Serene Apartments, Kuala Lumpur
OLEH kerana terlewat bangun, Bruce terkocoh-kacah menyiapkan dirinya untuk ke pejabat. Sambil membutang baju, dia ke peti sejuk untuk mendapatkan minuman. Tiada lagi kotak minuman di situ. Baru dia teringat kotak terakhir minuman telah dihabiskan malam tadi. Sambil mengeluh, dia menuju ke bilik untuk mengambil tali leher.
“Good morning!”
Langkahnya terhenti. Bruce menoleh ke skrin komputernya. Ada seseorang sedang memerhatinya dengan wajah serius. Dia tergamam seketika kerana tidak menyangka orang itu boleh menjenguknya pagi ini. Malah tidak pernah terlintas di fikirannya dia akan bercakap dengan orang ini.
’Gluke Chayim?’ kata hatinya.
“Good morning, sir!”jawab Bruce, spontan sambil menelan liur untuk menghilangkan rasa gusarnya.
Lantas Bruce mengatur langkah ke komputernya. Dia berdiri tegak seolah-olah Gluke Chayim, Pengerusi JustWorld Foundation berada di hadapannya. Gluke yang berambut serba putih dan berbulu kening tebal itu mengecilkan matanya. Dia tersenyum sinis. Hanya bibir kanannya sahaja yang sedikit terjungkit.
“Kau lewat bangun, ya?” tanya Gluke. Serius.
Buat Bruce, kata-kata itu bukannya soalan, tetapi sindiran. Terlintas di fikirannya, walaupun jaraknya dengan ibupejabat hampir separuh dunia, namun majikannya masih dapat memantau samada dia rajin atau curi tulang. Apa lagi yang boleh dilakukan Bruce kecuali tersengih-sengih malu dan mengangguk tanda mengiyakan.
“Err... semalam saya...”
“Well, I want your verbal report!” kata Gluke dengan wajah serius.
“Saya percaya saya dapat yakinkan Globest Corporation.” Bruce segera memberi laporan lisan. “Daud, Pengerusinya menerima idea kerjasama kita dengan mereka secara komprehensif di Bwana. Dia suka dengan konsep pemindahan teknologi kepakaran kita untuk tenaga manusia mereka.
Bila mereka tandatangani perjanjian, ia bermakna kita sediakan kepakaran, peralatan dan teknologi. Kita juga adakan dana dalam bentuk pinjaman. Saya sudah hubungi jabatan kewangan kita untuk aturkan penyaluran pinjaman. Tapi bukan itu sahaja, Mr Gluke...”
Bruce bercakap dengan begitu bersemangat. Penerangannya diperhatikan oleh Gluke Chayim dengan mata yang tidak berkelip-kelip. Bruce yakin bos besarnya mengkagumi kejayaannya. Alang-alang bos sendiri muncul untuk bertanya, mengapa tidak dia ceritakan kesemuanya?
“Bwana adalah negara yang luas tetapi mundur akibat peperangan saudara yang berpanjangan. Presiden Gubamba tahu negaranya akan aman kembali jika semua rakyatnya mendapat sebuku roti setiap hari.
Projek raksaksa pengairan padang pasir dari sungai Nil bukan sahaja memungkinkan tanaman gandum dan jagung secara besar-besaran. Presiden Gubamba inginkan prasarana lebuh raya dan telekomunikasi di antara negaranya dengan negara-negara yang berjiran dengannya. Dia mahu jadikan Bwana nadi pembangunan di Afrika.
Tapi, yang menariknya, Gluke... Globest pun teruja dengan idea itu. Lebih-lebih lagi bila saya cadangkan penglibatan Globest sebagai jihad ekonomi ke atas sebuah negara Islam yang lain. Pada dasarnya Daud setuju jika kita mempelawanya berusaha sama dengan lebih agresif dan komprehensif. Maknanya, dia akan melangkah ke perangkap kita!”
Gluke Chayim mula mengukir senyuman. Nampaknya dia berpuas hati dengan kerja-kerja yang dilakukan oleh Bruce. Tidak sia-sia dia menghantar Bruce sebagai salah seorang anggota pasukan EHM ke Malaysia ~ untuk menggula-gulakan syarikat-syarikat besar di Malaysia dengan pelbagai projek di merata dunia, membebankan mereka dengan hutang, bila bankrap, mereka akan membeli pula syarikat-syarikat itu dan akhirnya menguasai ekonomi Malaysia!
“Well, well, well...” Gluke Chayim tersengih.
Senyumannya menyenget. Reaksi itu membuatkan dada Bruce berdebar-debar. Apakah senyuman itu gambaran kegembiraan atau bermaksud memperlekeh di atas segala usahanya? Bruce tidak dapat mentafsir kecuali menanti apa jua lafaz kata-kata dari bibir Gluke.
“Awak seorang yang cekap. Jika dibandingkan dengan lain-lain economic hitman, awaklah yang paling pantas menunjukkan kemajuan. Yang lain tu, ada yang masih terkial-kial hendak buat temujanji dengan pengerusi syarikat yang ditugaskan. Mungkin, esok saya akan masukkan 20 peratus upah ke dalam akaun bank awak.”
Kata-kata itu melegakan Bruce. Sekali gus dia berasa hidungnya kembang kerana bangga. Sebagai seorang EHM, dia akan memperoleh upah 0.05 peratus dari nilai projek yang termeterai. Nilai yang bakal diperolehi esok adalah US150,000!
“Tapi saya perlukan maklumat terkelas Globest agar kita tahu sebanyak manakah kita perlu melabur untuk menelan Globest. Biar wang pelaburan kita optimum. Cukup-cukup untuk menawan Globest dan tidak berlebih-lebihan.
Willem sedang berusaha memecahkan katalaluan Globest supaya awak boleh akses ke dalam sistem mereka. Kalau tak berjaya, nampaknya awak perlu berkawan dengan Pengurus IT mereka untuk mendapatkannya. Baiklah...” Gluke menepuk tangan dan menggeser-gesernya. “Sementara menunggu Willem, apa kata kita meraikan kejayaan awak setakat ini dengan sekotak piza?”
“Piza?” tanya Bruce kehairanan.
Dari komputernya, Bruce dapat melihat seorang pembantu Gluke meletakkan sekotak piza di meja majikannya itu. Sambil tersengih, Gluke mengangkat sepotong piza lalu menayangkan ke arah Bruce. Perlahan-lahan dia menyuap piza itu ke dalam mulutnya. Kemudian, keju yang berjurai-jurai, ditolak masuk ke mulutnya. Bruce memerhati dengan rasa kecur.
“Takkanlah saya nak makan sendirian? Pergilah ambil piza awak di ruang tamu apartmen awak, sekarang!” perintah Gluke.
Meskipun hairan, Bruce bergegas juga ke ruang tamu. Pandangannya tertumpu ke sebuah kotak, seperti kotak piza di atas meja.
’Bila pulak kotak ni ada di sini? Siapa yang masuk ke dalam apartmen aku ni?’ tanya Bruce di dalam hati. Kotak leper itu diangkatnya. Kemudian dia menggagau dan memutar tombol pintu hadapan bagi memastikan ia masih berkunci. Bruce hairan kerana tidak ada tanda yang biliknya dipecah masuk. Bagaimana kotak piza ini ada di dalam apartmentnya? Baru seketika tadi, dia tidak nampak apa-apa di atas meja.
Lantas dia membuka pintu dan menjenguk ke luar dan memerhati ke sekeliling. Ingin melihat kalau ada kelibat sesiapa yang menyelinap. Namun, tiada sesiapa yang kelihatan. Yang ada hanyalah koridor yang lengang kerana sebahagian besar daripada penghuninya sudah keluar bekerja.
“Hei! Di mana kau? Jangan biarkan tetamu awak menunggu!” kedengaran Gluke memanggilnya.
Kata-kata Gluke membuatkan Bruce bergegas ke komputernya. Dia mengeluh perlahan bila sekali lagi bertentang mata dengan bosnya itu. Lidahnya kelu untuk berkata.
“Bukalah kotak tu!” perintah Gluke. “Buka!”
Menyedari dirinya diperhatikan, Bruce mula membuka kotak itu dengan tertib. Hidungnya cuba menghidu bau piza. Namun tiada bau yeng menyerbu ke hidungnya.
“You must be joking... saya pasti tiada piza di dalam kotak ini...” ujar Bruce.
“You are right! Tak mungkin saya kirim piza ke Malaysia. Lainlah kalau awak nak makan piza basi! Ha, ha, ha!”
Bruce tahu dia dipersendakan. Namun, oleh kerana rasa hormat terhadap ketuanya, dia tidak memasamkan wajahnya. Penutup kotak itu dikoyaknya. Sebaik sahaja kotak itu terbuka, mata Bruce mencerlang. Mulutnya ternganga kerana takjub. Tidak menyangka yang dia diberikan benda ini. Lalu dia memandang Gluke dengan penuh tanda tanya.
