Limosin yang dinaiki
Jhaznarul menuju ke arah highway
tetapi nasib baiklah limosin yang dinaiki Syed Dahuri dan Khirulnizan berjaya
menghalangnya. Entah ke mana pula Jhaznarul mengarahkan pemandu limosin itu
membawanya. Setelah limosin kedua-dua berhenti di pinggir jalan, Syed Dahuri
dan Khirulnizan segera mendapatkan Jhaznarul.
“Kau nak ke mana Jhaz?” tanya Syed Dahuri yang membuka pintu kereta limosin
itu disebelah pemandu, manakala Khirulnizan pula mengawal pintu limosin sebelah
lagi. Risau mereka kalau-kalau Jhaznarul berlari keluar ke arah pintu limosin
yang kosong.
“Aku nak ke Hutan Simpanan Kaffi. Aku nak jumpa dengan Mamu Arries. Aku nak
tanya pasal apa dia selalu ganggu aku.” Jhaznarul tidak menyembunyikan
keinginannya akibat sudah tidak tahan diganggu.
“Kau jangan buat gila. Jom ikut kami balik. Mamu Arries tak kenal kita. Aku
tak nampak apa motif Mamu Arries untuk mengganggu kau.” Syed Dahuri mencengkam
pergelangan tangan Jhaznarul dienjakkan ke tengah dan mengarah Khirulnizan
untuk masuk juga ke dalam limosin itu. Syed Dahuri membayar tambang limosin
yang dinaiki mereka sebentar tadi dan mengarahkan pemandu limosin yang dinaiki
oleh Jhaznarul membawa mereka untuk pulang ke rumah sewa. Pemandu limosin itu
dan Jhaznarul terpaksa akur dengan kehendak Syed Dahuri dan Khirulnizan.
Jhaznarul hanya membatukan dirinya tanpa berminat untuk berbual ataupun
mengeluarkan sebarang suara. Begitu juga dengan Syed Dahuri dan Khirulnizan
yang melayani fikiran masing-masing. Masalah yang tercetus cukup membuat mereka
tertekan. Kalaulah diberi pilihan dan masa boleh berputar semula, pasti Hutan
Simpanan Kaffi tidak akan dijadikan destinasi mereka untuk perkhemahan. Namun,
mana mungkin waktu dienjakkan semula ke belakang. Mahu atau tidak, mereka harus
reda menerima apa yang telah ditetapkan ALLAH swt.
Pada malam itu, teman-teman Jhaznarul telah memanggil Ustaz Shafiee dan
beberapa orang ustaz yang mengajar di Kolej Imansyah untuk majlis membaca
Yaasin secara beramai-ramai dan mengubati semula Jhaznarul jika benar ada yang
singgah di dalam diri jejaka itu. Penduduk yang berjiran dengan mereka juga
dijemput sekali termasuklah kaum Hawa yang merupakan kekasih masing-masing.
Selesai upacara solat Isyak, mereka membuat solat hajat pula secara
berjemaah dan kemudian barulah pembacaan Yaasin dilagukan di dalam rumah sewa
itu. Sebanyak tiga kali pembacaan Yaasin meniti dari bibir masing-masing
sebelum Jhaznarul diubati semula.
Perubatan tradisional dilakukan oleh beberapa orang ustaz yang hadir dan
hasilnya tetap sama iaitu tubuh badan Jhaznarul sihat dari sebarang singgahan
roh. Tidak ada roh sesat atau makhluk halus yang menumpang membuatkan
teman-teman Jhaznarul sedikit pelik dengan situasi itu. Jika benar tiada roh
yang menumpang di badan Jhaznarul, tetapi kenapa sahabat mereka itu sering
meracau melihat yang bukan-bukan? Apa sebabnya Jhaznarul berkelakuan begitu?
Sehingga sekarang mereka masih belum dapat menemui motifnya.
Namun, Jhaznarul tetap dimandikan oleh mereka dengan bacaan ayat-ayat jampi
dari surah-surah al-Quran. Air minuman juga tetap diberikan pada Jhaznarul
untuk menenangkan pemuda itu. Jhaznarul berbungkus di dalam selimut dengan
tubuh yang menggeletar sesudah selesai sesi perubatan daripada ustaz-ustaz yang
boleh tahan hebatnya.
“Bagaimana ustaz? Masih tiada roh sesat yang menumpang tubuh kawan kami
tu?” Zularman ingin sekali tahu.
Ustaz-ustaz itu menggelengkan kepala masing-masing.
“Apa yang kami lihat, tubuh badannya memang bebas dari sebarang gangguan. Tiada
langsung roh sesat mahupun makhluk halus yang menumpang di dalam dirinya. Tapi
kemungkinan besar, kawan kamu tu hanya berhalusinasi apabila emosinya
terganggu. Gangguan emosi juga merupakan salah satu gangguan syaitan untuk
mengelirukan umat manusia. Sebab itulah dia mampu nampak apa yang kamu semua
tidak nampak. Mungkin kamu patut membawanya jumpa pakar perubatan dan bukannya
kami. Kita berikhtiar, insya-ALLAH kawan kamu itu akan pulih seperti sedia
kala,” cadang salah seorang ustaz yang hadir bernama Idrus.
“Saya rasa, ada benarnya apa yang Ustaz Idrus katakan. Jika secara
tradisional tidak boleh mengubatinya, kamu harus mencuba cara perubatan moden.
Mungkin ada sesuatu yang mengganggu emosinya yang kamu tidak tahu sehingga dia
mampu membayangkan sesuatu yang menakutkan dirinya,” sokong Ustaz Shafiee pula
setelah mereka berusaha sedaya yang mungkin mengubati Jhaznarul.
Teman-teman Jhaznarul serta kaum Hawa berpandangan sesama sendiri. Sesekali
pandangan mereka bertelagah cuba menyampaikan maksud yang tersirat dalam bahasa
tubuh. Namun tidak dicernakan dari bibir masing-masing. Hanya ulasan-ulasan
senyuman sahaja yang kelihatan di pinggir bibir mereka.
“Kami balik dululah jika tak ada apa-apa lagi. Pertimbangkanlah apa yang
kami usulkan sebentar tadi.” Ustaz Idrus meminta diri setelah tugasnya selesai
dan setelah perut mereka semua dijamu oleh nasi bungkus yang dibeli dari
Restoran Kapitan. Kaum Adam bersalaman dengan ustaz-ustaz itu sebelum diajak
oleh kaum Hawa berbual di hadapan rumah kaum Adam barang seketika.
“Jhaz dah tidur?” Husnarisyam bertanya. Dia tidak mahu apa yang bakal
mereka bualkan nanti didengar oleh Jhaznarul. Justeru itu, Jhaznarul pasti akan
berkecil hati dengan keputusan yang akan diambil oleh mereka semua, walaupun
keputusan ini adalah untuk kebaikan diri Jhaznarul sendiri.
“Dah. Aku baru turun dari bilik. Kasihan aku tengok dia. Menggeletar
seluruh badan. Dahi pula berpeluh-peluh.” Zularman mencurahkan simpati pada
Jhaznarul dengan apa yang dialaminya oleh jejaka itu. Bukan Zularman sahaja,
malah teman-teman yang lain juga turut bersimpati dengan keadaan Jhaznarul.
“Kau orang rasa, Jhaz gila ke?” Husnarisyam tidak dapat menerima kenyataan
itu bahawa kekasih hatinya mereng. Dia terlalu menyayangi Jhaznarul. Dia tidak
mahu apa-apa yang terjadi pada jejaka itu kerana dia mahu menghabiskan saki
baki hidupnya bersama Jhaznarul. Suara Husnarisyam juga sudah dilanda sebak
yang terlampau.
“Aku tak yakinlah Jhaz tu gila sebab sebelum ni di okey saja. Takkan
tiba-tiba otaknya mereng. Keluarganya juga tak ada keturunan mental. Aku tak
boleh menerima kenyataan ni.” Firdee Aqasha menafikan apa yang bermain di dalam
minda mereka dan sekaligus menepis kata-kata yang dihulurkan oleh ustaz-ustaz
itu.
“Habis tu kenapa dia kerap nampak sesuatu yang kita tak nampak? Kita hanya
lihat roh nenek tua itu sekali dua aje, tapi Jhaz? Dia melihatnya
berulang-ulang kali. Sekarang ni, roh nenek tua itu boleh berada di dalam diri
sesiapa saja. Aku takutlah. Aku sayang dia,” nada suara Husnarisyam semakin
mengendur dan air matanya mula turun setitik demi setitik. Era Kasmiran yang
berada bersebelahan Husnarisyam menenangkan gadis itu dengan menggosok-gosok
bahu dan belakangnya.
“Kau jangan risau sangat Risyam. Kami yakin dia tak apa-apa. Kami juga
terganggu dengan keadaan Jhaz. Tapi aku keliru. Agak mustahil, pemuda yang
sewarak Jhaz diganggu oleh syaitan melainkan ada sesuatu yang tersembunyi.”
Khirulnizan cuba mengemukakan motifnya, kenapa roh nenek tua itu sering
mengganggu Jhaznarul.
“Maksud kau apa, Nizan?” Husnarisyam seakan-akan berminat dengan apa yang
dikemukakan oleh Khirulnizan.
Kini semua mata melurus ke arah Khirulnizan. Mereka ingin tahu pendapat
pemuda itu dengan frasa yang dikeluarkannya.
“Maksud aku, pasti ada sesuatu sebab kenapa nenek tua tu hanya muncul di
minda Jhaz dan meminta pertolongan. Dia ingin Jhaz menolongnya. Mungkin hanya
Jhaz saja yang mampu menolongnya berbanding kita semua. Sebab itu hanya Jhaz
yang mampu lihat dia.” Itu pendapat yang berada di dalam benak Khirulnizan.
“Tapi cara nenek tu salah. Dia telah mengganggu emosi Jhaz sehingga mereka
menganggap Jhaz tu gila. Aku tak boleh terima cara meminta bantuan begitu.”
Syed Dahuri menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Satu lagi yang buat aku musyikil. Kenapa Mamu Arries seiring dengan nenek
tua itu mengganggu Jhaz? Apa kaitan Mamu Arries dengan Jhaz pula? Rumitlah
perkara yang kita alami ni. Lepas satu, satu.” Zunika pula mengemukakan sesuatu
yang membelit pusat akalnya.
“Aku pun tak faham kemunculan Mamu Arries dalam hidup Jhaz. Semuanya
bermula lepas kita turun dari tapak perkhemahan Hutan Simpanan Kaffi. Makin
lama, makin pening kepala aku memikirkannya.” Nisrinah pula meluahkan rasa.
“Apa caranya kita nak bantu Jhaz?” Era Kasmiran sudah tidak boleh menerima
keadaan ini yang melibatkan mereka semua. Jika boleh dia ingin semuanya selesai
dengan sempurna.
Teman-teman yang lain hanya menggeleng-gelengkan kepala masing-masing.
Buntu mereka mencari jawapan pada satu persoalan yang sukar jalan perleraian.
“Kita tengok dulu keadaan Jhaz dalam dua tiga hari ni. Kalau tak elok juga,
baru kita fikirkan apa yang telah diusulkan oleh ustaz-ustaz tu. Manalah tahu
cara perubatan moden boleh membantu Jhaz dari segi emosinya.” Firdee Aqasha
memberikan pendapatnya pula.
“Aku setuju. Tak salah mencuba dari membiarkan Jhaz terus bergelumang
dengan emosinya tak stabil tu. Aku tak mahu kehilangan kawan aku gara-gara roh
jahat yang mengganggu.” Aziham bersetuju dengan cadangan yang diusulkan oleh
Firdee Aqasha.
“Kau orang yang lain macam mana?” mata Zularman menyinggah dari satu raut
wajah ke satu raut wajah teman-teman yang berada di hadapannya. Kesemua mereka
diam membisu.
“Risyam? Kau rasa okey ke apa yang kami hendak lakukan pada Jhaz? Kami
ingin memberikan yang terbaik padanya.” Zularman kembali bersuara setelah dia melihat
semua teman-temannya seakan-akan tidak berminat untuk menjawab.
“Aku ikut saja jika itu yang kau orang rasa terbaik buat Jhaz. Tolonglah
kembalikan Jhaz yang lama pada aku. Aku rindukan Jhaz aku.” Husnarisyam
melentokkan kepalanya ke bahu Nisrinah pula sambil melepaskan esakan kecil.
Kesemua mereka yang berada di situ cukup bersimpati pada pasangan kekasih
ini. Husnarisyam juga kelihatan amat sugul dengan apa yang menimpa buah
hatinya.