Home Novel Thriller/Aksi PETAKA NYAWA
PETAKA NYAWA
Riduan Judin
12/1/2014 20:04:10
108,025
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 15

Lautan Hindi

NEALOFA berdiri di atas armada yang diterajui oleh para kelasi kapalnya. Nealofa - anak dara pingitan yang berdarah bangsawan dari Amsterdam, Belanda. Dia melabuhkan kapal agam itu di lautan Atlantik dan menuju ke lautan Hindi iaitu ke arah negara Asia-Timur. Pelayarannya adalah untuk menjejaki kekasihnya Keano yang meluaskan pengaruhnya melalui jajah dan takluk. Sejak berpisah sebulan lalu, hatinya menjadi rawan. Hidupnya tidak teratur, rindu yang menghambat jiwa terasa menusuk jantung nan satu.

Gelora lautan Atlantik membuak. Keganasan ombak yang memukul dinding kapal seakan taufan yang menggila. Marah dengan tindakan mereka melalui kawasan itu. Ombak kian mengganas, seperti ingin menenggelamkan armada serta semua isinya di dasar lautan. Dan sudah pastinya mereka akan berpusara di dasar laut yang tidak bertanda.

Setelah mengharungi detik cemas, keadaan sudah kembali tenang semula. Angin yang sedari bertiup kencang kini sudah merangkak lesu menyelusuri ruang udara dan awanan yang kelihatan pilu.

“Tambah kembali kelajuan armada.” Nealofa selaku majikan tertinggi di kapal itu memberi arahan. Para kelasinya pantas menambah bahan bakar dan mengatur apa yang patut. Tidak lama kemudian, kapal semakin laju membelah lautan yang terhampar di hadapan. Sesungguhnya lautan, daratan, butiran pasir dan helaian dedaunan adalah antara ciptaan ALLAH yang maha hebat.

NEALOFA semakin gundah. Kesabarannya untuk menatap raut wajah Keano sudah hilang sedari kapal itu berlabuh – dia terlalu rindu. Sehinggakan saban waktu dia tidak rela lagi menunggu kepulangan kekasihnya ke pangkuan, lalu mengambil keputusan untuk menyusul atas kebenaran ayahnya.

Dia diulit kenangan. Keasyikan asmara yang membalut hatinya tidak sedikit pun melemahkan semangatnya meredah lautan yang memisahkan Eropah dan benua Asia. Secara tidak disengajakan dia terimbau kenangan saat perpisahan antara mereka di negara tempat matahari tenggelam itu.

Amsterdam, Belanda

KEANO berdiri sambil memandang Nealofa. Ditatapnya puas-puas wajah gadis yang sangat dicintainya. Mereka ialah sepasang kekasih yang disatukan keluarga atas rasa cinta, atas sebuah kuasa.

“Aku akan berpergian buat sementara waktu, Nealofa.” Kedengaran suara Keano. Nealofa hanya memandangnya dengan pandangan sayu agar keano mengerti melalui anak matanya yang dia tidak merelakan pemergian itu.

“Jaga diri dan hatimu di seberang benua sana, Keano.” Nealofa semakin dirundung kesedihan lalu memeluk Keano. Di dada Keano, dia menumpahkan segala air mata kerinduan yang akan tertangguh apabila dia tiada di sisi kelak. Keano hanya memejam mata, mentafsir perlakuan Nealofa. Jauh di sudut hati, sebenarnya dia tidak akan sampai hati untuk berpisah.

“Selamat tinggal, Nealofa.” Tiga perkataan terakhir Keano mengejutkan Nealofa daripada kenangan duka itu. Dia lantas mengesat air mata yang mengalir tanpa disedarinya. “Kenapa kau ucapkan kalimah itu, Keano?” Nealofa bermonolog.

Pinggir Kota Langkasuka

JALI dan beberapa penduduk kampung Nelayan terbaring lesuh. Kedegilan mereka membuakkan amarah Ratu Dewi, dan apabila amarah menguasai diri maka api pasti akan membara. Pujaan yang mereka lakukan ternyata bertukar malapetaka, bukan perlindungan dan kebebasan yang diberikan Ratu penyembah syaitan itu melainkan hanya kedustaan yang nyata.

Imbas kembali...

JALI dan beberapa penduduk kampung Nelayan itu terhuyung ke belakang apabila ditujah oleh pusaran ombak. Ratu Dewi yang terawang di udara melebarkan telapak tangan sekali gus menunjukkan keperkasaan dirinya. Hanya dengan satu serangan sahaja pemuda-pemuda itu berjaya dijatuhkannya.

