Tahun 2008,
SUDAH setahun berlalu sejak kejadian kebakaran berlaku di sekolah. Namun tidak kira para guru mahupun para murid masih tidak dapat melupakan kisah tragedi tersebut. Setiap kali memerhatikan atau lalu di lokasi kejadian, pasti air mata berlinangan tanpa disedari. Terutama sekali, Rina. Perasaan sedih masih menghantuinya walaupun sudah setahun berlalu. Perasaannya masih tidak dapat dibuang. Malah cukup kecewa dengan apa yang telah berlaku.
Hal tersebut mula menyebabkan Rina kurang fokus terhadap pembelajaran dan sering termenung jauh. Kadang-kala dia mengalami tekanan emosi sehingga terpaksa ditenangkan oleh guru. Pernah juga dia ingin membunuh diri tetapi niatnya berjaya dihalang. Situasi yang berlaku terhadap Rina lansung diceritakan kepada bapanya.
“Rupa-rupanya Rina juga berkelakuan macam tu kat sekolah,” luah Zamir yang sedih melihat anaknya.
“Maksud pak cik?” Tanya Cikgu Faizal ingin tahu.
“Dia juga macam ni sewaktu kat rumah. Hampir setiap masa dia menangis dan terjerit-jerit. Puas saya pujuk dia tapi dia tak nak. Bila malam sebelum tidur, barulah dia dapat tenangkan diri. Cikgu, tolonglah anak saya! Kenapa dengan anak saya sebenarnya?” Rayu Zamir beremosi.
Cikgu Faizal mengeluh panjang. Dahinya diurut seketika. Dia juga sendiri tidak tahu apa yang berlaku kepada Rina sebenarnya. Namun menurut pendapat guru-guru yang lain, mereka mendakwa Rina hanya mengalami tekanan emosi serta trauma akibat kejadian kebakaran setahun yang lalu. Dia perlu berubah dan fikirkan masa depannya.
Cikgu Faizal kemudiannya meminta Cikgu Nani berjumpa dan memujuk Rina dengan cara yang baik. Meminta Rina supaya berubah dan tidak perlu memikirkan perkara yang telah berlaku di sekelilingnya. Cikgu Nani juga fikirkan perkara yang sama kerana itulah cara yang terbaik buat masa sekarang.
Rina kini ditempatkan di bilik kaunseling bersama dengan Imran. Berbeza dengan Rina, Imran sekadar bertenang dan tidak mengalami sebarang trauma. Namun dia mengakui turut mengalami tekanan emosi beberapa hari selepas kejadian kebakaran yang meragut nyawa rakannya.
“Aku kesian tengok kau sebenarnya. Aku dengar kau trauma dengan kejadian tu tapi tak akanlah sampai sekarang kau masih berkelakuan macam ni? Come onlah! Umur kita semakin meningkat, kita bukan budak-budak lagi. Sedarlah diri tu sikit,” keluh Imran lalu menggeleng kepala. Dia tidak pedulikan tatapan tajam dari mata Rina.
“Walaupun kita dah kehilangan kawan baik kita?” Imran kembali memandang wajah Rina sebelum menghadiahkan jelingan tajam kepadanya.
“Hei, Imran! Yang mati tu adalah kawan-kawan kita! Satu kelas mati tau tak?! Kalau kau nampak tenang macam ni, maknanya kau tak sayangkan kawan-kawan kau! Lebih baik kau mati bersama dengan dia orang!!” Pekik Rina dengan wajah yang bengis.
“Rina, sudahlah tu! Tarik balik kata-kata kamu tadi!” Celah Cikgu Nani yang sudah memasuki bilik kaunseling. Dia benar-benar terkejut sebaik terdengar kata-kata Rina tadi.
“Imran, jangan fikirkan apa yang Rina cakap tadi,” katanya lagi. Imran hanya mengangguk faham. Namun dalam hatinya dia cukup geram dengan luahan Rina tadi.
Cikgu Nani duduk seketika di kerusi. Keluhannya dilepaskan. Kepalanya masih runsing untuk menyelesaikan masalah Rina. Kedua-dua murid itu diperhatikannya. Memang menjadi takdir apabila hanya mereka berdua sahaja terselamat dari kejadian kebakaran. Tidak pasti ianya hanya satu kebetulan ataupun tidak. Pada masa kejadian, Rina keluar pergi ke tandas sementara Imran pula sibuk dengan kelab bolasepaknya.
“Rina, cikgu faham situasi kamu yang telah kehilangan kawan baik. Cikgu pun pernah alami perkara yang sama tapi cikgu boleh terima kenyataan. Itu adalah takdir kita sebagai manusia yang hidup di muka bumi ni.” Cikgu Nani cuba mengambil langkah pertama untuk memujuk Rina. Imran sekadar mendiamkan diri sambil mendengar. Sampai sekarang dia masih tidak tahu mengapa dia turut dipanggil ke bilik kaunseling.
“Tapi cikgu, Siti dan Nurul adalah kawan baik saya. Saya tak boleh terima kematian mereka, cikgu. Kenapa mereka berdua mati dalam keadaan macam tu, cikgu?” Rina menangis lagi. Kelakuannya seolah-olah seorang budak yang sedang menangis di hadapan si ibu. Suara tangisan sebegitu hampir membuatkan Cikgu Nani terasa sebak di dada.
“Rina, itu adalah takdir juga. Mungkin mereka ditakdirkan mati dalam kejadian tragis tu. Mungkin ditakdirkan juga mereka mati dalam usia yang agak awal.” Mata Cikgu Nani mulai berkaca. Imran kian berasa rimas dengan situasi tegang itu.
“Cikgu, saya mengaku pernah trauma dengan kejadian tu sebelum ni. Bukan Rina seorang saja yang kehilangan kawan baiknya, tapi saya juga. Satu kelas merupakan kawan baik saya. Nak tau sesuatu, cikgu? Kami berdua serta arwah kawan-kawan kami dah lama bersama sejak dari sekolah rendah lagi. Tak hairanlah kenapa kami cukup terkejut dengan kejadian yang meragut nyawa mereka,” jelas Imran yang cuba redakan keadaan.
“Dan sekarang macam mana kamu berjaya tenangkan diri kamu?” Tanya Cikgu Nani. Rina perlahan-lahan berhenti menangis lalu memandang ke arah Imran.
“Senang je. Setiap malam saya berdoa agar roh-roh mereka dicucuri rahmat. Bila saya berdoa, hati saya menjadi tenang. Lama-kelamaan saya tak fikirkan perkara tu lagi tapi melupakannya bukan satu perkara yang mudah. Saya pasti Rina juga fikir perkara yang sama,” jawab Imran tersenyum pahit.
Rina masih diam membisu. Air mata dibiarkan jatuh di pipi. Benar kata Imran, melupakan perkara yang telah berlaku bukannya mudah. Apatah lagi melibatkan kehilangan rakan baiknya.
“Rina, kamu tak apa-apa?” Soal Cikgu Nani setelah melihat keadaan Rina yang sedikit tenang itu. Rina diam tanpa bersuara. Sedikit pun tidak memberikan apa-apa isyarat atau sebagainya.
“Tadi cikgu ada beritahu yang cikgu juga telah kehilangan seorang kawan baik. Arwah Cikgu Farah. Ingat tak kejadian letupan kereta pada tahun lepas?” Rina serta Imran serentak menganggukkan kepala.
“Mulanya memang cikgu agak terkejut dan tak boleh terima kenyataan. Tapi lama-kelamaan cikgu boleh terima segalanya. Tentunya arwah Cikgu Farah juga minta cikgu untuk bertenang dan menerima hakikat sebenar.”
“Rina, dalam dunia ni tak ada yang kekal. Kita yang hidup pasti akan mati tak kira di usia muda mahupun tua. Banyak perkara yang kita boleh buat dan tentukan masa depan kita. Kita tak boleh ubah masa silam. Biarkan ia berlalu dan jadikannya sebagai sejarah hidup kita,” ujar Cikgu Nani panjang lebar.
Rina terdiam lagi. Kemudian dia berpaling ke arah Imran sebelum dibalasnya dengan senyuman dan anggukan kepala dari Imran. Kata-kata Cikgu Nani cuba difahaminya. Benar dia tidak mampu untuk mengubah masa silam. Sebanyak mana pun air matanya menitis, dua orang kawan baiknya itu tidak akan dapat dikembalikan. Biarlah mereka bersemadi di temapat yang aman.