Home Novel Thriller/Aksi PETAKA NYAWA
PETAKA NYAWA
Riduan Judin
12/1/2014 20:04:10
107,963
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 19

Sempadan Timur Tengah - Asia

BENUA Timur Tengah masih siang tika ini. Manakala benua-benua Asia sudah dibaluti kepekatan malam. Ini disebabkan oleh perbezaan waktu yang dibezakan oleh kedudukan geografi. Sesungguhnya ia adalah satu ketentuan yang Maha Pencipta – malam yang tidak bertembung dengan siang dan sebaliknya. Maha Suci ALLAH Tuhan sekalian alam.

Perjalanan menjadi penuh berliku. Sudah tiga purnama Puteri Qaisara berserta sekumpulan besar pengawal yang berketerampilan pahlawan meninggalkan Kerajaan Amuriah. Perjalanan mereka berdasarkan sebuah lakaran peta yang diberikan oleh seorang pedagang Arab di Asia. Dan kini mereka telah pun mengharungi setengah daripada ‘laluan darat’ yang memendekkan jarak antara dua benua.

Mereka tampak letih, manakala Suhail pula seawal perjalanan tidak pernah renggang di sisi Puteri Qaisara kerana dia merupakan ‘pengawal peribadi utama’ kepada Puteri rupawan itu. Apa pun yang bakal berlaku, keselamatan Puteri Qaisara harus diutamakan. Jika Hilang nyawa Puteri Qaisara, maka nyawanya telah pun hilang dulu.

Suhail mengamati Gadis diraja itu. Jauh di sudut hati, dia masih menyembunyikan perasaan sucinya sedari dulu. Dia sengaja berbuat demikian kerana perbezaan taraf sosial. Puteri Qaisara merupakan anak kepada Raja Kerajaan Amuriah, manakala dirinya hanyalah seorang pekerja kepada anak bangsawan itu. Perlahan Suhail mengedipkan mata, kemudian mengalihkan pandangan ke depan. Dia seolah-olah mencari sinar baharu dalam sanubarinya. Menggarap hati supaya tidak terdera dek rasa.

Perjalanan mereka terbantut. Tiada lagi jalan seperti yang tercatat dalam lakaran peta seorang pedagang Arab di Asia. Puas mereka mencari haluan, namun hanya menemui jalan mati. Petang yang sangat hiba bagi mereka. Suhail membelek lakaran peta – jalan yang mereka lalui tidak salah. Malah jika arah dilihat melalui kompas pun mereka menuju ke arah Asia Timur.

Mereka membuat unggun. Puteri Qaisara yang keletihan sudah beradu dalam sebuah khemah yang didirikan. Suhail pula hanya duduk bersama para pengawal yang lain mengelilingi unggun api itu. Kesejukan angin yang menggigit mula terasa. Api pula semakin mengecil. Dalam situasi seperti ini, binatang-binatang buas akan mudah untuk mendekati mereka.

SUHAIL terkejut apabila busurnya berdengung. Dia pantas mencapainya, kebarangkalian ‘sesuatu’ yang luar biasa akan berlaku. Situasi seperti itu biasa dialaminya – petanda malapetaka yang datang bertamu.

Dia mengejutkan Puteri Qaisara dan juga para pengawal yang tertidur. Rasa mengantuk yang bergayut di mata hilang serta-merta apabila angin bertiup dengan kencang. Pepohon yang besar bergeseran dahan-dahannya sehingga menghasilkan bunyi yang menakutkan.

Di sebalik sepohon yang besar, muncul satu kelibat yang menyerupai manusia dengan saiz yang lebih besar. Suhail segera mengarahkan agar Puteri Qaisara dikelilingi dengan membuat satu bulatan. Para pengawal cepat bertindak sambil bersiaga dengan senjata masing-masing.

Deraman makhluk itu membuatkan Puteri Qaisara kecut perut. Dia hampir menangis apabila makhluk itu menonjolkan dirinya yang sebenar. Saiz makhluk itu seperti dua pemeluk manusia. Bermata cembung dan berwajah bengis. Di tangannya tergenggam kejap senjata yang menyerupai kayu yang berduri. Makhluk itu melangkah dengan penuh angkuh ke darah mereka. senjata di tangannya dihayun perlahan.

“Siapa kau, makhluk aneh?” Suhail memberanikan diri untuk bersuara.

“Namaku, Lompog.” Makhluk itu menderam.

“Kenapa kau mengganggu kami, Lompog?” Suhail menapak selangkah di depan.

“Kawasan ini milik leluhur kami, dan kalian semua telah mencerobohnya.” Lompog membengis. Menarik muka seribu agar kelihatan lebih menakutkan.

“Kami hanya lalu di kawasan ini, tetapi terpaksa bermalam di sini kerana jalan ini jalan mati.” Suhail enggan mengalah.

“Manusia tidak dibenarkan melalui kawasan ini. Sesiapa sahaja yang masuk di kawasan ini pasti tidak menemui jalan pulang.” Lompog semakin marah kerana ditentang oleh Suhail.

“Kalau begitu, tunjukkan kami jalan keluar.” Suhail bukan meminta simpati – melainkan memberikan jalan penyelesaian yang terbaik.

“Begitu senang kamu masuk, takkan aku lepaskan begitu sahaja. Lagi pun perutku sudah sekian lapar.” Lompog melilaukan mata dan berhenti ke arah Puteri Qaisara. Puteri Qaisara hampir terduduk kerana mengalami ketakutan yang amat sangat.

“Kau makhluk pemakan manusia, Lompog?” Suhail seolah hilang pertimbangan.

“Hahaha… Aku suka daging manusia seperti kau, berani menentang aku walaupun kau tahu maut akan menjemputmu.” Lompog semakin galak ketawa.

