BAB 30 - Part 1
Rayyan tidak mampu menidakkan permintaan
Arif Ilham yang sudah di anggapnya macam abang sendiri. Dengan lemah dia
mengganggukkan kepalanya.
“Hmm...oklah. Nak buat macam mana, kan? Bilik dah tak
cukup,” ujar Rayyan sambil mengerling ke arah Zeta. Pengertian dari gadis
jelita itu amat-amat di tagihnya saat ini.
Geramnya hati Zeta tidak terperi. Segala
angan-angannya untuk berdua-duaan dengan Rayyan hancur lebur kini. Ini semua
gara-gara si Tipah, budak kampung tu!
Dengan muncung panjang sedepa, Zeta segera
berlalu dari situ sambil menghentak-hentakkan kakinya. “Sayang! Janganlah
marah. Dengarlah cakap I ni. Sayang!”
Rayyan cuba mengejar Zeta dari belakang
namun Raina lebih pantas menghalang langkah kakinya. “Adik! Patutnya adik kena
layan isteri adik, si Tipah ni. Bukannya layan si Zeta tu!” terjuih-juih bibir
Raina meleter.
“Tak habis-habislah akak ni! Rimaslah saya
dengar! Tipah tu bukannya budak kecil lagi. Tak payah nak bertatang bagailah!
Cuba akak tengok apa yang dia tengah buat tu,” unjur Rayyan dengan hati
bengkak.
Rupa-rupanya Tipah, Melah dan Makcik Roza sudah
tiada di sisi Raina. Lautan biru yang terbentang menerujakan mereka. Tanpa
sempat menukar pakaian, mereka sudah melontarkan tubuh masing-masing ke dalam gigi
ombak yang menampar manja ke pinggir pantai yang memutih.
Raina menggeleng-gelengkan kepala. “Bertuah
betul budak-budak ni! Makcik Roza pun sama? Tipah! Melah! Pergi tukar baju
dulu!” teriak Raina. Namun sia-sia sahaja teriakannya itu kerana mereka bertiga
sudah berkubang di perut lautan dengan riangnya.
Ritma kemenyampahan segera bertandang di
hati Rayyan. Perilaku Tipah itu benar-benar jelik pada pandangan matanya. Jikalau
bukan kerana wasiat arwah papanya, tidak mungkin dia akan mengahwini perempuan yang
bersifat ala-ala kanak-kanak ribena ni!
“Akak nak suruh saya layan kanak-kanak
ceria macam Tipah tu? Kirim salam jelah! Banyak lagi benda lain yang saya boleh
buat!” gerutu Rayyan sambil berlalu pergi dari situ.
Sekali lagi Raina cuba menghalang namun
kali ini Arif Ilham cepat-cepat menegahnya. “Raina, sudahlah tu. Jangan di
paksa-paksa dia. Nanti lagi dia bertambah rimas.”
“Saya bukannya apa. Sakit hati pula tengok
si Rayyan tu buat Tipah macam tak wujud je. Ikutkan hati nak je saya tambat
Rayyan tu kat dalam bilik. Biar dia tak dapat jumpa dengan si Zeta tu,” getus
Raina dengan nada geram.
“Sabar, Raina. Bukan mudah kita nak
melentur buluh yang sudah keras. Ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut
tak putus, tepung tidak berselerak,” pujuk Arif Ilham sambil merenung si jelita
di hadapannya itu sampaikan naik malu Raina di buatnya.
“Yang awak ni pandang-pandang saya semacam
ni kenapa pulak?” soal Raina dengan nada kurang senang.
Senyuman nakal segera terukir di bibir Arif
Ilham. “Takdelah. Saya cuma harap sangat, bila kita di kurniakan cahaya mata
nanti saya nak anak-anak kita mewarisi mata awak yang bundar, hidung awak yang
mancung dan senyuman semanis madu milik awak tu.”
“Awak ni, saya tengah pening pasal Tipah
dan Rayyan, awak ke situ pulak. Malaslah nak layan perangai awak ni!” gerutu
Raina sambil menghayunkan laju-laju langkahnya dari situ.
Berlari-lari anak Arif Ilham mengejarnya
dari belakang. “Raina! Janganlah marah, sayang! Saya bergurau je. Raina!”
Tipah, Melah dan Makcik Roza memerhatikan
sahaja adegan kejar-mengejar di antara Arif Ilham dan Raina dari kejauhan.
Tipah melepaskan sebuah keluhan yang berat. “Seronok aku tengok Kak Raina dan
Abang Arif tu, kan? Memang pasangan yang secocok. Kan bagus kalau aku dengan
Rayyan pun macam tu jugak.”
“Kau
tak payah nak berangan sangat, yer? Cuba kau tengok kat sana tu,” tukas Melah
sambil menjuihkan bibirnya. Jelas kelihatan Rayyan dan Zeta yang sedang enak
bersantai-santai di bawah sinaran matahari. Kedua-dua belah mata Zeta sudah di
tutupi oleh penutup mata khas. Di tangan Rayyan pula sudah tersedia sebotol
losen penahan cahaya suria. Tipah, Melah dan Makcik Roza saling berpandangan.
Pasti sebentar sahaja lagi adegan sapu-menyapu akan di langsungkan. Ini memang
tidak boleh di biarkan!
Idea mantap terus sahaja terbit di
pemikiran Tipah. Terus sahaja idea itu di utarakan pada Melah dan Makcik Roza.
“Bagus! Inilah semangat yang makcik mahukan dari dalam diri kamu, Tipah. Ok
sekarang ni biar makcik jalankan babak yang pertama dulu, ya. Korang berdua
standby.”
Serentak Tipah dan Melah menjawab. “Ok,
bos.”
Terkedek-kedek Makcik Roza menghampiri
Rayyan dan Zeta. “Tuan, Cik Raina panggil tuan sekejap. Ada hal sikit katanya.”
Rayyan terus bangkit. “Yeke? Haishh...apa
sajalah Kak Raina ni. Sayang, I pergi jumpa Kak Raina sekejap, ya.”
Acuh tak acuh sahaja Zeta menjawab.
“Hmm...okay.”
Sebaik sahaja kelibat Makcik Roza dan
Rayyan menghilang, Tipah dan Melah pantas menghampiri Zeta. Melah melabuhkan
punggung ke sebelah Zeta dan segera mencapai losen penahan cahaya suria. Di
picitnya isi kandungan losen tersebut dengan sekuat hati hingga hampir separuh
dari isinya terjojol keluar. Melah mula
menyapu losen tersebut ke lengan Zeta.
“You dah balik ye, sayang? Tolong sapu
lebih sikit kat perut I ni.” Tipah dan Melah saling berpandangan dengan wajah nakal.
Melah segera menghulurkan losen penahan cahaya suria itu kepada Tipah. Sengaja
Tipah menghamburkan kesemua isipadu losen itu ke atas telapak tangannya.
Kemudian terus sahaja dia melumurkan kesemua losen tersebut ke wajah Zeta. Di
tenyehnya wajah gadis jelita itu sekuat hati!
P/S: Manuskrip penuh JSSB sudah saya ajukan pada pihak Karangkraf. Jikalau ada rezeki insya-Allah manuskrip ini akan di bukukan. Doakan yang terbaik buat manuskrip ini ya! Bab 30 ini adalah bab terakhir yang di update dalam portal Ilham ni. Part 2 akan menyusul nanti. Jutaan terima kasih saya ucapkan pada para pembaca sekalian yang selama ini tidak jemu-jemu menyokong, membaca dan memberi komen pada JSSB ini. Sokongan dari anda semua amatlah saya hargai.
Salam sayang,
fedra.amelda @ dirami collectionz