BALUTAN kain berisi beberapa ketulan ais diberikan kepada Faizal. Lalu Faizal meletakkannya di atas pipi kirinya yang lebam itu. Sakitnya memang tidak tertahan. Wajah Imran kembali dipandangnya. Ternyata lelaki yang telah menumbuknya tadi tidak melarikan diri ke mana-mana. Hanya duduk di situ sambil membuat wajah tegang. Walaupun Rina terkejut dengan tindakan mengejut dari Imran, namun dia tahu mengapa dia berbuat demikian.
“Kenapa tumbuk saya tadi?” Soal Faizal memulakan bicara.
Imran senyap membisu. Seolah-olah sengaja tidak mahu menjawab soalan yang diajukan oleh bekas gurunya itu. Rina yang tidak mahu keadaan menjadi lebih teruk cuba memujuk Imran supaya menjawab soalan Faizal.
“Jawablah, Imran! Aku tau kau marahkannya sebab dia cakap pasal rantai kunci tu,” katanya separuh bisik.
Imran masih membisu lagi. Begitu juga dengan Faizal yang ‘setia’ menanti jawapan dari bekas anak didiknya. Rina merasakan dirinya menjadi mangsa keadaan. Dia hanya menyangka selepas penemuan lukisan pelik di biliknya, segalanya sudah berakhir. Namun kehadiran bekas gurunya telah menimbulkan suasana tegang di dalam rumahnya. Fikirannya bercelaru mencari jalan penyelesaian. Terdetik pula hatinya yang tertanya apa tujuan sebenar bekas gurunya itu datang ke rumahnya. Tidak mungkin semata-mata hanya untuk menjadi mangsa tumbukan Imran sahaja?
“Ci-cikgu, aku tau yang cikgu masih tak puas hati dengan Imran tapi boleh tak bagitau kenapa cikgu datang ke sini? Kalau cikgu tak datang ke sini, mesti perkara ni takkan terjadi.”
Suasana senyap kembali mengambil tempat. Salahkah Rina menyoal bekas gurunya tadi? Tidak lama kemudian, terdengar suara keluhan yang dilepaskan oleh Faizal. Rina pantas memandangnya. Adakah dia akan memberitahu tujuan sebenarnya?
“Saya datang ke sini sebab nak jumpa kamu. Sebab saya tertarik dengan kata-kata kamu tempoh hari. Saya dah buat keputusan untuk menjadi penyiasat persendirian setelah arwah isteri saya meninggal. Jadi saya akan kumpul segala petunjuk bagi siasat kes-kes kematian ni,” jawab Faizal. Nadanya agak tenang seperti sudah lupa akan kesakitan yang dialami.
“Maksud cikgu, cikgu percaya segala kematian yang berlaku disebabkan oleh orang tertentu?” Sua Rina. Sementara Imran masih berdiam diri dan hanya memasang telinga sahaja.
“Saya tak percayakannya lagi sebab tak ada bukti untuk membuktikannya. Tapi saya boleh jadikannya sebagai teori aje. Kebarangkaliannya mungkin 50-50 peratus. Kalau bukan sebab ada dalang di sebalik kematian yang berlaku, mungkin kes ni berlaku disebabkan sumpahan dari rantai kunci tu sendiri,” jelas Faizal.
“Rantai kunci tu tak membawa apa-apa sumpahan peliklah!!” Tiba-tiba Imran menengking ke arah Faizal. Rina serta Faizal terkejut mendengar suaranya.
“Bertenang boleh tak, Imran?! Apa yang dia cakap hanya kemungkinan aje! Bukannya benda betul pun!” Bidas Rina yang makin tidak tahan dengan sikap Imran yang tiba-tiba berubah itu.
Imran sendiri tidak faham dengan dirinya sendiri. Dia seolah-olah telah hilang kawalan dan meluahkan rasa marah dan geram tanpa sengaja. Tanpa sebarang kata, dia terus beredar keluar dari rumah. Rina diminta untuk tidak menghalanginya. Dia terpaksa akur dan berharap Imran kembali bersikap seperti biasa.
“Kenapa dengan dia sebenarnya?” Tanya Faizal. Melalui reaksi wajah Rina, dia mengetahui bahawa gadis muda itu telah tahu alasan sebenar Imran.
“Dia cuma tak suka bila cikgu cakap pasal sumpahan yang ada kat rantai kunci tu,” jawab Rina. Faizal kemudiannya tertawa kecil. Rina hairan melihatnya.
“Kamu bagitau kat dia rupanya.” Rina bagaikan disentap. Dia tidak berniat untuk menjadi batu api atau sebagainya. Dia hanya mahu memberitahu perkara tersebut sahaja tanpa berniat apa-apa. Dan dia sendiri tidak bersetuju dengan kemungkinan yang diungkapkan oleh Faizal tempoh hari.
“Tak apa, saya maafkan kamu. Tak sangka pulak si Imran tu masih percayakan nasib tuah yang dimiliki oleh rantai kunci tu,” ujar Faizal. Rina sekadar diam mendengarnya. Dia sudah tahu sikapnya yang mempercayai rantai kunci sebagai pembawa nasib tuah telah ditanam sejak dari sekolah menengah lagi. Dan tidak mungkin Imran tidak boleh melupakannya begitu sahaja walau didesak oleh sesiapa pun termasuk Rina sendiri.
“Sebenarnya ada sebab kenapa aku cakap macam tu hari tu. Sejak kebelakangan ni, aku asyik bermimpi pasal seorang wanita yang dihukum dibakar hidup-hidup. Dan lepas tu dia mula mengganggu hidup aku dan cakap perkara-perkara pelik yang aku sendiri tak faham. Aku cuba kaitkannya dengan kejadian kematian yang sering berlaku saban hari. Aku mula terfikir, adakah ini disebabkan oleh dendam wanita yang dihukum kejam? Dendam orang yang dah mati terhadap jutaan manusia yang hidup? Pelik bunyinya, kan?”
“Bangga diri, cemburu, kemarahan, malas, tamak, rakus dan hawa nafsu. Ketujuh-tujuh sifat ni dimiliki oleh setiap manusia pada zaman sekarang. Itu yang wanita tu cakap kat aku. Bila fikir banyak kali, aku rasa aku faham apa yang cuba nak disampaikan oleh wanita tu. Semua manusia tak sempurna sifat. Bila dia orang jatuh ke dalam lubang kesengsaraan, dia orang akan berubah jadi orang jahat dan mencabut nyawa sesuka hati,” ujar Rina panjang lebar.
Faizal terdiam mendengarnya. Pelbagai perkara baru diterimanya dan mencatatnya ke dalam buku nota. Dia cuba menghadam apa yang dijelaskan oleh Rina tadi. Pertama sekali yang disebutkan adalah dendam orang mati terhadap jutaan manusia yang hidup. Faizal mula terfikir adakah Rina telah diberi kebolehan istimewakah? Bermimpi tentang wanita yang dihukum kejam sehingga mati seterusnya ditunjukkan dendam wanita malang itu. Adakah Rina sendiri mengenali wanita berkenaan?
“Tak, aku sendiri tak kenal dia. Lagipun aku rasa dia bukan orang Melayu macam kita. Melainkan orang Inggeris yang menjajah negara kita dulu. Kejadian dia dihukum sampai mati berlaku pada abad ke-19,” jawab Rina setelah diajukan soalan demikian. Faizal sangat terperanjat dengan jawapan tersebut. Jika tiada ikatan kekeluargaan atau sebagainya, mengapa wanita tersebut boleh muncul dalam mimpi Rina? Terpilih secara rawakkah?
Pening memikirkan perkara tadi, Faizal cuba menghadam hujahan Rina mengenai tujuh sifat negatif pada manusia zaman sekarang. Faizal mengakui kewujudan ketujuh-tujuh sifat tersebut dan sudah jelas dipraktikkan oleh manusia dari dulu lagi. Awalnya nampak baik dan alim tetapi setelah berubah kepada kemurungan, emosi kian terganggu. Sesetengah orang mungkin akan tersedar dan mahu berpatah balik. Sesetengah orang lain mungkin akan jatuh lebih ke dalam dan tidak boleh berpatah balik. Hasilnya, mereka akan berubah sebanyak 360 darjah dari perwatakan asalnya.
Faizal yakin orang dari golongan inilah yang berkemungkinan menjadi punca kes kematian yang berlaku. Hanya caranya sahaja yang tidak tahu bagaimana orang sebegini boleh menyebabkan manusia mati dalam kejadian yang tidak disengajakan atau mungkin disengajakan. Kemudian Faizal tersentak akan satu perkara pelik. Bagaimana pula dengan kejadian kematian yang disebabkan oleh cuaca buruk seperti kes yang dialami oleh rakan-rakan Imran? Faizal kembali dalam kebuntuan.