Zularman mencari roh
nenek tua yang didakwa oleh Jhaznarul ada di dalam rumah mereka. Begitu juga
dengan teman-teman yang lain. Namun, tidak ada seorang pun daripada mereka yang
melihat nenek tua itu. Mereka berpandangan sesama sendiri. Agaknya Jhaznarul
terlalu memikirkan hal nenek tua itu sehingga akalnya dimanipulasikan oleh
perasaannya sendiri.
Kini mata teman-teman serumahnya meluruskan tepat ke anak mata Jhaznarul.
Jhaznarul pula membalas pandangan mata itu tanpa rasa bersalah. Sememangnya dia
ada melihat nenek tua itu, masakan dia mahu menipu di dalam perkara sepenting
ini.
“Jhaz, cuba jangan melebihi had kalau hendak menakutkan kami pun. Mana ada
nenek tua tu di sini? Kau sajakan nak main-main dengan kami untuk dapat
perhatian kami?” Firdee Aqasha mula berang dengan sikap Jhaznarul.
“Aku tak main-mainlah. Memang aku nampak nenek tua tu duduk di sofa. Kau
ingat aku suka main-main perkara macam ni? Tak ada kerja.” Jhaznarul juga tega
menahankan pendapatnya sendiri.
“Mana nenek tua tu? Mana? Ada kau lihat kat mana-mana sekarang? Tak ada
kan? Jangan nak menakutkan kamilah, Jhaz? Aku dah cakap kat kau kan, jangan
terlalu memikir sangat hal tu tapi kau degil. Sekarang tengok, apa dah jadi
pada diri kau?” Firdee Aqasha menunjukkan penampilan diri Jhaznarul di cermin
sejak pulang ke kolej semula. Teruk.
“Kau sedar tak yang kau tu dah tak terurus sekarang ni? Muka selebet,
penampilan tak terjaga, cengkung, berkhayal, apa ni Jhaz? Bangun Jhaz, bangun.
Jangan seksa diri kau lagi. Nenek tua tu tak wujud di alam nyata tapi kau yang
mewujudkannya sehingga ternampak di mata kami semua,” teruk Jhaznarul
ditengking dengan Firdee Aqasha pada malam itu. Sebetulnya Firdee Aqasha sudah
tidak tahan lagi dengan sikap Jhaznarul yang sering melihat roh nenek tua sejak
pulang dari perkhemahan tempoh hari.
“Aku tak tahu mana dia pergi tapi aku memang nampak dia sini. Dia sering
ganggu aku. Susah aku nak halau dia. Kau yang bertanggungjawab membawa dia pada
kita.” Jhaznarul membalas serangan kata Firdee Aqasha akibat terlalu tertekan
dengan situasi yang dialaminya.
“Kau jangan letakkan kesalahan seratus peratus pada aku, Jhaz. Kalau aku
yang bertanggungjawab, kenapa dia ganggu kau sorang saja? Kenapa dia tak ganggu
aku sekali? Cukuplah Jhaz, kita dah final
year tau? Aku tak nak terkandas di tahun akhir.” Firdee Aqasha semakin
tegas.
“Jhaz, kau kan selalu baca al-Quran? Takkan budak surau macam kau pun kena
ganggu juga.” Syed Dahuri separuh menyindir.
“Kau jangan sindir akulah, Dahuri. Kau tak tahu apa yang aku alami. Setiap
kali dia muncul, lidah aku kelu untuk membaca sebarang ayat pun. Aku dah
berubat diri aku sendiri tapi aku tak tahu kenapa ia tak berkesan.” Jhaznarul
tetap mempertahankan dirinya sendiri.
“Okey, jangan bertengkar. Ada baiknya, kita naik ke bilik dan mengerjakan
solat Isyak. Aku belum solat lagi ni,” pujuk Zularman ingin meredakan
ketegangan yang melanda diri mereka. Dia tidak mahu pertengkaran ini
berlanjutan.
Jhaznarul membuntuti langkah Zularman ke bilik mereka (sememangnya dia
berkongsi bilik dengan Zularman dengan mengambil bilik utama. Firdee Aqasha,
Syed Dahuri dan Khirulnizan lebih selesa mendiami di bilik sendiri tanpa
sebarang perkongsian. Sebuah rumah teres yang mempunyai empat buah bilik memang
cukup selesa untuk mereka berlima).
“Jhaz, kau ambik wuduk dulu. Aku nak minum kejap. Dahagalah.” Zularman
meminta diri untuk mengambil putih di dapur. Jhaznarul mengangguk lesu.
Sebaik sahaja kaki Jhaznarul ingin melangkah ke tandas yang berada di dalam
bilik mereka, sekali lagi tubuh badannya terpasung. Rengkungnya kering. Nenek
tua itu sedang duduk di mangkuk tandas sambil menyengih memandang ke arahnya.
“Cu .... jangan takut pada nenek cu. Tolong nenek cu,” suara itu
mendayu-dayu semula sambil nenek tua itu memanjangkan tangannya untuk merangkul
bahu Jhaznarul.
Jatuh terduduk Jhaznarul cuba mengelak dari dipegang oleh nenek tua itu.
Sekali lagi pekikkan Jhaznarul berkumandang nyaring di dalam biliknya. Kesemua
teman-teman Jhaznarul meluru ke arah bilik jejaka itu sambil melihat empunya
diri sedang mengengsot keluar dari tandas.
“Jhaz, kenapa ni?” sepantas kilat Khirulnizan bertanya.
Wajah Jhaznarul kembali memucat. Jarinya terketar-ketar menunjukkan ke arah
mangkuk tandas. Nenek tua itu masih menyeringai menampakkan giginya yang
runcing-runcing hitam berkarat. Namun dengan sepantas kilat juga nenek tua itu
lesap ketika teman-temannya berada di dalam bilik yang sama. Jhaznarul tidak
mengerti, kenapa nenek tua itu muncul ketika dia berseorangan dan lesap ketika
dia dikelilingi oleh teman-temannya. Apa motif nenek tua itu melakukan
sedemikian rupa terhadap dirinya. Kenapa dia sahaja yang diganggu, bukan mereka
semua. Walhal, mereka juga turut menyertai dirinya di dalam perkhemahan tempoh
hari.
“Kau nampak apa, Jhaz? Kami tak nampak apa-apa pun?” mata Syed Dahuri masih
lagi meliar dengan harapan agar dia ternampak sesuatu tetapi semuanya hampa
kerana mata kasarnya tidak dapat menangkap sebarang kelibat. Langsung tidak
ada. Pandangan Syed Dahuri melencong semula ke arah Jhaznarul yang kering
bibirnya.
“Jangan cakap kau nampak nenek tua itu lagi? Tak ada sesiapa di sini, Jhaz.
Tak sesiapa kecuali kau sorang aje.” amaran keras telah dikeluarkan oleh Firdee
Aqasha.
“Sudahlah. Biar Jhaz berehat. Mungkin perasaan dia masih terganggu lagi.”
Zularman menghulurkan air putih pada Jhaznarul setelah dia membaca selawat ke
atas nabi dan beberapa potong ayat-aya suci al-Quran.
Jhaznarul menelan rakus air kosong itu dan barulah nampak dia tenang
semula. Barulah aturan pernafasannya membaik pulih kembali. Teman-teman yang
lain sudah pun meninggalkan Jhaznarul bersama Zularman.
“Kau pun tak percayakan aku? Aku memang nampak kelibat nenek tua tu di
mangkuk tandas. Bila mereka datang beramai-ramai dia hilang,” terang Jhaznarul
bersungguh-sungguh.
“Aku percaya. Jom pergi ambik wuduk. Kita tak harus meninggalkan solat pada
saat-saat genting begini.” Zularman tidak mahu membebankan fikiran Jhaznarul
mengaku sahaja dengan harapan agar sahabatnya itu mempunyai tempat untuk
mengadu.
“Terima kasih Zular kerana tidak meragui aku.” Jhaznarul begitu terharu
dengan sikap prihatin yang ditunjukkan oleh Zularman.
