Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 30

NAZRIN dan Hasrul kini sudah tiba di sebuah kedai makan di utara tanah air. Sementara mereka sedang menunggu kehadiran seseorang, mereka sempat memesan makanan dan minuman di kedai tersebut. Kadang-kala Nazrin asyik mengeluh sambil mengerling ke arah jam tangannya. Hasrul sudah masak dengan sikap rakannya yang tidak berapa suka menunggu lebih lama.

            “Sabarlah. Tak lama lagi dia sampailah tu. Dia dah hantar mesej tadi, tengah dalam perjalanan katanya,” sua Hasrul cuba menenangkan sikap Nazrin. Nazrin mengeluh lagi lalu menganggukkan kepala. Hasrul tersenyum membalasnya.

            Seketika kemudian, sebuah kereta telah singgah di kedai makan tersebut. Mata Nazrin dan Hasrul tekun memerhatikan kenderaan tersebut dan siapakah pemiliknya. Adakah ia orang yang ditunggu-tunggu? Kemudian Nazrin menyedari sesuatu yang tidak kena pada kenderaan tersebut di mana cermin sisi di bahagian kanan telah tiada. Sudah patahkah? Atau kenderaan tersebut telah mengalami kemalangan ringan?

            Si pemilik kereta tadi keluar dengan wajah yang cuak. Dia yang merupakan seorang lelaki mengambil tempat duduk tidak jauh dari kedudukan Nazrin dan Harul. Dia sekadar memesan air putih sahaja. Nazrin berpaling ke arah Hasrul dan menanyakan adakah lelaki itu yang sedang ditunggu-tunggu. Hasrul pantas menggeleng. Nazrin sedikit hampa. Jika ya, bolehlah dia bertanya mengapa lelaki tersebut bersikap demikian.

            “Hah! Itu mungkin dia,” sua Hasrul tersenyum. Sebuah lagi kenderaan datang singgah ke kedai makan. Setelah si pemilik kenderaan keluar, Hasrul sudah menduganya lalu melambaikan tangannya. Nazrin sekadar diam memerhatikannya.

            “Lama betul kita tak berjumpa. Kau apa khabar? Kenapa kau lambat tadi?” Tanya Hasrul sambil menjemput Faizal duduk bersama mereka berdua. Faizal sempat berjabat tangan dengan Nazrin dan memperkenalkan diri masing-masing.

            “Maaflah aku lambat. Ada kemalangan berlaku tadi. Mujur jalanraya tak berapa sesak,” balas Faizal. Minuman teh ais sahaja dipesannya bagi menghilangkan dahaga.

            “Kemalangan? Teruk ke?” Soal pula Nazrin. Ada berkaitkah dengan lelaki tadi?

            “Teruk jugalah. Motosikal bertembung dengan kereta. Mangsa pun dah disahkan meninggal kat tempat kejadian,” jawab Faizal. Matanya tepat merenung ke arah kenderaan yang kehilangan cermin sisi kanan. Kemudian beralih memandang lelaki yang didakwa berasa bersalah itu. Faizal tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana dia sendiri tidak menyaksikan kemalangan tersebut. Cuma apa yang dia tahu, mangsa terkorban turut memiliki rantai kunci berlian.

            “Baik, berbalik kepada tujuan pertemuan kita. Hasrul ada beritahu aku yang kau orang berdua nak siasat kes-kes kematian. Itu yang membawa kau orang berdua datang ke sini?”

            Hasrul dan Nazrin pantas mengangguk kepala. Mereka mengakui kematian banyak berlaku di merata tempat, tetapi kematian yang paling kerap berlaku di utara tanah air. Mereka ke sana bukan sebab arahan dari pihak atasan atau sebagainya. Mereka berdua hanya pergi secara sukarela dan mahu menyiasat kes kematian yang dianggap pelik itu.

            “Kenapa kau orang berdua nak siasat kes-kes tu? Apa yang kau orang fikir pasal kematian yang kian kerap berlaku ni?” Tanya Faizal ingin tahu. Nazrin serta Hasrul diam seketika sebelum saling membalas pandangan masing-masing.

            “Aku fikir ia pelik. Rantai kunci milik mangsa bukan setakat memberi nasib malang tapi lebih membawa mereka dekat dengan kematian. Bila-bila masa aje dia orang akan mati. Itu teori pertama aku. Teori kedua pula, aku fikir ada dalang di sebalik kes ni. Maksudnya, mastermind. Orang ni mungkin bertanggungjawab mengupah orang professional melakukan kerja mereka dan menjadikannya sebagai sebuah kemalangan biasa. Untuk kes bunuh diri, mungkin mangsa dihasut terlebih dahulu oleh mereka ni,” jelas Nazrin lebar.

            Faizal diam memikirkan kedua-dua teori Nazrin. Mungkin ada benarnya kedua-dua teori tersebut dan boleh dijadikan sebagai petunjuk kepada kes-kes kematian. Namun dia lebih tertarik dengan teori mastermind yang disebutkan tadi. Lebih kurang sama dengan kata-kata Rina terhadapnya tempoh hari. Bagaimanapun, masih tiada bukti yang menjelaskan jika adanya dalang atau mastermind bagi kes yang melibatkan kematian bersiri ini.

            “Tapi aku masih pelik pasal satu perkara ni. Rantai kunci berlian. Kenapa setiap mangsa yang terkorban mesti ada rantai kunci tu? Kau tak rasa hairan ke?” Sua Nazrin meluahkan rasa hairannya. Hasrul juga tertanya soalan yang sama kerana sepupunya dikhabarkan telah meninggal akibat lemas. Rasa kesal mula terbit dalam hati kerana dialah yang memberikan rantai kunci itu kepada sepupunya.

            “Mungkin ia berkait dengan teori pertama kau. Dan bagi aku pula, rantai kunci tu umpama sebuah sumpahan dan sesiapa yang memilikinya akan mati. Ia bukan seperti dulu lagi yang pernah popular suatu ketika dahulu. Kononnya sesiapa yang memilikinya akan mengalami nasib tuah. Sekarang sejak tahun kebelakangan, makin banyak kematian yang berlaku saban hari hanya disebabkan kewujudan rantai kunci tu,” ujar Faizal sedikit geram.

            “Maksudnya, semua kejadian yang berlaku ni gara-gara rantai kunci tu?” Luah Nazrin pelik. Faizal tahu bunyinya agak pelik dan bersifat paranormal.

            “Tapi teori kedua Nazrin mungkin boleh diterima berbanding teori pertama,” celah Hasrul setelah lama berdiam.

            “Memang betul tapi kedua-dua teori tu boleh digunapakai sebagai petunjuk kes. Nazrin, terima kasih untuk teori kau. Sangat bagus,” ucap Faizal tersenyum. Kedua-dua teori Nazrin tadi dicatat ke dalam buku notanya. Sementara Nazrin dan Hasrul sekadar diam memerhatikannya. Makanan yang dipesan dijamah sehingga habis.

            Usai mereka berdua selesai makan, Faizal meminta diri untuk beredar pulang. Dia bercadang mahu pergi ke suatu tempat pada hari itu juga. Nazrin melepaskan keluhannya. Walaupun teori keduanya dilihat boleh diterima dek logik akal, namun teori pertamanya tidak boleh dilupakan begitu sahaja. Dalam era moden ini, dia tidak boleh menolak kemungkinan ada orang jahat bersifat kejam cuba menyumpah orang yang didendami dengan menghantar santau atau sihir dan membunuh mereka dengan cepat. Rantai kunci pula dijadikan sebagai medium pengantaraan.

 

IMRAN cuba menggosok-gosok lukisan pelik di dinding bilik Rina tetapi tetap tidak menghilang juga. Pelbagai cara digunakan untuk menghilangkannya termasuk menggunakan cuka, serbuk pencuci pakaian serta simbahan air biasa. Namun kesemua cara tersebut masih gagal menghilangkan lukisan pelik tersebut. Rina hampir menitiskan air mata kerana ketakutan melihat lukisan yang bukan dilukis olehnya. Bukan sahaja pelik, malah agak menyeramkan kerana memaparkan lukisan kepala sejenis haiwan. Seumpama seperti lukisan ritual pelik.

            “Imran, tolonglah hilangkan lukisan ni!” Luah Rina ketakutan.

            Imran mengakui memang berasa kasihan melihat gadis tersebut tetapi dia sendiri buntu dan tidak tahu cara bagaimana lagi untuk menghilangkan lukisan menakutkan itu.

            “Kita berehat dulu. Nanti aku fikirkan cara lain,” katanya lalu membawa Rina ke ruang tamu untuk tenangkan diri.

            Rina menggenggam tangan kirinya dengan tangan kanan. Dia masih nampak ketakutan dan terkejut. Pulang sahaja ke rumahnya, terus terjadi perkara pelik. Bermula dengan bunyi kuat dari luar rumah, kehadiran seorang lelaki berkulit putih yang diserang oleh kucing hitam di dapur serta pintu dapur yang terbuka sendiri. Kali ini sebuah lukisan pelik tiba-tiba ada di dalam biliknya. Lukisannya tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Rina tidak sedar siapa yang cuba melukis benda pelik di dalam biliknya. Masa bilakah orang itu melakukannya? Ketika dia sedang tidurkah?

            “Rina, kau jangan risau. Biar aku seorang aje yang fikirkan cara ni. Kau jangan fikir pasal lukisan pelik tu,” ujar Imran. Rina sekadar diam mengangguk. Air matanya dikesat dan dikeringkan. Selepas terkejut dengan penemuan lukisan menakutkan itu, secara spontan Rina terus menghubungi Imran. Rina sendiri tertanya mengapa dia terdetik untuk menghubungi lelaki tersebut.

            Selang beberapa minit kemudian, mereka berdua terdengar seseorang memberi salam dari luar rumah. Ada orang lain datang singgahkah? Rina tidak tahu siapa kerana dia tidak memanggil sesiapa selain Imran seorang. Setelah salam dijawab, Rina terus membuka pintu rumah dan mendapati Faizal sedang tepat di hadapan matanya.

            “Cikgu Faizal? Macam mana cikgu boleh tau rumah aku ni?”

            “Saya kan dulu cikgu kelas kamu? Oh?! Imran pun ada kat sini,” balas Faizal sebelum terpandang ke arah Imran yang masih duduk di ruang tamu. Pandangan matanya agak tajam sewaktu membalas pandangan Faizal. Namun Faizal tidak mempedulikannya dan menganggapnya sebagai pandangan biasa sahaja.

            “Jangan salah faham! Kami tak buat apa-apa pun. Lagipun ada sesuatu yang menakutkan dalam bilik aku. Mungkin cikgu berminat nak tengok dan menyiasatnya,” kata Rina yang cuba mempelawa Faizal untuk masuk ke dalam rumah.

            Tidak semena-mena Imran bingkas bangun dan meluru laju ke arah Faizal. Satu tumbukan padu singgah di pipi Faizal hingga menyebabkan lelaki itu terjatuh. Rina sangat terkejut dan terperanjat menyaksikan kejadian tersebut.

            “Apa kau buat ni, Imran? Dia cikgu kita dulu! Kau dah gila ke, hah?!” Bentak Rina marah. Tubuh Imran ditolak ke belakang kerana geram. Namun Imran sedikit pun tidak rasa bersalah, malah terasa puas hati.

            “Cikgu? Cikgu tak apa-apa?” Cemas Rina melihat keadaan bekas gurunya itu. Kesan lebam mulai jelas nampak pada pipi kiri Faizal.

            “Ya, Rina. Saya tak apa-apa tapi kawan kamu tu mesti ada sebab kenapa dia bertindak tumbuk saya tadi,” balas Faizal sambil mengaduh kesakitan. Dia dan Imran mula saling berbalas pandangan.

Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura