Home Novel Thriller/Aksi PETAKA NYAWA
PETAKA NYAWA
Riduan Judin
12/1/2014 20:04:10
109,598
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 9

Sempadan Pura

SHAFI membuka kelopak mata perlahan. Suasana sekeliling kelihatan suram. Otot-ototnya terasa sakit, namun dia menggagahkan juga dirinya untuk bangkit. Alangkah terkejutnya apabila Shafi mendapati dia berada di suatu tempat yang asing baginya. Dia berada di kawasan yang seperti menyerupai istana. Tempat itu kelihatan usang tetapi keadaannya bersih. Lantainya tidak terdapat sedikit pun habuk seperti tempat lain yang ditinggalkan manusia. Dia segera beristighfar dan memohon perlindungan ALLAH.

Perlahan dia berjalan ke depan. Di tingkat atas, kedengaran bunyi kecapi yang dimainkan dengan kemas. Shafi membuat satu lonjakan tinggi lalu mendarat di atas lantai tanpa sebarang bunyi. Dari jauh dia melihat seorang wanita yang berkerudung putih sedang duduk membelakanginya. Wanita itu kelihatan asyik bermain alat muzik itu. Shafi berjalan perlahan menuju ke arah pintu dan ingin memberikan salam.

“Masuklah.” Wanita itu tiba-tiba berhenti memetik tali kecapinya dan mempelawa Shafi masuk. Shafi agak terkejut tetapi berjaya mengawalnya. Shafi mengunjur ke hadapan dan berhenti selang sepuluh kaki. Wanita itu segera berpaling. Wajahnya terserlah. Shafi beristighfar panjang. Seorang wanita yang sangat rupawan. Tampak seperti seorang Puteri.

“Maaf kalau boleh tahu, saudari ini siapa?” Shafi bertanya sambil memandang ke arah bawah. Dia tidak mahu bertentang mata dengan wanita itu.

“Pandanglah ke arahku, wahai lelaki baik hati.” wanita itu merenung Shafi dengan senyuman yang bergayut manis di bibirnya.

“Maafkan aku, tidak elok memandang gadis yang bukan muhrim. Takut menimbulkan fitnah.” Shafi sekadar memandang kerudung wanita itu apabila melihatnya ketika bercakap.

“Nama beta Puteri Irdina Farihin dari kerajaan Lakgkasuka.” Puteri Irdina lantas bangun. Tiba-tiba suasana sekeliling menjadi terang-benderang. Tempat yang kelihatan usang tadi sebenarnya sangat cantik. Hiasan-hiasan kawasan itu yang menjadikannya seperti kelihatan usang apabila suasana suram.

“Namaku, Shafi, aku hanyalah seorang insan biasa. Bukan keturunan diraja dan orang kaya.” Dia berkata benar. Shafi memang seorang yang terkenal dengan sifatnya yang merendah diri dan jujur.

“Kamukah yang mengundangku ke tempat ini?” Shafi mula curiga.

“Beta juga hendak bertanyakan soalan yang sama, beta juga tidak tahu kenapa beta boleh berada di tempat ini.” Puteri Irdina Farihin mengamati wajah Shafi. Dia tertarik dengan penampilan lelaki itu. Dia mempunyai raut wajah yang tenang dan bersih. Selain kelihatan tampan, Shafi juga memiliki peribadi yang terpuji. Dia tidak seperti lelaki-lelaki lain yang melihat dirinya. Namun sayangnya, Puteri Irdina Farihin tidak melihat senyuman di wajah lelaki itu sedari tadi. Kalau dia senyum pasti akan meragut jiwa hawanya.

“Aku tidak tahu wahai Puteri.” Shafi berusaha mengerah fikirannya namun tidak mengingati apa-apa. Yang terlintas di fikirannya hanya ketika dia solat istiqarah. Nampaknya dia telah di bawa di tempat yang sangat jauh. Namun, secara tiba-tiba tempat itu bergoncang sehingga menjatuhkan hiasan-hiasan yang berada di dinding.

“Kita bersua lagi, wahai lelaki berbudi pekerti.” Puteri Irdina Farihin seperti tahu yang mereka berdua di ambang perpisahan. Kala inilah Shafi mengamati wajah sebenar Puteri Irdina Farihin. Sebentar tadi dia tidak mengecam wajahnya kerana hanya melihat sekilas pandang. Di kesempatan inilah Shafi mengukir seulas senyuman yang hanya sekadar meleretkan bibirnya sahaja. Seri wajahnya terserlah.

Puteri Irdina Farihin terpaku. Degupan jantungnya menjadi cepat. Terasa ingin sekali menatap wajah Shafi lama-lama. Namun, tidak lama kemudian, pandangan mereka berdua beransur-ansur pudar. Seketika, suasana tiba-tiba menjadi gelap.

SHAFI terdengar bacaan surah yassin yang sayup-sayup kedengaran. Dia mengamati dengan lebih teliti, lama-kelamaan suara orang membaca ayat-ayat suci itu semakin jelas. Shafi lantas terbangun daripada pengsannya.

Kelihatan para jemaah sedang membaca Yassin di sebelahnya. Kiai Jabar pula diamuk resah, namun beransur hilang apabila Shafi telah sedarkan diri. Shafi lantas bangun tapi ditegah oleh Kiai Jabar.

“Aku kenapa, bapa?” Shafi keliru.

“Rehatlah dulu, bapa menjumpai kau subuh tadi yang pengsan di halaman tempat solatmu.” Kiai Jabar seperti dapat membaca sesuatu di dalam fikiran Shafi melalui raut wajahnya, namun dia tidak mahu bertanya lebih lanjut kerana takut mengganggu kesihatan Shafi.

Shafi bangun secara perlahan dan melihat bayang-bayang tiang yang terpacak di tanah. Bayangnya condong ke arah Barat. Maknanya sekarang adalah waktu Duha. Dia menggagahkan dirinya untuk mengambil wuduk. Sebagai seorang hamba, terlalu banyak perkara yang harus dilakukannya.

Dalam fikirannya ligat berfikir. Siapakah gadis yang bertandang dalam mimpinya sebentar tadi? Apa kaitan dengan dirinya? Kenapa wanita itu muncul ketika dia memohon diberikan petunjuk tentang orang tuanya. Persoalan yang sukar dirungkaikan. Shafi lantas beristighfar berulang kali.

Kerajaan Langkasuka

PUTERI IRDINA FARIHIN yang telah terlentang sakit sejak dua hari lalu tiba-tiba sahaja terjaga. Bebola mata hitamnya terangkat ke atas dan hanya menampakkan matanya yang berwarna putih sahaja. Dukun yang ditugaskan untuk mengubati Puteri Kerajaan Langkasuka itu terkejut dengan kejadian itu.

Raja Mahadewa berdiri di hadapan pintu kamar puterinya. Kerisauannya terhadap anak tunggalnya itu membuatkannya tidak senang duduk. Apabila dia terdengar suara menjerit di dalam kamar itu, dia cepat-cepat menerjah masuk walaupun dilarang oleh para dukun yang mengubati anaknya. Dia merenung anaknya dengan harapan supaya cepat sembuh.

“Siapa yang dapat mengubati Puteri Irdina Farihin, Beta akan berikan hadiah yang sangat mahal dan pangkat.” Raka Mahadewa merenung para dukun itu satu persatu.

“Baik, terima kasih atas kepercayaan Tuanku.” Para dukun itu seraya tunduk hormat. Dalam hati mereka, bersarang sikap tamak yang membuak.

Ketika Raja Mahadewa hendak keluar, mereka dikejutkan oleh bunyi yang riuh di bahagian bawah. Mereka segera menyingkap tabir tingkap dan melihat dua orang sedang ditahan pengawal di bawah. Raja Mahadewa lalu menjerit dan menyuruh para pengawal membawa orang asing itu di halaman istananya.

“Kamu berdua ini siapa?” Raja Mahadewa tidak menunjukkan kekasaran kerana melihat kedua orang itu tidak melawan.

“Maafkan kami Tuanku, nama hamba Saudagar Asyar dan ini pembantu hamba, Bagas. Mereka berdua tunduk hormat. Cebikan sombong Raja Mahadewa terukir.

“Untuk apa kamu ke mari, saudagar?” Raja Mahadewa tetap curiga.

“Kami datang dari Kerajaan Sulu , tuanku. Kami datang untuk berdagang. Tetapi setelah mendengar berita duka tentang puteri tuanku, kami segera ke sini untuk menjenguk.” Pangeran Aring bijak bersandiwara.

“Pengawal, ke mari kalian semua.” Muka Raja Mahadewa merah padam menahan amarah. “Dush!” Setiap seorang menerima tamparan.

“Ampuni kami wahai raja yang mulia.” semua pengawal itu segera melutut.

“Hmm, sediakan mereka berdua tempat beradu. Layan mereka sebagai tetamu istimewa beta. Faham itu?” Raja Mahadewa berpaling lalu pergi. Pangeran Aring dan Bagaro hanya tersenyum sinis, langkah kedua telah menjadi. Langkah pertama mereka adalah menyihir Puteri Irdina Farihin. Selepas itu mereka akan menyembuhkannya, dan langkah terakhir adalah - maut.

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.