Home Novel Thriller/Aksi PETAKA NYAWA
PETAKA NYAWA
Riduan Judin
12/1/2014 20:04:10
108,022
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 4
Istana Kayangan, Kota Amuriah

PUTERI QAISARA sedang berteleku di hamparan permaidani yang diperbuat daripada kain sutera. Sebuah patung besar berdiri kaku di hadapannya. Ia merupakan cara kaumnya beribadat. Upacara keagamaan yang nyata terseleweng dari landasan kehidupan. Sesekali Puteri Qaisara terketar-ketar dan mendongak ke bumbung istana yang berbentuk segi tiga. Dia sudah hilang kawalan diri. Seperti dirasuk satu kuasa dan mengekang fikirannya. Dia berjaya bersatu dengan tuhan sembahannya.

Ia adalah amalan nenek moyang yang diwarisi turun-temurun. Sesungguhnya, amalan yang menyekutukan ALLAH itu adalah sebesar-besar dosa. Tidak akan diampunkan. Tetapi, tidak pula Suhail berbuat begitu. Dia seperti tidak mempunyai sebarang anutan agama kerana tidak pernah melakukan upacara kerohanian itu.

Dia manusia yang kosong. Tiada panduan hidup. Tetapi ia lebih baik daripada hidup berpandukan syaitan. Seperti kaum Puteri Qaisara. Kesesatan yang sangat nyata. Perbuatan seperti ini pernah berlaku kepada kaum Nabi Ibrahim a.s yang menjadikan Kaabah sebagai tempat menyimpan patung-patung.

Suhail duduk-duduk di halaman istana. Dia menggilap panahnya agar kelihatan lebih berkilau. Apabila sudah siap, dia memulakan latihannya. Memanah di suatu kawasan lapang di hadapan. Hanya patung-patung yang berbentuk figura manusia sahaja yang kelihatan tercatuk di situ. Suhail menarik tali busurnya seraya dilepaskan. Patung pertama itu tembus tanpa terjatuh.

Anak panah terus melencong, mencari sasarannya dengan sendiri. Sebenarnya ia dikawal oleh naluri Suhail yang bersifat pemburu. Tinggal satu sahaja patung yang belum ditembusi. Dia tersenyum kelat lantas menarik sebatang anak panah dari belakangnya. Dia menelaah ke hadapan, fikirannya kosong. Kudratnya ditumpukan pada bidikan terakhirnya. Bunyi geselan kedengaran ketika dia menarik tali busurnya tadi.

Ketika inilah fikirannya tiba-tiba jadi berserabut. Banyak bayangan yang muncul di benak. Wajah seorang wanita dan seorang lelaki. Kemudian muncul pula seorang kanak-kanak lelaki. Anak panah dilepaskan serta-merta. Kali ini, bidikannya jauh tersasar. Suhail jadi marah. Bidikannya tidak pernah tersasar sebelum ini. Kecuali ketika kehadiran bayangan itu. Dia menderam lalu menarik sebatang anak panah berkepala naga.

Sebaik sahaja dilepaskan, anak panah tersebut berpecah tujuh dan meluncur laju ke arah sasaran. Ketika anak panah itu meluncur, kelihatan percikan api kecil. Ia terhasil akibat geseran angin dengan batu permata yang terdapat di hujung mata anak panah itu. Puteri Qaisara hanya kaku melihatnya perlakuan Suhail dari beranda istana yang gah itu.

Langkasuka, Tanah Nusantara

SHAFI membilang-bilang tasbih di telapak tangannya. Angin malam yang menyelusur melalui perbukitan memang nyaman. Jiwanya sangat tenang kala ini. Baru sebentar tadi dia solat malam. Menggagahkan kudratnya walaupun beku dek bayu sejuk. Shafi seorang lelaki sederhana. Sangat tinggi budi pekerti dan lemah-lembut.

Segenap ruang kamar tidur Shafi menjadi terang. Shafi tidak terkejut kerana sudah biasa dengan fenomena itu. Dia segera menghentikan zikirnya lalu membuka perlahan kelopak matanya.

“Assalamualaikum, anakku.” Kiai Jabar melafazkan kata suci itu lalu duduk menghadap Shafi. Salam disambut lembut.

“Shafi, diamlah kau dari kata-kata, andai kata-kata itu tidak membawa makna. Ingat tiga perkara anakku, jagalah pandangan matamu, jagalah naluri kelelakianmu, dan yang terakhir jagalah lidahmu. Kiai Jabar lebih suka berkias kata namun maknanya mudah difahami.