Sesudah mengambil wuduk, Jhaznarul mengambil sejadah yang berhampiran
dengan tingkap di biliknya itu. Baru sahaja dia hendak menghamparkan sejadah, dia
melihat seakan-akan bayangan seseorang tegak berdiri di bawah sebatang pokok
yang berada di hadapan rumah sewa mereka. Bayangan seseorang yang berupa lelaki
itu sedang memerhatikan ke arahnya sambil tersengih. Jhaznarul tersentak
melihat reaksi lelaki itu.
Ya ALLAH. Itukan Mamu Arries? Buat apa dia di sini? Kenapa dia mengekori
aku? Fikiran Jhaznarul berputar kembali memikirkan sesuatu fakta. Ralit sungguh
Jhaznarul memerhatikan bayangan yang dikatakan Mamu Arries sehingga membuatkan
dia terleka seketika.
Wajah Jhaznarul kembali memucat setelah bahunya ditepuk orang. Serta-merta
darahnya naik satu takat. Namun, dia mampu kembali tenang setelah melihat
Zularman yang menepuk bahunya sambil tersenyum.
“Kau tengok apa tu?” tanya Zularman yang turut memanjangkan permandangannya
ke arah luar.
“Zular, itu bukan Mamu Arries ke yang sedang berdiri di bawah pokok depan
rumah kita?” tuding jari Jhaznarul ke arah pokok itu.
Zularman cuba melemparkan pandangannya ke arah yang ditunjukkan oleh
Jhaznarul tetapi dia tidak melihat sebarang jenis objek pun. Apatah lagi yang
didakwa itu Mamu Arries.
“Aku tak nampak Mamu Arries pun. Lagipun, Mamu Arries datang ke rumah kita
untuk apa? Aku tak nampak kaitannya Mamu Arries dengan kita,” suara Zularman
mengendur. Malas dia hendak menaikkan ketinggian nada suaranya.
“Kalau kau nak tahu Zular, begitulah keadaan dia sejak balik dari Hutan
Simpanan Kaffi. Asyik-asyik ternampak Mamu Arries selain roh nenek tua tu. Aku
dah cakap, mereka tu semua tak ada kaitan dengan kita tapi dia ni degil.
Entah-entah hijab dia dah terbuka kot. Itu yang selalu nampak bukan-bukan.”
Firdee Aqasha menyampuk ketika dia melalui bilik utama itu untuk menuju turun
ke dapur.
“Aku setuju dengan Firdee. Kita tak ada kaitan dengan mereka tu semua.
Kenapa pula mereka nak ganggu kita terutama sekali Mamu Arries. Mana Mamu
Arries tahu tempat tinggal kita, hatta rumah sewa kita sekali pun. Dia tak
pernah tanya tentang semua tu.” Syed Dahuri menyokong kata-kata Firdee Aqasha.
Jhaznarul terpempan seketika. Dia tidak tahu bagaimana mereka semua sudah
berkumpul di dalam biliknya semula.
“Jhaz, kau kena berhenti dari khayalan ni. Aku takut nanti pelajaran kau
akan terjejas.” Khirulnizan cuba berlembut dengan Jhaznarul.
“Tapi apa yang aku nampak semuanya benar. Aku bukan berkhayal atau
berhalusinasi. Mata aku tak mungkin menipu. Aku tak minta kau orang percayakan
aku. Terpulanglah. Tapi aku sendiri keliru, kenapa mereka semua kerap ganggu
aku? Apa kaitan aku dengan mereka?” Jhaznarul ternyata semakin keliru dengan
apa yang sedang berlaku.
“Itu sebab, kau kena berhenti dari terus berfikir. Ingat masa depan kita,
Jhaz. Pelajaran kita penting. Tersangat penting. Jangan teruskannya. Aku harap
hijab kau masih dilindungi.” Firdee Aqasha sudah mahu berlembut.
“Aku tak tipu. Aku cakap apa yang aku nampak.” Jhaznarul masih mahu
mempertahankan dirinya.
Teman-teman yang lain hanya mampu menggelengkan kepala masing-masing
sahaja. Dasar lelaki degil.