WANITA berjubah itu sedang mendiamkan diri sambil berdiri membelakangi Rina. Rina hairan adakah dia sedang bermimpi lagi? Dia ingin bersuara untuk menanyakan soalan, malangnya suaranya tidak kedengaran. Telinganya yang sudah pekak atau suaranya yang hilang secara tiba-tiba? Setelah jenuh Rina bersuara, wanita itu akhirnya menoleh menghadap ke arahnya. Riak wajah Rina berubah panik dan ketakutan. Wajah wanita itu sudah tidak kelihatan lagi, sebaliknya bertukar menjadi tengkorak yang telah hangus terbakar.
Pantas hantu tengkorak tersebut meluru laju ke arah Rina menyebabkan Rina makin dalam ketakutan. Matanya terbuka luas dan menyedari dirinya berada di tempat lain. Wajah Hanim yang datang mendekatinya dipandang. Rina mengeluh panjang. Mimpinya tadi begitu menyeramkan dan tidak boleh dilupakan begitu sahaja.
“Kat mana ni?”
“Kita kat dalam bilik rawatan. Kau tak ingat ke? Tadi kau pengsan, terus kami bawa kau ke sini,” jawab Hanim. Rina tidak mengingati perkara yang telah berlaku kepada dirinya. Kepalanya dipegang seketika kerana masih berasa pening.
“Mana yang lain?” Soalnya.
“Ada kat kafe. Semua yang terselamat sedang berkumpul kat sana,” jawab Hanim lagi. Dia berasa kasihan melihat keadaan Rina yang lemah itu.
“Habis kau tak pergi ke sana?”
“Memang aku nak pergi juga tapi aku nak temankan kau sampai kau terjaga. Nanti bila kau terjaga nanti, kau akan tertanya kat mana kami berada.” Apa yang dikatakan ada benarnya dan Rina terpaksa mengakuinya.
Perlahan Rina turun dari katil sambil dibantu oleh Hanim. Walaupun keadaan kepala Rina yang masih pening, dia tetap mahu ke kafe untuk mengetahui situasi di sana. Hanim sekadar menurutinya sahaja tanpa sebarang bantahan. Dalam diam dia tersenyum melihat Rina yang semakin perlahan menerimanya sebagai teman berbicara.
Sewaktu berjalan menuju ke kafe, Rina terpandang seseorang yang dikenalinya berdekatan dengan kawasan asrama. Dia kemudiannya bertukar arah berjalan mendekati orang tersebut tanpa menghiraukan Hanim.
“Eh?! Rina, kau nak ke mana? Kita dah tak dibenarkan memasuki kawasan asrama ni lagi. Nanti kita dianggap mengganggu siasatan pihak polis,” tegur Hanim namun tidak dipedulikan oleh Rina. Malah Rina terus melangkah ke depan. Mahu tidak mahu, Hanim terpaksa mengikutinya tanpa alasan kukuh.
“Cikgu Faizal? Apa cikgu buat kat sini?” Sapa Rina. Faizal tersentak dengan kehadiran Rina serta rakannya. Kemudian keluhannya dilepaskan. Dirinya masih dipanggil ‘cikgu’ walaupun sudah lama berhenti menjadi guru. Terpaksa dia membiarkan sahaja dengan panggilan tersebut buat seketika. Namun tidak disangkanya akan bertemu dengan Rina lagi di situ.
“Kenapa cikgu kumpul semua benda ni?” Soal Rina lagi setelah memandang selonggok rantai kunci berlian di hadapan Faizal. Ada di antaranya masih diselaputi tompokan darah mangsa. Hanim berasa takut dan seram melihatnya.
“Saya nak simpan semua benda ni,” balas Faizal lalu mengutip satu per satu rantai kunci dan memasukkannya ke dalam bekas plastik.
“Untuk apa?” Tanya Rina yang berasa tidak puas hati dengan tindakan bekas gurunya itu. Faizal mengeluh seketika lalu berpaling ke arah Rina. Kemudian beralih pula ke arah Hanim. Mungkin gadis itu merupakan rakan baik kepada Rina.
“Kamu berdua ada rantai kunci ni tak?” Tanyanya tanpa menjawab soalan Rina. Hanim pantas menggeleng kepala. Begitu juga dengan Rina. Kelakuannya amat mengejutkan Hanim kerana dia sendiri tahu bahawa Rina memiliki rantai kunci tersebut. Apakah alasannya?
“Baguslah kalau kamu berdua tak ada rantai kunci ni. Sebab dengan adanya rantai kunci ni, kamu akan terkena sumpahan dan kematian akan mengejar kamu pada bila-bila masa saja,” ujar Faizal.
Hanim terperanjat besar setelah mendengarnya. Seakan tidak mempercayai kata-kata dari penyiasat persendirian itu. Rina juga tidak terkecuali. Apa yang membuatkan bekas gurunya itu untuk mengatakan demikian?
“Mu-mungkin itu semua kebetulan aje. Ajal maut sendiri tak kenal budak, orang muda, orang dewasa mahupun orang tua. Semua orang akan mati bila ajalnya dah tiba,” selar Rina cuba membantah kata-kata lelaki itu.
“Memang itu yang pernah diajarkan kat sekolah. Saya juga pernah cakap hal yang sama kat kamu, Rina. Tapi pemikiran saya dah berubah sejak kematian isteri saya. Sejak daripada tu, saya mula menyiasat kes-kes kematian. Kes pembunuhan, bunuh diri, kemalangan serta kebakaran. Setiap kali kejadian berlaku, rantai kunci ni sering ditemui di tempat kejadian. Itu abang yang tak boleh lupakan. Dan sekarang setiap mangsa yang dibunuh, pasti ada benda ni,” jelas Faizal.
“Tak mungkin! Cikgu bohong!” Luah Rina bengang.
“Saya tak bohong, Rina. Sebelum ni saya mengajar kamu di sekolah, pernah saya berbohong?! Isteri saya, arwah Cikgu Nani mati dalam kemalangan jalanraya. Beberapa hari sebelum tu, dia ada beli seutas rantai kunci ni. Semua murid yang terlibat dalam kemalangan juga ada benda ni. Kamu faham tak, Rina?!” Bidas Faizal geram bercampur sedih.
Rina cuak seketika. Mulutnya terkunci daripada berkata sesuatu. Hanim pula tergamam sebelum menangis secara tiba-tiba. Dia mengatakan rakannya yang sambung belajar di Sabah telah meninggal dunia akibat lemas ketika mandi di laut. Hanim berasa bersalah dan menyesal kerana memberikan rantai kunci miliknya kepada rakannya.
“Mungkin bukan takdir kamu untuk mati, sebaliknya ia menjadi takdir kawan kamu,” beritahu Faizal kepada Hanim. Dia baru sahaja selesai memasukkan kesemua rantai kunci yang dikumpul ke dalam bekas plastik. Serentak itu, Hanim pantas berlari dari situ sambil menangis. Rina cuba memanggilnya tetapi tidak disahut. Mungkin kerana Hanim tersentap dengan kata-kata bekas guru Rina.
“Walau apapun cikgu cakap tadi, aku tak percayakannya! Aku percaya ada orang yang buat semua ni. Ada orang menghasut dia orang supaya mati. Ada orang sedang mempermainkan hidup mati manusia! Tanpa kita sedar, kita sedang berada dalam satu permainan,” kata Rina bernada geram sebelum pantas beredar dari situ.
Faizal terdiam dan terpaku. Kata-kata Rina membuatkan dirinya tersedar akan satu perkara. Mengapa Rina berkata demikian? Dia juga ada menyebut perkataan ‘permainan’, sama seperti kata-kata dari seorang lelaki misteri. Adakah Rina juga mengetahui serba-sedikit mengenai kes-kes rumit ini?
SETELAH puas mencari di merata tempat, Rina beralih menuju ke kafe. Mungkin di situ Hanim berada. Rina masih tidak menyangka bekas gurunya telah menyimpulkan bahawa rantai kunci berlian yang menjadi punca kematian yang berlaku saban hari. Memang dia mengakui setiap kematian yang dilihat pada matanya, pasti rantai kunci itu ada bersama. Hal ini juga termasuk kejadian kebakaran di sekolah tujuh tahun yang lalu. Akan tetapi dia masih memikirkan bahawa ia merupakan satu kebetulan.
Tiba di kafe yang dipenuhi pelajar yang terselamat, kelibat Hanim terus dicarinya. Ternyata benar telahannya. Hanim dilihat sedang ditenangkan oleh Olivia. Turut berada berdekatan adalah Sarah dan Naim. Rina terus menghampiri mereka semua. Sebaik menyedari kehadiran Rina, Hanim menangis lagi sambil mengadu perasaannya kepada Rina.
“Rina, aku betul-betul rasa bersalah. Aku rasa aku dah bunuh kawan aku sendiri.” Suaranya sengaja diperlahankan bagi tidak didengari mereka yang lain.
“Jangan fikir bukan-bukan! Ini bukan salah kau atau sesiapapun! Ini hanya suratan takdir aje,” pujuk Rina yang tidak mahu melihat Hanim menangis di depannya. Kemudian dia mengeluarkan rantai kunci miliknya. Bunyi loceng sengaja dibunyikan dan senyumannya terukir. Jarang sekali mereka melihat senyuman Rina. Melihat dari reaksi mereka, Rina pantas mematikan senyumannya sambil malu-malu kucing.
“Dah lama rantai kunci ni bersama dengan aku. Tapi aku tak mengalami nasib buruk atau apa-apapun,” katanya kepada Hanim. Sarah serta Olivia hairan mendengarnya.
“Apa maksud kau, Rina?” Oliviamenyoalnya.
“Maksud aku tak penting pun. Yang penting kita percaya pada takdir,” jawab Rina lalu menyimpan semula rantai kuncinya di dalam poket seluar. Kemudian dia terfikirkan kata-kata Imran mengenai rantai kunci tersebut. Sehingga kini, dia masih percayakan rantai kunci itu membawa nasib tuah kepadanya. Jika Imran mendengar hujahan Faizal tadi, entah apa reaksinya nanti.