Mata Perdana Menteri terbuntang lusa mendengar istilah itu. “Setahu I, EHM yang
datang ke negara-negara Arab, Afrika dan Amerika Selatan bertugas sebagai
penasihat ekonomi kerajaan. Mereka tak masuk melalui syarikat-syarikat
tempatan.
Lagipun,
negara kita dah hampir mencapai status negara maju. EHM nak songlap duit kita
dan bebankan ekonomi kita dengan projek apa, Aziz? Empangan? Lapangan terbang?
Logi penapisan minyak? Lebuhraya? Kita ada semuanya, Aziz.
Kerana
negara kita bijaklah, kita tak gunakan teknologi barat semata-mata. Kita guna
Jepun, Korea dan kini teknologi India dan China. Dan, kita sendiri dah pakar
bina projek-projek mega tu. EHM nak ancam ekonomi kita dari sudut mana? Eh, you jangan over-analyse, Aziz!”
Hujah
Perdana Menteri membuatkan Tuan Aziz terdiam. Dia tahu Perdana Menteri adalah
orang yang paling sukar diyakinkan.
“Datuk
Seri... percayalah, mereka tak akan berdiam diri selagi kita tak sujud sebagai
barua mereka. Mereka akan cuba hingga berjaya. Selagi rancangan mereka belum
menjadi kenyataan, selagi itulah mereka mencuba dengan berbagai cara. Ini usaha
terbaru, Datuk Seri.
Dulu
mereka tinggalkan bom jangka melalui cara pecah dan perintah. Bom itu meletup
pada tahun 1969 tetapi kita cepat sedar. Sambil itu, mereka mau kita gadaikan
negara ini melalui pelbagai pinjaman. Nasib baik kita ada minyak pada tahun
70an. Kita bukan sahaja dapat bayar hutang, malah kita dapat kuasai kembali
industri getah dan kelapa sawit.
Tahun
1997, mereka serang ekonomi rantau Asia Tenggara. Kita tangkas bertahan. Selain
Singapura, kitalah satu-satunya negara yang belum pernah ditakluk secara
ekonomi di rantau ini. Lalu mereka cuba goyah ekonomi kita melalui laporan
media yang berat sebelah. Mereka cari pemimpin yang boleh dijadikan boneka.
Setakat ini senjata mereka tumpul.
Kini
mereka gunakan cara sopan santun seperti tahun-tahun 60an dulu. Beri duit, beri
pinjaman dan akhirnya cuba jerut leher kita balik. Cuma kali ini mereka tak
perlu menghantar economic hitman
mereka sebagai penasihat kerajaan.
Mereka
hanya perlu masuk dalam pelbagai perbadanan ekonomi negeri, GLC dan
syarikat-syarikat blue chip kita.
Datuk Seri... syarikat-syarikat yang mereka pilih kesemuanya adalah tiang seri
ekonomi kita. Bila semua tiang seri ekonomi negara kita reput, akhirnya
merudumlah ekonomi kita macam rumah yang dimakan anai-anai. Bila ia runtuh,
mereka akan beli syarikat-syarikat itu dan akhirnya dapat jajah kita secara
ekonomi. Mereka tak pernah lupakan niat mereka, Datuk Seri. Kalau strategi
mereka gagal, mereka akan gunakan strategi baru!”
Perdana
Menteri mengeluh. Kedua-dua tangannya meraup ke wajahnya seperti baru lepas
berdoa. Kemudian dia memandang Tuan Aziz. Lama dia merenung pegawai tingginya
itu. Kemudian dia menggeleng. Tuan Aziz tahu apa maksud gelengan itu.
“Masa
dah cukup! You tak dapat yakinkan I.
Tapi cerita you memang menarik. Boleh buat filem,” ujar Perdana Menteri dengan
tenang. Tangannya didepangkan ke arah kertas laporan di atas meja. Meminta Tuan
Aziz mengambilnya kembali. Namun, Tuan Aziz hanya mendiamkan diri.
“Datuk
Seri...”
“Hmm...”
jawabnya sambil menyisipkan pen ke poket kotnya tanda dia hendak meninggalkan
bilik pejabatnya untuk menghadiri mesyuarat kabinet.
“Apa
kata kalau saya berikan satu bukti. Satu bukti kukuh yang menunjukkan niat
sebenar penasihat-penasihat mat salih ini. Dengan bukti itu, apakah Datuk Sri
akan bertindak?”
“Tentu
sekali, Aziz,” ujarnya lalu berdiri. “Kalau you dapat buktikan, I adalah orang
pertama yang akan bertindak menghalang mereka. Ini bukan soal I, bukan juga
soal you, Aziz. Tapi ini tanggungjawab
kita bersama demi agama, demi negara, demi rakyat dan masa depan anak cucu
kita.”
“Thank you, sir,”
jawab Tuan Aziz gembira.
Mereka
bersalaman lalu berjalan beriringan meninggalkan bilik itu. Meninggalkan kertas
laporan bertulis ‘RAHSIA BESAR’ di atas meja Perdana Menteri. Semoga ia ditatap
kembali oleh beliau dalam suasana tenang. Mudah-mudahan, kedaulatan negara ini
akan terpelihara sekali lagi…
Insya-ALLAH bersambung Ahad hadapan...