Lapangan
Terbang Narita, Jepun
PENERBANGAN JL 723 dari Tokyo ke Kuala Lumpur akan berlepas pada jam 11.25
pagi waktu tempatan. Pengumuman agar para penumpang menaiki pesawat sudah
diumumkan. Sudah tiba masanya Khaleed al-Nahyan berangkat ke Malaysia untuk
menemui adiknya Abu Afdhal.
Di sana, dia tidak akan menginap di hotel.
Sebaliknya, dia akan menetap di rumah Tan Sri Saiful, seorang usahawan berjaya
yang juga merupakan sahabatnya. Ada sesuatu yang penting ingin dibicarakan
kepada Tan Sri Saiful bila berada di negara itu. Khaleed al-Nahyan terus
bangun. Akbar turut bangun menghampiri. Mereka bersalaman dan berpelukan.
“Akbar. Setakat di sini sahaja kau menemani aku.
Kalau umurku panjang, kita akan bertemu lagi,” ucap Khaleed.
“Wahai Khaleed. Mengapa berkata begitu?” soal
Akbar penuh tanda tanya.
Khaleed hanya tersenyum. Uringnya diurut-urut.
Pada pagi ini, Khaleed bukan sahaja tidak memakai jubah, malah beliau hanya
berkemeja dan berkot. Misai dan janggutnya habis ditebas, menjadikan wajahnya
yang tampan dan berkarisma kelihatan biasa-biasa sahaja.
“Kenapa kau bertanyaku? Bukankah pertemuan dan
perpisahan itu adat kehidupan? Bukankah nyawa itu sentiasa di tangan ALLAH
ya-Qayyum?”
Kata-kata itu membuatkan Akbar turut tersenyum
walaupun berasa tidak sedap hati. Lelaki bertubuh agam ini adalah pembantu
peribadi yang paling setia. Walau ke mana pun Khaleed pergi, dia pasti
menemani. Inilah kali pertama dia tidak bersama.
Dia tahu majikannya akan ke Malaysia untuk bertemu
adiknya, Abu Afdhal seorang pengumpul dana untuk Jemaah Intifada Sedunia,
sebuah pertubuhan yang dianggap pertubuhan pengganas oleh pihak barat.. Kerana
itu, kebimbangannya tidak dapat disembunyikan. Kasihnya kepada Khaleed sudah
sama seperti kasihnya kepada kedua ibubapanya. Lagipun, mereka teman
sepermainan di perkampungan Faraheen di selatan Gaza.
Mereka sama-sama handal membaling batu ke kereta
kebal Israel, sama-sama pernah dengan beraninya memecah masuk ke kuarters
menyimpan makanan askar Yahudi lalu mencurinya dan sama-sama pernah meraung
menatap sejujur tubuh ibu bapa masing-masing yang hancur ditembusi peluru
zionis. Walaupun Khaleed kini kaya raya
dan terkenal, dia masih tidak lupa akan dirinya. Di khalayak ramai, Akbar
adalah pengawal peribadi. Bila di pejabat Khaleed, Akbar adalah sahabat
sejatinya.
Bila
panggilan akhir dihebahkan melalui siaraya lapangan terbang, baharulah Khaleed
bergerak. Meninggalkan Akbar yang menghantarnya pergi dengan pandangan yang
sayu. Ada sesuatu yang merisaukan sedang menendang-nendang fikiran Akbar.
“HELLO…” tegur Khaleed pada seorang lelaki berambut
kerinting dan bermisai tipis yang sedang asyik memandang ke luar tingkap kapal
terbang.
“Hello. Awak duduk di sini, ya?” jawab lelaki
itu dengan suara yang agak kuat hingga menarik perhatian mereka di sekeliling
mereka. Nyata dia terkejut disapa secara tiba-tiba lalu berkira-kira hendak bangun kerana duduk di
kerusi Khaleed.
“No, no, no! Awak boleh duduk di situ. Saya tidak
kisah duduk di mana-mana pun,” jawab Khaleed untuk menghilangkan rasa bersalah
lelaki itu.
Lelaki itu duduk kembali lalu mengangguk penuh
hormat. Mereka bertukar-tukar senyuman.
“Siapa yang duduk di sini?” tanya Khaleed sambil
mengunjukkan kerusi di bahagian tengah yang masih tidak berpenumpang.
“Oh, sepatutnya isteri saya yang duduk di sini.
Ah, dia profesor yang tak habis-habis dengan konvensyen. Saya sudah tempah
percutian bersamanya tiga bulan lalu. Tapi dua hari lepas dia terpaksa batalkan
percutian kerana ada konvensyen di New York. Jadi, saya bercuti di Malaysia
bersendirian. Sedih saya, sedih…” kata lelaki itu lalu mencebikkan bibir secara
bergurau.
“Ha, ha, ha!” Hati Khaleed tercuit dengan gelagat
lelaki ini. “Saya pun bercuti berseorangan di Malaysia. Boleh kita bercuti
bersama-sama?” ajak Khaleed.
“Boleh, boleh. Terima kasih. Duduklah,” kata
lelaki itu dengan ceria.
“Assalamualaikum,” ucap Khaleed seperti orang
berbisik lalu menggenggam erat tangan lelaki itu. Sesekali matanya meliar
memandang ke kawasan sekeliling.
“Waalaikumussalam, wahai saudaraku Khaleed…”
“Kamu nampak kurus, wahai Abu Afdhal,” ujar
Khaleed. Matanya terus menatap wajah adiknya yang sudah tak ditemui lebih
sedarsawarsa. Ingin sekali dia berjabat dan memeluk adiknya untuk melepas rindu.
Namun, suasana tidak mengizinkan.
“Biarlah kurus asalkan sihat sejahtera, abangku.”
“Ceritakan sedikit mengenai sahabat-sahabat kita
yang lain. Abang dah lama tak mendengar khabar sahabat-sahabat kita seperti
Fareed al-Tasyrif, Youssef al-Rajhi, Tareeq Ibnu Muaz…”
Maka dua saudara itu pun berbual mesra di
sepanjang penerbangan selama 7 jam ke Malaysia. Banyak yang dibicarakan.
Tentang perjuangan, fasal keluarga dan yang paling penting, merangka rancangan
bagaimana Khaleed boleh menyalurkan wangnya ke dana Jemaah Intifada Sedunia.
Insya-ALLAH bersambung Ahad hadapan...