Home Novel Thriller/Aksi PETAKA NYAWA
PETAKA NYAWA
Riduan Judin
12/1/2014 20:04:10
108,030
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 16

Kota Langkasuka

MALAPETAKA yang sampai ke telinga Raja Mahadewa amat mendukacitakan. Namun beliau lapang hati apabila mendengar ada seorang lelaki baik hati yang menumpaskan kejahatan Ratu Dewi. Raja itu sangat berbesar hati untuk mengetahui gerangan lelaki itu. Dengan hati yang terbuka, dia segera mempelawa dengan mengirim seorang utusan yang membawa titah secara lisan.

“Mohon sembah, Tuanku.” Seorang pengawal duduk bersimpuh mengikut adat istiadat menghadap Raja.

“Bangkitlah dari sembahmu, pengawal.”

“Utusan telah kembali, Tuanku.”

“Baiklah, bawalah menghadap Beta, pengawal.” Raja Mahadewa hanya menunggu perkhabaran yang dibawa. Tidak lama kemudian utusan itu masuk menghadap.

“Mohon sembah, Tuanku.” Utusan itu duduk bersimpuh.

“Perkhabaran apakah yang kau bawa?” Raja Mahadewa ternyata tidak sabar.

“Selang Sehari dia akan berkunjung menghadap Tuanku.” Utusan itu tunduk tanda hormat.

“Bagaimanakah perawakannya?” beta khuatir dia hanyalah seorang manusia serigala bertopengkan domba.” Raja Mahadewa ternyata masih risau dengan kejadian yang melanda Perkampungan Nelayan itu.

“Dia seorang yang sangat baik, suka berterima kasih dan mempunyai cara pertuturan yang sangat beradab, Tuanku.” Utusan itu menyampaikan berdasarkan penilaian secara kasarnya.

“Baiklah, jika begitu kita akan berikan penghargaan kepadanya. Beta dan anakanda sendiri yang akan melayannya.” Raja Mahadewa ternyata seorang yang menghargai pengorbanan.

Imbas kembali...

SHAFI dan para penduduk terkejut dengan kedatangan sekumpulan yang menunggang kuda. Melalui pakaian, Para penduduk sudah mengetahui yang datang itu merupakan utusan Raja yang mereka agung-agungkan. Shafi hanya berdiri dengan tenang.

“Selamat datang wahai para utusan Raja agung.” Aki Baji menyambut kedatangan mereka secara terbuka.

Seorang utusan yang mengetuai rombongan itu turun dari kuda lalu menapak ke hadapan. Matanya melilau mencari sesuatu, dan matanya berhenti ke arah Shafi apabila melihat perbezaan perwatakan dan cara berpakaian.

“Apakah dia yang menyelamatkan kampung ini daripada belenggu hantu air?” Ketua utusan itu bertanya sambil melihat ke arah Shafi.

“Benar, dialah lelaki baik hati itu.” Aki Baji segera menjawab. Utusan itu pula terus mendekati Shafi.

“Apakah kau yang menentang hantu-hantu air itu?” Utusan itu sekadar menduga.

“Benar, secara kebetulan hamba melalui perkampungan ini.” Shafi bertutur dengan nada santun.

“Kau memang hebat, siapakah geranganmu orang asing?” Utusan itu sedikit kasar, namun masih baik melalui pertimbangan Shafi.

“Nama hamba, Shafi. Hamba hanyalah insan biasa.” Shafi merendah diri.

“Raja Mahadewa menyampaikan utusan yang berbentuk undangan kepadamu, Shafi.” Utusan itu segera menyampaikan segulung kain yang bertuliskan bahasa Siam. Tidak sukar baginya memahami isi kandungan surat itu.

“Baiklah, dalam sehari-dua ini hamba akan berkunjung. Terima kasih atas jemputan ini.” Shafi memulangkan semula gulungan kain itu.

“Kalau begitu, aku akan tinggalkan seekor kuda terbaik kami. Tungganglah ketika berkunjung ke istana nanti.” Utusan itu mengisyaratkan supaya seekor kuda ditambat di perkarangan rumah Aki Baji.

“Terima Kasih atas kebaikan kalian semua.” Shafi sedikit tunduk.

“Jangan lupa untuk berkunjung, Shafi. Raja sedang menunggumu.” Utusan itu segera pergi dengan meninggalkan seekor kuda sebagai tunggangan Shafi bagi mempermudah perjalanan kelak.

Pelabuhan Aceh

KELOMPOK bangsa Belanda yang berdagang di negeri serambi Mekah itu ialah terdiri daripada rombongan Keano yang mengambil kesempatan untuk memasuki negeri itu dengan cara ingin berdagang. Keterampilan mereka yang menyerupai saudagar-saudagar kaya menarik perhatian banyak pihak untuk menjalinkan urusan jual beli termasuk pertukaran barang secara sukarela iaitu sistem ‘barter’.

“Dari manakah tuan sekalian ini datang?” Seorang pedagang yang berasal dari negeri itu bertanya.

“Kami datang dari negeri seberang, saudagar.” Konco-konco Keano memberitahu yang lebih kepada pembohongan.

“Kepulauan Borneo?” Pedagang itu bertanya setelah meneliti raut wajah mereka yang agak berbeza.

“Wilayah yang lebih jauh dari Borneo.” Selamba sahaja Keano menjawab.

“Baiklah, semoga kalian semua menyukai tempat ini.” Saudagar itu segera berlalu pergi kerana menguruskan hal-hal perdagangannya.

“Tanah ini akan aku ratakan dengan darah.” Keano bermonolog dalaman.

Penduduk Aceh sebenarnya antara masyarakat yang sangat berbudi bahasa dan menghormati orang luar pada masa itu.

Dalam kelekaan pemerintah pada masa itu, kedatangan rombongan Keano di negeri serambi Mekah itu langsung tidak disedari sebagai penjajah. Walaupun paras wajah jelas menunjukkan bahawa mereka bukanlah berasal dari mana-mana negeri Nusantara kerana mereka mengamalkan sikap terbuka dan saling menerima antara satu dengan yang lain.

Perancangan Keano pada peringkat pertama telah berjaya iaitu dengan memasuki dan menduduki Aceh tanpa sebarang masalah. Malah mereka disambut baik dan diberikan ruang berdagang di salah satu pelabuhan di situ. Dan rancangan kedua pasti akan menyusul, tipu dayanya ternyata berkesan mengabui mata para pembesar di negeri itu.

“Apa yang kita akan lakukan selepas ini, tuan muda?” Seorang daripada orang bawah Keano bertanya.

“Teruskan penyamaran kita sebagai pedagang. Aku akan menyelidiki selok-belok negeri ini dan mencari jalan untuk menjatuhkannya.” Keano agak serius.

“Baik, tuan muda.” Orang bawahan itu terus berlalu.

KERINDUAN sesekali mencuit hati anak bangsawan kelahiran Belanda itu – Keano. Sejak meninggalkan benua Eropah dua bulan lalu, dia sering kali didatangi mimpi indah bersama kekasihnya – Nealofa. Atas dasar kuasa, cinta suci yang mereka berdua agungkan terpisah antara lautan apabila Keano nekad untuk menjelajah ke Asia.

Keazamannya untuk mempunyai kuasa besar sangat tinggi sehingga cintanya yang suci pun sanggup di ketepikan. Namun jauh di sudut hati, rasa cintanya terhadap Nealofa lebih mendalam.

Sejak meninggalkan negara barat itu, dia sering diulit kenangan-kenangan silamnya. Kenangan manis dan pahit – datang silih berganti tanpa diundang. Ia hadir dalam ruang minda sedarnya berdasarkan situasi dan keadaannya sekarang.

“Tolong jangan kau pergi, Keano.” Suara sayu Nealofa masih terngiang-ngiang di anak telinga Keano.

Secara realitinya, Keano sangat pentingkan diri sedangkan Nealofa sedang menderita. Tekanan perasaan kerana ditinggalkan begitu sahaja. Walhal mereka pernah bersumpah janji sebelum ini – ‘sehidup dan semati’. Lambang cinta mereka suatu ketika dahulu. Akhirnya Keano menarik nafas panjang sebelum membuang bayangan itu sejauh-jauhnya.

Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.