Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 3

ZAMIR terus jadi kebuntuan. Merata-rata tempat dia mencari di dalam biliknya namun benda yang dicari lansung tidak dijumpai. Tidak berasa puas mencari di dalam bilik, dia beralih mencari di seluruh ruang rumahnya termasuklah di ruang tamu, dapur, serta bilik air. Tetapi hasilnya tetap sama.

            Zamir melepaskan keluhan panjang sebelum duduk di atas kerusi sofa. Dia terpaksa berfikir balik ke masa kejadian tingkap kaca biliknya dipecahkan. Sebelum kejadian, dia berniat mahu menyimpan batu permata jernih ke dalam laci almari. Namun tidak kesampaian dek kejadian tingkap pecah. Ketika itu fikirannya terus ke arah kejadian tersebut tanpa menghiraukan batu permata itu lagi.

            Sukar dia mengingati semula di mana dia meletakkan batu permata itu sebenarnya. Adakah anaknya, Rina yang mengambilnya semula? Kemudian dia tersentak. Bilik anak perempuannya belum lagi dipilih sebagai lokasi pencarian batu permata. Lantas dia bangkit lalu menuju ke bilik anaknya. Nama anaknya mula disahut.

            “Rina! Boleh buka pintu? Ayah nak masuk ke dalam.”

            Rina yang sedang menyiapkan kerja sekolah akur dengan permintaan bapanya lalu membuka pintu bilik. Tanpa melengahkan masa, Zamir terus mencari-cari batu permata tersebut. Tindakannya mula menaikkan hairan si anaknya.

            “Ayah nak cari apa?”

            “Maaf, Rina. Ayah nak cari sesuatu.Jangan kacau ayah, boleh tak?” Balas Zamir. Matanya tidak terlepas dari mencari batu permata yang dikhuatiri mungkin ada di dalam bilik anaknya.

            “Ayah cari ‘ni’ ke?” Terhenti Zamir seketika setelah terdengar pertanyaan anaknya. Lalu menoleh ke arah tepat ‘objek’ di tangan anaknya.

            “Ayah dah agak! Mesti Rina yang ambil. Bagi kat ayah, biar ayah simpan untuk Rina,” kata Zamir sambil mendekati anaknya.

            Mendengarnya, Rina kehairanan lagi. “Masa bila pulak Rina yang ambil batu ni dari ayah? Bukan ayah yang letak batu ni kat atas meja Rina?”

            Zamir hampir ternganga dibuatnya.Yang mana satu perkara betul sebenarnya? Pada malam selepas kejadian tingkap pecah, dia lansung tidak meletakkan semula batu permata itu di atas meja anaknya. Namun pendakwaan Rina ke atasnya membuatkan fikirannya semakin berserabut. Semuanya gara-gara batu permata tersebut.

            “Ah, sudahlah! Ayah tak nak fikir pasal hal mengarut ni lagi. Rina boleh simpan batu tu tapi ingat, jangan sampai hilang pulak,” pesan Zamir sebelum melangkah keluar dari bilik anaknya. Sempat juga dia berpesan supaya menyiapkan kerja sekolah dengan cepat.

            Kepala Rina diangguk laju.Senyumannya dilemparkan saat melihat kecantikan batu permata jernih itu. Seakan sama dengan batu berlian pada rantai kunci miliknya. Rantai kunci itu digantung pada beg sekolahnya. Senyumannya masih melekat di bibir. Mungkin teruja dengan adanya rantai kunci tersebut yang kian menjadi ikutan rakan-rakan sekolah. Yalah, Rina juga tidak mahu terkecuali daripadanya.

 

HARI demi hari, minggu demi minggu, rantai kunci berlian itu semakin menjadi ikutan kepada orang ramai. Tidak kira dari golongan anak-anak prasekolah sehinggalah golongan dewasa. Kini rantai kunci popular itu bukan hanya setakat dijual di mana-mana kedai runcit, malah turut dijual di pasar pagi serta pasar malam. Daripada satu lokasi sahaja, penjualan rantai kunci popular itu semakin berkembang maju dan sudah dijual di seluruh tanah air.

            Penjualan yang semakin melonjak tinggi itu berlaku disebabkan beberapa perkara. Selain mempunyai tarikan tersendiri, rantai kunci tersebut diyakini sebagai ‘benda baharu’ pada ketika itu dan juga dianggap sebagai barang paling jarang ditemui. Oleh sebab itu mereka sanggup membelinya seberapa banyak sekalipun dan menyimpannya sebagai barang berharga.

 

DUA tahun berlalu, usia tiga sekawan ini juga semakin meningkat. Rina, Siti dan Nurul kini sudah melangkah masuk ke alam persekolahan menengah rendah. Apa yang menariknya, mereka bertiga ditempatkan di kelas yang sama. Malah juga satu kelas dengan rakan yang sama ketika di sekolah rendah dahulu. Menariknya lagi, keputusan peperiksaan sekolah rendah yang diperolehi sangat bagus dan sangat cemerlang.

            Ada yang mula mendakwa mereka yang memperoleh keputusan cemerlang disebabkan oleh rantai kunci berlian itu. Mendengarnya, Rina sedikit tidak mempercayainya. Ini kerana dia telah bekerja keras mengulangkaji pelajaran semata-mata mahu melihat dirinya dibanggai oleh bapanya. Siti dan Nurul juga sependapat dengannya.

            Namun dakwaan yang datang sendiri dari kelas Rina kian menjadi kuat apabila seorang lagi rakan sekelas mengaku dirinya lansung tidak membuat sebarang persiapan sebelum menjelang peperiksaan. Anehnya, dia berjaya menjawab soalan peperiksaan dan memperoleh keputusan cemerlang. Ini membuatkan perasaan Rina sedikit bercelaru.

            “Bohonglah! Kau hanya berbohong,kan?” Herdiknya. Siti dan Nurul terkejut dengan luahan kawannya itu.

            “Aku tak bohonglah, Rina. Percayalah, memang aku tak buat apa-apa persiapan. Nak tau apa aku buat sehari sebelum peperiksaan hari tu?” Sua Imran tersengih. Rakan-rakan di belakangnya turut tersengih. Setahu Rina, Imran dan rakan-rakannya aktif bermain bolasepak tidak kira di dalam sekolah mahupun di luar sekolah. Mungkin apa yang mereka lakukan sehari sebelum peperiksaan adalah bermain bola.

            Kemudian kedengaran satu suara yang bersetuju dengan dakwaan rantai kunci popular kononnya membawa tuah kepada si pemilik. Rina naik hairan lagi. Wajah orang tersebut diperhatikannya sebelum beralih ke arah orang yang mengeluarkan dakwaan tadi.

            “Rina, sudahlah! Benda remeh-temeh aje pun. Biarlah mereka nak percaya rantai kunci tu bawa tuah ataupun tak,” pujuk Siti yang mahu tenangkan situasi yang sedikit tegang itu.

            Mujur Rina dapat menenangkan dirinya. Namun dia masih berfikir tentang rantai kunci tersebut. Benarkah ia membawa tuah kepada si pemilik? Setahunya, Imran sering mendapat markah terendah dalam peperiksaan sebelum ini. Sehingga setakat ini, tiada apa-apa yang berlaku yang membawa nasib tuah kepada keluarga Rina. Hanya kehadiran lelaki tua berbongkok satu yang kelihatan masih ada dan kerap membersihkan halaman rumahnya.

            “Se-sebenarnya aku pun percaya jugak yang rantai kunci tu membawa nasib tuah.” Bisikan suara Nurul menyentakkan lamunan Rina. Siti yang mendengarnya juga terkejut.

            “Apa kau cakap?” Sua Siti.

            “Kau orang tau kan keluarga aku dari golongan berpendapatan rendah. Beberapa hari sebelum hari pembukaan sekolah, ada orang datang bagi bantuan kat kami sekeluarga. Makanan keperluan asas, alat kelengkapan sekolah seperti baju, beg, alat tulis pun dia orang bagi. Bantuan wang pun bagi. Nak tau berapa?”

            Lantas Nurul membisikkan ke arah Siti dan Rina. Setelah mendengarnya, mata kedua-dua rakan itu membulat. Nurul tersenyum lebar. Keluarganya kini dapat hidup dengan senang-lenang selepas ini.

            “Habis ayah kau kerja tak lagi?”Soal Rina ingin tahu.

            “Ayah aku ditawarkan kerja kat sebuah kilang. Mak aku macam biasalah, jaga adik-adik aku kat rumah,” jawab Nurul tersenyum. Rina diam seketika. Entah mengapa dia berasa senang hati melihat senyuman rakannya itu.

            “Ah, baru aku teringat! Ayah aku memang ada mohon bantuan sebelum tu lagi,” ujar Nurul tersengih. Tergerak-gerak bahunya sambil tertawa kecil.

            “Apalah kau ni, Nurul! Padanlah aku tak percaya yang rantai kunci tu pembawa nasib tuah,” bidas Siti sedikit bengang.

            “Tapi aku rasa memang betullah rantai kunci tu pembawa nasib tuah. Sebab sebelum ni ayah aku berkali-kali mohon bantuan tapi tak dapat. Kami dah tengok dan baca ciri-ciri kelayakan,memang kami layak untuk memohon,” luah Nurul yang mengingati perkara yang berlaku sebelum ini.

            Rina dan Siti mula berbalas pandangan.Susah untuk mereka mempercayai bahawa rantai kunci yang popular itu kononnya pembawa nasib tuah. Mereka melihat rantai kunci tersebut hanya biasa-biasa sahaja. Yang menariknya hanya batu berlian yang seakan tampak asli sahaja.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura