Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 19

OLIVIA mengambil kesempatan untuk melawat perpustakaan usai sahaja kelas tamat. Pada mulanya dia mahu pergi seorang diri. Namun Hanim memujuk untuk ikut bersamanya dan Olivia akur sahaja dengan kehendaknya. Alasan Olivia mahu ke perpustakaan tidak diberitahu lagi kepada Hanim. Akan tetapi dia selalu melihat gadis kacukan itu pergi ke tempat tersebut setiap waktu petang.

            Tanpa mereka berdua sedari, mereka sedang diekori oleh Naim dari jauh. Ketidakhadiran Rina ke kelas petang itu membuatkan Naim terfikir apa sebabnya. Dia sepatutnya ingin bertanya kepada mereka berdua, tetapi entah mengapa hatinya terdetik untuk mengekori mereka walaupun hanya ke perpustakaan sahaja.

            Masuk sahaja ke dalam perpustakaan, Olivia terus bergerak menuju ke rak buku mengenai sejarah tempatan. Oleh sebab Hanim tidak tahu apa yang sedang dicari olehnya, dia hanya sekadar duduk di tempat duduk sambil menunggunya. Keluhannya dilepaskan. Kepalanya masih memikirkan nasib Rina di asrama. Adakah masih lagi demam? Kemudian fikirannya beralih kepada kejadian menakutkan yang berlaku pada malam semalam. Suara siapakah yang menjerit ketakutan itu? Adakah Rina sendiri?

            Sedang asyik berfikir, dia tersentak apabila didatangi Naim. Naim cuba memandang sekeliling. “Seorang aje ke?” Dia berpura-pura tanya sedemikian bagi mengelak dirinya dikesan kerana mengekori mereka berdua tadi.

            “Tak, dengan Olivia. Dia sedang cari buku untuk dibaca,” balas Hanim sambil menunjukkan lokasi rak-rak buku. Naim mengangguk faham lalu duduk berhadapan dengan Hanim.

            “Rina mana? Kenapa dia tak datang tadi?” Sudah dijangka oleh Hanim apabila lelaki itu bertanya soalan mengenai Rina.

            “Dia demam dari pagi tadi. Sebab tu aku suruh dia tak perlu datang ke kelas petang ni,” jawab Hanim. Naim mengangguk lagi.

            “Tak nak bawa dia ke klinik?” Soalnya lagi.

            “Tak payahlah. Bukannya demam teruk pun. Demam biasa aje. Dia dah makan ubat tadi,” jawab Hanim. Terus fikirannya melayang ke arah nasib Rina lagi. Mungkin dirinya terlalu risaukan gadis tersebut agaknya.

            Tidak lama kemudian, Olivia muncul bersama dengan beberapa buah buku di tangan. Kesemuanya bertopik lebih kurang sama, iaitu sejarah. Olivia juga tidak menyangka akan kehadiran Naim di perpustakaan. Tidak lama selepas itu, Sarah pula datang menyampuk. Tersentak Hanim dan Olivia akan kehadirannya.

            “Amboi, tebalnya buku! Kau nak baca semua ni ke?”

            “Tak adalah baca semua. Cuma aku nak cari beberapa maklumat pasal penjajahan British dulu,” balas Olivia lalu duduk di kerusi. Walaupu Sarah tidak berminat dengan sejarah, dia ‘terpanggil’ untuk duduk di situ dan menyertai mereka bertiga. Tindakannya sempat diperhatikan oleh Hanim yang kurang senang dengan kehadiran gadis sombong itu. Baru beberapa hari yang lepas teman lelakinya sudah meninggal. Sangkanya sikapnya akan berubah selepas kejadian tersebut. Namun sangkaannya meleset.

            Olivia dengan tekunnya mencari dan membaca info-info yang berkait. Dia sendiri tidak pasti samada tercatat ataupun tidak mengenai hukuman kejam yang pernah dikenakan pada penduduk kampung suatu ketika dahulu. Namun begitu, dia pernah mendengar cerita dari mulut orang mengenai satu kisah seorang wanita yang dihukum kejam pada zaman penjajahan British. Malang sekali, ceritanya tidak terlalu teliti dan dianggap sebagai kisah mitos sahaja.

            “Olivia, kau cakap orang dalam lukisan tu pakai pakaian lama, kan?” Hanim bersuara kembali setelah lama berdiam. Olivia pantas mengangguk kepala. Lalu dia ditunjukkan beberapa lampiran yang ada dalam buku yang dibaca oleh Hanim. Bagi memastikan ianya betul ataupun tidak, Olivia mengeluarkan kertas lukisan Rina yang diselitkan di dalam fail. Apabila sudah dibandingkan, ternyata memang benar ianya pakaian yang sama.

