“Aku cukup tak sukalah
kalau ada kelas malam. Kenapalah pensyarah bahasa Melayu kita tu part time aje. Kan bagus kalau dia full time,” rungut Zunika ketika mereka
bersepuluh sedang berjalan di dalam kegelapan malam menuruni bukit kolej untuk
menuju ke perhentian bas/tren laju sesudah tamat kelas pada malam itu.
“Tapi aku suka kalau ada kelas malam,” berlainan pula jawapan yang
diberikan oleh Era Kasmiran. Empat pasang mata melorong ke arah Era Kasmiran
bersama dengan kenyataannya itu.
“Kenapa kau suka jika ada kelas malam?” Aziham ingin tahu. Pelik betul dia
dengan sikap Era Kasmiran. Entah apalah yang syoknya kelas malam, dia sendiri
pun tidak tahu.
“Sebab, kalau ada kelas malam, bolehlah aku menikmati keindahan sang
purnama ketika balik ke rumah. Aku suka sangat dongak ke langit waktu-waktu
begini. Cantik hiasan dada malam dengan bintang bergemerlapan selain purnama
yang menawan.” Era Kasmiran menjelaskan kepada mereka yang sedang memasang
telinga dengan panjang lebar.
“Kalau kau orang tak percaya, cuba kau orang dongak ke atas. Lihat
keindahan ciptaan Sang Penciptanya buat seketika. Kau orang akan rasa insaf
dengan apa yang terbentang di hadapan mata. Tapi ingat, jangan dongak dengan
kaki berjalan. Nanti tak pasal-pasal terus tergolek ke bawah,” sempat lagi Era
Kasmiran berpesan sesudah menyambung bicaranya.
Keempat-empat pasang mata kini mendongak ke dada langit untuk menghayati
keindahan yang tercipta untuk mereka yang menghuni di bumi tumpangan-NYA.
Manakala kaum Adam pula masih setia mengekori pasangan masing-masing dari
belakang. Sesekali, bibir mereka tersungging dengan senyuman di kala tercetus
gelagat yang lucu daripada buah hati masing-masing. Macam-macam kerenah.
Sedang asyik mendongak memandang bintang dan bulan, tiba-tiba nafas
Nisrinah seakan-akan tersekat ketika matanya tertancap pada sebatang pokok
besar yang berada betul-betul di hadapan mereka. Seluruh tubuh badan Nisrinah
menggeletar sakan bagaikan berada di dalam kawasan salji sahaja lagaknya,
sedangkan malam itu tidak dingin langsung. Air liur yang menuruni rongga
rengkung Nisrinah bagaikan berbatu. Sukar sekali perjalanannya. Tangan
Nisirinah kelihatan menggapai-gapai teman yang berada di sebelahnya. Namun
apabila jari-jemarinya tidak memegang sebarang lengan temannya, suara Nisrinah
mula mengendur dalam menyeru nama sahabatnya.
“Miran ...” Beberapa kali Nisrinah memanggil nama Era Kasmiran sehingga
teman-teman yang lain memandang pelik pada perubahan perlakuan Nisrinah di saat
ini.
“Hei, yang kau panggil aku macam tu kenapa? Menakutkan sajalah, Nisrin.”
Era Kasmiran menjegilkan matanya pada Nisrinah.
“Miran .... ini kau punya pasal suruh dongak lagi ke atas. Kalau kita balik
terus tadikan bagus,” nada suara Nisrinah masih tidak berubah. Lagaknya
bagaikan hendak menangis sahaja.
“Sweetie, kenapa ni? Apa yang tak kena?” cuak betul Syed Dahuri mendengar
pada nada suara buah hatinya.
Nisrinah memandang Syed Dahuri dengan wajah yang paling cuak pernah
dilihatnya. Suaranya seakan-akan hendak membanjirkan air mata.
“Cuba cakap pada darl, kenapa ni?” pujuk Syed Dahuri.
“Terus-terang terang sajalah. Tak payah nak nangis-nangis macam ni.” Zunika
mula hilang sabar.
“Kau orang tengok kat atas pokok depan kita tu ...” jari telunjuk Nisrinah
sedikit menggeletar tatkala menuding ke arah sesuatu.
Era Kasmiran, Husnarisyam, Zunika, Aziham dan Syed Dahuri serentak
meluruskan pandangan masing-masing ke arah atas pokok yang ditunjukkan oleh
Nisrinah. Tiba-tiba sahaja mulut mereka melopong apabila melihat seraut wajah
nenek tua semasa di perkhemahan tempoh hari kini berada di hadapan mata mereka.
Gulp! Masing-masing menelan air liur. Mata mereka berlaga sesama sendiri
sebelum laungan suara jeritan kedengaran dengan amat kuat sekali. Mereka terus
membuka langkah seribu tanpa menunggu lebih lama lagi. Siapa yang mahu menunggu
di situ dan menjadi habuan si nenek tua yang mengerikan itu.
Syed Dahuri sudah selamat mengekori acara pecutan yang dilakukan oleh kaum
Hawa sebentar tadi dengan meninggalkan teman-temannya yang lain. Kaum Adam yang
masih tidak tahu sebab musababnya, diserang dengan rasa kehairanan tahap yang
cukup tinggi. Kenapa mereka menjerit dan berlari secara tiba-tiba? Apa yang
mendorong mereka supaya berbuat begitu.
“Kenapa dengan dia orang tu? Dahuri pun ikut sekali? Ada apa-apa yang kita
tak tahu ke?” Firdee Aqasha melencongkan pandangannya ke arah Syed Dahuri dan
juga kaum Hawa yang masih belum mahu berhenti dari terus berlari.
“Entah. Aku pun tak tahu apa dah jadi dengan dia orang tu. Dia orang tengok
ke arah langit, lepas tu ke pokok, lepas tu lari.” Zularman menerangkan
mengikut firasat hatinya.
“Pokok?” terpacul satu patah perkataan dari celahan bibir Jhaznarul lalu
kesemua mereka menghalakan mata ke arah pokok yang berada di hadapan mereka. Gulp!
Kini mereka pula yang terlelan air liur. Wajah yang cukup familiaritu sedang merenungi ke arah mereka sambil tersengih
sehingga menampakkan barisan gigi yang runcing hita,.
“Argh!” giliran kaum Adam yang tertinggal pula melantunkan suara untuk sesi
ujian suara siapa yang paling kuat sekali. Mereka juga turut membuat acara
pecutan siapa yang paling pantas sekali turun ke bawah.
Masing-masing mula menyusun aturkan pernafasan sendiri ketika melepaskan
lelah. Kering tekak mereka dengan adegan itu. Apalah malang nasib mereka yang
terserempak dengan nenek tua yang paling ingin mereka hindari.
“Siapa yang bawa kereta?” Aziham bertanya dalam nada yang masih kepenatan.
Kesemua mereka yang berada di situ saling bertelagah pandangan sesama
sendiri. Tidak ada seorang pun daripada mereka yang membawa kereta ke kolej.
Apa punya miskinlah, sedangkan keluarga masing-masing punyalah kaya. Sebiji
kereta pun tidak ada untuk diberikan kepada anak mereka. So bad.
“Lah, tak ada seorang pun ke yang bawa kereta? Nama saja anak orang kaya
tapi sebiji kereta pun tak ada. Feel so
bad,” cukup pedas Aziham menyindir mereka dengan perisa gula-gula cili
padi.
“Cakap tu sopan-santun sikit ya? Yang kaya mak bapak kami, bukannya kami.
Sebab itulah tak seorang pun daripada kami yang ada kereta. Kami ni lebih suka
berdikari dan tak suka susahkan mak bapak kami. Ada faham?” Khirunizan yang
rasa tercabar melenting secara tiba-tiba. Aziham mencebik. Masih berperisa cili
padi. Bengkak sahaja hati Khirulnizan memandang pada cebikkan Aziham di kala
itu. Ikutkan hati hendak sahaja dia tapekan
mulut Aziham yang kadang-kadang celopar tahap tak ingat.
“Nak tumpang van ke?” tanya seseorang yang berada di dalam van itu sambil
membuka pintu vannya agar mereka boleh masuk ke dalam.
“Alhamdulillah. Tak payah nak bertengkar lagi. Mak cik ni dah cukup murah
hati bagi kita tumpang. Tunggu apa lagi? Masuklah.” Zunika menggesa mereka
masuk ke dalam. Dia tidak mahu menunggu dengan lebih lama lagi di dalam kawasan
kolej. Tengkuknya sudah mula terasa seram sejuk.
Kesemua mereka sekali gus masuk ke dalam van yang sudah terbuka luas
pintunya. Tiba-tiba sahaja kesemua mereka keluar semula sambil berlari menuju
ke luar kolej. Tidak sanggup berhadapan dengan apa yang sedang mengekori
mereka. Mana tidaknya mereka keluar semula apabila yang memandu itu adalah
nenek tua yang sentiasa menghantui mereka. Daripada menjadi mangsa, lebih baik
mereka menyelamatkan diri masing-masing terlebih dahulu. Huu tidak sanggup
untuk mengambil sebarang risiko.
“Cu ... jangan pergi cu ... Ha ha ha ...” Nenek tua yang masih berada di
dalam van itu ketawa mengilai sehingga menetas keseraman pada diri
masing-masing.
“Cepat lari. Jangan toleh ke belakang lagi,” arah Jhaznarul dengan semangat
yang semakin luntur. Kesemua mereka terus memecutkan lagi langkah kaki
masing-masing. Siapa yang berani memandang ke belakang. Buatnya dia terbang di
atas kepala mereka, tidakkah naya sahaja.
Sebaik sahaja tiba di stesen limosin yang berada di luar kolej Imansyah,
kesemua mereka melepaskan lelah buat seketika untuk sekali lagi. Masing-masing
sudah tidak berdaya lagi hendak membuat maraton jika nenek tua itu masih
mengekori mereka. Silap-silap hari bulan boleh pengsan dibuatnya. Kenapalah
nenek tua itu tidak mahu berhenti dari terus mengekori mereka.
“Okey, sekarang ni kita berpecah naik limosin. Jhaz, Dahuri, aku, Nisrin
dan Miran naik satu limosin dan yang lain-lain satu lagi limosin. Kita kena
cepat beredar dari sini,” arahan sudah pun dikeluarkan oleh Husnarisyam.
“Kenapa kau orang pisahkan aku dengan Miran?” Firdee Aqasha ternyata tidak
puas hati.
“Sebab aku tak percayakan kau. Sudah, jangan banyak songeh pula. Aku nak
cepat balik ni. Kalau kau nak tinggal di sini dengan lebih lama, silakan.”
Husnarisyam menolak tubuh teman-temannya untuk menaiki limosin yang telah pun
bersedia menjalankan tugasnya. Sebelum menaiki limosin, Husnarisyam memandang
terlebih dahulu kepada pemandunya. Dia tidak mahu peristiwa sebentar tadi
berulang kembali. Boleh longgar lutut jadinya. Setelah yakin itu pemandu
limosin yang sebenarnya, pantas sahaja dia mengarahkan agar pemandu itu
menghantar mereka ke rumah sewa. Pemandu limosin itu menurut tanpa banyak
bicara. Kasihan limosinnya sudah macam ikan sardin yang disumbatkan ke dalam
tin. Apa hendak buat, keadaan sudah darurat, oleh itu mereka terpaksa mengambil
tindakan yang pantas.
Walaupun tidak berpuas hati, Firdee Aqasha menuruti juga rancangan yang
telah diaturkan oleh Husnarisyam. Apa hendak buat terpaksalah berpisah dengan
buah hati pengarang jantung. Ceh, macam drama Korea pula lagaknya. Firdee
Aqasha memang seorang pelakon yang hebat. Jika dia benar-benar menjadi pelakon,
pasti penonton akan mengkagumi bakat lakonan yang dimilikinya. Limosin yang
dinaiki oleh Firdee Aqasha pun sama seperti limosin Husnarisyam, sudah seperti
sardin yang disumbat-sumbat ke dalam tin.