Firdee Aqasha
mengepalai rombongan mencari kubur bernyawa demi memenuhi keinginan hati
masing-masing. Di pusat akal kaum Adam ini, sudah terlakar dengan wang ringgit
yang beribu akan menjadi habuan mereka kelak jika mengena nombor tikaman
mereka. Pertama kali juga mereka ingin mencuba nasib. Mudah-mudahan berjaya
mendapat habuan yang besar. Itulah doa songsang mereka di dalam hati.
Puas mereka mengelilingi kawasan yang dikatakan oleh Jhaznarul di mana
terdapatnya kubur sesat atau kubur bernyawa tetapi sehingga ke saat ini tidak
seorang pun di antara mereka yang melihat kubur itu. Peluh mula merenik di dahi
masing-masing akibat kepenatan mencari kubur bernyawa entahkan ada entahkan
tiada. Firdee Aqasha, Syed Dahuri, Khirulnizan dan Zularman mula menyeka peluh yang
semakin membasahi dahi mereka.
“Jhaz ni biar betul, Firdee? Aku tak nampak sebarang kubur sesat pun,
apatah lagi bernyawa.” Syed Dahuri mula terangsang rasa bebalnya kerana terasa
dipermainkan oleh Jhaznarul.
“Entah-entah Jhaz ni berangan tak? Entah batu apa yang dia lihat, dia cakap
batu nisan,” rasa bebal Syed Dahuri kini berjangkit pula pada Firdee Aqasha.
Sakit sungguh hati Firdee Aqasha apabila yang dicari tidak ditemui.
“Jom baliklah. Buang masa saja.” Khirulnizan sudah berputus asa mengajak
teman-temannya pulang ke khemah semula.
“Haa ... itu aku setuju. Daripada meronda tak tentu hala di sini tanpa
tujuan, lebih baik kita balik saja. Lagipun mata aku dah mengantuk ni.”
Zularman cepat sahaja bersetuju dengan cadangan Khirulnizan.
“Cakap sajalah yang kau ni penakut Zular, sebab itulah cepat saja kau
setuju dengan ajakan Nizan.” Firdee Aqasha membakar amarah Zularman.
“Hei, cakap sopan-santun sikit ya, aku tak takut tau. Ada kau jumpa kubur
bernyawa tu? Tak ada, kan? Daripada buang masa, lebih baik kita balik saja.”
Zularman mempertahankan pendapatnya.
“Aku tak kira. Dah penat-penat aku menapak di sini, kita mesti cari kubur
bernyawa tu sampai dapat. Aku nak tengok, bagaimana bentuk kubur bernyawa tu.
Adakah benar seperti yang diceritakan oleh Jhaz ataupun itu hanyalah khayalan
Jhaz saja. Aku tak takut untuk menghadapi risiko.” Firdee Aqasha bersemangat
secara tiba-tiba dan sedikit disuntik oleh perasaan geram kerana kubur bernyawa
yang digelarkan oleh Jhaznarul masih belum ditemui oleh mereka.
Dada teman-teman Firdee Aqasha yang lain tertembak dengan satu perasaan
yang cukup mendebarkan di saat mereka memandang semangat yang begitu tinggi
timbul di dalam diri jejaka itu.
“Kau jangan celopar sangat, Firdee. Karang kubur tu muncul, kau lari tak
cukup tanah kot,” marah Khirulnizan yang tidak selesa dengan bisanya lidah
Firdee Aqasha. Sudahlah angka jam di tangannya hampir merangkak ke pukul dua
pagi, Firdee Aqasha pula boleh bersikap sedemikian. Siapa yang tidak gerun.
Kan?
“Muncullah. Ada aku kisah?” Firdee Aqasha semakin berani. Tiba-tiba sahaja
....
“Aduh!” molek sahaja Firdee Aqasha terjatuh di atas batu yang agak besar
dan meruncing ke atas. Menyumpah Firdee Aqasha dengan situasi itu. Namun, di
kepalanya terlintas sesuatu.
Hmm ... takkanlah tanah ni bergegar pula? Aku memang rasa gegarannya.
Masakan yang lain tak rasa apa yang aku rasa. Firdee Aqasha yang masih terduduk
di atas tanah mula memenandang wajah teman-temannya satu persatu.
“Lah, kenapa duduk atas tanah ni? Dah nak jadi petapa pula?” sindir Syed
Dahuri galak.
“Woi, cakap sopan-santun sikit ya? Kau orang rasa tak gegaran yang aku
rasa. Tiba-tiba saja tanah ni bergegar, sebab itulah aku jatuh.” Firdee Aqasha
tidak mahu menyerah kalah begitu sahaja.
Syed Dahuri, Khirulnizan dan Zularman memandang sesama sendiri dengan
sejuta persoalan yang membelit tali pusat akal mereka. Apa yang Firdee cakap
ni? Bila masa pula terjadinya gegaran? Mungkin itulah yang terlekap di kepala
masing-masing pada saat ini.
“Kau berkhayal ya Firdee? Mana ada gegaran? Kami tak rasa apa-apa pun?”
Khirulnizan menyuluh tepat lampu suluhnya ke wajah jejaka itu.
“Tiba-tiba kau jatuh, kami pun hairan. Nasib baik tak tergolek sampai ke
bawah. Dahlah tengah-tengah malam ni, kita pun tak tahu apa yang ada di bawah
sana tu.” Zularman meluahkan kata pula.
“Aku tak tipulah. Aku rasa gegarannya. Ni atas batu apa pula yang aku
terjatuh ni?” lalu Firdee Aqasha menyuluh ke arah batu itu dan seketika
kemudian matanya bersianr-sinar.
“Aku dah jumpa. Aku dah jumpa.” Firdee Aqasha separuh menjerit.
Semua mata meluruskan ke arah Firdee Aqasha. Dia jumpa apa pula ni? Itulah
yang berlegar di kepala masing-masing.
“Kau jumpa apa, Firdee?” Syed Dahuri agak teruja setelah mendengar suara
Firdee Aqasha yang terlebih suka.
“Batu nisan dari kubur sesat,” ayat Firdee Aqasha mampu membuat tiga pasang
mata lagi melorong ke arahnya.
“Tengok ni. Inilah batu nisan yang Jhaz jumpa. Tapi di mana kuburnya? Aku
tak nampak pun sebarang kubur yang timbul?” Firdee Aqasha mempertikaikan lagi
cerita yang telah disampaikan oleh Jhaznarul.
Sebaik sahaja selepas Firdee Aqasha bersuara, tiba-tiba sahaja tersembullah
tanah di hadapan mereka seolah-olah bentuk kubur yang baru dikambus. Sekali lagi
kesemua mereka yang ada di situ sedikit ternganga. Hendak menelan liur pun
terasa amat payah pada waktu ini.
“Hasrat kau dah termakbul Firdee.” Zularman bersuara perlahan sahaja.
“Cepatlah kita duduk keliling kubur sesat ni. Lepas tu kita seru nenek tua
tu agar dia boleh berikan kita nombor ekor. Cepat sikit jadi kaya.” Firdee
Aqasha yang sudah teruja semakin teruja.
Berpeluh Zularman mendengar permintaan Firdee Aqasha. “Takkan nak duduk
mengeliling kot? Duduk dekat-dekat tak boleh ke?” Zularman membantah cadangan
Firdee Aqasha.
“Kali ni aku setuju dengan Zular.” Syed Dahuri dan Khirulnizan berkata
serentak. Entah kenapa tiba-tiba sahaja perasaan mereka terjentik dengan rasa
ketakutan. Kubur ini tiba-tiba sahaja muncul tanpa isyarat, pasti ada sesuatu
yang pelik pada kubur sesat itu.
Firdee Aqasha mencebik melihat pada roman ketakutan yang terlekat pada
wajah masing-masing. Kata berani, tetapi rupanya hancur. “Cepatlah, dekat
dengan aku. Terhegeh-hegeh. Aku dah nak seru ni.” Firdee Aqasha sedikit
menggesa mereka. Terkocoh-kocoh Syed Dahuri, Khirulnizan dan Zularman mendekati
Firdee Aqasha yang sudah pun duduk bersimpuh.
Seketika kemudian, Firdee Aqasha mula menyeru agar penghuni di dalam kubur
itu memunculkan dirinya dan menunaikan hajat di hati mereka yang semakin
menggunung tinggi. Walaupun sedikit ketakutan, tetapi mereka tetap hendak
melunasi hasrat yang terbina.
“Nek .... keluarlah nek, berikan nombor pada kami agar kami menjadi
kaya-raya. Nek ....” Firdee Aqasha terus merayu dan merayu. Nenek tua yang dikatakan
oleh Jhaznarul itu tetap berdegil tidak mahu memunculkan dirinya.
“Nek ... tolonglah keluar, bagi kami nombornya?” sekali lagi Firdee mencuba
nasib.
“Firdee, aku rasa Jhaz main-main sajalah. Tak mungkin kubur ni akan berasap
dan nenek tua tu akan muncul.” Syed Dahuri mula terasa dipersendakan oleh
Jhaznarul.
“Aku pun rasa macam itulah. Jomlah balik. Aku akan ajar Jhaz sebab dia dah
berjaya memainkan kita.” Khirulnizan menaikkan satu lagi oktaf suara apabila
yang diharap tidak memunculkan dirinya.
Namun, perkiraan Khirulnizan tersalah langkah, apabila kubur sesat itu mula
bergegar dan berasap seolah-olah bernyawa. Dalam kepulan asap yang makin marak
naik, tiba-tiba sahaja muncullah seraut wajah nenek tua yang sudah rentung
terbakar. Begitu juga dengan tangan nenek tua itu yang turut rentung. Nenek tua
itu merenung tajam ke arah mereka berempat membuatkan Firdee Aqasha, Syed
Dahuri, Khirulnizan dan Zularman meluruskan pandangan masing-masing dengan apa
yang sedang tertayang di hadapan mata mereka. Hendak bersuara pun mereka sudah
tidak mampu lagi. Air liur terasa bagaikan batu yang tersekat di celah-celah
rengkung mereka. Percaturan nafas mereka juga sudah tidak teratur lagi.
“Cu ... tolong nenek cu ....” suara nenek tua yang mendayu-dayu itu
menyentap tangkai jantung masing-masing. Aturan pernafasan mereka juga sudah
berkeceramuk sekarang.
“Cu .... tolong nenek cu ....” tangan nenek tua itu cuba mencapai kolar
baju Firdee Aqasha.
Tidak semena-mena Zularman bangun dan berdiri. “Aku rasa Jhaz tak main-mainlah
dengan kemunculan kubur bernyawa ni. Larilah tunggu apa lagi.” Zularman mula
membuka langkah seribu.
Manakala Syed Dahuri pula menolak keras badan Firdee Aqasha yang
seolah-olah terkaku melihat nenek itu yang semakin hampir menggenggam kolar
baju T Firdee Aqasha.
“Hei Firdee, tercegat apa lagi? Larilah. Kau nak ikut nenek tu ke?”
tengkingan Syed Dahuri menyedarkan Firdee Aqasha yang terkaku sebentar tadi.
Dengan sekuat kudrat yang ada, Firdee Aqasha turut membuka langkah seribu
menyertai acara pecutan rakan-rakannya yang lain. Kubur bernyawa itu
benar-benar wujud. Dia menyangkakan bahawa Jhaznarul sengaja mereka cipta
cerita tentang kubur itu tetapi ternyata rupanya dia silap menilai sahabatnya
itu. Jhaznarul tidak pernah menipu mereka dalam hal-hal begini. Habis terbantut
niat awal mereka yang ingin meminta nombor ekor. Raut wajah nenek tua itu lebih
menggerunkan daripada apa yang telah dibayangkan. Cari nahaslah sekiranya
mereka menunggu lagi.