Istana,
Kota Langkasuka
SHAFI berhenti berzikir. Geseran anak panah dan udara
menghasilkan bunyi desus. Pantas Shafi membuat satu balik ruang di udara. Dia
lantas mendarat kemas di lantai. Anak panah itu gagal membunuhnya, lantas
tercacak di tempat dia berbaring sahaja. Shafi menarik nafas lega. Ternyata
nalurinya benar.
Dia meluru ke arah anak panah yang tercacak. Belum
sempat dia mencabut, anak panah itu bertukar menjadi seekor ular kecil yang
tampak berbisa. ‘Sihir’ Shafi bermonolog dalam siaga. Secara spontan keris
Perpisahan dihunus dari sarung. Sejak pertama kali keris itu diberikan oleh
Kiai Jabar, inilah kali pertama Shafi menggunakannya sebagai alat pelindung
diri.
Shafi
membuka langkah. Bersiaga dengan keris dihalakan ke depan. Secara tiba-tiba
ular itu bergerak pantas mencari lubang kecil di bahagian tingkap lalu
melepaskan diri. Shafi pula hanya berdiam tanpa mengejarnya. Dia tidak berniat
untuk membunuh ular itu.
“Aku
berlindung kepada-Mu ya ALLAH.” Suara hati Shafi bermonolog sendiri.
Bagaro
menderam kerana gagal membunuh Shafi. Kepantasan panah sihir yang dilepaskannya
tidak menepati sasaran walaupun dari jarak yang dekat. Malah selepas melepaskan
anak panah, dia lari dari bilik rehat Shafi. Ternyata dia takut untuk
bersemuka.
RAJA MAHADEWA tampak serius. Dia memandang Shafi
secara menyeluruh. Dia melihat pemakaian Shafi – menyerupai cara pemakaian
orang Melayu. Walhal, Kerajaan Langkasuka juga merupakan sebuah kerajaan Melayu
lama.
Menurut
rekod Cina, Diansti Liang (502-566M), "Lang-ya-Shiu"yang
bererti “Langkasuka” telah didirikan menjelang abad Pertama Masihi.
Langkasuka ataupun Patani pada masa kini terletak antara Senggora (Songkla) dan
Kou-Lo-Tan (Kelantan) ketika itu telah membina pelabuhan di Teluk
Langkasuka iaitu Teluk Patani sekarang.
Langkasuka
telah berupaya mewujudkan "Institusi Raja Melayu", dan
ia merupakan satu-satunya negara-kota Hindu-Buddha yang terpenting menjadi
Pusat Perdagangan di Semenanjung Tanah Melayu, dan wilayahnya melebar dari
Kataha (Kedah Tua) hingga ke Ligor (Nakhon Sri Thamarat) dan Patani. Namun ,
kepercayaan agama mereka berubah seiring kedatangan pedagang Arab di rantau
Asia ini.
Shafi
duduk menghadap. Dia menjaga adab sopannya sebaik mungkin. Walaupun mereka
berbeza kepercayaan, namun dia sangat menghormati sebagai seorang pemerintah
kerajaan itu.
“Dengar
khabar, kau yang menewaskan penunggu laut di Perkampungan Nelayan itu?” Raja
Mahadewa akhirnya bersuara.
“Secara
kebetulan sahaja hamba melalui kawasan perkampungan itu.” Shafi menjawab tetapi
dengan menggunakan kenyataan. Dia sungguh bijak – tidak mengaku bahawa dialah
yang membebaskan Perkampungan Nelayan daripada belenggu penunggu laut.
“Kau
sangat hebat, anak muda. Siapa namamu?”
“Nama
hamba Shafi. Hamba hanya insan yang biasa.” Shafi bertutur dengan nada yang
mendatar.
“Kalau
begitu, kau akan diberikan hadiah, Shafi.” Raja Mahadewa menzahirkan
penghargaan.
“Hamba
ikhlas, hamba tidak inginkan sebarang hadiah.” Shafi telus ketika berbicara.
“Tidak
mengapa, beta terhutang budi kepadamu, Shafi. Perkampungan Nelayan itu adalah
di bawah pemerintahan kerajaan Langkasuka.” Raja Mahadewa tetap saja dengan
pendiriannya.
