Home Novel Komedi/Romantik Komedi PUTERA KODOK KU (JADI SUAMI SAYA, BOLEH?)
BAB 10

BAB 10

Pantas Tipah, Melah, Tijah dan Lili naik ke atas tebing. Seorang lelaki tua berumur dalam lingkungan pertengahan umur muncul di situ. Dengan wajah yang bersinar-sinar, jubah putih dan tongkat di tangan, perwatakan lelaki tersebut tidak ubah seperti sang pertapa yang sedang bertapa di dalam gua!

Tergagap-gagap Tipah menjawab. “Err...saya...eh kitorang tengah makan...eh tengah mandi. Sebenarnya...kitorang semua ni dah...”

Pantas lelaki tersebut menukas. “Sesat bukan?” Terlopong mulut mereka mendengarnya. Macam mana lelaki misteri tersebut boleh tahu? Hairan bin ajaib namanya ni!

Lelaki tersebut tersenyum manis. “Jangan terkejut anak-anak sekalian! Pakcik bukannya ada kuasa sakti. Yelah, dah kamu semua tiba-tiba boleh ada kat tengah-tengah hutan tengahari rembang begini, dah tentulah kamu semua sesat, bukan?”

Ketakutan yang beraja di hati mereka semua beransur-ansur hilang. Logik juga kata-kata pakcik ni!

Rayyan memberanikan dirinya. Terus di lontarkan persoalan kepada pakcik itu. “Habis tu pakcik pulak buat apa seorang diri dalam hutan tebal macam ni?”

Sekali lagi pakcik tersebut melemparkan sebuah senyuman semanis madu. “Anak, pakcik ni sebenarnya pengamal perubatan tradisional. Setiap bulan memang pakcik akan masuk ke dalam hutan ini untuk mencari akar-akar kayu berkhasiat untuk di jadikan ubat. Kalau anak sekalian tak percaya cuba tengok ni.” Pakcik tersebut mengeluarkan beberapa akar kayu dari uncang bungkusan yang di sandangnya sejak dari tadi. Di suakannya kepada Tipah.

Dengan ragu-ragu Tipah menyambut akar-akar kayu tersebut. “Haah, betul lah kawan-kawan, ni memang akar kayu.” Tipah segera memulangkan semula akar kayu tersebut pada pakcik itu. Riak kelegaan terus terpancar di wajah Melah, Tijah, Lili dan Rayyan.

“Pakcik, boleh tak pakcik tunjukkan jalan keluar pada kami? Dah dekat dua jam rasanya kami terperangkap dalam hutan ni,” pinta Tipah dengan selambanya.

Rayyan segera mencuit lengan Tipah. Segera dia berbisik sesuatu ke telinga Tipah. “Awak ni pandai-pandai jelah! Boleh percaya ke pakcik ni? Entah-entah dia ni penculik sindiket pemerdagangan manusia ke, tak ke naya kita di buatnya?”

Pantas Tipah membalas kata-kata Rayyan dengan nada separuh berbisik. “Pakcik ni orang baik-baiklah! Cuba awak tengok muka dia, berseri-seri macam bulan. Kita kan ramai, dia seorang je. Silap-silap bukan dia yang culik kita tapi kita yang culik dia!”

Bengang Rayyan di buatnya. “Awak ni time-time macam ni sempat lagi buat lawak bodoh, kan?” Tipah hanya menyerigai.

Pakcik tersebut membalas dengan tenang. “Boleh nak. Takde masalah. Kebetulan kerja pakcik pun dah selesai. Mari pakcik tunjukkan.” Tidak ada pilihan lain buat mereka di saat ini. Mereka terpaksa membontoti langkah pakcik tersebut. Tipah hanya mampu berharap di dalam hati agar pakcik tersebut benar-benar ikhlas membantu mereka dan tiada muslihat di sebalik semua ini.

Di sepanjang perjalanan mereka semua hanya mendiamkan diri sahaja. Di dalam kepala masing-masing bayangan rumah sudah melambai-melambai. Tidak sabar rasanya mereka meninggalkan hutan yang telah memberikan pengalaman ngeri buat mereka sebentar sahaja tadi. Hutan yang kelam sudah semakin terang. Kilauan cahaya matahari mulai memancar menerangi suasana. Langit membiru yang tadinya terlindung dek pepohonan hutan yang hijau merimbun mula kelihatan. Gembiranya hati mereka bukan kepalang.

Akhirnya mereka sampai di pinggir hutan. Pakcik tersebut menuding jarinya ke arah sawah bendang yang menguning keemasan. “Kita dah sampai, anak-anak sekalian!” Mereka berlima segera maju ke hadapan. Terpancar keriangan di wajah masing-masing.

Tipah segera merafak kesyukuran yang tidak terhingga. “Alhamdullilah! Syukur padaMu, Ya Allah!”

Melah, Tijah dan Lili terloncat-loncat kesukaan. “Yey! Akhirnya kita berjaya keluar dari hutan ni!”

Buat pertama kalinya erti kesyukuran yang sebenar mula terbit dari dalam diri Rayyan. Dia segera berpaling ke belakang untuk mengucapkan terima kasih kepada pakcik tersebut. Namun alangkah terperanjatnya dia apabila melihat kelibat pakcik itu langsung tidak kelihatan di mana-mana!

Pucat lesi muka Rayyan di buatnya. Tipah yang menyedari perubahan pada wajah Rayyan segera menegurnya. “Kenapa dengan awak ni, Rayyan? Tiba-tiba pucat lesi je muka awak? Kan kita dah selamat keluar dari hutan ni?”

Terketar-ketar Rayyan menuding jarinya ke arah pakcik tersebut yang sudah hilang dari pandangan! Pantas Tipah berpaling ke situ. “Eh, mana pakcik tadi? Bukan ke tadi dia ada kat belakang awak ke? Macam mana pula dia boleh hilang tiba-tiba? Jangan-jangan...” Mereka semua saling berpandangan.

Melah, Tijah dan Lili kaget seketika. Serentak mereka berteriak. “Pakcik tadi tu hantu kot! Cabut!!!” Pantas mereka semua membuka langkah seribu. Larian Usain Bolt, pemegang rekod dunia acara 100 meter pun belum tentu dapat menyaingi larian mereka berlima!

SEMENTARA ITU...

Kebimbangan terserlah di wajah Pak Saad dan Datin Khalida. Kelibat Tipah dan Rayyan tidak kelihatan sejak dari tengahari tadi. Kerisauan mula berselaput di jiwa mereka berdua.

“Ke manalah budak-budak ni pergi agaknya? Sampai dah lewat petang macam ni tak balik-balik lagi?” gumam Pak Saad.

Datin Khalida mengeluh. “Entahlah. Si Rayyan tu tadi katanya nak keluar sekejap je. Ini dah dekat pukul enam tapi batang hidungnya langsung tak nampak.”

Makcik Rosnah terjegul di muka pintu. Bibirnya mencebik. Sakit benar hatinya bila melihatkan Pak Saad begitu mengambil berat perihal Tipah. Memang dasar tak sedar dek untung budak si Tipah ni!

Makcik Rosnah mengacum. “Ni semua si Tipah punya pasal lah ni! Mesti dia yang ajak Rayyan pergi merayau-rayau dalam kampung ni. Si Tipah tu kalau dah dapat berjalan, memang selalu lupa jalan balik rumah!”

Pak Saad menggelengkan kepala. “Rosnah, tak baik awak tuduh Tipah macam tu. Awak ada bukti ke? Tipah kan sejak dari pagi tadi dah keluar, Rayyan tu pula tengahari tadi baru keluar, bila masa pula diorang keluar sama-sama?”

Suatu lolongan yang kuat segera menerjah ke ruangan telinga Pak Saad, Datin Khalida dan Makcik Rosnah. Serentak mereka semua berpaling ke arah suara itu.

“TOLONG! ADA HANTU SIANG DALAM HUTAN!”

Tipah dan Rayyan berlumba-lumba memecut laju masuk ke dalam rumah. Dah macam menyaksikan perlawanan akhir Sukan Olimpik dalam acara 100 meter di antara Usain Bolt dan Asafa Powell sahaja rupanya!

Dato’ Khalid yang berada di dapur terjengah-jengah kehairanan. Pantas dia melangkah menuju ke hadapan rumah. “Afsal dengan Tipah dan Rayyan tu? Macam di kejar hantu je rupanya?”

Makcik Rosnah segera membalas. “Tak tahulah budak-budak ni! Entah apa kena agaknya. Dah di sampuk setan barangkali!”

Pak Saad segera membidas. “Ish awak ni. Tak baik cakap macam tu. Diorang tu main-main je rasanya.”

Datin Khalida tersenyum simpul. “Ialah tu agaknya. Diorang berdua tu kan memang suka bertekak sejak dari kecil lagi. Macam tak percaya je tak lama lagi mereka berdua akan bergelar suami isteri.”

Pak Saad segera mencelah. “Aha bercakap tentang perkahwinan mereka, tadi aku dah bincang dengan Rahim pasal lembu yang akan di tumbangkan pada majlis perkahwinan mereka nanti. Eloknya kita masuk dalam dululah. Boleh kita bercerita panjang.” Mereka berempat terus melangkah masuk ke dalam rumah. Tidak lama selepas itu kedengaran perbualan di antara mereka yang semakin rancak disulami dengan hilai tawa. Suasana kegirangan nyata terserlah di ruang tamu tersebut.

Namun lain pula halnya dengan Tipah dan Rayyan yang berada dalam bilik masing-masing. Ketakutan masih erat menyelubungi hati. Wajah pakcik tadi masih terbayang-bayang di ruang mata. Tipah segera menoleh pada jam dinding di bilik. “Ya Allah! Dah pukul 6.00 petang. Aku tak solat asar lagi ni!” Pantas kakinya melangkah menuju ke bilik air.

Dalam masa yang sama Rayyan juga turut bergegas ke bilik air. Hajat di hatinya ingin membersihkan diri. Namun hatinya cuak seketika. Janganlah sang kodok menjelma semula seperti semalam! Mereka berdua terserempak di muka pintu bilik air.

Tipah membentak keras. “Hah! Hari ni bagi saya masuk dulu! Saya dah lewat ni. Solat asar dah nak habis.”

Selamba Rayyan melangkah masuk ke dalam bilik air. “Nasiblah! Siapa cepat dia dapat!” Pantas Rayyan menutup pintu bilik air sebelum sempat Tipah menghadangnya.

Tipah menggerutu dalam hati. “Asyik aku je kena beralah! Ini tak boleh jadi!” Tiba-tiba dia terfikirkan sesuatu yang bernas. Pantas dia berlari ke arah biliknya. Telefon bimbitnya segera di capai. Dia berlari semula ke arah bilik air. Dikuatkannya pembesar suara telefon bimbitnya lantas di bukanya sebuah fail audio.

“Ong! Ong! Kedek kedek kedek! Ong! Ong! Kedek kedek kedek!”

Rayyan yang baru sahaja ingin membuka butang bajunya terus tersentak. Bunyi tersebut bagaikan suatu mimpi ngeri baginya! Serta-merta dia membuka semula pintu bilik air tersebut dan melangkah keluar dengan wajah yang pucat lesi.

Tipah menyerigai. Peluang keemasan ini tidak harus di lupakan! Segera dia melangkah masuk ke dalam bilik air untuk mengambil air wuduk. Setelah selesai, Tipah melangkah menuju ke biliknya. Namun sempat lagi dia menjengah kepalanya ke dalam bilik Rayyan. Di lihatnya pemuda itu sedang asyik bermain ‘game’ dengan gajet canggihnya sambil enak berbaring di atas katil. Dengki pula Tipah melihat Rayyan seronok-seronok bersantai.

Tipah sengaja berteriak. “Rayyan! Cuba dengar ni!” Pantas dibukanya semula fail audio dari dalam telefon bimbitnya. Bunyi suara katak itu sudah cukup untuk membuatkan Rayyan bingkas bangkit dari perbaringan. Segera di terpanya Tipah namun gadis itu lebih pantas meloloskan diri ke dalam biliknya sambil ketawa mengekek-ngekek.

Rayyan mendengus kasar. “Sengal punya sepupu! Takpe, tunggulah. Ada lori ada bas, ada hari nanti aku balas!”

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Pak Saad, Makcik Rosnah, Dato’ Khalid dan Datin Khalida masih lagi rancak berborak di meja makan. Tak habis-habis lagi perbincangan mereka nampaknya sejak dari petang tadi. Tipah pula duduk berseorangan di pangkin yang di payungi pepohonan mempelam yang merimbun. Malam ini nampak gayanya dia berseorangan. Baik Melah, Tijah atau Lili, seorang pun tidak berani datang ke rumahnya. Peristiwa tengahari tadi di tengah hutan rimba masih berbekas di hati masing-masing nampaknya. Tipah segera mengeluarkan sesuatu dari dalam koceknya. Sekeping gambar Rayyan yang telah di muat turun dari laman sosial ‘facebook’ setia menjadi penemannya di kala itu. Tipah merintih sendirian.

“Kenapalah awak ni kerek sangat dengan saya, Rayyan? Takkanlah langsung takde sekelumit pun perasaan sayang awak pada saya? Saya sayang giler dengan awak tau!”

Tiba-tiba suatu tangan yang sasa terus merampas gambar tersebut dari tangan Tipah. Terkejutnya Tipah bukan kepalang! “Amboi, siang tadi tak cukup-cukup lagi ke dating? Malam pulak asyik nak berkepit dengan gambar je!”

Merah padam muka Tipah. “Bagilah balik gambar tu, abang Raimi! Malulah Tipah kalau Rayyan nampak nanti!”

Raimi tambah giat mengusik Tipah. “Alah, apa salahnya kalau Rayyan nampak gambar ni? Mesti gambar ni Rayyan yang bagi sendiri kat Tipah, bukan?”

Pantas Tipah menukas. “Gambar tu bukan Rayyan yang bagilah! Susah payah Tipah dapatkan gambar ni dari ‘facebook’ dia, tau?”

Tersentak Raimi seketika. “Hah? Kamu curi gambar tu dari ‘facebook’ dia? Apa kena dengan kamu ni, Tipah? Tak tahu malu ke? Dah macam pungguk rindukan bulan pulak!”

“Pungguk ke bulan ke, peduli apa Tipah! Sekarang ni bagi balik gambar tu. Cepatlah bang!” Raimi sengaja mengacum gambar itu di hadapan mata Tipah. Geram pula Tipah di buatnya. Dengan sekuat tenaga di terkamnya Raimi bagaikan harimau yang lapar.

Raimi pula nyata tidak bersedia dengan terkaman Tipah. Dia memegang kedua-dua belah tangan Tipah dengan kuat namun kakinya tidak dapat bertahan. Badannya mula hilang keseimbangan. Akhirnya dia terbaring di atas pangkin. Tipah pula sudah tertiarap betul-betul di atas tubuh sasanya. Hembusan nafas Tipah yang kencang semakin menggelodakkan naluri kelakiannya. Jiwa Raimi semakin tidak keruan jadinya. Wajah jelita itulah yang sering mengganggu tidurnya saban malam! Tipah meronta-ronta untuk bangun namun semakin kejap pegangan tangan Raimi.

Rayyan pula melangkah malas menuruni tangga. Tidak kuasa dia nak berlama-lama di dapur. Telinganya sudah naik jelak mendengar perbualan mengenai majlis merisik yang akan di adakan pada tengahari esok. Tiba-tiba matanya tertancap pada dua susuk tubuh manusia dalam keadaan yang paling tidak boleh di terima oleh akal warasnya!

“WEI! APA YANG KORANG BUAT NI, HAH? INI KERJA KORANG SELAMA NI RUPANYA!”


P/S : Tak habis-habis perang si Tipah dan Rayyan ni. Tapi gaduh-gaduh manja je tu...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.