Sempadan Timur Tengah - Asia
BENUA Timur Tengah masih siang tika ini. Manakala
benua-benua Asia sudah dibaluti kepekatan malam. Ini disebabkan oleh perbezaan
waktu yang dibezakan oleh kedudukan geografi. Sesungguhnya ia adalah satu
ketentuan yang Maha Pencipta – malam yang tidak bertembung dengan siang dan
sebaliknya. Maha Suci ALLAH Tuhan sekalian alam.
Perjalanan
menjadi penuh berliku. Sudah tiga purnama Puteri Qaisara berserta sekumpulan
besar pengawal yang berketerampilan pahlawan meninggalkan Kerajaan Amuriah.
Perjalanan mereka berdasarkan sebuah lakaran peta yang diberikan oleh seorang
pedagang Arab di Asia. Dan kini mereka telah pun mengharungi setengah daripada
‘laluan darat’ yang memendekkan jarak antara dua benua.
Mereka
tampak letih, manakala Suhail pula seawal perjalanan tidak pernah renggang di
sisi Puteri Qaisara kerana dia merupakan ‘pengawal peribadi utama’ kepada
Puteri rupawan itu. Apa pun yang bakal berlaku, keselamatan Puteri Qaisara harus diutamakan. Jika Hilang
nyawa Puteri Qaisara, maka nyawanya telah pun hilang dulu.
Suhail
mengamati Gadis diraja itu. Jauh di sudut hati, dia masih menyembunyikan
perasaan sucinya sedari dulu. Dia sengaja berbuat demikian kerana perbezaan
taraf sosial. Puteri Qaisara merupakan anak kepada Raja Kerajaan Amuriah,
manakala dirinya hanyalah seorang pekerja kepada anak bangsawan itu. Perlahan
Suhail mengedipkan mata, kemudian mengalihkan pandangan ke depan. Dia seolah-olah
mencari sinar baharu dalam sanubarinya. Menggarap hati supaya tidak terdera dek
rasa.
Perjalanan
mereka terbantut. Tiada lagi jalan seperti yang tercatat dalam lakaran peta
seorang pedagang Arab di Asia. Puas mereka mencari haluan, namun hanya menemui
jalan mati. Petang yang sangat hiba bagi mereka. Suhail membelek lakaran peta –
jalan yang mereka lalui tidak salah. Malah jika
arah dilihat melalui kompas pun mereka menuju ke arah Asia Timur.
Mereka
membuat unggun. Puteri Qaisara yang keletihan sudah beradu dalam sebuah khemah
yang didirikan. Suhail pula hanya duduk bersama para pengawal yang lain
mengelilingi unggun api itu. Kesejukan angin yang menggigit mula terasa. Api
pula semakin mengecil. Dalam situasi seperti ini, binatang-binatang buas akan
mudah untuk mendekati mereka.
SUHAIL terkejut apabila busurnya berdengung. Dia
pantas mencapainya, kebarangkalian ‘sesuatu’ yang luar biasa akan berlaku.
Situasi seperti itu biasa dialaminya – petanda malapetaka yang datang bertamu.
Dia
mengejutkan Puteri Qaisara dan juga para pengawal yang tertidur. Rasa mengantuk
yang bergayut di mata hilang serta-merta apabila angin bertiup dengan kencang.
Pepohon yang besar bergeseran dahan-dahannya sehingga menghasilkan bunyi yang
menakutkan.
Di
sebalik sepohon yang besar, muncul satu kelibat yang menyerupai manusia dengan
saiz yang lebih besar. Suhail segera mengarahkan agar Puteri Qaisara
dikelilingi dengan membuat satu bulatan. Para pengawal cepat bertindak sambil
bersiaga dengan senjata masing-masing.
Deraman makhluk itu membuatkan Puteri
Qaisara kecut perut. Dia hampir menangis apabila makhluk itu menonjolkan
dirinya yang sebenar. Saiz makhluk itu seperti dua pemeluk manusia. Bermata
cembung dan berwajah bengis. Di tangannya tergenggam kejap senjata yang
menyerupai kayu yang berduri. Makhluk itu melangkah dengan penuh angkuh ke
darah mereka. senjata di tangannya dihayun perlahan.
“Siapa
kau, makhluk aneh?” Suhail memberanikan diri untuk bersuara.
“Namaku,
Lompog.” Makhluk itu menderam.
“Kenapa
kau mengganggu kami, Lompog?” Suhail menapak selangkah di depan.
“Kawasan
ini milik leluhur kami, dan kalian semua telah mencerobohnya.” Lompog
membengis. Menarik muka seribu agar kelihatan lebih menakutkan.
“Kami
hanya lalu di kawasan ini, tetapi terpaksa bermalam di sini kerana jalan ini
jalan mati.” Suhail enggan mengalah.
“Manusia
tidak dibenarkan melalui kawasan ini. Sesiapa sahaja yang masuk di kawasan ini
pasti tidak menemui jalan pulang.” Lompog semakin marah kerana ditentang oleh
Suhail.
“Kalau
begitu, tunjukkan kami jalan keluar.” Suhail bukan meminta simpati – melainkan
memberikan jalan penyelesaian yang terbaik.
“Begitu
senang kamu masuk, takkan aku lepaskan begitu sahaja. Lagi pun perutku sudah
sekian lapar.” Lompog melilaukan mata dan berhenti ke arah Puteri Qaisara.
Puteri Qaisara hampir terduduk kerana mengalami ketakutan yang amat sangat.
“Kau
makhluk pemakan manusia, Lompog?” Suhail seolah hilang pertimbangan.
“Hahaha…
Aku suka daging manusia seperti kau, berani menentang aku walaupun kau tahu
maut akan menjemputmu.” Lompog semakin galak ketawa.
“Kalau
begitu, kau musuhku!” Suhail memberikan isyarat agar para pengawal membawa
Puteri Qaisara ke arah belakang kerana pertarungan pasti akan tercetus
bila-bila masa sahaja. Lompog pula seakan mengerti dengan isyarat itu lalu
meluru ke arah Suhail dan mengenakan satu hayunan maut.
SUHAIL membuat lompatan di udara. Tanah tempat dia
berpijak bergegar kerana hentakan senjata Lompog. Cepat dia mendarat dengan
kemas agar imbangan badan dapat dikawal. Lompog meluru lagi, mengenakan satu
hayunan tetapi pantas Suhail mengelak ke belakang. Masa inilah dia menghujankan
tendangan di bahagian pinggang Lompog tetapi tidak berkesan. Malah dia pula
yang terundur ke belakang.
Pertarungan
kelihatan berat sebelah. Suhail terpelanting ke belakang dan badannya
menghempap sebatang pokok dan tersungkur di bawah. Para pengawal yang lain
bertindak dengan menyerang beramai-ramai, namun mereka semua tewas. Darah
mereka menyeruak di udara kerana terkena senjata berduri Lompog.
Perlahan
Suhail bangkit apabila Lompog meluru ke arahnya. Senjata berduri dihayun
pantas. Suhail menongkat diri dengan busurnya lalu mengagahkan diri menghunus
bilah anak panah. Di bidik secara tenang lantas anak panah dilepaskan. Dan
bidikan Suhail tidak pernah tersasar. Sebilah anak panah untuk satu nyawa.
Lompog
tergamam. Begitu pantas serangan balas daripada lawannya. Senjata berduri yang
dijadikan penghadang ditembusi anak panah, sekali gus membenamkan duri-duri
senjatanya sendiri di dada. Anak panah yang dilepaskan oleh Suhail tepat
mengenai jantung Lompog. Dia serta-merta berlutut secara terpaksa kerana
menahan bisa anak panah itu. Perlahan dia rebah dan matanya tertutup rapat.
