Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 21

RINA berwajah muram ketika menjenguk ke luar jendela biliknya. Adakalanya dia merasakan angin malam meniup ke arahnya tetapi dia seakan tidak kisah dirinya berasa sejuk atau tidak. Ketika ini dia sedang memikirkan kenangan bersama arwah bapanya. Dia mengakui kesunyian sedang melanda dirinya setelah bapanya meninggal dunia. Tanpa orang tersayang, hidupnya ibarat kosong tanpa makna. Namun dia tetap meneruskan hidup walaupun tiada hala tuju.

            Tiga orang sekawan dilihat sedang berjalan melewati bangunan asrama. Mereka kelihatan seronok berbual sesama sendiri. Rina menggigit bibir bagi menahan kesedihan. Persahabatan mereka bertiga lansung mengingatkannya kepada dua rakannya yang telah meninggal dunia tujuh tahun yang lalu. Baginya, arwah Siti dan Nurul adalah rakan yang paling baik walaupun pernah berlaku sedikit perselisihan faham ketika zaman sekolah rendah dulu.

            Kini disebabkan trauma kehilangan rakan tersayang, Rina membuat keputusan untuk tidak berkawan rapat dengan sesiapa lagi. Gangguan emosi yang sering dialaminya tidak akan pernah hilang, malah akan kerap kali mengganggu tatkala perkara buruk berlaku di hadapan matanya. Hal tersebut sudah pun berlaku sebelum kejadian kebakaran yang meragut nyawa rakannya. Rina pernah berniat untuk bertemu dengan pakar psikoterapi tetapi niatnya dibatalkan.

            Ketukan pintu bilik menyentakkan Rina dari lamunan panjang. Entah siapa pula yang datang singgah ke biliknya pada malam itu. Mungkin Hanim yang mahu mengetahui keadaannya yang kini sudah pulih dari demam panas.

            “Olivia?” Hairan Rina melihat gadis kacukan itu setelah memberi isyarat supaya membuka pintu yang tidak berkunci itu.

            “Hai, Rina! Dah sihat?” Sapa Olivia lalu masuk ke dalam bilik Rina. Pintu sengaja dibiarkan dibuka sedikit. Rina sekadar mengangguk kepala tanpa berkata apa-apa.

            “Aku nak bagi balik kertas lukisan ni kat kau. Aku betul-betul minta maaf sebab ambil lukisan ni tanpa kebenaran kau,” pinta Olivia lalu menyerahkan semula kertas lukisan mengenai hukuman kejam itu. Rina mengeluh seketika. Padanlah mengapa lukisan tersebut tiada di biliknya, rupa-rupanya sudah diambil orang. Wajah Olivia dipandang serius.

            “Kenapa kau ambil lukisan ni? Ada yang menarik perhatian kau ke?” Tanya Rina tenang. Olivia berasa lega seketika kerana tidak dimarahi Rina. Lantas kepalanya diangguk laju. Rina hairan melihatnya. Dia sendiri tidak tahu apa yang berlaku kepada wanita malang itu sebenarnya. Mungkin Olivia sudah mendapatkan jawapan kepastian.

            “Dulu aku pernah dengar satu kisah pasal wanita ni. Katanya wanita ni mengamalkan ilmu sihir dan dikenakan hukuman mati, iaitu dibakar hidup-hidup. Pada masa tu, ilmu sihir sangat dilarang untuk diamalkan. Kejadian ni berlaku sekitar abad ke-19,” jelas Olivia.

            “Abad ke-19? Lamanya!” Terkejut Rina mendengarnya. Patutlah orang-orang di sekeliling wanita malang itu memakai pakaian lama dan lusuh.

            “Apa yang sedihnya, wanita tu dah ada anak seorang. Masih budak lagi. Ini gambarnya.” Lalu Olivia menunjukkan foto yang telah dimuat turun ke dalam telefon pintarnya. Foto tersebut memaparkan seorang wanita dan seorang budak lelaki sekitar usia 4-6 tahun.

