Jhaznarul dan Firdee
Aqasha bermasam muka pada hari itu, gara-gara kes semalam. Teruk juga Firdee
Aqasha dimarahi oleh Jhaznarul akibat terlalu degil tidak mahu mendengar
nasihatnya. Firdee Aqasha hanya mengikut kata hatinya sahaja tanpa memikirkan
natijah-natijah yang akan mereka perolehi jika permainan itu diteruskan jua.
Bagaimanalah Jhaznarul tidak mengamuk pada sahabatnya itu. Apatah lagi Firdee
Aqasha turut membabitkan Syed Dahuri, Khirulnizan dan Zularman sekali. Lagi bertambahlah
takat didih kemarahan Jhaznarul.
Ketika memasuki lab komputer untuk subjek Grafik mereka, kaum Hawa perasaan
akan perubahan pada roman wajah Jhaznarul dan Firdee Aqasha. Masing-masing
tidak bertegur sapa, malahan seorang di sebelah utara dan seorang lagi di
sebelah selatan. Jika tidak, mereka berdua akan duduk berdekatan. Agak sukar juga
untuk dipisahkan. Kerutan yang timbul di dahi kaum Hawa harus dileraikan
seberapa segera.
Husnarisyam merapati Khirulnizan dan Zularman yang kebetulan duduk berdekatan.
Manakala Syed Dahuri sudah memilih tempat kegemarannya di bahagian hadapan
sekali. Ruang-ruang yang kosong itu bakal diisikan oleh kaum Hawa nanti.
Pelajar-pelajar yang lain juga sudah memilih tempat masing-masing. Aziham dan
Zunika sudah pastilah akan duduk bersebelahan dengan buah hati masing-masing.
Mana boleh dipisahkan kerana pada waktu itu sahaja mereka mampu membuat dua
kerja sekali gus iaitu melepaskan rindu serta belajar sesuatu yang baru dari
subjek yang diambil.
“Nizan, kenapa Jhaz dan Firdee tu? Macam baru lepas berperang. Ada apa-apa
yang kami tak tahu ke?” Husnarisyam mengharapkan jawapan. Era Kasmiran dan
Nisrinah juga sudah merapati kedua orang jejaka itu.
“Aku atau kau ke nak cerita?” tanya Khirulnizan pada Zularman.
“Biar aku ajelah yang cerita.” Zularman menawar diri.
“Memang betul ke mereka berperang? Atas sebab apa?” Era Kasmiran nampaknya
sudah tidak sabar-sabar lagi hendak mengetahui apakah yang sedang berlaku pada
buah hatinya dan juga buah hati Husnarisyam.
“Semalam Firdee ajak kami main spirit
of the coin.” Baru sahaja Zularman memulakan ceritanya, kaum Hawa sudah pun
melopong kekaguman. Perkataan ‘wow’ meniti di pinggir bibir masing-masing. Mata
mereka pula meluruskan tepat ke wajah Zularman dengan rasa teruja tahap paling
tinggi sekali. Tidak mereka sangka bahawa Firdee Aqasha sanggup mengambil
langkah itu untuk menyeru roh nenek tua yang sering mengganggu mereka.
“Habis tu? Ceritalah lagi. Kau orang dapat berkomunikasi dengan roh nenek
tua tu?” Nisrinah juga sudah kelihatan agak teruja tahap dewa ingin mengetahui
apa yang telah terjadi selepas mereka memuja roh nenek tua itu.
“Memang kami dapat berkomunikasi dengan roh nenek tu. Daripada apa yang
kami tahu, dia mati dibunuh. Tapi dia tak mahu beritahu kami siapa
pembunuhnya.” Zularman menceritakan apa yang mereka alami ketika memanggil roh
nenek tua itu.
“Ya ALLAH. Patutlah rohnya tak tenteram. Kemungkinan besar, dia nak kita
bantu untuk cari siapa pembunuhnya.” Zunika mengutarakan pendapat.
“Mungkin juga dia nak kita semadikan jasadnya dengan sempurna. Siapa tahu,
kan?” Aziham pula tidak mahu ketinggalan dalam menyumbang kata.
“Semua tu berkemungkinan besar tapi dia tak mahu beritahu kami apa-apa.
Susah sikit hendak tolong. Dah puas kami tanya, dia tetap mendiamkan diri.
Firdee agak panas baran dan telah menengking roh nenek tua itu menyebabkan dia
marah. Habis duit syiling ke kanan, ke kiri, ke atas dan ke bawah tak tentu
hala.” Zularman menyambung lagi ceritanya.
“Jari kau orang masa tu masih pada duit syiling lagi ke?” Era Kasmiran
ingin tahu.
“Masih walaupun ada ribut. Masa itulah Jhaz turun. Dia mengamuk pada kami.
Saat genting berlaku apabila tangan roh nenek tua tu muncul dari papan
permainan dan memegang erat tangan Dahuri. Jhaz mengambil tindakan spontan
dengan melaung azan.” Peristiwa semalam masih terbayang di ruang mata Zularman.
“Fuh, nasib baik. Kalau tak, kami pun tak tahu apa akan jadi pada kau
orang. Syukurlah Jhaz ada masa tu. Kau orang harus berterima kasih pada Jhaz.”
Nisrinah mengusul. Tampak lega di wajahnya.
“Memang kami harus berterima kasih pada Jhaz. Tapi amukan dia pada Firdee
membuatkan kedua-duanya bermasam muka. Mulut Jhaz tak berhenti membebel dan
menyindir dari malam sampailah ke pagi ni. Macam manalah tidak muncung sedepa
si Firdee tu. Dah sah-sah memang salah dia. Kami pun terkena juga tempias
amukan Jhaz sikit-sikit tapi kami buat
derkaje. Malas nak ambik serius.” Zularman menamatkan ceritanya mengenai
mereka mengenai kejadian semalam sehingga menimbulkan perang dingin antara
Jhaznarul dan Firdee Aqasha.
Sebaik sahaja selepas mendengar cerita daripada Zularman, kelima-lima
sahabat dari kaum Hawa menetas sengihan di pinggir bibir masing-masing. Kelakar
dengan gelagat kedua orang pemuda yang masih lagi dalam gelanggang
pertelagahan. Seorang muncung sedepa dan seorang lagi bagaikan suami kematian
isteri. Walaupun ketawa mereka tersimpan di rongga tekak, namun mereka tidak
dapat menahannya daripada keluar dari rongga hidung.
“Kau orang ketawalah. Kena sedas tengkingan daripada dia orang baru tau,”
sengaja Zularman mengugut kaum Hawa kerana tidak mahu kemarahan Jhaznarul dan
Firdee Aqasha berlanjutan sehingga berhari-hari.
“Mana ada kami ketawa? Cakap sopan-santun sikit ya?” Aziham berpura-pura
marah pada buah hatinya itu.
“Ini semua kau punya pasallah Miran,” tiba-tiba Zularman melenting pada Era
Kasmiran.
“Eh, kenapa aku pula? Apa yang aku dah buat?” pantas Era Kasmiran membuat
penafian dari meletak kesalahan mereka ke atas bahunya pula.
“Kalau kau tak beri idea mengarut tu pada Firdee, pasti dia takkan ajak
kami semua main spirit of the coin.
Disebabkan idea gila kau tu, membuatkan Firdee bertekad untuk mengetahui kenapa
roh nenek tua tu sering mengganggu kami semua. Dia tak mahu menunggu lagi
walaupun Jhaz janji akan cari caranya. Firdee tu bukan seorang yang penyabar.
Semuanya dia nak cepat-cepat,” tahap marah Zularman telah naik satu takat
didih.
“Itu bukan salah aku ya? Pada waktu tu, hanya cara tu paling dekat untuk
mengetahui sebab musabab kenapa roh nenek tua tu mengganggu kita semua terutama
sekali kau orang. Manalah tahu, Firdee setuju pula nak ikut cara aku. Bukannya
aku paksa pun,” selamba sahaja Era Kasmiran menolak semua kesalahan yang
tersangkut di tubuhnya.
“Pandai kau nak mengelat ya? Teruk punya makwe.” Zularman menyindir. Era
Kasmiran hanya tayang roman wajah tidak bersalah.
“Kau orang yang berikan cadangan tu pada kami semua, adakah kau orang juga
main permainan yang sama? Kau orang ada cuba ke tanya roh nenek tua tu kenapa
dia ganggu kita semua?” Khirulnizan pula teruja hendak tahu perkembangan yang
diperolehi oleh kaum Hawa. Tidak mungkin mereka tidak mencuba untuk mengetahui
sebab-musababnya.
“Kami nak main? Gila ke apa? Dari duduk bagus-bagus macam ni, nak kami
diganggu? Tak ada kerja. Kami tak mahu mencari nahas.” Zunika memandang sinis
pada buah hatinya.
“Kami tak mahu roh nenek tua tu mengganggu kami pula. Kami tak sekuat kau
orang dalam menangani nenek tua tu.” Era Kasmiran mengenyitkan matanya sebelum
menarik tangan Husnarisyam untuk duduk di tempat mereka semula di bahagian hadapan.
Bengang sahaja Khirulnizan mendengar balasan kata daripada yang tercetus
dari pinggir buah hatinya dan juga Era Kasmiran. Zunika sedar akan perubahan
roman wajah Khirulnizan lalu cepat-cepat mengeluarkan suaranya sebelum dia
disembur oleh buah hatinya itu.
“Jangan marah ya bi,” layangan sengihan dan kenyitan daripada Zunika
membuatkan Khirulnizan menari nafas panjang.
Bertuah punya awek. Khirulnizan tidak mampu membalas sebarang kata lagi
apabila pensyarah subjek itu sudah masuk ke dalam lab mereka untuk memulakan
sesi pembelajaran.
Kesemua pelajar kembali kusyuk meneliti pengajaran yang sedang berlangsung
itu dan melupakan seketika akan masalah yang mereka hadapi.