Lautan
Hindi
NEALOFA berdiri di atas armada yang diterajui oleh para kelasi
kapalnya. Nealofa - anak dara pingitan yang berdarah bangsawan dari Amsterdam, Belanda.
Dia melabuhkan kapal agam itu di lautan Atlantik dan menuju ke lautan Hindi
iaitu ke arah negara Asia-Timur. Pelayarannya adalah untuk menjejaki kekasihnya
Keano yang meluaskan pengaruhnya melalui jajah dan takluk. Sejak berpisah
sebulan lalu, hatinya menjadi rawan. Hidupnya tidak teratur, rindu yang
menghambat jiwa terasa menusuk jantung nan satu.
Gelora
lautan Atlantik membuak. Keganasan ombak yang memukul dinding kapal seakan
taufan yang menggila. Marah dengan tindakan mereka melalui kawasan itu. Ombak
kian mengganas, seperti ingin menenggelamkan armada serta semua isinya di dasar
lautan. Dan sudah pastinya mereka akan berpusara di dasar laut yang tidak
bertanda.
Setelah
mengharungi detik cemas, keadaan sudah kembali tenang semula. Angin yang sedari
bertiup kencang kini sudah merangkak lesu menyelusuri ruang udara dan awanan
yang kelihatan pilu.
“Tambah
kembali kelajuan armada.” Nealofa selaku majikan tertinggi di kapal itu memberi
arahan. Para kelasinya pantas menambah bahan bakar dan mengatur apa yang patut.
Tidak lama kemudian, kapal semakin laju membelah lautan yang terhampar di
hadapan. Sesungguhnya lautan, daratan, butiran pasir dan helaian dedaunan
adalah antara ciptaan ALLAH yang maha hebat.
NEALOFA semakin gundah. Kesabarannya untuk menatap
raut wajah Keano sudah hilang sedari kapal itu berlabuh – dia terlalu rindu.
Sehinggakan saban waktu dia tidak rela lagi menunggu kepulangan kekasihnya ke
pangkuan, lalu mengambil keputusan untuk menyusul atas kebenaran ayahnya.
Dia
diulit kenangan. Keasyikan asmara yang membalut hatinya tidak sedikit pun
melemahkan semangatnya meredah lautan yang memisahkan Eropah dan benua Asia.
Secara tidak disengajakan dia terimbau kenangan saat perpisahan antara mereka
di negara tempat matahari tenggelam itu.
Amsterdam,
Belanda
KEANO berdiri sambil memandang Nealofa. Ditatapnya
puas-puas wajah gadis yang sangat dicintainya. Mereka ialah sepasang kekasih
yang disatukan keluarga atas rasa cinta, atas sebuah kuasa.
“Aku akan berpergian buat sementara waktu, Nealofa.”
Kedengaran suara Keano. Nealofa hanya memandangnya dengan pandangan sayu agar
keano mengerti melalui anak matanya yang dia tidak merelakan pemergian itu.
“Jaga diri dan hatimu di seberang benua sana, Keano.”
Nealofa semakin dirundung kesedihan lalu memeluk Keano. Di dada Keano, dia
menumpahkan segala air mata kerinduan yang akan tertangguh apabila dia tiada di
sisi kelak. Keano hanya memejam mata, mentafsir perlakuan Nealofa. Jauh di
sudut hati, sebenarnya dia tidak akan sampai hati untuk berpisah.
“Selamat tinggal, Nealofa.” Tiga perkataan terakhir
Keano mengejutkan Nealofa daripada kenangan duka itu. Dia lantas mengesat air
mata yang mengalir tanpa disedarinya. “Kenapa kau ucapkan kalimah itu, Keano?”
Nealofa bermonolog.
Pinggir
Kota Langkasuka
JALI dan beberapa penduduk kampung Nelayan terbaring
lesuh. Kedegilan mereka membuakkan amarah Ratu Dewi, dan apabila amarah
menguasai diri maka api pasti akan membara. Pujaan yang mereka lakukan ternyata
bertukar malapetaka, bukan perlindungan dan kebebasan yang diberikan Ratu
penyembah syaitan itu melainkan hanya kedustaan yang nyata.
Imbas
kembali...
JALI dan beberapa penduduk kampung Nelayan itu
terhuyung ke belakang apabila ditujah oleh pusaran ombak. Ratu Dewi yang
terawang di udara melebarkan telapak tangan sekali gus menunjukkan keperkasaan
dirinya. Hanya dengan satu serangan sahaja pemuda-pemuda itu berjaya
dijatuhkannya.
