Home Novel Thriller/Aksi MENITI MAUT
Malam ini siapa yang punya? (Fragmen 1)

Apartmen Dahlia, Kuala Lumpur

RUANG tamu di pangsapuri ini gelap. Hanya cahaya dari komputer yang memberi sedikit kecerahan. Fariz Zahar memerhati skrin untuk memantau imej di pintu masuk ke apartmen yang sentiasa terpapar sejak tiga jam tadi. Sesekali kelihatan kereta keluar dan masuk. Namun kereta yang dinanti belum muncul-muncul lagi.

“Lama lagi, ke?” bisik Fariz kepada rakan sejawatnya, Sharif.

“Hmm,” jawab Sharif ringkas. Jejarinya masih membetul-betulkan fokus teropong. Lensanya terhala ke sebuah apartmen yang bertentangan dengan bilik ini. “Aku pernah buat kerja mengintip ni sampai dua minggu, Riz. Habuk pun tak dak. Kerja begini mesti banyak sabar... macam orang memancing.”

Fariz hanya mengangguk walaupun dia tahu Sharif tidak memandangnya. Lelaki yang lebih senior daripadanya tentu tahu apa yang dicakapkannya. Sebagai orang lama, Sharif sudah masak dengan kerja-kerja sebegini. Sebagai anggota pasukan sokongan BIRO RISIKAN NEGARA atau BISIK, Sharif tidak pernah merungut. Dia yang tak banyak cakap memang tekun menjalankan tugas. Yang penting, tugasan yang diberi dapat disudahkan dengan baik, tidak kiralah jika ia berhasil atau sebaliknya. Sikap inilah yang ingin dicontohi oleh Fariz .

Sebagai warga kerja yang baru dua bulan tamat latihan, inilah kali pertama dia ditugaskan sebagai regu Sharif. Kali pertama juga dia membuat kerja di luar pejabat. Kerjanya hari ini ialah mengangkat peralatan pandang dengar perisikan ke lokasi ini, memasangnya dan merakam apa yang berlaku. Setakat ini, tugasnya amat mudah tetapi meletihkan. Mudah kerana tidak perlu banyak berfikir atau bergerak. Letih kerana jenuh menunggu. Menunggu seperti pada saat ini.

Bermula dari jam 6.00 petang tadi, mereka sudah berada di sini. Menanti kemunculan seorang lelaki kulit hitam yang dikenali sebagai Mehmoud. Dia seorang pencuri maklumat yang licik. Memasuki negara ini sebagai seorang pakar IT dan bekerja sebagai perunding di pelbagai syarikat termasuk yang terkini, sebuah syarikat IT di Cyberjaya.

Dalam masa dua bulan Mehmoud menggali maklumat dari pangkalan data syarikat untuk memperoleh segala kontak perniagaan syarikat. Maklumat itu dicuri dan akan dibekal ke sindiket yang akan menjualnya di pasaran gelap. Agar tidak dikesan melalui rekod aktiviti di komputer, Mehmoud tidak menghantar maklumat melalui e-mel. Sebaliknya, dia menyalin dan menyeludupnya ke luar negara.

Dia tidak akan membawanya sendiri, sebaliknya dia akan gunakan gadis yang diperangkap dengan cintanya. Wajahnya yang tampan dan tubuhnya yang agam mudah melemahkan gadis-gadis yang tinggi khayalan untuk berkasih dengannya. Merekalah yang akan menjadi penghantar maklumat ke pihak sindiket. Setelah segala-galanya selesai, gadis-gadis itu pula diperangkap dan dijual ke sindiket perdagangan manusia. Mehmoud pula akan meletak jawatan dengan baik dan memohon kerja di syarikat yang lain. Modus operandinya yang sudah berjalan lebih setahun akhirnya dapat dihidu oleh BISIK.

STEW kambing sudah mula menggelegak di dapur. Sedikit demi sedikit asapnya mula berkepul-kepul keluar dari periuknya. Meliuk lentuk di udara dan mula menyelinap dari ruang dapur hingga ke ruang tamu. Baunya yang menerawang itu singgah ke hidung Normala. Gadis itu bangun menuju ke dapur. Membiarkan Barbara Walters bercakap sendirian di ABC Evening News.

Tudung periuk dibuka dan supnya dikacau dengan senduk sebelum api dapurnya dipadam. Normala mengambil mangkuk kaca. Perlahan-lahan dia memindahkan sup dari periuk ke mangkuk. Tidak mahu tertumpah walau setitik pun. Mangkuk itu diletakkan di atas meja makan kecil berkerusi empat.

Setelah menutup mangkuk, Normala merapikan susunan potongan roti Perancis di pinggan. Segaris senyuman dihadiahkan untuk diri. Petanda yang dia puas hati dengan persiapannya. Sudah sedialah susun atur di meja untuk makan malam yang ringkas bersama seseorang. Lengkap dengan sebatang lilin untuk menimbulkan suasana romantis.

Normala langsung membetulkan pakaiannya di depan cermin. Tudung merah jambunya diikat semula agar hujung kainnya menutup dada. Sebutir kerongsang disemat ke sisi bahunya. Dia menyendeng ke kiri, kemudian melentik ke kanan memperagakan dirinya. Tersenyum lagi dia melihat dirinya yang ayu.

“Engkau tu dah cantik, Mala. Nak lawa macam mana lagi?” tegur satu suara yang menggema di telinganya.

“Hei, pakaian macam ini pun kau kata cantik, Sharif?” jawab Normala sambil tersengih malu. Langsung dia membetulkan alat komunikasi di telinganya agar tersembunyi dari penglihatan. Kemudian dia merenung ke balkoni di bangunan sebelah. Dia tahu, Sharif dan Fariz berada di situ untuk memantau transaksi yang akan berlaku sebentar nanti.

“Hati-hati, Mala,” nasihat Sharif.

“Eh, aku taulah. Dah biasa buat kerja macam ni,” jawab Normala melalui mikrofon yang tersemat di dalam bajunya.

“Mehmoud tu hensem, tau!” usik Sharif.

“Not my taste, Sharif! Boleh belahlah!” bantah Normala sambil tersengih mendengar usikan rakannya itu. “Tapi, kalau macam Fariz tu, hensem jugak!” katanya lagi dengan senyum meleret.

“He, he. Nanti aku cakap pada dia,” jawab Sharif.


SHARIF tergelak-gelak sambil terjeling pada Fariz di sebelahnya. Tangannya terangkat-angkat melambai Normala, seolah-olah perbuatannya itu dapat dilihat oleh rakannya itu. Wanita itu kelihatan menguak langsir balkoni agar pemantauan dua rakannya itu dapat dilihat dengan jelas. Kemudian dia masuk ke dalam.

“Hei, engkau nak tau apa yang Mala cakapkan tentang engkau?” soal Sharif lalu menepuk bahu pemuda di sisinya. Namun Fariz tidak memberi reaksi. Sebaliknya dia asyik memandang skrin komputer di depannya.

“Engkau nak dengar tak?” soal Sharif lagi.

“Kereta Mehmoud dah sampai...” Itu pula yang dikata Fariz dengan suara cemas.

Kata-kata Fariz itu merobah wajah Sharif yang ceria itu menjadi serius. Pandangannya turut teralih ke skrin komputer. Sebuah kereta berwarna hitam kelihatan baru sahaja melewati pondok pengawal.

“Mehmoud dah tiba, Mala. Standby! Aku doakan kau selamat, insya-ALLAH...” ucap Sharif melalui alat komunikasi.


“SELAMAT malam,” lafaz Mehmoud dengan senyuman. Lelaki yang berjaket hitam ini sungguh tampan seperti pelakon filem Hindustan. Mata redupnya menerkam ke wajah Normala di depannya.

“Masuklah, Mehmoud. Awak nampak hensem malam ini,” ucap Normala.

“Awak pun cantik,” jawab Mehmoud lalu duduk di sofa. Normala turut duduk di sisinya. Beg pakaian yang dibawa Mehmoud diletakkan di atas meja. Dia terdongak memandang ruang tamu apartmen yang indah ini. Kemudian dia memutarkan pandangannya ke sekeliling ruang yang berperabot cantik.

“Saya suka dengan dekorasi apartmen ini. Cantik dan kemas. Terasa sayang pulak hendak menjualnya bila kita kahwin nanti,” kata Mehmoud penuh tertib. Dalam sopan, dia membeli jiwa Normala dengan tebaran impian yang dia sendiri tahu hanyalah khayalan semata-mata.

“Buat apa kita jual apartmen ini? Walaupun kita akan tinggal di banglo di Bangi nanti, biarlah apartmen ini jadi tempat persinggahan bila kita shopping di KL pada hujung minggu,” tingkah Normala. Dia sengaja menguja-uja perasaan Mehmoud agar lelaki itu percaya yang dia sudah termakan gula-gula penipuan lelaki itu.

“Oh, ya. Saya dah beli tiket penerbangan awak. Dan saya pun dah belikan beg pakaian Louis Vuitton. Jenama antarabangsa,” ujar Mehmoud lalu mengusap beg di tas meja itu.

“Eh, cantiknya beg ini. Tentu harganya mahal, kan?” ucap Normala dengan suara yang cukup riang. Seolah-olah teruja sangat dengan hadiah yang diberi.

“Sayang...” ucap Mehmoud. Bahu Normala dirangkul.

Darah gemuruh wanita itu menyerbu ke dadanya. Dia beristighfar di dalam hati. Mula cemas kalau diapa-apakan oleh lelaki itu. Namun, ditenangkan hatinya dengan ukiran sebuah senyuman meleret. Normala tertunduk. Bukannya takut pada renungan mata redup itu. Tetapi tidak mahu rasa meluatnya terpancar melalui panahan matanya terhadap lelaki pembelit ini.

“Saya minta maaf kerana tak dapat kirim sendiri dokumen-dokumen penting ini kepada pak cik saya,” ujar Mehmoud lalu mengeluarkan sebuah sampul surat dari beg pakaian di hadapannya. “Saya terlalu sibuk. Mujurlah Normala sudi membantu saya. Kepada awaklah saya berharap kerana awaklah satu-satunya insan yang saya percayai.”

“Dah berapa kali awak bercakap mengenai hal ini, Mehmoud. Bukankah saya dah kata, saya sanggup lakukan apa sahaja untuk awak. Awak bukannya orang lain buat diri saya. Lagi pun, bila saya di Mumbai nanti, boleh juga saya berkenalan dengan pak cik awak,” pujuk Normala dengan suara yang sengaja dimanja-manjakan.

“Terima kasih, sayang, terima kasih. Esok pagi saya akan minta teksi datang untuk ambil awak ke KLIA, okey?”

Mereka bertukar-tukar senyuman dan bertatapan buat seketika. Di kala ini, Normala perlu segera mengalihkan perhatian lelaki itu dari niat untuk menggodanya.

“Hei, saya dah sediakan makan malam, Mehmoud. Lamb stew kegemaran awak. Jom...”

Normala bangun dan menarik tangan Mehmoud. Namun lelaki itu mengeraskan tangannya. Membuatkan Normala terduduk kembali.

“Normala... esok awak dah tak ada. Apa kata malam ini...” seiring dengan kata-kata itu tangan Mehmoud mula meramas bahu agen perisik itu.

“Hei... nantilah. Kita makan dulu, ya?” pujuk Normala.

Namun Mehmoud yang sudah mula kerasukan syaitan tidak mempedulikan pujukan wanita itu. Tindakannya membuatkan Normala meronta-ronta untuk melepaskan diri. Tindakan wanita itu rupa-rupanya telah meningkatkan rasa geram lelaki itu terhadapnya. Lantas dia cuba memeluk Normala.

“Hei, janganlah!” pekik Normala.

Kini mereka mula bergelut. Akhirnya Normala dapat bangun untuk melepaskan dirinya. Malangnya, alat komunikasi yang tersangkut di telinganya terjuntai keluar.

“What is that?” soal Mehmoud.

Belum sempat Normala mengelak, Mehmoud telah terlebih dahulu meragut alat komunikasi yang terpasang di telinganya. Mata Mehmoud membulat melihat alat di dalam genggamannya.

“What is this? Who are you?” tengking Mehmoud.

Normala terundur-undur. Kini alat komunikasinya sudah dirampas. Dia hanya berdoa agar Sharif dan Fariz dapat melihat apa yang berlaku sekarang. Sebagai langkah untuk membela diri, Normala menjarakkan dirinya dari lelaki itu agar mudah dia melakukan serangan jika perlu.

“Awak anggota polis, ha?” pekik Mehmoud.

Lelaki itu kelihatan menyinga. Alat komunikasi itu direjamnya ke luar jendela. Dengan bibir yang terketar-ketar dan matanya yang terbeliak, Mehmoud menyeluk saku jaketnya. Sepucuk pistol dikeluarkan dan diacukan ke arah Normala.

Tiba-tiba lampu di bilik itu terpadam. Satu das tembakan menggema.


“LEKAS! Lekas!” pekik Sharif.

Pintu apartmen ditolak kuat. Berdentum bunyinya menghentak dinding. Fariz turut tergesa-gesa menurutinya. Setibanya di lif, Fariz terus menekan butangnya.

“Lambat tu, lambat!” komen Sharif lalu terus menuruni tangga. Fariz tak jadi menanti lif. Dia turut melompat menuruni tangga dari tingkat 14 itu.

“Kau naik tengok Mala. Biar aku sekat Mehmoud di keretanya!” perintah Sharif bila mereka tiba di tingkat bawah.

Tanpa berlengah-lengah lagi Fariz berlari menghala ke lif. Di depan lif, Fariz nampak angka-angka di mana lif berada berkelip satu demi satu.

“5, 4, 3, 2...” gumam Fariz dengan nafas yang tercungap-cungap. Fariz mengekori lampu bernyala yang menunjukkan kedudukan lif. Tidak sabar untuk naik ke tingkat atas sebaik sahaja lif tiba di tingkat bawah. Tetapi, tiba-tiba dia terfikir sesuatu.

‘Ya ALLAH! Mehmoud ada kat dalam lif ni!’ kata hatinya.

Fariz dalam dilema. Nampaknya dia terpaksa membatalkan niat untuk membantu Normala. Seketika nanti dia akan berdepan dengan Mehmoud! Apa yang harus dilakukan? Dia akan serang lelaki itu bila dia muncul. Itulah yang akan dilakukannya. Fariz sudah bersedia. Ya, bersedia.

Tiba-tiba pintu lif terkuak. Nafas Fariz terhenti bila terpandang Mehmoud. Mereka saling memanah pandangan. Peluh sejuk tiba-tiba merembes di tengkuk Fariz . Dia cuba menyergah lelaki itu. Namun lidahnya kelu. Sebaliknya Mehmoud merenungnya dengan tenang. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Seketika kemudian, Mehmoud mula melangkah meninggalkannya.

“Jangan bergerak!” akhirnya Fariz bersuara.

Mehmoud menoleh. Memandang muncung pistol yang terhala ke wajahnya. Pandangannya yang tajam menikam mata Fariz . Dengan tenang dia menyeluk saku dan mengeluarkan pistol. Tindakan lelaki itu tidak terjangkau fikiran Fariz . Sebagai orang baru, inilah kali pertama dia menghunus pistol ke arah musuh sebenar. Ini bukan latihan. Ini bukannya simulasi. Dan inilah kali pertama muncung pistol terhala ke dadanya. Fariz tahu, pistol itu berisi peluru hidup. Bukan peluru kapur atau peluru plastik seperti dalam latihan.

Kini Mehmoud dan Fariz saling menyasarkan senjata. Fariz hanya terpaku. Perlahan-lahan dia menelan air liur untuk membasahkan tekaknya yang tiba-tiba kering. Sebagai orang yang berpengalaman, Mehmoud tahu Fariz masih amatur. Tangan pemuda itu tampak menggigil. Justeru itu dia tidak perlu dilayan!

Dengan senyuman sinis, Mehmoud berpaling dan melangkah. Namun kemunculan Fariz mengesahkan andaian bahawa dia kini dalam bahaya. Dia pasti, selain Normala dan Fariz , tentu ada lagi mereka yang menghendapnya. Pada bila-bila masa dia akan diserang.

Mehmoud berjalan semakin pantas ke keretanya. Ekor matanya meliar memantau kelibat musuhnya. Andaiannya tepat sekali. Sebelum dia memasuki kereta, dia bergegas ke belakang kenderaannya. Satu tembakan dilepaskan. Kedengaran suara orang mengerang. Suara Sharif!

Bersambung Rabu hadapan, insya-ALLAH...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh NORDEN MOHAMED