            “Lukisan siapa punya tu? Boleh tengok?” Sua Naim. Sarah yang duduk di sebelahnya juga mahu melihatnya.

            Tanpa berkata apa-apa, kertas lukisan milik Rina ditunjukkan kepada Naim dan Sarah. Lukisan tersebut agak menyeramkan dan mengerikan bagi Sarah tetapi tidak bagi Naim. Wajahnya agak serius merenungnya. Diakuinya memang benar orang-orang di sekeliling memakai pakaian lama dan ketinggalan zaman. Hairannya, apa sebab Rina melukis sebegitu rupa?

            “Rina yang lukis ni? Kenapa dia lukis macam tu? Tak ada benda lain nak lukis ke? Banyak benda yang lebih cantik dan indah untuk dilukis,” keluh Sarah seakan tidak mempercayai lukisan tersebut dilukis oleh Rina.

            Sementara mereka asyik berbual, Olivia masih lagi sibukkan diri untuk mencari maklumat berkait. Jika tiada maklumat penting pada buku pertama, dibukanya buku kedua dan yang seterusnya. Hanim berasa kasihan melihat Olivia yang seakan cuba mendesak dirinya.

            “Dahlah tu, Olivia. Kalau tak ada tu, tak apalah. Lain kali kita cari kat tempat lain,” pujuk Hanim prihatin. Naim bersetuju dengannya.

            “Kau orang semua memang lupa atau buat-buat lupa?” Kemudian Sarah mencelah sambil menunjukkan telefon pintarnya. Hanim serta Olivia diam seketika sebelum masing-masing menampar dahi. Sekarang sudah memasuki era moden dan semua maklumat yang ingin dicari berada di hujung jari sahaja.

            “Biar aku tolong juga. Kau orang nak cari pasal apa sebenarnya?” Kata Naim yang mahu meminta kata kunci daripada Olivia.

            “Terima kasih, Naim. Maaflah kalau menyusahkan kau. Cari pasal kisah wanita yang dihukum dibakar hidup-hidup atau dikejam atau sebagainya. Cari dari pelbagai sumber pun tak apa,” balas Olivia tersenyum. Sarah dan juga Hanim turut menggunakan kata kunci tersebut untuk mencari maklumat yang berkait.

 

WAKTU petang semakin melabuhkan tirai. Olivia mengemas buku-buku untuk disimpan semula di rak buku sambil dibantu Hanim. Sementara Naim dan Sarah meminta diri untuk beredar terlebih dahulu untuk pergi ke kafe. Pada mulanya Naim berasa hairan akan kehadiran Sarah di perpustakaan. Sudah lamakah dia berada di situ? Atau dia juga turut mengekori Hanim dan Olivia? Pun begitu, dia malas mahu membangkitkan soalan tersebut kepada Sarah.

            “Tak sangka pulak kisah wanita yang dihukum kejam tu sebenarnya wujud. Aku ingatkan sekadar kisah mitos aje. Kononnya nak takutkan orang-orang dulu,” kata Sarah yang mahu berbual dengan Naim berdua-duaan.

            “Sebelum ni memang aku tak ingat apa-apa tapi bila cari pasal kisah tu, lansung aku teringat. Katanya wanita tu dihukum sebab amalkan sihir hitam,” balas Naim.

            “Tak kisahlah tu kisah betul ataupun tak, apa kaitannya dengan Rina? Kenapa Rina lukis benda macam tu? Kau tau apa-apa tak?” Tanya Sarah ingin tahu.

            “Manalah aku tau. Dia pun tak nak berkawan dengan kita, apatah lagi nak ceritakan pasal lukisannya tu,” balas Naim mengeluh.

            “Bukan kau ada perasaan kat Rina ke?” Naim terkedu seketika setelah ditanyakan soalan begitu. Bagaimana Sarah mengetahui perasaannya terhadap Rina? Wajah Sarah dipandang serius sebelum bergerak laju meninggalkannya. Lelaki yang berbual baik dengan Rina pada hari semalam lantas diingatinya. Siapakah lelaki itu dan apa hubungannya dengan Rina? Adakah gadis itu sudah berteman? Naim tidak mahu menuduh sebarangan selagi tidak mengetahui hal sebenar. Keluhannya dilepaskan dan cuba untuk berfikir positif mengenai Rina.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura