Home Novel Thriller/Aksi PETAKA NYAWA
PETAKA NYAWA
Riduan Judin
12/1/2014 20:04:10
109,597
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 1

1

Tanah Nusantara

S

HAFI duduk bersila di sebuah wakaf dengan matanya yang terkatup rapat. Di tangannya tergenggam seutas tasbih yang diperbuat daripada batuan putih yang diukir kecil. Mulutnya terkumat-kamit melafazkan kalimah-kalimah suci secara perlahan. Angin semilir yang bertiup dari utara itu langsung tidak membejatkan khusyuknya memuji ALLAH. Keadaan dirinya kala ini seperti berada di langit ketujuh, jasadnya di dunia manakala rohnya melayang merentasi awan gemawan. Sudah agak lama Shafi begitu. Menghambakan dirinya kepada TUHAN Yang Maha Esa. Secara tiba-tiba munajatnya terhenti apabila disapa dari belakang.

“Assalamualaikum.” suara lembut seseorang mengucapkan salam yang berunsur kesejahteraan itu.

Shafi seraya menoleh. Keadaan persekitaran yang suram menyukarkan Shafi melihat raut wajah empunya suara tersebut dengan jelas. Namun, suara itu amat dikenalinya.

“Walaikumsalam, bapa.” Salam suci berbalas.

“Apa yang kau lihat sekarang, Shafi?”

Shafi melihat di sekelilingnya. “Gelap, bapa.”

“Gelap. Ia ibarat kehidupan kita esok hari. Banyakkan mengingati ALLAH Shafi, serahkan seluruh dirimu kepada-Nya. Tingkatkan ketakwaan dalam hati anakku” Kiai Jabar tidak pernah lupa menasihati Shafi. Lelaki yang sudah separuh abad itu merupakan guru kepada Shafi. Tetapi menjadi bapa asuhannya apabila kedua orang tuanya mati dibunuh. Dia merupakan seorang anak yatim piatu kala ini.

“Baik bapa, aku akan sentiasa mengingati pesanan ini walau di mana saja aku berpijak.” Shafi menundukkan sedikit wajahnya tanda hormat.

“Ingat anakku, setinggi mana pun ilmumu, jangan diangkat melebihi pundakmu dan apabila engkau tersasar dari mengingati ALLAH, maka segeralah pulang ke pangkal jalan.” Selepas mengakhiri kata-kata nasihatnya, Kiai Jabar menghilangkan diri. Dia hilang di sebalik suram. Bukan ilmu sihir, tetapi itulah di antara kelebihan-kelebihan yang ALLAH kurniakan kepadanya - Ia Ilmu hijab.

Shafi seraya beristighfar berulang kali, terasa dirinya sentiasa memikul bebanan dosa yang sangat banyak. Justeru, lidahnya tidak pernah kering daripada menyebut nama yang paling suci dan agung - Nama-nama Asma ALLAH. Akhirnya, Shafi terlena dalam keadaan dia bertasbih.

Seawal subuh Shafi sudah berada di musolah. Dia duduk-duduk di serambi musolah itu sambil mendongak ke langit. Hatinya tidak pernah bisu mengagungkan kekuasaan-Nya. Shafi memang seorang lelaki yang sangat berdisiplin. Seumur hidupnya, dia pasti akan bangkit dulu sebelum fajar menyinsing di ufuk timur. Manakala di malam hari, Shafi khusyuk beribadat.

Selepas Shafi terlelap sepertiga malam tadi, dia hanya tidur dalam waktu yang agak singkat. Lebih kurang dalam lapan kali khatam bacaan Surah Yassin oleh orang yang fasih membaca Al-Quran. Selepas itu dia akan bangkit dari tidurnya untuk bersedia menunaikan solat subuh.

SHAFI tekun membantu gurunya Kiai Jabar mengajar rakan seperjuangannya membaca Al-Quran. Madrasah ini dibina sejak setengah abad yang lampau. Tempat ini adalah syurga bagi anak-anak yatim piatu. Dan di sinilah Shafi diasuh oleh Kiai Jabar sehinggakan Shafi menjadi salah seorang anak muridnya yang sangat cemerlang dari segala aspek. Setelah matahari hampir menjangkau ubun-ubun kepala, semua pengajian dihentikan seketika untuk mengalas perut. Selepas itu, solat zohor dan melakukan kerja-kerja yang boleh mengukuhkan ukhwah antara mereka.

Kiai Jabar sedari tadi asyik memerhati Shafi, lelaki itu sungguh ikhlas dan bersungguh-sungguh ketika menyampaikan ilmu. Apabila Shafi selesai mengajar tajwid, Kiai Jabar memberi isyarat lisan agar Shafi menemuinya sebentar lagi.

“Ada apa, bapa?” Shafi berdiri di sisi bapa suhan yang juga gurunya itu.

“Anakku, adakah kau mengerti kunjunganku di sepertiga malam tadi?” kata-kata Kiai Jabar sungguh berlapik.

“Maafkan aku bapa, aku kurang mengerti.” Shafi sukar memahami kehendak soalan gurunya itu.

“Anakku, kaulah satu-satunya asuhanku yang terbaik dalam madrasah ini. Justeru, kaulah harapanku.”

“Aku mengerti, bapa. Apa yang perlu aku lakukan?” Shafi sedang menelaah sesuatu di sebalik raut wajah bersih Kiai Jabar.

“Saudara kita sedang terancam di seberang selang tiga perbukitan ini. Bantulah mereka. Naluri uzurku ini mengkhabarkan bahawa ada semangat jahat yang sedang berkeliaran di sana.” Kiai Jabar menuturkan kata-kata tersebut dalam keadaan dirinya yang risau.

“Siapakah dalang di sebalik semua ini, bapa.”

“Maafkan bapa, anakku. Bapa sudah terlalu tua untuk menangani semua ini, dia makhluk sumpahan anakku.”

“Subhanallah.” Secara tidak diundang kalimah suci itu terpacul daripada bibir Shafi.

“Segeralah bersiap Shafi. Lawatlah hamba ALLAH yang tersesat dari jalan-Nya itu”

“Baiklah bapa, doakan pemergianku.” Shafi lantas bersalam dengan Kiai Jabar. Lalu dia mencium tangan lelaki separuh abad itu.

Desa Talang Putih

SHAFI sedang khusyuk bermunajat kepada ALLAH. Suasana di persekitaran hutan ini begitu sunyi. Hatta, bunyi seekor cengkerik pun tidak kedengaran. Alam sekeliling seperti mengkhabarkan fenomena buruk akan terjadi pada hari ini. Setelah sampai petang tadi, Shafi melaungkan azan di kawasan itu lantas menunaikan solat asar. Sekarang, lelaki itu baru sahaja selesai menunaikan solat maghrib.

Bergetar hati Shafi ketika menoktahkan bacaan tahiyat akhir dalam solat maghribnya tadi. Dipengaruhi oleh perasaan yang takut. Bukan takut kepada sesama makhluk, tetapi takut kepada ALLAH. Baru sebentar tadi dia memutuskan nikmat manisnya beribadah kepada ALLAH. Itulah sebab hatinya bergetar ketika memberi salam di akhir solatnya. Itulah salah satu keistimewaan Islam, iaitu tiada penghalang ataupun perantaraan jika ingin berhubung dengan TUHAN.

BAGARO mengintai-intai perlakuan Shafi dari sudut malam. Kehadiran anak muda itu telah mengundangnya untuk keluar dari tempat persembunyiannya dari siang hari tadi. Perlahan-lahan dia menyusup di celah-celah dedaun, lantas berdiri menapak di dahan pokok besar di hutan tua itu.

Shafi masih tidak berganjak walau setapak pun dari tempat duduknya ketika selesai menghambakan dirinya kepada ALLAH sebentar tadi. Dia seperti tidak sedarkan diri. Matanya terkatup rapat. Hanya bibirnya sahaja yang sedikit bergerak. Jika didengar dari dekat, alunan zikir akan kedengaran merdu dan berupaya menenangkan hati yang gusar. Secara tiba-tiba, anak telinga Shafi bergetar, bulu romanya meremang. Dia membuka kelopak matanya perlahan-lahan. Ketika pandangannya menyapa malam yang kelam, kelihatan satu lembaga manusia sedang berdiri selang dua hasta daripadanya. Dia – Bagaro. Pancaran kelam bulan mempamerkan susuk tubuh Bagaro yang sasa dan berbulu. Kukunya tajam bak belati, mulutnya menyeringai yang mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.

“Assalamualaikum wahai hamba ALLAH.” Shafi lantas bangun dan memperkemaskan keadaan dirinya.

“Berani-beraninya kau datang ke sini.” Bagaro mencebik. Sekali gus menampakkan baris giginya yang tidak teratur dan berwarna kekuningan.

“Apa salah penduduk di sini sehingga kau sanggup membunuh mereka?” Shafi tidak menjawab, malah mengutarakan kembali soalan yang kurang menyenangkan Bagaro.

“Jahanam!” Bagaro bertempik seraya mengatur langkah ke depan dan memulakan serangan. Shafi hanya mengukir senyuman sinis lalu membentangkan tangannya ke depan.

Previous: PROLOG
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.