“Ini komponen-komponen Silent Dead!” kata Bruce, hampir-hampir terjerit kerana terkejut.
“Itu tugasan sampingan awak sementara menanti kod memecah katalaluan dari Willem.”
“Tugas sampingan?” tanya Bruce tidak mengerti.
“Ia mustahak. Awak petugas yang cekap. Hanya awak yang boleh bantu!” puji Gluke untuk membeli jiwa.
“Tapi, mengapa tuan beri alat ini pada saya?” tanya Bruce.
“Saya bukan beri awak! Saya beri Silent Dead pada awak supaya awak boleh berikan pada seseorang.”
“Pada siapa? Siapakah orangnya?” soal Bruce. Tidak sabar.
“Sebelum saya beritahu, awak kenalah pasang alat itu.”
Bruce menggaru kepalanya. Sudah lama dia tidak melihat alat itu. Kerana itu dia sudah lupa bagaimanakah untuk memasangnya.
“Kenapa tak kirim alat yang dah siap? Bukankah lebih senang?”
“Awak nak Jabatan Kastam atau Polis Malaysia tahan awak?” soal Gluke sambil tersenyum sinis.
Sekali lagi Bruce menggaru kepalanya. Tidak terlintas betapa bahayanya alat itu jika sudah terpasang sebagai sebuah alat yang lengkap.
“Maaf, tuan. Sekarang, baru saya faham. Tapi saya dah lupa macam mana hendak memasang alat ini!”
“Kalau macam tu... sebentar lagi, saya akan minta Willem e-melkan manualnya. Bila ada manual, mungkin awak boleh pasangkan alat itu dengan cepat, kan?”
“Secepat mana, tuan?”
“Secepat yang boleh... sebab petang ini awak perlu serahkan Silent Dead pada seseorang!”
“Petang ini? Saya ada mesyuarat mengenai keputusan usaha sama Globest dengan kita. Ia mesyuarat penting, tuan. Saya perlu berada bersama Daud sebelum dia melangkah ke bilik mesyuarat Lembaga Pengarah,” rayu Bruce meminta kelonggaran masa.
“Kalau begitu, awak putuskan yang mana satu lebih penting! Awak lebih pandai dari saya, bukan?” kata Gluke seraya mendengus lalu bangun dari kerusinya.
Dengan wajah yang mencuka, Gluke menutup kamera webnya. Wajahnya ghaib dari skrin Bruce. Lelaki itu mendengus geram kerana Gluke menyindirnya. Hampir-hampir penumbuk geramnya memerosok kotak berisi Silent Dead itu. Gluke bagai tidak mengiktiraf susah payahnya membina keyakinan dengan Globest khususnya dengan Tan Sri Daud.
Kini, Globest hampir pasti menerima cadangan-cadangannya. Mesyuarat petang ini akan mematerikannya. Tetapi, Gluke muncul memberinya satu arahan baru yang akan mengganggu tumpuannya merangka strategi menyakinkan Globest. Ini yang dikesalkannya.
Namun apakan daya. Nampaknya dia tiada pilihan. Perlahan-lahan dia mengeluarkan komponen-komponen Silent Dead dari plastik lutsinarnya. Satu persatu alat ini direnung dan dibelek. Dia cuba mengingati bagaimanakah cara memasang alat kegunaan awam itu hingga menjadi sebuah senjata pembunuh.
Beberapa kali dia mencuba, namun ingatannya terhadap pemasangan komponen alat ini masih kabur. Sambil berfikir, matanya terjeling-jeling pada skrin komputernya. Hatinya bertingkah menanti e-mel dari Willem. Namun, e-mel dari Willem tidak muncul-muncul. Setelah puas mencuba dan jenuh menunggu, dia menolak sahaja komponen itu jauh di sudut meja.
Kemudian dia bangun dan menggeliat lalu menguap. Rasa bosan membuatkan dirinya jadi letih meskipun belum sejam dia bangkit dari tidur. Daripada menunggu, lebih baik dia menghubungi Tan Sri Daud untuk memberi alasan tidak dapat hadir mesyuarat. Namun, sebaik sahaja Bruce mencapai fonsel, telinganya menangkap bunyi ’bling’ dari komputernya menandakan sepucuk e-mel sudah tiba.
Insya-ALLAH, bersambung Ahad hadapan...