“Ampuni
kami, Ratu Dewi.” Suara Jali serak-serak.
“Atas
sebab apa kalian harus aku ampuni?” Ratu Dewi mencebik.
“Kami
akan lakukan apa sahaja yang Ratu inginkan, tapi tolonglah bebaskan kami.” Jali
merayu-rayu.
“Baiklah...
sepurnama lagi aku akan datang kembali. Teruslah membuat upacara pemujaan di
laut ini. Pasti hasil tangkapan ikan kalian semua akan bertambah lagi.” Ratu
Dewi ketawa mengilai sebelum menghilangkan diri di bawah pusaran tebing laut
yang bergelora.
PENDUDUK kampung Nelayan galak melakukan pemujaan
terkutuk itu apabila diancam oleh Ratu Dewi yang kelihatan berkuasa dalam
kalangan penduduk setempat di situ. Sejak kejadian malam itu, kelibat Ratu Dewi
masih belum pernah kelihatan lagi. Akan tetapi perasaan risau dan takut
sentiasa bersarang di hati para penduduk di situ, malah ada yang sudah
berpindah ke kampung seberang kerana perasaan takut yang teramat.
Para
penduduk kampung Nelayan juga bertambah taksub dan percaya dengan kekuasaan
Ratu Dewi apabila tangkapan ikan mereka juga semakin bertambah. Walhal ALLAH
yang mengirimkan semua rezeki itu. ALLAH memang tidak mempercepatkan rezeki
itu, tetapi tidak juga melambatkan jika hambanya memerlukan. Maha suci ALLAH
yang menciptakan langit dan bumi.
SEPI
menyelimuti suasana Perkampungan Nelayan. Bulan mengambang yang sarat
menghamparkan cahaya terang. Air laut yang disimbahi cahaya itu kelihatan keemasan.
Kala inilah air laut perlahan berpusar dan membuak seperti ditujah dari dasar.
Para penduduk yang berumah di pinggir pantai mula ketakutan.
Sesusuk
tubuh kelihatan terawang-awang di awanan. Perlahan mendarat dan menapak ke
hadapan. Kebengisan yang bertopengkan kejelitaan disembunyikan disebalik raut
wajah Ratu Dewi. Dia mula menapak ke hadapan lalu mengangkat tangan, tidak
semena-mena timbul figura yang berbentuk manusia yang terhasil daripada air
laut yang terangkat. Ratu Dewi bertempik. Dia sangat marah apabila tidak
disambut dan diagung-agungkan oleh penduduk kampung Nelayan itu.
“Ratu
Dewi! Tolong jangan apa-apakan kami. Kami sudah memenuhi kehendak Ratu.” Jali
berlari-lari anak ke pinggir pantai.
“Kalian
semua harus mati!.” Ratu Dewi berang lalu mengarahkan tangannya ke daratan.
Pusaran air laut yang dimanipulasinya bagaikan taufan yang mengganas.
Mereka
semua tergamam apabila air laut yang menuju kencang ke arah rumah-rumah
penduduk kampung itu berhenti. Seolah-oleh dibekukan oleh kesejukan dek malam.
Ratu Dewi jadi geram, dia menambahkan lagi tekanan arus kuasanya namun masih
gagal. Akhirnya dia terundur setapak ke belakang dan air laut yang
dimanipulasikan olehnya jatuh menghempas pantai.
“Siapa
kau, keluarlah. Jangan hanya jadi pengecut yang berselindung di sebalik
kesuraman!” Ratu Dewi bertempik sambil memandang ke satu arah. Perlahan semak
belukar bergerak-gerak. Geseran dedaunan kedengaran, seolah-olah ia sengaja
membuka jalan supaya yang empunya badan dapat berjalan tanpa sebarang halangan.
“Assalamualaikum,
wahai makhluk ALLAH.” Suatu suara lembut kedengaran dari empunya badan yang
masih terselindung di sebalik suramnya malam.
“Siapa
kau?” Ratu Dewi mengepal tangan.
“Aku
hanya makhluk yang lemah sepertimu, Ratu.” Kelihatan Shafi berjalan dengan
penuh tertib menuju ke pantai. Walaupun berhadapan dengan musuh, tutur
bicaranya tetap penuh adab dan sopan – wajah bersihnya terpempan di bawah
lindungan cahaya rembulan nan kembang. Para penduduk terkejut dengan kehadiran
lelaki itu.
“Kau
mencampuri urusanku, orang asing. Siapa kau sebenarnya?” Ratu Dewi semakin
diamuk marah.
