KLIA, Sepang, Selangor
SEBAIK sahaja penerbangan terus MH73 dari Hong Kong
mendarat, seorang lelaki berkulit putih bingkas bangun bila semua lampu isyarat
bernyala. Menandakan para penumpangnya boleh keluar dari pesawat. Tubuhnya yang
tinggi memudahkan dia menjenguk dan menarik begnya di tempat letak barang di
atas kepala. Tidak peduli bila begnya terhimpit tangan seorang wanita mat salih
separuh umur yang turut menggagau mendapatkan begnya.
“Ouch!” jerit
wanita itu.
Gerakan lelaki yang berambut pendek potongan G.I itu
terhenti seketika. Dia tak menoleh pun pada wanita itu untuk memohon maaf.
Sebaliknya dia hanya terjeling tanpa berkata apa-apa. Kemudian begnya diangkat
dan disandang.
“You are rude!”
ceceh wanita berambut putih itu. Dia mencekak pinggang dan merenung lelaki itu.
Kedut-kedut di pipinya menambah ekspresi tikaman pandangannya. Namun lelaki itu
buat-buat tak faham. Tanpa menjawab, dia menarik dan menurunkan beg wanita itu
pula. Lalu dicampak ke atas kerusi. Kemudian dia terus melangkah setapak.
Tiba-tiba dia mematikan langkah lalu menoleh.
“You are rude,
too!” kata lelaki itu dengan suara yang parau.
“Why?” Spontan
wanita itu bertanya. Nadanya bergetar kerana menahan amarah.
Lelaki itu menuding ke arah beg wanita itu. “I helped you... but you do not even say
thank you!”
Lantas
lelaki itu melangkah kembali meninggalkan wanita itu.
“Well... THANK
YOU!” jerit wanita itu. Cebikan di bibirnya memanifestasikan rasa hatinya
yang jelek di saat itu.
FARIZ berjalan pantas.Sesekali dia terlari-lari menyelit di antara khalayak ramai menuju
ke Balai Ketibaan. Dia terlewat sampai ke mari kerana melayani kerenah Faryna
yang meminta membawanya ke butik. Sudahlah dia asyik membuang masa memperaga
baju-baju lain yang terpamer, baju yang ditempahnya pun tidak jadi diambilnya.
Kesabaran Fariz
amat teruji pada petang ini. Keluar sahaja dari butik, Faryna memerintah agar singgah ke salun rambut sebelum ke salun kuku pula. Sehingga jam 6.30 petang
barulah dia bertolak dari Damansara ke mari. Fariz mendongak memandang papan jadual penerbangan.
Sudah
sah, penerbangan dari Lapangan Terbang Kai Tak, Hong Kong telahpun mendarat.
Fariz menekur merenung jam. Sudah 7.30
malam. Sambil berkeliaran di balai ketibaan, tangannya memegang sekeping kadbod
yang tertulis nama Bruce McCallum. Matanya melilau mencari wajah-wajah mat
salih sambil menayang-nayangkan kad itu dengan harapan salah seorang dari
mereka adalah Bruce McCallum.
Setelah
setengah jam dia melilau, Fariz
mengambil keputusan untuk kembali ke kereta. Sambil melangkah, dia cuba
menelefon ke pejabat. Ingin bertanya sama ada Bruce McCallum ada menghubungi.
Siti yang menjawab telefon memberikan jawapan yang mengecewakan. Fariz mendengus. Terfikir-fikir apa yang harus
dilakukan.
“Hi!” sapa satu suara.
Fariz tertoleh. Seorang mat salih berdiri begitu
hampir di belakangnya. Sekilas matanya memandang subang kecil yang terlengkang
di telinga kanan lelaki itu. Membuatkan Fariz terundur setapak.
Terkejut kerana lelaki ini mungkin dari jenis yang meminati lelaki. Namun
lelaki itu berbuat selamba walaupun dia menyedari reaksi Fariz.
“From Globest?” tanya mat salih tinggi itu.
“Yes!” jawab Fariz.“You’re Bruce? Bruce McCallum?”
“Yes, I am, ” jawab Bruce.
“Fariz
Zafar. Sorry I’m late.”
Mereka
bersalaman.
“Saya tak kisah, sebab saya juga lambat sampai
ke mari.”
Fariz terkaget mendengar telor Bruce. Macam orang
Indonesia bercakap. Bruce tersengih bila dia nampak Fariz berasa pelik.
“Kamu
hairan dengan pertuturan saya? Saya boleh berbahasa Melayu kerana pernah
menjadi ahli sukarela Peace Corps di Jawa Barat, Indonesia. Tiga tahun saya di
sana.
Oh,
ya. Saya lambat kerana kapal terbang tidak boleh berlepas sebab tiba-tiba ada
amaran puting beliung. Tidak pernah berlaku puting beliung pada musim ini di
Hong Kong. Mengapa ya? Akhir-akhir ini
cuaca tidak menentu kerana pemanasan global.”
“Mungkin
bukan kerana pemanasan global, Mr. Bruce...” tingkah Fariz. Membuatkan Bruce
sedikit hairan. “Mungkin juga kerana penyejukan global. Bila salji cair, ia
menjadi air dan melimpah ke kawasan panas. Kawasan panas pula bertukar sejuk.
Menyebabkan salji juga turun di kawasan-kawasan yang tidak pernah bersalji.
Jika keadaan ini berterusan, akhirnya boleh berlaku penyejukan global.”
“Oh,
saya pernah terbaca mengenai glaciation.
Tapi itu hanya teori sains yang belum pernah terbukti, Fariz,” celah
Bruce.
“Bukankah
dunia pernah dilitupi ais beribu tahun lalu? Ice Age? Bukankah itu buktinya, Mr. Bruce?” soal Fariz.
“Ha,
ha. Awak pun seperti saya. Minat mengenai alam sekitar. Bagus. Kalau ramai
orang seperti awak yang peka mengenai alam, dunia akan terjaga dengan baik. Err...
di mana kereta awak?”
“Itu
dia. Silakan,” jawab Fariz sambil
mendepangkan tangannya untuk memberi laluan kepada Bruce.
“Terima
kasih, Fariz. Tapi, awak tak perlu panggil saya Mr. Bruce. Tak perlu panggil
saya tuan. Panggil Bruce sahaja, itu sudah memadai.”
“Apa
tugas Fariz di Globest Corporation?”
tanya Bruce ketika kenderaan yang dipandu Fariz
memasuki lebuhraya menuju ke Kuala Lumpur.
“Saya
pemandu peribadi kepada Tan Sri Daud.”
“Oh,
awak mesti berkelulusan tinggi sebab pengetahuan dan hujah awak menunjukkan
tahap pemikiran awak,” puji Bruce.
“Saya
lulusan universiti. Ini kerja sementara sahaja. Apa pula tugas Bruce di sini?”
Giliran Fariz pula bertanya.
“Saya
mewakili JustWorld Foundation dari U.S. Kami dapat tahu Globest ingin membuat
prasarana pengairan pertanian di Bwana, Afrika.
Ada banyak yayasan kebajikan di U.S yang ingin menyumbang dana kepada mana-mana
syarikat yang ingin membina negara-negara mundur. Sebab itulah saya datang ke mari sebagai
koordinator supaya dana dari yayasan-yayasan kebajikan itu dapat disalurkan
kepada Globest untuk membina Bwana.”
“Mengapa
yayasan-yayasan kebajikan yang berminat? Tidak adakah syarikat-syarikat
korporat Amerika yang ingin membina prasarana pertanian di Bwana?” soal Fariz.
“Oh,
mereka lebih berminat untuk membina prasarana di negara-negara minyak. Awak
tentu tahu nilai emas hitam yang melambung sekarang. Saya sendiri tidak suka
pada syarikat-syarikat Amerika yang memilih. Hanya mementingkan keuntungan
tanpa memikirkan masa depan insan sejagat,” ujar Bruce dengan mulut yang
tercebir-cebir.
Fariz
terangguk-angguk mengiyakan. Pabila mereka tiada modal berbual, sesekali dia
nampak Bruce mencuri-curi pandang ke arahnya melalui cermin pandang belakang.
Hatinya mula berasa tidak selesa dengan perawakan Bruce.
“AWAK tak hendak masuk dulu? Kita minum?” tanya Bruce sebaik sahaja mereka tiba
di tempat penginapan. Dia memandang Fariz
lalu mengenyitkan matanya.
“Maaf, Bruce. Lain kalilah. Malam ini saya perlu bawa bos
saya menghadiri jamuan makan malam,” Fariz
berbohong. “Saya pergi dulu, ya?”
‘Engkau jangan ingat, aku ni spesis macam engkau, Bruce.
Kalau nak kena penampar gila aku, cubalah buat perangai tak senonoh tu kat
aku!’ bebel Fariz di dalam hati.
Dia amat tidak berkenan dengan perangai Bruce atau mana-mana
lelaki yang punyai selera songsang terhadap lelaki juga. Perangai itu bukan
sahaja bertentangan dengan fitrah manusia, malah harus ditentang.
Sambil menanti lif, Fariz tergeleng-geleng. Petang tadi, dia melayan
kerenah Faryna yang berlagak. Yang itu, perempuan yang tidak sukakan lelaki.
Yang ini pula, lelaki yang sukakan lelaki. Fariz mengeluh perlahan. Fikirnya, cabaran ejen
perisik hanya berdepan dengan suasana yang cemas dan tegang. Tetapi cabaran kerja sebegini belum terjangkau akalnya. Namun demi tugas, dia harus akur.