Suhail segera mendapatkan Puteri Qaisara.
Mereka
berdua terkejut apabila kepulan asap yang berbentuk awan keluar daripada tubuh
Lompog. Badannya yang besar menjadi kecut dan mengecil. Kepulan awan itu
berarak laju menuju ke arah selatan. Suhail sempat melepaskan anak panah namun
hanya seperti mengenai angin. Kepulan asap itu tidak berjasad dan ini
menyukarkan serangan. Mujurlah kepulan asap hitam yang membentuk awan itu sudah
pergi jauh daripada mereka.
Puteri
Qaisara mengelus nafas panjang kerana terlepas daripada serangan yang hampir
membawa maut kepadanya. Lantas dia memeluk Suhail semahunya kerana nyawanya
diselamatkan oleh lelaki itu. Suhail tergamam. Pertama kali dia merasakan
bahagia berputik di hati. Dia seperti mendapat sinar harapan. Jauh di sudut
hati, pelukan puteri itu sangat membahagiakan. Lantas dia membalas pelukan itu
erat-erat.
Lautan
Hindi
NEALOFA terbangun daripada tidur. Suasana hingar
kedengaran dari arah dek kapal. Perlahan dia bangkit dan membetulkan diri
seadanya lalu menaiki anak-anak tangga menuju ke atas.
Di
kejauhan, kelihatan satu kepulan awan hitam sedang menuju ke arah mereka. Para
kelasi dan petugas kapal sibuk mengendalikan kapal kerana arah angin yang tidak
menentu ketika itu.
“Apa
yang berlaku?” Nealofa memicing mata ke arah depan. Memang jelas ‘sesuatu’
telah menghalang perjalanan mereka.
“Ada
kepulan awan hitam, dan kami belum dapat mengenal pasti benda tersebut.” Palo
yang berbadan kekar kelihatan sedikit gusar.
“Lencongkan
arah perjalanan kapal!” Nealofa mengeluarkan arahan. Sejurus itu, kemudi kapal
diputar menghala kiri tanpa dibalas arah putarannya. Kemudi kapal serta-merta
membelok ke arah kiri. Perubahan arah secara drastik itu sedikit
mengumbang-ambingkan kapal.
Mereka
yang berada dalam kapal itu berasa lega. Tiada lagi kepulan awan hitam di
depan. Hanya cahaya kuning keemasan yang menghiasi permukaan lautan yang dibias
melalui cahaya bulan. Buat seketika, ketakutan mereka sedikit terkikis apabila
berjaya melepasi halangan itu.
Namun
belum sempat mereka kembali mengatur pernafasan, armada gah itu dilanggar ombak
besar dari arah belakang. Sejurus itu juga kepulan asap yang membentuk awan
berlegar-legar sehingga menutupi bulan dari pandangan mereka.
Kapal
semakin hilang kawalan, ombak yang ganas
semakin menghuyung mereka ke arah yang tidak mereka ketahui. Ramai anak kapal
terjatuh di lautan, Nealofa pula cepat bertindak dengan memasuki ruang
keselamatan di bahagian bawah kapal. Maka berlayarlah kapal itu tanpa nakhoda.
Hanya diterajui arah ombak yang pastinya akan membawa mereka ke arah pintu
‘maut’.
Nealofa
hilang imbangan diri. Dia terjatuh lalu terhantuk di bahagian dinding kapal.
Pandangannya berbinar. Nafasnya di rangkungan. Puas dia menarik nafas, namun
tersangkut di halkum. Keadaan seperti ini mengakibatkan kesakitan dan kepedihan
yang teramat.
Kapal
itu semakin menjauh di tepian – tersasar dari laluan. Suasana malam yang gelap
menghilangkan kelibat kapal itu dari pandangan. Ternyata kapal itu benar-benar
menuju ke pintu ‘maut’. Kematian perlahan mengetuk pintu ajal mereka.