“Nama
hamba Shafi, hentikan pemujaan yang kau serukan kepada para penduduk.” Shafi
kelihatan tenang. Sebilah keris yang diperbuat daripada besi waja tersisip
kemas di pinggang.
“Itulah
cara terbaik untuk mereka memuja!” Ratu Dewi tampak marah kerana larangan yang
dikemukakan oleh Shafi.
“Tiada
cara terbaik memuja dan memuji selain daripada solat dan berzikir, Ratu.” Shafi bersiaga. Nampaknya manusia yang
dihadapinya ialah manusia syirik. Sesungguhnya syirik adalah dosa paling besar
dan tidak akan diampunkan oleh ALLAH. Shafi segera melafazkan kalimah syahadah
– memperbaharui iman dan kepercayaan di dada.
“Kurang
ajar, rupanya kau membawa anutan baharu! Lautan adalah Tuhan.” Ratu Dewi
bertempik lalu mengatur serangan.
“Tiada
Tuhan selain ALLAH, Ratu.” Shafi membuka tangan lalu dilebarkan ke arah sisi
kanan. Pertempuran akan tercetus antara kebaikan dan kejahatan – dan
sesungguhnya, ALLAH sentiasa melindungi orang-orang yang berada di jalan yang
lurus lagi benar.
PERTEMPURAN kelihatan tidak seimbang. Beberapa kali
Ratu Dewi tersungkur ke tanah menerima penangan Shafi. Dan kali ini, Ratu Dewi
melayang tinggi lalu meluru kencang ke arah Shafi.
Shafi
terpaksa sedikit mendongak ke atas. Dia menelaah pergerakan Ratu Dewi. Dengan
pantas Shafi membuat satu lonjakan tinggi meluru ke arah Ratu Dewi. Satu
dentuman berlaku. Ratu Dewi kelihatan jatuh ke tanah, Shafi pula mendarat
dengan kemas ke arah yang bertentangan. Dia segera mendekati manusia penyembah
syaitan itu.
“Kau
memang hebat, Shafi.” Ratu Dewi mencebik. Kesan tujahan masih terasa di
urat-urat darah.
“Kembalilah
kepada ALLAH, selagi kita ada ruang dan peluang.” Ternyata Shafi sedikit pun
tidak termakan pujian itu. Sesungguhnya pujian hanya akan memakan diri apabila
mula berasa hebat – yang maha hebat itu hanyalah ALLAH, penguasa sekalian alam.
Ratu
Dewi mengepal tangan, dengan tidak semena-mena air laut menyembur ke arah
mereka. Apabila sudah reda, Ratu yang berhati busuk itu sudah berada di depan mata. Shafi sekadar beristighfar,
kemudian tangannya direntangkan di depan lalu membuka langkah persilatan
rahsianya. Maka tercetuslah satu pertarungan antara kebaikan dan kejahatan.
Sudah
beberapa kali Ratu Dewi menerima hambatan demi hambatan. Sekujur tubuhnya
menjadi lesuh. Dia kehabisan kudrat tempur. Shafi pula hanya bersahaja.
Bernafas dalam keadaan yang terkawal. Apabila tangan Ratu Dewi terbuka,
bahagian depannya terdedah kepada serangan. Masa inilah Shafi menghunus keris
Perpisahan yang sedari tadi tidak digunakan lalu ditikam ke dada kiri manusia
sesat itu dan ditarik semula. Maka darah pekat kehitaman pun membuak keluar.
Ratu
Dewi tersungkur rebah. Dadanya berombak lemah. Ini menandakan dia berada di ambang
sakaratul maut. Dia tertewas di tangan Shafi. Maka, perlahan-lahan jasadnya
hancur dan bertukar menjadi air yang berwarna kehijauan. Dia telah mati tanpa
jasad. Penduduk Perkampungan Nelayan itu bersorak-sorai. Mereka amat gembira
dengan kemenangan itu yang sekali gus membebaskan mereka daripada belenggu aura
jahat Ratu Dewi.
Shafi
disambut baik, Aki Baji mempelawa untuk bermalam di rumahnya – malah makan
minum juga disediakan. Shafi berterima kasih lalu berulang kali memuji ALLAH
Azza Wajalla. Di sebalik kekalutan malam, Pangeran Aring dan Bagaro hanya
menyaksikan pertarungan itu di atas pohon yang agak tinggi. Mereka menderam dan
akhirnya menghilangkan diri dalam keadaan kekafiran. Sekutu mereka telah mati
dibunuh. Tewas di dalam kegelapan malam.