“Kalau begitu, kau musuhku!” Suhail memberikan isyarat agar para pengawal membawa Puteri Qaisara ke arah belakang kerana pertarungan pasti akan tercetus bila-bila masa sahaja. Lompog pula seakan mengerti dengan isyarat itu lalu meluru ke arah Suhail dan mengenakan satu hayunan maut.

SUHAIL membuat lompatan di udara. Tanah tempat dia berpijak bergegar kerana hentakan senjata Lompog. Cepat dia mendarat dengan kemas agar imbangan badan dapat dikawal. Lompog meluru lagi, mengenakan satu hayunan tetapi pantas Suhail mengelak ke belakang. Masa inilah dia menghujankan tendangan di bahagian pinggang Lompog tetapi tidak berkesan. Malah dia pula yang terundur ke belakang.

Pertarungan kelihatan berat sebelah. Suhail terpelanting ke belakang dan badannya menghempap sebatang pokok dan tersungkur di bawah. Para pengawal yang lain bertindak dengan menyerang beramai-ramai, namun mereka semua tewas. Darah mereka menyeruak di udara kerana terkena senjata berduri Lompog.

Perlahan Suhail bangkit apabila Lompog meluru ke arahnya. Senjata berduri dihayun pantas. Suhail menongkat diri dengan busurnya lalu mengagahkan diri menghunus bilah anak panah. Di bidik secara tenang lantas anak panah dilepaskan. Dan bidikan Suhail tidak pernah tersasar. Sebilah anak panah untuk satu nyawa.

Lompog tergamam. Begitu pantas serangan balas daripada lawannya. Senjata berduri yang dijadikan penghadang ditembusi anak panah, sekali gus membenamkan duri-duri senjatanya sendiri di dada. Anak panah yang dilepaskan oleh Suhail tepat mengenai jantung Lompog. Dia serta-merta berlutut secara terpaksa kerana menahan bisa anak panah itu. Perlahan dia rebah dan matanya tertutup rapat. Suhail segera mendapatkan Puteri Qaisara.

Mereka berdua terkejut apabila kepulan asap yang berbentuk awan keluar daripada tubuh Lompog. Badannya yang besar menjadi kecut dan mengecil. Kepulan awan itu berarak laju menuju ke arah selatan. Suhail sempat melepaskan anak panah namun hanya seperti mengenai angin. Kepulan asap itu tidak berjasad dan ini menyukarkan serangan. Mujurlah kepulan asap hitam yang membentuk awan itu sudah pergi jauh daripada mereka.

Puteri Qaisara mengelus nafas panjang kerana terlepas daripada serangan yang hampir membawa maut kepadanya. Lantas dia memeluk Suhail semahunya kerana nyawanya diselamatkan oleh lelaki itu. Suhail tergamam. Pertama kali dia merasakan bahagia berputik di hati. Dia seperti mendapat sinar harapan. Jauh di sudut hati, pelukan puteri itu sangat membahagiakan. Lantas dia membalas pelukan itu erat-erat.

Lautan Hindi

NEALOFA terbangun daripada tidur. Suasana hingar kedengaran dari arah dek kapal. Perlahan dia bangkit dan membetulkan diri seadanya lalu menaiki anak-anak tangga menuju ke atas.

Di kejauhan, kelihatan satu kepulan awan hitam sedang menuju ke arah mereka. Para kelasi dan petugas kapal sibuk mengendalikan kapal kerana arah angin yang tidak menentu ketika itu.

“Apa yang berlaku?” Nealofa memicing mata ke arah depan. Memang jelas ‘sesuatu’ telah menghalang perjalanan mereka.

“Ada kepulan awan hitam, dan kami belum dapat mengenal pasti benda tersebut.” Palo yang berbadan kekar kelihatan sedikit gusar.

“Lencongkan arah perjalanan kapal!” Nealofa mengeluarkan arahan. Sejurus itu, kemudi kapal diputar menghala kiri tanpa dibalas arah putarannya. Kemudi kapal serta-merta membelok ke arah kiri. Perubahan arah secara drastik itu sedikit mengumbang-ambingkan kapal.

Mereka yang berada dalam kapal itu berasa lega. Tiada lagi kepulan awan hitam di depan. Hanya cahaya kuning keemasan yang menghiasi permukaan lautan yang dibias melalui cahaya bulan. Buat seketika, ketakutan mereka sedikit terkikis apabila berjaya melepasi halangan itu.

Namun belum sempat mereka kembali mengatur pernafasan, armada gah itu dilanggar ombak besar dari arah belakang. Sejurus itu juga kepulan asap yang membentuk awan berlegar-legar sehingga menutupi bulan dari pandangan mereka.

Kapal semakin hilang kawalan, ombak yang ganas semakin menghuyung mereka ke arah yang tidak mereka ketahui. Ramai anak kapal terjatuh di lautan, Nealofa pula cepat bertindak dengan memasuki ruang keselamatan di bahagian bawah kapal. Maka berlayarlah kapal itu tanpa nakhoda. Hanya diterajui arah ombak yang pastinya akan membawa mereka ke arah pintu ‘maut’.

Nealofa hilang imbangan diri. Dia terjatuh lalu terhantuk di bahagian dinding kapal. Pandangannya berbinar. Nafasnya di rangkungan. Puas dia menarik nafas, namun tersangkut di halkum. Keadaan seperti ini mengakibatkan kesakitan dan kepedihan yang teramat.

Kapal itu semakin menjauh di tepian – tersasar dari laluan. Suasana malam yang gelap menghilangkan kelibat kapal itu dari pandangan. Ternyata kapal itu benar-benar menuju ke pintu ‘maut’. Kematian perlahan mengetuk pintu ajal mereka.
Previous: BAB 18
Next: BAB 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.