Pada masa yang sama, di ibu pejabat polis,
DUA orang pegawai polis sedang berjalan menuju ke kantin untuk menikmati makan tengahari pada waktu rehat. Kedua-dua tangan mereka dilihat sedang memegang fail masing-masing. Mungkin untuk mengkaji sesuatu kes yang tergendala atau sebagainya. Setelah memesan makanan dan minuman, mereka terus membayarnya di kaunter pembayaran. Lalu mereka mengambil tempat duduk di sudut kantin.
“Kau ada bawa fail tu?” Soal Nazrin memulakan bicara.
“Mestilah bawa. Nampak tak ni?” Jawab Hasrul lalu menunjukkan fail berwarna coklat muda. Air minuman sejuk dihirupnya menggunakan straw.
“Saja aku tanya. Risau kau tersilap bawa fail lain pulak,” kata Nazrin mengeluh.
“Makan dulu, nanti kita sembang pasal kes ni,” balas Hasrul. Memang itu pun tujuan mereka ke kantin tersebut.
Sewaktu makan, Nazrin sempat membelek telefon pintarnya dan membuka sebuah laman sosial. Kemudian dia terbaca satu berita viral bahawa terdapat kes bunuh diri di universiti utara tanah air. Kejadian tersebut turut disahkan oleh pihak polis dan mangsanya pula disahkan meninggal dunia serta-merta.
Secara kebetulan pula, dia menerima satu pesanan ringkas yang mengatakan pihak polis di ibu kota telah mengesahkan kes tersebut. Nazrin mengeluh panjang. Selera makannya mula menghilang. Satu lagi kes bertambah pada hari ini.
“Kenapa? Ada lagi kes kematian hari ni?” Teka Hasrul. Nazrin mengangguk laju. Hasrul sudah menjangkakannya dari reaksi rakan sejawatnya tadi. Sisa makanan dihabiskannya sebelum menghirup air minuman.
“Siapa pulak kali ni?”
“Seorang pelajar universiti di utara tanah air,” jawab Nazrin. Wajahnya tampak serius memandang telefon pintarnya.
“Pelajar universiti? Bukan hari tu dah ada kes kematian melibatkan pelajar universiti jugak?” Luah Hasrul terkejut.
“Itu kes kemalangan jalanraya. Ini kes bunuh diri, terjun dari bangunan asrama perempuan,” balas Nazrin.
Hasrul mengeluh panjang sambil menggeleng kepala. Air minuman dihirup sehingga habis. Baru dia tersedar, makanan serta minuman Nazrin masih belum dihabiskannya. Riak wajahnya tampak serius. Mungkin banyak perkara sedang difikirkannya sekarang. Lebih-lebih lagi melibatkan kes yang berakhir dengan kematian. Hampir saban hari, berlaku kes yang serupa.
Mungkin nampak normal bagi orang lain dan mengatakan setiap yang bernyawa pasti berakhir dengan kematian. Itulah takdir manusia di muka bumi ini. Namun begitu, kes yang melibatkan kematian sukar untuk diterima bagi mereka berdua ini. Entah mengapa mereka merasakan seperti ada yang tidak kena.
“Nazrin, ingat tak dulu kes kebakaran yang berlaku kat sekolah sebelum ni?” Lalu Hasrul mengeluarkan beberapa helai kertas yang merupakan laporan kes kebakaran serta beberapa keratan akhbar lama.
“Mestilah ingat. Kes paling teruk yang pernah berlaku kat sekolah pada tahun 2007. Masa tu aku baru ditawarkan kerja sebagai pegawai polis,” balas Nazrin. Ingatannya pada tujuh tahun yang lalu diingat kembali. Kesemua mangsa tidak dapat diselamatkan dan disahkan terkorban. Menurut siasatan pihak bomba, kejadian berpunca daripada litar-pintas. Memang tiada unsur jenayah yang berlaku pada waktu itu.
“Dan lepas tu kes-kes yang melibatkan kematian kian bertambah selepas kes ni. Pelik, kan?” Luah Nazrin sambil memandang wajah Hasrul. Hasrul memang mengakuinya namun dia tidak pasti apa yang telah berlaku sebenarnya.
Nazrin mengeluarkan beberapa laporan kes yang berkait termasuk kes kemalangan jalanraya, pembunuhan, kebakaran serta bunuh diri. Itu antara kes terbesar yang menyumbang kepada kematian dari tahun 2007 sehingga sekarang.
“Bila baca balik kes-kes lama ni, aku rasa kesemua mangsa terlibat agak malang. Sebabnya tiap kali terlibat dalam mana-mana kes, pasti mereka akan mati tanpa diberi peluang kedua untuk hidup. Contohnya macam kes kemalangan ni. Orang ni terlibat dalam kemalangan kecil dan mengalami patah kaki. Terus dibawa ke hospital tapi esoknya dia mati akibat komplikasi organ dalaman,” jelas Hasrul. Laporan kes kemalangan tersebut terus ditujukan kepada Nazrin.
Nazrin mengangguk faham. Kemudian dia membaca pula satu kes serupa, iaitu kes ragut yang melibatkan mangsa ragut itu sendiri. Difahamkan ketika kejadian, mangsa bergelut dengan peragut sehingga mendatangkan kecederaan ringan. Selepas mangsa berjaya mendapatkan begnya semula, dia dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Malangnya dia terlibat pula dalam kemalangan langgar lari dan meninggal dunia serta-merta.
“Ingat tak kes ragut ni? Ini berlaku kat kawasan berdekatan. Dengar khabar, polis ada terjumpa sesuatu yang menarik di lokasi kejadian,” sua Nazrin.
“Benda apa? Siapa yang jumpa tu?” Tanya Hasrul ingin tahu.
“Benda ni.” Lalu Nazrin menunjukkan foto kamera di telefon pintarnya kepada rakannya. Ia merupakan foto seutas rantai kunci berlian. Melihatnya, Hasrul tersenyum dalam diam namun Nazrin sempat melihatnya.
“Dulu aku ada rantai kunci macam tu tapi sekarang aku dah bagi kat sepupu aku. Dulu rantai kunci ni memang popular. Kalau ada orang yang tak ada benda ni, memang akan dipulaukan oleh kawan sendiri,” ujar Hasrul tertawa kecil.
“Tapi apa kaitannya rantai kunci tu dengan kes ragut?” Sambungnya.
“Tak taulah. Sampai sekarang kita belum terima laporan mengenainya. Kita tak pasti samada rantai kunci tu milik mangsa, milik peragut atau sesiapa saja. Mungkin benda tu secara kebetulan tercicir kat situ,” jelas Nazrin. Hasrul mengangguk faham. Kemudian dia teringat akan satu perkara yang berkait dengan rantai kunci tersebut.
“Cakap pasal rantai kunci ni, aku ada seorang kawan sejawat dengan kita yang bekerja di utara tanah air. Katanya kat sana lagi banyak kes kematian yang berlaku. Dan setiap kali kes yang berlaku, rantai kunci tu pasti ada di lokasi kejadian.”
Nazrin berasa hairan mendengarnya.“Betul ke ni? Kau pasti?”
Hasrul mengangguk laju. Memang tidak syak lagi. Dia juga menunjukkan bukti kiriman foto dari rakannya melalui aplikasi permesejan. Nazrin terdiam seketika. Memang rantai kunci yang sama. Apakah ini hanya satu kebetulan?
Ketika asyik berfikir, tiba-tiba mereka berdua dikejutkan dengan bunyi seakan dentuman kuat dari arah jalanraya berhampiran. Kemudian kedengaran pula suara-suara yang menyebut ada berlaku kemalangan di hadapan pintu pagar ibu pejabat polis. Tanpa berlengah, Hasrul dan Nazrin bingkas bangun untuk memeriksa keadaan di sana.
Mangsa yang terlibat merupakan seorang budak perempuan. Sementara menunggu kedatangan ambulans, Nazrin segera memberi bantuan kecemasan kepada mangsa. Jaketnya ditanggalkan dan diletakkan di bawah kepala budak itu. Denyutan nadi diperiksanya. Amat perlahan dan lemah. Nazrin semakin cemas dibuatnya.
Sementara Hasrul pula menahan seorang pemandu lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk dan menyebabkan budak perempuan tadi dilanggarnya. “Nazrin, macam mana dengan keadaan budak tu?”
“Denyutan nadinya lemah! Lambat lagi ke ambulans nak sampai?” Soal Nazrin bernada cemas dan panik.
Seketika wajahnya berubah apabila tangannya disentuh oleh budak perempuan itu. Senyumannya mula diukir dengan linangan air mata di pipi. Perlahan, matanya ditutup dan menjadi kaku di hadapan Nazrin. Hasrul juga terdiam memerhatikannya.
“Nazrin, tengok tu!” Mata Hasrul kemudian terpandang sesuatu pada beg galas mangsa terbabit. Lalu meminta Nazrin untuk melihatnya.
Kedua-dua mereka tergumam sebaik mendapati sesuatu yang menarik perhatian mereka tadi adalah seutas rantai kunci berlian yang digantung pada beg galas mangsa. Tidak lama kemudian, mereka didatangi ambulans serta ibu mangsa yang menangis sebaik menyedari kehilangan anaknya.