“Bapa, aku sudah tiada siapa-siapa di dunia ini. Aku sebatang kara. Tetapi aku bersyukur kerana bapa sentiasa memberikanku semangat dan petunjuk.”

“Bersangka baiklah dengan ALLAH, anakku. Semua itu ada hikmahnya, Insya-ALLAH suatu hari nanti pasti akan ada penghujung Qada dan Qadar kita.” Kiai Jabar tampak tenang.

Tiba-tiba suasana di luar menjadi riuh. Kiai Jabar dan Shafi segera keluar. Alangkah terkejutnya mereka apabila melihat beberapa buah tempat kediaman penghuni madrasah itu telah dijilat api. Siapa pelakunya? mereka semua tidak pula mengetahuinya.

Shafi berlari pantas lalu memijak sebatang tunggul seraya membuat satu lonjakan tinggi sehingga mencapai loceng besar di sebuah pagoda. Dia membunyikan loceng itu bertalu-talu. Biasanya, loceng itu akan dibunyikan apabila telah masuk waktu solat fardhu ataupun ada sebarang perjumpaan sebagai musyawarah. Tetapi pada malam ini, loceng itu dibunyikan atas nama darah dan nyawa. Penghuni-penghuni Madrasah itu harus diselamatkan.

Api yang tinggi menjulang gagal dipadam. Penghuni madrasah itu juga ramai yang telah meninggal kerana terbakar. Penghuni yang sedang melakukan tahajjud sahaja yang sempat melarikan diri ke kawasan kecemasan. Manakala yang sedang tidur rata-ratanya telah rentung bersama timbunan kayu yang telah terbakar.

“Lari!... semua pergi ke kawasan datar.” Suara Shafi mendayu-dayu ke serata tempat. Manakala Kiai Jabar pula sibuk memberi pertolongan kepada anak-anak buahnya yang telah terbakar dan masih terselamat. Selang beberapa waktu, keadaan sudah kembali tenang. Hanya asap tebal sahaja yang kelihatan masih sudi bergembira dibawa angin sepertiga malam.

Awan kelihatan mendung, pokok-pokok seperti menangis melihat malapetaka itu. Para penghuni madrasah itu menangis seiring dengan keadaan hati mereka yang gundah-gulana. Shafi juga tidak terkecuali. Kesedihan membaluti sekeping hatinya.

Tiba-tiba kepulan asap hitam timbul di sebalik rimbunan api yang telah terpadam. Kelihatan seorang lelaki yang berselubung hitam bergerak perlahan menuju ke arah mereka. Mereka menajamkan pandangan anak mata untuk mengenal pasti siapa yang datang, tetapi keadaan gelap menyukarkan mereka untuk melihat wajah lelaki itu.

“Siapa kau, berhenti di situ.” Shafi bersuara lantang lalu menapak sedikit ke hadapan.

“Aku adalah makhluk yang dicipta daripada api, hahaha...” lelaki berselubung hitam itu galak ketawa.

Nauzubillah’min zalik.”Shafi sudah tahu siapa yang bertandang. Patutlah Dia tidak lut oleh api tadi. Shafi segera berzikir perlahan, mengagungkan ALLAH adalah cara terbaik. Perlindungan secara terus daripada ALLAH Tuhan sekalian alam.

“Syaitan yang dilaknat. Keturunanmu terlalu banyak menyusahkan manusia!” Shafi segera membuka langkah dan membuat satu putaran di udara. Kaki kanan ditujah ke dada lelaki tadi tapi secara tiba-tiba telah ghaib lalu muncul pula di atas sebuah pelantar tinggi. Shafi tidak menunggu lama, dia hendak membuat satu lonjakan tinggi tetapi membatalkan niatnya. Kehadiran dua lembaga hitam di belakang lelaki tadi telah mengejutkannya. lembaga itu menderam. Bayu lembut dan suci yang mereka hela bertukar kehitaman setelah dihembus kembali ke udara.

Dua makhluk itu tidak menunggu lama, tangan direntangkan. Kuku yang tajam dilaga-lagakan. Satu cantasan pasti akan meragut nyawa. Dua makhluk itu melompat tinggi, lalu menerkam ke arah Shafi. Lelaki berselubung hitam itu pula hanya memerhati sahaja. Shafi berdiri kukuh. Malam ini dia hanya bertarung dalam keadaan tangan kosong. Tanpa senjata, bahaya pasti sedang mengintai nyawa.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.