Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 42

TULISAN cakar yang menghiasi dalam rumah Rafeeq sukar untuk dihilangkan walaupun disangka hanya ditulis dengan darah manusia. Oleh sebab tiada pilihan lain, Rafeeq mengecat kesemua bahagian rumahnya dengan cat warna lain. Mona hanya bersetuju setelah kehilangan idea. Rina hanya diam tidak bersuara sambil memerhatikan tulisan-tulisan tersebut. Memang sama dengan tulisan yang ‘menghiasi’ bilik di rumahnya. Dia mula tertanya siapa yang melakukannya? Pak Jankah?

            “Awal pagi tadi ada orang pecah rumah kau dan buat tulisan ni ke?” Tanyanya. Mona tersentak sebaik diajukan soalan berkenaan. Mungkin Rina sendiri tidak mengingati apa yang telah berlaku pada awal pagi tadi.

            “Tak tau lah. Akak pun tak sedar benda ni terjadi. Mungkin Rafeeq tau apa yang berlaku sebenarnya,” jawab Mona sambil tersenyum. Sengaja tidak memberitahu perkara sebenar kepada Rina.

            “Rafeeq tau? Macam mana dia boleh tau?” Soal Rina hairan.

            “Dia mempunyai kelebihan istimewa yang tak dimiliki oleh orang lain, iaitu deria ke-enam,” balas Mona tersenyum lagi. Rina mengangguk faham lalu menyilangkan kedua-dua tangannya. Matanya memandang lagi ke arah Rafeeq yang sedang mengecat dinding rumah.

            “Semalam kau tidur selesa tak? Kau ada bermimpi buruk lagi tak?” Tanya Mona ingin tahu. Dia begitu penasaran terhadap keadaan Rina setelah batu berlian dari rantai kunci miliknya sudah dihancurkan oleh Rafeeq.

            Kemudian Rina kembali senyap sambil memaling muka ke arah lain. Mona hairan melihatnya. Salahkah soalannya tadi? Rafeeq turut menyedari kelakuannya setelah mencuri dengar perbualan mereka berdua. Mona menyangka pasti Rina masih mengalami mimpi buruk lagi.

            “Kalau kau senyap macam ni, maknanya kau pasti bermimpi buruk lagi. Maafkan akak dengan Rafeeq. Kami berdua tak tau macam mana lagi nak selesaikan masalah kau,” ujar Mona prihatin.

            “Memang aku bermimpi buruk lagi tapi bukan pasal hantu ahli sihir tu. Aku bermimpi pasal kau orang berdua.” Luahan kata-kata Rina amat memeranjatkan Mona serta Rafeeq. Mimpi apakah yang dialaimi oleh Rina mengenai mereka berdua?

            “Aku hanya tengok kau orang berdua duduk melutut depan ahli sihir sambil merayu supaya tak dibunuh. Aku cuba nak selamatkan kau orang tapi tangan dan kaki aku menjadi kaku. Jadi aku hanya tengok kau orang berdua mati depan mata aku,” sambungnya lagi. Air matanya menitis ke pipi. Mona pantas menenangkannya. Wajah Rafeeq dipandang seketika.

            Mereka berdua berada dalam kekeliruan dan kehairanan. Bagaimana pula Rina bermimpi mengenai mereka berdua sedangkan Rina sendiri ketika dirasuk oleh sesuatu telah mengugut mereka berdua supaya mati pada kejadian awal pagi tadi. Ataupun dia mula bermimpi mengenai mereka setelah kejadian tersebut berlaku? Ataupun juga yang berhadapan dengan mereka berdua pada kejadian tersebut adalah bukan Rina sendiri, tetapi orang lain yang menyamar sebagai Rina?

            Rafeeq meminta diri untuk beredar keluar dari rumah setelah hujan kembali reda. Dia berniat mahu bertemu dengan seseorang. Setelah keadaan menjadi tenang, Rina berhenti daripada menangis. Dia kemudiannya berjalan dan duduk di ruang tamu. Telefonnya dikeluarkan dari beg sandang lalu mencari nombor seseorang untuk dihubungi. Mona yang tidak mencurigai apa-apa beredar menuju ke dapur. Tidak semena-mena ekor mata Rina bertindak mengekori pergerakan Mona.

 

KELIHATAN Faizal sedang memerhatikan kerja-kerja menarik seorang mayat yang telah mati lemas di dalam sungai yang berarus deras. Wajahnya agak sugul dan tidak bermaya. Mungkin kerana tidak cukup tidur. Masakan tidak, dia asyik memikirkan kes-kes kematian yang kerap berlaku setiap hari dan kaitannya dengan sumpahan rantai kunci berlian. Setelah mayat tersebut berjaya diangkat ke darat, memang benar mereka menemui rantai kunci yang sedang digenggam oleh mangsa.

            Suara tangisan si ahli keluarga mangsa mulai kedengaran. Cuaca di langit masih mendung dan bakal turun hujan sekali lagi. Setelah mengambil rantai kunci mangsa, Faizal terus beredar dari situ sebelum terserempak dengan lelaki misteri bertopi. Senyumannya dilemparkan sambil menanyakan khabar kerana sudah beberapa hari mereka tidak saling bertemu.

            “Nampaknya hari ni saja dah beberapa kematian berlaku disebabkan mati lemas. Kesian, kan?”

            Namun Faizal tidak mahu melayaninya dan terus pergi meninggalkannya lalu memasuki ke dalam keretanya. Dia berniat mahu pergi ke suatu tempat. Kemudian dia terkejut melihat si lelaki bertopi itu sudah memasuki keretanya. Entah sejak bila dan bagaimana caranya.

            “Oi! Keluar dari kereta aku cepat!” Marahnya.

            “Sabar, bawa bertenang. Dulu masa kita berjumpa, kau tak bersikap panas baran macam ni. Sekarang kenapa pula?” Soal lelaki itu.

            “Sebab aku dah curiga dengan kau! Aku dah syak yang kau tau sesuatu pasal rantai kunci ni tapi kau sengaja tutup mulut depan aku. Bagitau aku cepat, kau yang buat rantai kunci ni ke?” Soal Faizal yang cuba menuduh lelaki tersebut. Hairannya, lelaki itu hanya tersenyum lebar tanpa rasa takut dengan tuduhan terhadap dirinya.

            “Sampai hati kau tuduh aku macam tu?”

            “Jangan main-main dengan aku boleh tak?! Aku serius ni!!” Pantas Faizal menjawab dalam keadaan marah. Kebetulan emosinya sedang terganggu ketika itu.

            Mata lelaki bertopi itu kemudiannya tertancap ke arah seseorang tidak dikenali sedang mengacukan senjata panjang tidak jauh dari mereka berdua. Lantas lelaki tersebut meminta Faizal menekan minyak sekuatnya lalu terus beredar dari situ sambil mengelak daripada ditembak. Kereta terus dipandu laju sehingga dua tiga kilometer dan bersembunyi di tempat tersembunyi.

            “Siapa tadi?” Soal Faizal kepenatan. Suaranya diperlahankan agar tidak didengari sesiapa.

            “Tak tau. Mungkin dia nak tembak kau sebab kau ada rantai kunci tu,” balas lelaki bertopi itu, turut bersuara perlahan. Sesekali mereka menjenguk ke luar sekadar untuk memerhati jika seseorang tersebut berjaya mengejar mereka walau sudah sejauh dua tiga kilometer.

            “Entah-entah orang yang sama yang bunuh pelajar universiti beberapa minggu yang lalu,” teka Faizal. Lelaki itu sekadar mengiyakannya kerana dia tidak tahu-menahu mengenainya.

            Faizal berfikir seketika mengenai pembunuh tadi. Jika orang mati disebabkan sumpahan dendam orang mati yang ada pada rantai kunci berlian, bagaimana pula dengan nasib orang mati yang disebabkan oleh pembunuhan? Adakah pembunuh tersebut memang sengaja mahu membunuh orang yang kebetulan mempunyai rantai kunci? Atau pembunuh telah dihasut atau dirasuk supaya membunuh orang?

            “Rasanya kita dah selamat. Orang tu dah tak kejar kita lagi. Mungkin dah hilang jejak kita,” beritahu lelaki bertopi itu. Lalu dia membuka topinya dan mengipaskan ke arahnya yang kepeluhan itu. Barulah Faizal dapat melihat wajah lelaki itu secara keseluruhan.

            “Maaflah kalau aku dah kecewakan kau. Malang sekali aku bukan si pembuat rantai kunci tu. Percayalah. Oh, ya! Nama aku Rafeeq,” ujarnya tersenyum.

            “Habis kenapa kau tau pasal rantai kunci tu? Kau sendiri cakap rantai kunci tu ada sumpahan dan sebagainya,” balas Faizal tertanya.

            “Aku tak ada bukti mengenainya. Hanya firasat aku aje. Pertama kali aku tengok rantai kunci berlian yang dijual di kedai, aku jadi takut dan seram. Tak lama lepas tu, ada orang mati dilanggar lari. Kebetulan orang yang mati tu ada pegang rantai kunci tu. Waktu tu sekali lagi aku berasa takut dan seram. Seolah-olah aku sedang diperhatikan oleh seseorang atau lebih tepat roh jahat,” jelas Rafeeq.

            “Roh jahat?” Luah Faizal hairan. Lalu dia cuba kaitkannya dengan penjelasan Rina mengenai dendam orang yang telah mati.

            “Oh, ya! Baru aku teringat! Ada sebab sebenarnya kenapa aku nak jumpa dengan kau. Aku nak tanya kau sesuatu. Masa kau siasat pasal rantai kunci ni, kau tau apa-apa pasal ahli sihir atau sebagainya?” Tanya Rafeeq. Faizal berfikir seketika lalu mengeluarkan buku nota yang selalu dicatatkan perkara-perkara mengenai sumpahan rantai kunci berlian.

            “Oh, ada! Aku baru dapat tau daripada seseorang. Katanya sumpahan tu merupakan dendam roh jahat yang telah mati pada abad ke-19. Ia adalah seorang ahli sihir kejam yang berdendam terhadap penduduk kampung tempatan. Lepas kematiannya akibat dihukum dibakar hidup-hidup, perasaan dendamnya masih ada dengan menjadikan batu permata kecil sebagai mediumnya,” jelas Faizal seperti yang tercatat pada buku notanya.

            “Batu permata kecil..?” Lalu dia merenung ke arah batu berlian dari rantai kunci yang masih dipegang oleh Faizal. Setelah lama berfikir, barulah dia tahu akan perkara sebenar.

            “Mungkin batu permata tu dibuat baru dan jadikannya sebagai batu berlian. Batu ni yang mengandungi sumpahan dendam si ahli sihir tu. Kalau kita pecahkannya, mungkin kematian takkan berlaku lagi. Aku dah beri amaran kat dalam media sosial. Haraplah dia orang tau pasal ni,” kata Faizal. Memang itu yang telah difikirkan oleh Rafeeq tadi.

            “Tapi macam mana kalau orang tak percayakannya?” Soal Rafeeq. Itulah yang Faizal risaukan sebenarnya. Bimbang jika orang lain tidak percayakan kuasa sumpahan yang pada rantai kunci   tersebut. Maka kematian tetap akan berlaku pada setiap hari.

Previous: Bab 41
Next: Bab 43

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura