Home Novel Thriller/Aksi PETAKA NYAWA
PETAKA NYAWA
Riduan Judin
12/1/2014 20:04:10
108,038
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 18

Pinggir Hutan Perkampungan Nelayan

SHAFI menghentikan kuda yang ditunggangnya di tepi sebatang sungai. Di situ dia mengambil wuduk dan mendirikan solat sunat duha apabila matahari sudah sejengkal sebelum matahari di tengah ubun-ubun kepala. Dia dengan sedaya-upaya mencontohi amalan ibadah baginda Rasulullah – istiqamah dalam melakukan sesuatu.

Apabila sudah selesai menunaikan solat duha, Shafi melanjutkan ibadah dengan berzikir memuji ALLAH. Dia mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga apabila sebahagian daripada penduduk Perkampungan Nelayan mempunyai kecenderungan untuk berubah dan menerima agama Islam sebagai pegangan hidup.

Imbas kembali…

SHAFI mengacu parang di leher Jali yang berjaya dirampas. Urat-urat yang berwarna kehijauan pasti akan membuakkan darah pekat apabila mata parang itu menghiris kulit. Jali yang sudah takut separuh mati tidak tahu hendak berbuat apa. Kudratnya terbuku dek serangan balas itu, edikit gerakan sahaja pasti boleh mengakibatkan nyawa nan satu melayang.

“Sekarang siapa yang dapat selamatkan dirimu?” Shafi merenung tajam ke arah mata Jali.

“Ak… aku.” Nada suara Jali tersekat di rengkungan kerana mengalamiketakutan yang amat sangat.

“Tiada Tuhan selain daripada ALLAH, Jali. Dialah tuhan yang menghidupkan dan mematikan manusia. Menyembah selain ALLAH itu adalah dosa yang paling besar antara semua dosa.” Shafi menarik kembali parang itu lalu dipacak dia atas tanah. Jali yang sedari tadi ketakutan menarik nafas panjang tanda kelegaan selepas berdepan dengan situasi maut.

Barulah dia tahu yang Shafi bukan seorang yang pendendam, jauh sekali hendak membunuh insan yang tidak berdaya. Shafi sememangnya seorang hamba ALLAH yang sangat pemaaf dan baik hati. Dia lelaki terpuji.

“Maafkan aku, Shafi.” Jali mengucapkan ayat itu dalam keadaan tertunduk kerana berasa bahang rasa malu masih membakar mukanya.

“Lupakan sahaja perkara itu, dalam agama Islam kita dianjurkan bermaaf-maafan antara satu dengan lain apabila berselisih faham.” Shafi meleretkan bibir. Senyuman sederhana terukir di wajah bersihnya.

“Terima kasih, andai sudi bimbing lah kami dan berilah kefahaman tentang agamamu itu.” Jali seperti sudah membuka pintu hatinya setelah hidayah itu berulang kali mengetuk ruang hatinya.

“Alhamdulillah - Islam itu milik semua, Insya-ALLAH hamba akan berusaha menyampaikan sedikit ilmu yang ada pada diri kerdil ini.” Shafi berlapang dada apabila kebaikan itu akhirnya mengatasi kebatilan.

“Jadi apakah aku sudah Islam sekarang.” Jali masih bingung.

“Untuk menjadi seorang Islam, kita perlu mengucap dua kalimah syahadah, Jali.” Shafi memaniskan raut wajah.

“Apakah kalimah itu, Shafi?” Jali tertanya-tanya.

“Ianya kalimah yang paling hebat dan agung, Jali. Sekali kita mengucapkan kalimah itu – kebaikannya lebih besar daripada apa yang ada di langit dan bumi.” Shafi menerangkan secara terperinci.

“kalau begitu, ajarilah aku kalimah agung itu, Shafi.” Jali tampak tidak sabar.

“Alhamdulillah… sila ikut apa yang hamba katakan.” Shafi kemudian mengucap dua kalimah syahadah dan diikuti oleh Jali. Dia bersyukur ke hadrat Ilahi kerana mempermudah segala usahanya menyampaikan kebaikan. Sesungguhnya keimanan itu bukan milik persendirian.

Apabila Jali memeluk Islam, ramai antara penduduk yang mengikuti jejaknya kerana tertarik dengan keperibadian pemuda itu. Maka bertambahlah kegembiraan yang bertaut di birai hatinya.

SHAFI mengucapkan kalimah kesyukuran berulang kali apabila bibit-bibit kenangan itu menjenguk ruang sedarnya. Sudah empat hari dia meninggalkan perkampungan itu. Dalam hatinya timbul juga kerisauan, takut iman yang baru bercambah layu menahan ujian-ujian apabila tiada yang membimbing. Namun dia harus memenuhi janji kepada Raja Kerajaan Langkasuka untuk bertandang di istananya.

Shafi berteleku memuji ALLAH. Sepemergiannya dari kampung itu, dia merasakan ada ‘sesuatu’ yang mengganggu fikirannya. Namanya seperti sering diseru oleh ‘sesuatu’ itu. Bukan lintasan hati, tetapi lebih kepada naluri sufinya. Dan naluri hati tidak akan sesekali berdusta.

SHAFI melihat sebuah kota yang tersergam di tepi lautan. Dia dapat mengagak yang kota itulah kediaman raja agung itu - Kerajaan Langkasuka. Kota itu kelihatan indah dari perbukitan itu, dikelilingi tembok tinggi dan rumah-rumah yang dibina dengan berunsur kebudayaan Melayu lama. Perlahan Shafi menarik tali pelati kuda dan bergerak menuruni perbukitan.

Suasana kota begitu sibuk terutamanya di bahagian pelabuhan. Urusan perdagangan berlangsung saban hari. Perlahan Shafi menapak ke bahagian daratan, di situ terdapat penduduk yang berjualan. Dia mengamati keadaan – kelihatan riuh dan rakyatnya suka membuat hal masing-masing.

Ketika Shafi membelek sehelai pakaian, dia dilanggar dari arah belakang. Cepat dia membuat imbangan badan lalu menoleh ke arah belakang.

“Hei! Ketepi, Tuan Puteri hendak lalu.” Pekik seorang pengawal yang membuka jalan.

Shafi hanya diam, dia melihat ke arah belakang apabila terdengar pukulan gong yang bertalu-talu. Kelihatan juga sebuah tandu yang dihias dengan warna kuning emas yang sedang diangkat oleh belasan pengawal. Apabila tandu itu lalu di depannya, Shafi mendongak namun hanya kelihatan satu byangan yang berbalam. Perlahan dia berlalu dari situ.

Puteri Irdina Farihin tersentak apabila bertentang muka dengan seorang lelaki di tepi sebentar tadi. Dia dapat merasakan kehadiran ‘seseorang’ yang selalu sahaja mengganggu tidur lenanya. Jantungnya berdegup kencang, hatinya tertanya-tanya. Siapakah gerangan insan itu tadi? Namun tiada jawaban yang pasti kerana hatinya sendiri gagal menjawab persoalan itu.

“Pengawal, turunkan beta di sini.” Puteri Irdina Farihin memberikan arahan. Tandu diberhentikan lalu perlahan para pengawal menurunkannya.

Puteri Irdina Farihin melilaukan mata di sekeliling. Mencuba untuk menjejekai bayang lelaki yang membuat jantungnya berdegup kencang sebentar tadi. Namun hatinya hampa kerana orang yang dicarinya sudah tiada di situ. Akhirnya dia memutuskan untuk pulang sahaja ke Istana. Keinginannya untuk bersiar-siar di sekeliling kota pada petang itu sudah terbejat kerana kehadiran ‘dia’. Sebelum pulang, dia mengunjungi Taman Bunga yang terdapat di sebelah utara kota itu.

“Atau aku hanya berilusi?” Puteri Irdina Farihin bermonolog sendiri. ‘Tidak, dia memang ada di sini.’ Suara hatinya pula yang hadir di jiwa. Dia menepuk-nepuk kepala kerana berasa bejat.

PETANG kian berlabuh. Pertama kali Shafi memijakkan kaki di halaman istana. Dia disambut mesra oleh para pengawal selepas Shafi menunjukkan surat jemputan Raja Mahadewa. Dia diberikan persalinan pakaian dan bilik rehat. Malam nanti dia akan menghadap raja kerajaan itu.

Shafi duduk berteleku di atas hamparan kain yang dijadikannya alas ketika solat isyak sebentar tadi. Bau wangian yang amat semerbak tidak sedikit pun mengurangkan khusyuknya. Perlahan dia membilang anak-anak jari, dan berhenti apabila telah genap ratibnya kepada yang Maha Esa.

Dia meraba-raba pinggangnya yang terasa lenguh setelah hampir sehari dia menunggang kuda. Fikirannya juga terganggu kerana baru sebentar tadi dia merasakan ‘sesuatu’ yang bersifat ‘hitam’ melingkari persekitaran. Namun sebagai manusia, dia masih tidak dapat menafsir secara tepat.

Shafi berehat seketika. Sebelum dia menghadap raja, dia menghabiskan masanya dengan bermunajat kepada ALLAH. Dan pada masa inilah sebilak anak panah yang runcing sedang dibidik ke arahnya. Selang tiga pernafasan, anak panah dilepaskan dan menuju ke arah dada kiri Shafi yang datang dari arah belakang. Dan Shafi masih sahaja seperti tadi, terbaring sambil lidahnya melafazkan kalimah-kalimah suci. Sebagai insan biasa, dia tidak tahu yang ajal datang menjemputnya kala ini.

Previous: BAB 17
Next: BAB 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.