Home Novel Thriller/Aksi PETAKA NYAWA
PETAKA NYAWA
Riduan Judin
12/1/2014 20:04:10
107,949
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 6

Madrasah Agung

BAGARO tersungkur di atas tanah – sudah dua kali dia begitu. Penangan yang dilakukan oleh Shafi menyesakkan pernafasannya. Manakala Pangeran Aring pula bijak berhelah. Bagaro lantas bangkit. Pangeran Aring pula membuat lonjakan tinggi dan mendarat di bahagian belakang Shafi. Masing-masing mengintai bahagian kelemahan lawan.

Bagaro yang sudah diamuk amarah terus mengatur langkah dan menyerang Shafi. Akan tetapi, Shafi lebih bijak. Satu pusaran angin kecil terhasil apabila Shafi memutarkan tangannya dan mengarahkannya kepada Bagaro. Tubuhnya terheret ke belakang. Saat inilah Pangeran Aring berlari kencang Dan menyerang dari bahagian belakang Shafi. Dia tidak sempat berbuat apa-apa.

Sesusuk tubuh kelihatan meluncur laju dari sebelah kanan Pangeran Aring. Secara tiba-tiba orang itu mengenakan satu tujahan kuat. Pangeran Aring terheret ke sebelah kiri. Niatnya yang ingin menyerang secara mencuri-curi terbantut. Sebelum mendarat. lelaki itu telah membuat satu pusingan ruang di udara dan menjejekkan kakinya ke bumi. Kiai Jabar kelihatan tenang. Di wajahnya tidak tergambar rasa gentar. Lelaki berselubung hitam mencebik lalu terjun menjunam. Badannya berkecai menjadi kepulan asap hitam. Kemudian asap tebal itu merempuh mereka semua. Apabila sudah sedar, ketiga-tiga makhluk serakah itu sudah hilang. Ghaib bersama awan mendung yang berarak.

SEMALAMAN Shafi dan semua penghuni Madrasah yang terselamat daripada malapetaka itu tidak tidur. Mereka mendirikan solat tahajjud, solat sunat taubat, dan solat hajat. Dalam kesepian malam itu, mereka semua masih sabar menerima dugaan. Malahan mereka semua bersangka baik. Pasti ada hikmah di sebaliknya. Kalau bukan di dunia, Insya-ALLAH hikmah di akhirat kelak.

Dalam sujud terakhir tadi, Shafi meminta dengan serendah-rendah hati kepada ALLAH supaya diberikan petunjuk. Dan yang paling penting, diteguhkan keimanan. Mati di jalan dan cara hidup Islam.

Apabila fajar menyinsing, para jemaah dikumpulkan dalam satu kelompok. Shafi dan Kiai Jabar berdiri di depan. Mereka memerhatikan keadaan tempat-tempat kediaman yang hangus dijilat api. Ternyata api memang terlalu suka makan. Tetapi tidak pula ia suka minum. Sepatutnya dua perkara ini dilakukan serentak. Mungkin itulah ketentuan Maha Pencipta. Api juga adalah makhluk ciptaan ALLAH.

“Maha suci ALLAH yang menentukan Qada dan Qadar kita sejak azali lagi. Dan kejadian malam tadi adalah salah satu ketentuan yang tertulis dalam diari hidup kita semua.” Shafi bermukadimah. Sesungguhnya berbaik sangka itu adalah amalan terpuji. Para jemaah hanya menggangguk perlahan. Kejadian semalam amat mengerikan. Pertama kali melihat makhluk yang menyerupai syaitan. Amat menggerunkan.

“Kita akan membuat sedikit kerja membersihkan tempat ini, seterusnya kita akan membaik pulih bahagian tempat kediaman yang masih dapat dibaiki.” Shafi kemudiannya membahagikan kepada beberapa kumpulan berserta tugas. Semua menjalankan amanah yang diberi tanpa rasa berat tulang.

Madrasah itu kini tinggal lapan puluh peratus daripada keadaan asalnya. Banyak kemudahan prasarana telah rentung. Dan yang lebih menyayat hati, ramai para jemaah yang telah meninggal dunia. Terbakar ketika tidur dan ada juga yang dibunuh oleh makhluk syaitan itu.

Shafi sedang termenung jauh. Di wajahnya terpamer segaris perasaan sedih. Ketika inilah Kiai Jabar menjenguk dirinya.

“Usah ditangisi takdir ALLAH anakku. Kita patutnya bersyukur kerana telah memenuhi Qada dan Qadar ALLAH semalam dengan sabar. Ingat anakku, sebaik-baik manusia di dunia ini adalah golongan yang sentiasa bersabar dalam apa juga keadaan. Insya-ALLAH setiap kesusahan itu pasti disusuli dengan kesenangan.” Kiai Jabar berusaha memujuk hati anak asuhannya. Walhal, hatinya belum reda dari air mata. Sengaja tidak dizahirkan. Itulah kesabaran seorang insan yang mulia. Kesabaran yang unggul.

Shafi beristigfar kepada ALLAH. Dia memang sudah menerima hakikat itu dengan hati yang terbuka. Lelaki baik hati itu memang redha dalam semua perkara.

“Shafi, sudah sampai waktunya bapa menyampaikan satu amanah kepadamu, nak.” Kiai Jabar bertutur sambil menepuk-nepuk bahu Shafi secara perlahan.

“Apakah amanah itu, bapa?” Shafi menatap dalam-dalam anak mata bapa asuhannya itu yang juga gurunya selama mencari ilmu di pinggiran madrasah ini.

Kiai Jabar mengangkat tangan, kepulan cahaya putih kelihatan. Sebilah keris berkepala naga terpampan. Kiai Jabar tersenyum. Shafi pula sedikit terkejut. Keris Perpisahan - keris yang dibentuk berasaskan waja. Bahan yang teramat keras. Keris itu bertukar tangan.

Shafi membelek-belek dengan teliti. Di sarungnya terukir corak indah. Di sebelahnya pula, terukir kemas sebaris ayat dalam tulisan jawi. Shafi menajamkan naluri lantas membacanya ayat itu di dalam hati.

Ketika hujung hati berdesir, palung rindu dibuai mimpi, ketika rindu meniti kasih, cinta merangkak sayu di hati. Sampai hujung waktu, nyawa menjadi galang ganti.”

SHAFI menterjemah bait-bait kata tadi di dalam fikiran. Dia memahami keseluruhan ayat, tetapi sukar menafsir maksud yang tersirat. Dahinya berkerut. Sungguh indah bahasa yang digunakan oleh pemilik keris itu. Seperti kata-kata yang menunjukkan insan itu sedang bercinta. Ataupun sedang meraih cinta. Cinta kepada siapa? Tiada siapa yang mengetahuinya. Hanya yang empunya badan sahaja akan dapat menjawab. Shafi mencabut keris itu secara perlahan.

Pantulan cahaya yang terhasil daripada biasan cahaya matahari menyilaukan mata. Ketajaman keris itu sungguh luar biasa. Shafi kagum melihatnya. Sungguh halus seni yang digunakan dalam menghasilkan keris ini.

“Untukmu, anakku.” Shafi menoleh ke arah Kiai Jabar.

“Dari siapakah ini, wahai bapa?” Shafi inginkan kepastian.

“Bapa tidak tahu, anakku. Yang jelas, keris ini ada kaitan denganmu.” Kiai Jabar hanya merengus perlahan. Keris itu datang tanpa diundang. Perginya...tidak siapa yang tahu.

Imbas kembali...

Kiai Jabar terdengar suara bayi lelaki menangis. Matanya melilau mencari arah bunyi tangisan itu. Dia lapang hati apabila mendapati bunyi itu dari sebuah lubang yang mengunjur dalam ke bawah. Kiai Jabar melonjak dan mendarat kemas di lantai lubang itu. Jika dilihat dari dalam, ia adalah sebuah gua. Perlahan-lahan Kiai Jabar mendekati bayi itu. Dia mendapati terdapat sebaris notis yang ditulis pada kulit kayu terletak di sebelah bayi itu.

“Jika ada sesiapa yang menjumpai bayi ini selepas soreh, tolong selamatkan dan asuh sebaik-baiknya. Mungkin aku tidak berpeluang untuk kembali. Tolong berikan keris yang terdapat di bawah perbaringan anak ini. Terima kasih.”

Kiai Jabar dikenali sebagai Pendekar Bayangan pada masa itu kerana kepantasan pergerakannya. Dia mengangkat anak itu dan mengambil keris yang terdapat di bawahnya. Sejurus itu, Pendekar Bayangan membuat satu lonjakan tinggi dan sekali gus melepasi ruang gua itu lalu mendarat di permukaan tanah. Dia membawa pulang bayi itu ke Madrasah. Ketika itu, Shafi berumur dua tahun setengah.

“Apakah keris ini milik ibuku, bapa?” Shafi memandang Kiai Jabar sambil mengusap lembut keris itu.

“Mungkin eya, anakku. Kau ditinggalkan di dalam gua ketika bapa menjumpai kau. Apabila bapa keluar dari gua itu dan pulang menuju ke madrasah ini, bapa menjumpai banyak mayat bergelimpangan di sana-sini. Mujurlah bapa yang menjumpai kau dulu.” Kiai Jabar menceritakan kisah lama itu tanpa mengubah sedikit pun jalan ceritanya.

“Terima kasih, bapa. Aku akan cari orang tuaku.” Shafi lalu mendakap Kiai Jabar. Kiai Jabar hanya mengusap lembut belakang anak asuhannya itu. Mungkin kedua orang tua Shafi terlibat dalam pertarungan itu. Manakala Shafi pula ditinggalkan di dalam gua kerana risaukan keselamatannya. Fikirannya ligat berfikir, memikirkan sesuatu.

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.