“Ampuni kami, Ratu Dewi.” Suara Jali serak-serak.

“Atas sebab apa kalian harus aku ampuni?” Ratu Dewi mencebik.

“Kami akan lakukan apa sahaja yang Ratu inginkan, tapi tolonglah bebaskan kami.” Jali merayu-rayu.

“Baiklah... sepurnama lagi aku akan datang kembali. Teruslah membuat upacara pemujaan di laut ini. Pasti hasil tangkapan ikan kalian semua akan bertambah lagi.” Ratu Dewi ketawa mengilai sebelum menghilangkan diri di bawah pusaran tebing laut yang bergelora.

PENDUDUK kampung Nelayan galak melakukan pemujaan terkutuk itu apabila diancam oleh Ratu Dewi yang kelihatan berkuasa dalam kalangan penduduk setempat di situ. Sejak kejadian malam itu, kelibat Ratu Dewi masih belum pernah kelihatan lagi. Akan tetapi perasaan risau dan takut sentiasa bersarang di hati para penduduk di situ, malah ada yang sudah berpindah ke kampung seberang kerana perasaan takut yang teramat.

Para penduduk kampung Nelayan juga bertambah taksub dan percaya dengan kekuasaan Ratu Dewi apabila tangkapan ikan mereka juga semakin bertambah. Walhal ALLAH yang mengirimkan semua rezeki itu. ALLAH memang tidak mempercepatkan rezeki itu, tetapi tidak juga melambatkan jika hambanya memerlukan. Maha suci ALLAH yang menciptakan langit dan bumi.

SEPI menyelimuti suasana Perkampungan Nelayan. Bulan mengambang yang sarat menghamparkan cahaya terang. Air laut yang disimbahi cahaya itu kelihatan keemasan. Kala inilah air laut perlahan berpusar dan membuak seperti ditujah dari dasar. Para penduduk yang berumah di pinggir pantai mula ketakutan.

Sesusuk tubuh kelihatan terawang-awang di awanan. Perlahan mendarat dan menapak ke hadapan. Kebengisan yang bertopengkan kejelitaan disembunyikan disebalik raut wajah Ratu Dewi. Dia mula menapak ke hadapan lalu mengangkat tangan, tidak semena-mena timbul figura yang berbentuk manusia yang terhasil daripada air laut yang terangkat. Ratu Dewi bertempik. Dia sangat marah apabila tidak disambut dan diagung-agungkan oleh penduduk kampung Nelayan itu.

“Ratu Dewi! Tolong jangan apa-apakan kami. Kami sudah memenuhi kehendak Ratu.” Jali berlari-lari anak ke pinggir pantai.

“Kalian semua harus mati!.” Ratu Dewi berang lalu mengarahkan tangannya ke daratan. Pusaran air laut yang dimanipulasinya bagaikan taufan yang mengganas.

Mereka semua tergamam apabila air laut yang menuju kencang ke arah rumah-rumah penduduk kampung itu berhenti. Seolah-oleh dibekukan oleh kesejukan dek malam. Ratu Dewi jadi geram, dia menambahkan lagi tekanan arus kuasanya namun masih gagal. Akhirnya dia terundur setapak ke belakang dan air laut yang dimanipulasikan olehnya jatuh menghempas pantai.

“Siapa kau, keluarlah. Jangan hanya jadi pengecut yang berselindung di sebalik kesuraman!” Ratu Dewi bertempik sambil memandang ke satu arah. Perlahan semak belukar bergerak-gerak. Geseran dedaunan kedengaran, seolah-olah ia sengaja membuka jalan supaya yang empunya badan dapat berjalan tanpa sebarang halangan.

“Assalamualaikum, wahai makhluk ALLAH.” Suatu suara lembut kedengaran dari empunya badan yang masih terselindung di sebalik suramnya malam.

“Siapa kau?” Ratu Dewi mengepal tangan.

“Aku hanya makhluk yang lemah sepertimu, Ratu.” Kelihatan Shafi berjalan dengan penuh tertib menuju ke pantai. Walaupun berhadapan dengan musuh, tutur bicaranya tetap penuh adab dan sopan – wajah bersihnya terpempan di bawah lindungan cahaya rembulan nan kembang. Para penduduk terkejut dengan kehadiran lelaki itu.

“Kau mencampuri urusanku, orang asing. Siapa kau sebenarnya?” Ratu Dewi semakin diamuk marah.

“Nama hamba Shafi, hentikan pemujaan yang kau serukan kepada para penduduk.” Shafi kelihatan tenang. Sebilah keris yang diperbuat daripada besi waja tersisip kemas di pinggang.

“Itulah cara terbaik untuk mereka memuja!” Ratu Dewi tampak marah kerana larangan yang dikemukakan oleh Shafi.

“Tiada cara terbaik memuja dan memuji selain daripada solat dan berzikir, Ratu.” Shafi bersiaga. Nampaknya manusia yang dihadapinya ialah manusia syirik. Sesungguhnya syirik adalah dosa paling besar dan tidak akan diampunkan oleh ALLAH. Shafi segera melafazkan kalimah syahadah – memperbaharui iman dan kepercayaan di dada.

“Kurang ajar, rupanya kau membawa anutan baharu! Lautan adalah Tuhan.” Ratu Dewi bertempik lalu mengatur serangan.

“Tiada Tuhan selain ALLAH, Ratu.” Shafi membuka tangan lalu dilebarkan ke arah sisi kanan. Pertempuran akan tercetus antara kebaikan dan kejahatan – dan sesungguhnya, ALLAH sentiasa melindungi orang-orang yang berada di jalan yang lurus lagi benar.

PERTEMPURAN kelihatan tidak seimbang. Beberapa kali Ratu Dewi tersungkur ke tanah menerima penangan Shafi. Dan kali ini, Ratu Dewi melayang tinggi lalu meluru kencang ke arah Shafi.

Shafi terpaksa sedikit mendongak ke atas. Dia menelaah pergerakan Ratu Dewi. Dengan pantas Shafi membuat satu lonjakan tinggi meluru ke arah Ratu Dewi. Satu dentuman berlaku. Ratu Dewi kelihatan jatuh ke tanah, Shafi pula mendarat dengan kemas ke arah yang bertentangan. Dia segera mendekati manusia penyembah syaitan itu.

“Kau memang hebat, Shafi.” Ratu Dewi mencebik. Kesan tujahan masih terasa di urat-urat darah.

“Kembalilah kepada ALLAH, selagi kita ada ruang dan peluang.” Ternyata Shafi sedikit pun tidak termakan pujian itu. Sesungguhnya pujian hanya akan memakan diri apabila mula berasa hebat – yang maha hebat itu hanyalah ALLAH, penguasa sekalian alam.

Ratu Dewi mengepal tangan, dengan tidak semena-mena air laut menyembur ke arah mereka. Apabila sudah reda, Ratu yang berhati busuk itu sudah berada di depan mata. Shafi sekadar beristighfar, kemudian tangannya direntangkan di depan lalu membuka langkah persilatan rahsianya. Maka tercetuslah satu pertarungan antara kebaikan dan kejahatan.

Sudah beberapa kali Ratu Dewi menerima hambatan demi hambatan. Sekujur tubuhnya menjadi lesuh. Dia kehabisan kudrat tempur. Shafi pula hanya bersahaja. Bernafas dalam keadaan yang terkawal. Apabila tangan Ratu Dewi terbuka, bahagian depannya terdedah kepada serangan. Masa inilah Shafi menghunus keris Perpisahan yang sedari tadi tidak digunakan lalu ditikam ke dada kiri manusia sesat itu dan ditarik semula. Maka darah pekat kehitaman pun membuak keluar.

Ratu Dewi tersungkur rebah. Dadanya berombak lemah. Ini menandakan dia berada di ambang sakaratul maut. Dia tertewas di tangan Shafi. Maka, perlahan-lahan jasadnya hancur dan bertukar menjadi air yang berwarna kehijauan. Dia telah mati tanpa jasad. Penduduk Perkampungan Nelayan itu bersorak-sorai. Mereka amat gembira dengan kemenangan itu yang sekali gus membebaskan mereka daripada belenggu aura jahat Ratu Dewi.

Shafi disambut baik, Aki Baji mempelawa untuk bermalam di rumahnya – malah makan minum juga disediakan. Shafi berterima kasih lalu berulang kali memuji ALLAH Azza Wajalla. Di sebalik kekalutan malam, Pangeran Aring dan Bagaro hanya menyaksikan pertarungan itu di atas pohon yang agak tinggi. Mereka menderam dan akhirnya menghilangkan diri dalam keadaan kekafiran. Sekutu mereka telah mati dibunuh. Tewas di dalam kegelapan malam.

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.