“Kalau
begitu, baiklah tuanku.” Shafi akhirnya mengalah.
Di
sudut bahagian belakang, Pangeran Aring dan Bagaro menyumpah kasar dalam hati.
Musuh utama mereka mendapat layanan baik daripada Raja Mahadewa itu. Api
cemburu membuak-buak. Ingin sahaja mereka berdua menyerang Shafi tika ini.
“Kita
tunggu masa yang sesuai, Bagaro.” Pangeran Aring berbisik. Bagaro hanya
mencebik.
PUTERI IRDINA FARIHIN menapak masuk di pintu utama
istana. Keletihan masih bergayut di sendi setelah seharian bersiar-siar melihat
keindahan Taman Bunga di sebelah utara kota. Perlahan dia masuk di ruang rehat.
Masa inilah Shafi melintas keluar dari ruang rehat setelah menjamu selera
bersama Raja Mahadewa. Mereka berselisih namun dalam keadaan Shafi membelakangi
dirinya.
Puteri Irdina Farihin mengamati lelaki itu dari
belakang. ‘Bukan pekerja istana. Mungkin tetamu’, Dia bermonolog.
Raja Mahadewa yang melihat kepulangan puterinya tampak
gembira. Dia duduk di kerusi utama sambil menjamah sedikit buah.
“Ke
mana anakanda pergi seharian ini?” Raja Mahadewa menguntum senyuman.
“Anakanda
hanya bersiar-siar mengelilingi kota dan mengunjungi Taman Bunga di Utara kota,
ayahanda.” Puteri Irdina Farihin melabuhkan diri di kerusi yang berhampiran
dengan ayahnya.
“Baguslah
kalau begitu. Lagipun, sudah lama kita tidak meninjau persekitaran.” Raja
Mahadewa menarik nafas panjang.
“Ingatkan
anakanda ingin sekali bersiar-siar dengan ayahanda siang tadi.” Puteri Irdina
Farihin tersenyum. Biasanya cara dia bertutur dengan ayahnya Cuma menggunakan
‘anakanda’ dan ‘ayahanda’ sebagai panggilan seharian.
“Secara
kebetulan, hari ini ayahanda menunggu seorang tetamu dari jauh. Justeru,
ayahanda berkemungkinan tidak akan dapat menemani anakanda pergi.” Jelas Raja
Mahadewa.
“Jadi
lelaki yang keluar tadi itulah tetamu ayahanda?” Puteri Irdina Farihin
memalingkan muka ke arah pintu keluar.
“Benar
anakanda, dia sangat santun orangnya.” Raja Mahadewa senyum penuh makna.
“Dari
mana dia datang?” Puteri Irdina Farihin semakin galak bertanya. Entah mengapa
hatinya teringin sangat mengetahui tentang lelaki itu.
“Dia
dari kawasan timur kota, anakanda.”
“Siapakah
namanya, ayahanda?” Entah kenapa dengan degup jantungnya, nafasnya juga sudah
tidak seiring dengan keadaan dirinya walaupun berjaya dikawal. Raja Mahadewa
hanya tersenyum. Puteri Irdina Farihin pula menunggu tanpa sabar.
MALAM yang kelam. Puteri Irdina membuka kelopak mata.
Dia mengesot mata berulang kali apabila mendapati perubahan bilik tidurnya.
Perlahan dia bangun. ‘Ah, tempat apakah ini?’. Suara hatinya bergumam. Perlahan
dia bangkit apabila ternampak cebisan cahaya dari luar bilik. Perlahan dia
menapak dan membuka pintu.
Puteri
Irdina tersentap. Kedengaran suara seorang lelaki di luar. ‘Di manakah dia tika
ini’, antara persoalan yang sedari tadi bermain di fikirannya. Dia menghentikan
langkah. Seorang lelaki yang sedang duduk membelakangi dirinya sedang
mengalunkan ‘sesuatu’ yang sangat lembut menusuk kalbunya. Dalam fikirannya,
lelaki itu sedang bersyair ataupun melagukan sesuatu yang berunsur cinta
berdasarkan keadaan lelaki itu yang kelihatan khusyuk. Puteri Irdina terdehem,
munajat Shafi terhenti serta-merta – perlahan dia membuka kelopak mata dan
berdiri menghadap Puteri Irdina.
Tangkai
jantung Puteri Irdina seperti disentap. Dia sangat mengenali raut wajah itu.
Walaupun tidak jelas, namun hatinya dapat meneka. Segera dia mengatur pernafasan.
“Salam
sejahtera ke atas kamu, wahai wanita yang dirahmati ALLAH.” Salam kesejahteraan
dihulur.
“Err…”
Puteri Irdina tersipu malu. Ucapan itu dirasakan sungguh bermakna dalam hatinya
walaupun tidak memahami inti pati sebenar ayat itu.
“Apa
khabar dengan syurgamu ?” Shafi tenang ketika melafazkan pertanyaan khabar suci
itu.
“Syurga?”
Puteri Irdina Farihin keliru kerana baru pertama kali mendengar perkataan itu.
Maka, mengertilah Shafi bahawa wanita itu jauh dari hidayah ALLAH yang Maha Pemberi
Rahmat.
“Syurga…
tempat yang abadi. Tempat yang kita selalu impikan sesudah mati.” Shafi masih
seperti tadi – memaniskan raut wajah walaupun tidak kelihatan dek suram.
“Fahamkan
beta kemudian. Emm…lama tidak bertemu?” Puteri Irdina seolah-olah mengubah arus
perbicaraan dan menjurus kepada soal hati. Dia menagih rindu.
“Segala
puji bagi ALLAH yang menemukan dan memisahkan kita.” Shafi segera beristighfar.
“Tapi
kali ini, beta berasa sangat dekat dengan dirimu.” Puteri Irdina berusaha
mengamati paras wajah Shafi yang terhijab dengan kemalapan cahaya.
“Hati
kita sememangnya sudah lama dekat, Tuan Puteri.” Suara Shafi bergema lembut
menusuk hati kecil Puteri Irdina.
Setelah
lafaz terakhir tu, suasana berubah secara mendadak. Gegeran kecil menggetarkan
tubuh. Debu di lantai bergerak perlahan dan… gelap. Detik yang paling tidak
disukai oleh Puteri Irdina. Ruang mimpi bakal memisahkan hatinya dengan lelaki
itu.
Suasana
menjadi hening. Tiada lagi sebarang suara yang kedengaran. Puteri Irdina
Farihin membuka kelopak mata. Perlahan dia mengesat tubir matanya – ternyata
air matanya turut menangisi perpisahan itu walaupun bukan di alam nyata. Jauh
di sudut hati, kesyahduan masih mencuit-cuit hatinya kala ini.
SHAFI beristighfar berulang kali. Dia segera bangun
dan menghidupkan lilin istana yang terdapat di bilik tetamu itu. Walaupun
keadaan masih malap, namun sedikit-banyak cahaya itu dapat memberikannya
sedikit ruang bernafas. Dia mengerah kembali ingatannya – mengimbas pertemuan
singkat itu. Siapakah gadis yang menggelar dirinya sebagai ‘Beta’ dalam
mimpinya itu. Persoalan yang sering bermain di benaknya sejak pertemuan pertama
di alam mimpi. Dan sekarang merupakan pertemuan ketiga bersama ‘dia’.
Shafi
berdiri lalu membuka tingkap. Hamparan bintang-bintang masih menghiasi langit.
Angin menyapa lembut. Di kejauhan, bunyi deruan ombak yang menghempas pantai
kedengaran. ‘ahh… setianya pantai itu. Sudah dikasari ombak namun tetap di situ
– menanti deruan ombak yang terkadang mengganas. ‘Ya, pantai itu setia – setia
dengan ketentuan Tuhannya.’ Suara hati Shafi pula yang berkata-kata.
Tatkala
inilah kedengaran suara halus di cuping telinganya. Dia amat mengenali suara
itu. sayup suara itu menyapa dirinya. Perlahan Shafi mengusap angin seolah-olah
empunya suara itu berada di hadapannya. Dia segera beristighfar. Sebagai lelaki
biasa, dia tidak pernah terhindar daripada bisikan halus itu. Adakah dia mula
rindu?. Ya, hatinya rindu dengan penciptanya – Shafi segera berwuduk dan
melakukan solat sunat tahajud, hajat dan taubat. Subahan-ALLAH.