            “Terus apa yang terjadi kat budak tu?” Soal Rina ingin tahu.

            “Tak ada sumber yang mengatakan pasal anak wanita tu tapi bila cari dalam Internet, katanya budak tu dijaga oleh seorang lelaki. Sayangnya, dia dah mati ketika di usia remaja. Mati sebab bunuh diri akibat tekanan dibuli oleh orang kampung,” jawab Olivia separuh bisik.

            Rina terasa sebak sebaik mendengar nasib anak wanita malang itu. Sudahlah ibunya dihukum mati, anaknya pula dibuli dan dicerca sehingga mengambil keputusan untuk membunuh diri.

            “Rina, aku dah tunjuk lukisan ni kat Hanim. Dia agak terkejut melihat dan tertanya kenapa kau melukis pasal benda ni. Kau ada apa-apa kaitan dengan kejadian ni ke?” Rina pantas menggeleng dan mengatakan dia tidak mempunyai apa-apa kaitan lansung dengan hukuman yang dijalankan ke atas wanita malang itu.

            “Cuma mimpi buruk aje.” Terpaksa Rina berterus-terang.

            “Mimpi buruk? Kau bermimpi pasal kejadian tu?” Tanya Olivia inginkan kepastian. Rina mengangguk laju. Sudah lama dia bermimpi buruk mengenai wanita itu. Pada awalnya dia bermimpi menyaksikan sendiri hukuman wanita malang itu. Kemudian, baru-baru ini mimpinya bertukar, dirinya dikelilingi api besar sambil berdiri di hadapan wanita berjubah itu. Tidak kisah mimpinya berubah atau tidak, dia tetap bermimpikan tentang wanita tersebut.

            “Mak ayah aku cakap kalau mimpi pasal orang yang kita tak kenal, itu petanda buruk. Aku tak dapat teka apa yang bakal berlaku kat kau nanti. Harap kau bersabar dan berdoa agar tak bermimpi pasal wanita tu lagi,” pesan Olivia.

            Rina mengangguk dengan perlahan. Sengaja dia tidak mahu bertentang mata dengan Olivia kerana egonya yang tidak mahu berkawan baik dengan gadis berdarah kacukan itu. Olivia kemudiannya meminta diri untuk kembali ke biliknya semula. Rina sekadar diam memerhatikannya sehingga pintu bilik ditutup rapat. Riak wajahnya berubah masam tanpa sebab. Keluhannya dilepaskan. Laci meja ditariknya dan mengeluarkan buku lukisannya. Di dalamnya terdapat satu lukisan yang baru sahaja disiapkannya. Sosok seorang gadis itu dipandangnya dengan wajah yang masam. Kemudianya bibirnya bergerak mengungkapkan satu perkataan berbahasa Inggeris.

            “Lust.”

            Kertas lukisan tersebut dikoyak dan dironyoknya. Lalu dibuangnya ke dalam plastik sampah. Keluhannya dilepaskan lagi. Tubuhnya direbahkan di atas katil lalu menutup matanya. Seakan tidak bersalah atas tindakannya tadi. Atau mungkin dia sendiri tidak sedar apa yang telah dibuatnya tadi?

 

RINA terjaga terus dari tidurnya pada pagi itu setelah terdengar suara pekikan seseorang. Ada berlaku kematiankah? Itu sahaja yang terlintas di fikirannya. Bingkas Rina bangun dari katil dan keluar dari biliknya. Para penghuni lain turut terjaga dan keluar untuk mengetahui situasi yang telah berlaku. Kemudian Olivia muncul dari bilik air dan meminta supaya seseorang datang ke bilik air. Hanim yang berada berdekatan cuba mengajak Rina untuk ke bilik air. Mungkin ada berlaku hal kecemasan di sana.

            Rina pantas menolaknya dan meminta Hanim supaya pergi seorang diri. Memang niatnya mahu mengetahui apa yang telah berlaku, namun dia teringat akan kejadian bertembung dengan wanita berjubah di dalam cermin bilik air. Selepas kejadian tersebut, Rina tidak mahu ke bilik air berdekatan. Sebaliknya memilih bilik air yang terletak di hujung kiri.

            Rina bermundar-mandir di hadapan biliknya, menantikan jawapan dari Hanim tentang perkara yang berlaku di dalam bilik air. Selang beberapa minit kemudian, Hanim menjerit memanggil nama Rina dan memintanya untuk datang ke bilik air tersebut. “Rina, cuba kau tengok ni! Mesti kau akan terkejut. Marilah!” Mahu tidak mahu, Rina terpaksa akur.

            Masuk sahaja ke dalam bilik air yang dipenuhi beberapa orang pelajar lain, riak wajah Rina berubah sebaik melihat sesuatu di atas cermin bilik air. Beberapa orang dari mereka cuba merakam foto dan menyimpannya ke dalam telefon. Ianya ibarat satu momen yang tidak dijangkakan. Sementara Olivia yang sedang menangis terkejut cuba ditenangkan oleh Hanim. Tulisan berdarah di cermin diperhatikannya lagi. ‘Kau akan mati tak lama lagi, Olivia.’ Itulah ungkapan ayat yang ditulis dengan darah. Entah darah siapa yang digunakan.

            “Siapa yang buat ni?” Tanyanya.

            Masing-masing menggeleng kepala termasuk Hanim. Mungkinkah penghuni asrama dari tingkat atas atau tingkat bawah? Ada orangkah yang sedang berdendam dengan Olivia? Sewaktu sedang berfikir, mata Rina terpandang seutas rantai kunci berlian berwarna merah di bawah singki air. Bukankah itu rantai kunci yang sama yang ada di dalam biliknya? Bila difikir semula, dia mula sedar rantai kunci tersebut sudah tiada di dalam biliknya. Siapa yang mengambilnya?

            “Mungkin ada orang cuba permainkan kau, Olivia. Dah, jangan fikir pasal ni lagi!” Tanpa berlengah, Rina memasang paip getah pada pili air lalu dijiruskannya untuk memadamkan tulisan berdarah tadi. Berderau darah masing-masing apabila air yang mengalir ke bawah bertukar warna merah. Pantas mereka beredar dari bilik air termasuk Olivia dan Hanim.

            Tidak lama selepas itu, wanita berjubah muncul di dalam cermin tanpa jasadnya di dunia nyata. Rina agak terkejut disebabkan hal tersebut namun dia cuba untuk beranikan diri.

            “Kau yang buat tulisan ni?”

            Wanita berkulit putih itu lansung tersenyum tanpa bersuara apa-apa. Rina sudah menjangkakannya. Entah apa motif hantu itu mahu berdendam dengan Olivia.

            “Adakah ni disebabkan dia tau pasal kisah kau yang dihukum mati?” Tekanya. Wanita itu tersenyum lagi sebelum ghaib di depan mata Rina. Rina merengus kasar. Satu jawapan pun tidak diberikannya.

            Pili air ditutup rapat. Rantai kunci berlian tadi diambil dan disimpannya. Dia tidak mahu sesiapa mengambilnya lagi. Keluar sahaja dari bilik air, Olivia sudah pun menenangkan diri. Rina tidak mahu menceritakan perbualannya dengan hantu berjubah tadi. Bimbang keadaan akan menjadi lebih kecoh atau sebagainya. Lantas dia kembali ke biliknya semula sebelum bertembung dengan Sarah yang sedang menunggu di tangga. Rina malas mahu menegurnya dan berpura-pura tidak menyedari kehadiran gadis itu. Sarah juga diam memerhatikannya dengan jelingan tajam. Keegoan Rina yang tidak mahu menegur atau berkawan kian dianggap sebagai sombong olehnya.

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura