Home Novel Seram/Misteri KUBUR BERNYAWA
BAB 22 : Spirit Of The Coin Permainan Bermula

Firdee Aqasha bertekad akan bermain permainan spirit of the coin kerana dia tidak mahu menunggu lagi bagi mencari cara yang lain untuk mengetahui kenapa roh nenek tua itu masih kekal di bumi dan tidak mahu ke alamnya semula, sedangkan di bumi bukan lagi tempat tinggalnya.

“Kau betul hendak main permainan tu?” sekali lagi Syed Dahuri bertanya untuk mendapatkan kepastian.

Firdee Aqasha mengangguk. Kali ini dia tidak akan berganjak dari keputusan yang berada di pusat akalnya. Dia tetap akan main walaupun seorang diri. “Aku nak sangat tahu kenapa nenek tu berada di sini. Aku takkan berganjak dengan apa yang aku tekadkan,” tegas Firdee Aqasha.

“Kau tak takut Jhaz mengamuk? Bukan ke dia cukup tak suka dengan cara tu?” Zularman meluruskan pandangannya tepat ke wajah Firdee Aqasha.

“Apalah punya bengap kau ni. Janganlah beritahu Jhaz.” Firdee Aqasha memarahi Zularman.

“Habis, kalau kau nak main, kau nak campak Jhaz ke mana?” Zularman tidak puas hati dimarahi begitu.

“Kau ni kan, buat aku sakit jantung saja tau. Kita main lepas Jhaz tidurlah, ngok,” semakin bulat Firdee Aqasha menjegil.

Zularman menyekeh kepala Firdee Aqasha seketika selepas itu. “Ngok, ngok jangan sebut. Aku tak suka dibuat bahan gurauan.” Zularman memasamkan wajahnya. Tersungging sengihan di pinggir bibir Firdee Aqasha.

“Papan permainan tu kau ada ke?” tanya Khirulnizan pula yang turut berminat untuk menyertai Firdee Aqasha.

Senyuman bermakna pula kini menetas di pinggir bibir Firdee Aqasha. “Ada. Aku dah siap semuanya. Cuma tunggu Jhaz tidur aje untuk melaksanakan permainan ini.” Firdee Aqasha membalas pertanyaan Khirulnizan.

“Kau beli di mana papan permainan tu?” tanya Syed Dahuri ingin tahu kerana dia tidak nampak pun Firdee Aqasha membeli papan permainan spirit of the coin.

“Tak payah beli. Membazir saja. Miran tolong aku buatkannya dengan sehelai manila kad. Jimat belanja. Kalau papan yang aku beli, nampak dek Jhaz, rentung aku dibakarnya hidup-hidup.” Firdee Aqasha mengutuk Jhaznarul terang-terangan.

“Kau orang bincang apa tu?” tanya Jhaznarul yang muncul secara tiba-tiba.

Mengurut dada mereka mendengar suara Jhaznarul yang timbul secara mendadak. Pendek nafas mereka sebentar tadi. Roman wajah pucat yang ditonjolkan oleh mereka menetaskan ketawa di pinggir bibir Jhaznarul.

“Tak ada apa-apalah. Kami bincang pasal projek berkumpulan yang diberikan oleh Profesor Khalidah.” Firdee Aqasha berbohong.

“Betul ke ni?” Jhaznarul seakan-akan tidak percaya dengan apa yang diucapkan oleh mereka.

“Betullah. Ingat kami penipu ke?” tegas Firdee Aqasha.

“Hmm .. kalau betul tak apalah. Aku naik tidur dululah. Dah dekat pukul 12 ni. Zular jom.” Jhaznarul mengajak Zularman untuk tidur sekali.

Pantas sahaja Zularman mengekori Jhaznarul. Dia tidak keberatan untuk menemani Jhaznarul tidur kerana sebaik sahaja selepas jejaka itu lena, dia mempunyai agenda yang lain bersama-sama temannya. Zularman menyungging senyuman di pinggir bibir. Teringin juga untuk merasai pengalaman pertama bermain dengan permainan mistik ini.

Firdee Aqasha, Syed Dahuri, Khirulnizan dan Zularman telah turun ke ruang tamu untuk melaksanakan program mereka pada malam itu. Tepat 3 pagi, mereka telah pun memasang lilin dengan meletakkannya di sekeliling mereka dengan membakar sedikit asap kemenyan. Kemudian, mereka membentangkan manila kad yang telah terlukis permainan spirit of the coin dan mula menyeru roh nenek tua itu dengan meletakkan jari telunjuk masing-masing di atas duit syiling yang bernilai lima puluh sen.

Buat seketika tiada apa yang berlaku tetapi beberapa minit selepas itu, mereka rasakan duit syiling itu mula bergerak. Mata mereka berlaga sesama sendiri. Pengalaman pertama itu sedikit mengujakan. Namun, jauh di dalam hati mereka masih tidak mahu mempercayai apa yang sedang berlaku kini.

“Kau yang gerakkan duit tu ke Dahuri?” tanya Firdee Aqasha tidak berpuas hati.

“Mana ada. Kau gila? Aku macam tak percaya, duit ni benar-benar bergerak.” Syed Dahuri semakin teruja dengan apa yang sedang berlaku.

“Aku ingatkan kau nak main-main, rupanya betul duit ni bergerak. Permainan ni benar-benar hidup.” Zularman agak teruja juga dengan situasi itu.

“Ingat semua, jangan lepaskan jari masing-masing dari duit syiling ini sehinggalah kita hantar rohnya pulang. Aku tak mahu sesuatu yang buruk berlaku pada kita pula. Jom kita tanya dia.” Khirulnizan mengingatkan mereka agar tidak melakukan kesilapan ketika permainan ini berlangsung. Kesemua mereka mengangguk-anggukkan kepala masing-masing.

Spirit, spirit of the coin tunjukkan kami kehadiran anda.” Kedengaran suara mereka berempat sedang menyeru roh di dalam papan duit itu.

Duit syiling yang sudah mula bergerak kini semakin laju. Dia menunjukkan bahawa dia sudah hadir di kalangan mereka. Senyuman terukir di bibir masing-masing.

“Berapa umur anda?” tanya Khirulnizan terketar-ketar.

Duit syiling itu bergerak ke angka 7 dan kemudian ke angka 6. Mereka berpandangan sesama sendiri semula.

“Nenek tua itu rupanya 76 tahun,” kata Firdee Aqasha.

“Adakah anda seorang perempuan?” tanya Zularman pula.

Duit itu bergerak ke arah ‘Ya’.

“Bagaimanakah anda mati?” tanya Syed Dahuri pula.

Sekali lagi duit syiling itu bergerak ke huruf B, kemudian U, kemudian N, U dan H yang terakhir. Terperanjat mereka dengan kenyataan itu. Bulat sahaja mata masing-masing memandang sesama sendiri.

“Dia kena bunuhlah.” Syed Dahuri pula memberitahu.

“Siapa yang bunuh anda?” tanya Firdee Aqasha.

Namun, duit syiling itu tidak bergerak. Diam kaku di situ.

“Anda tak mahu beritahu kami?” pancing Firdee Aqasha lagi.

Duit syiling itu bergerak ke arah ‘Ya’.

“Kalau anda tak beritahu kami, bagaimana kami hendak menolong anda?” Khirulnizan sedikit tercabar.

Kemudian duit syiling itu sekali lagi bergerak ke arah perkataan ‘bunuh’.

“Ya. Kami tahu anda dibunuh tetapi siapa yang bunuh anda, di mana anda dibunuh?” Firdee Aqasha bertanya dengan sedikit kekerasan.

Roh itu agak berang dengan Firdee Aqasha kerana telah menengkingnya lalu duit syiling itu berputar-putar dengan lajunya seakan-akan tanpa kawalan. Kesemua mereka yang berada di situ terus panik. Tidak tahu apa yang perlu mereka lakukan kerana roh itu seakan marah dengan mereka.

Jhaznarul tiba-tiba terbangun dari tidurnya yang lena. Rongga hidungnya seakan-akan terbau asap kemenyan membuatkan hatinya tidak sedap. Beberapa kali dia menelan air liur.

“Kenapa aku rasa lain macam aje malam ni, hah? Bau asap kemenyan dari mana ni? Eh, Zular mana?” Jhaznarul menjenguk ke luar biliknya setelah daun pintu diselak dengan luas. Dia agak kehairanan apabila dia melihat rumah mereka itu gelap-gelita.

“Kenapa gelap sangat rumah ni? Blackout ke? Biar aku pergi tengok.” Jhaznarul menghayunkan langkah kakinya dengan amat perlahan sekali menuruni tangga demi tangga.

Tiba-tiba sahaja darahnya berderau apabila dia melihat Firdee Aqasha, Syed Dahuri, Khirulnizan dan Zularman sedang duduk mengeliling sebuah manila kad dengan jari masing-masing masih berada di atas duit syiling, serta memasang lilin di sekeliling dan mengasap asap kemenyan. Dadanya berombak kencang. Kemarahannya telah naik satu takat didih.

Hilang akal betul. Mereka main juga permainan bodoh tu. Nasihat aku langsung mereka tak endahkan. Kawan tak guna! Jhaznarul pantas melangkah dan memetik suis lampu agar rumah mereka terang benderang semula.

“Hei, bukankah aku dah pesan, jangan main benda alah tu. Panggilan roh bukan sesuatu yang patut dimainkan. Berhenti atau aku terajang manila kad tu,” tengkingan Jhaznarul telah menyentak mereka berempat sedangkan duit syiling itu masih bergerak dengan amat pantas sekali.

Tiba-tiba sahaja mata Jhaznarul membulat apabila dia melihat satu objek sedang keluar dari papan permainan itu dan terus memegang kukuh tangan Syed Dahuri seolah-olah hendak menarik jejaka itu untuk masuk ke dalam sana.

Syed Dahuri menjerit lalu terlepas jarinya dari terus berada di atas duit syiling itu. Zularman juga sudah mengangkat jarinya kerana dia tidak sanggup ditarik oleh mana-mana objek.

“ALLAHHUAKBAR!” Jhaznarul melaungkan nama ALLAH Yang Maha Satu. Seketika kemudian, dia melaungkan azan dengan sesungguh hati. Sebaik sahaja mendengar laungan azan daripada Jhaznarul, terus objek yang berupakan tangan seseorang yang terbakar rentung melepaskan genggamannya yang erat memegang tangan Syed Dahuri.

Syed Dahuri mengurut dada. Dia tidak menyangka sama sekali permainan mereka akan berakhir sebegitu rupa. Tidak sempat pun mereka untuk menghantar roh itu pulang sebelum mengangkat jari masing-masing. Bagi Syed Dahuri dan Zularman, nyawa mereka lebih penting daripada menghantar roh itu pulang ke tempat asalnya. Firdee Aqasha dan Khirulnizan baru dapat melepaskan jari masing-masing dari terus berada di atas duit syiling itu. Mereka turut hendak mengangkat jari mereka tetapi ia seolah-olah tersekat di sana.

Jhaznarul terus memadamkan lilin yang masih menyala dan menuangkan air sejuk ke dalam bekas asap kemenyan. Jhaznarul memandang satu persatu roman wajah teman-temannya. Masing-masing sudah bertukar pucat lesi.

“Kau orang ni memang degil, kan? Apa yang aku pesan jangan, itu yang kau orang buat. Sekarang apa yang kau orang dah lakukan? Kau orang telah membangkitkan roh itu dengan lebih bersemangat lagi sehingga ia boleh keluar dari papan manila kad itu. Seronok permainannya? Lain kali mainlah lagi ya. Kalau aku tak bangun, tak tahulah apa akan terjadi pada kau orang ni.” Jhaznarul menyindir mereka sebelum menghilangkan diri ke atas semula.

Masing-masing masih diburu ketakutan dengan kejadian sebentar tadi terutama sekali Syed Dahuri. Di dalam hati, mereka mengucapkan syukur kerana Jhaznarul datang tepat pada waktunya. Jika tidak, mereka sendiri tidak tahu apa yang bakal berlaku. Mereka juga tidak menyangka bahawa roh itu akan mengganas. Syukurlah mereka selamat.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ebriza Aminnudin