BAK Cinderella, Erena
mengatur langkah satu per satu menuruni tangga. Gadis itu kelihatan sungguh
menawan dengan busana pengantin berwarna merah jambu itu. Tetamu yang sedang duduk sambil berbual-bual sesama
sendiri terpana apabila melihat kecantikan Erena. Masing-masing memuji
keindahan wajah gadis itu.
Erena sedaya upaya cuba memaniskan roman wajahnya yang
kelihatan agak masam mencuka itu. Lagipun, tidak manis pula berwajah muram di
hadapan tetamu. Walaupun belum bersedia untuk memegang title baru itu, namun dia tidak mahu memalukan keluarganya. Dia
masih punya maruah diri.
Mak Su Sharifah menepuk lembut bahu Erena. Bibirnya
terukir senyuman manis. “Mari duduk di sini, Rena. Kejap lagi kita nak mulakan
majlis pertunangan,” tegur Mak Su Sharifah, adik Datin Katrina.
Erena tersenyum kelat. “Terima kasih, mak su,” balasnya
sedikit gugup.
“Sama-sama, Rena,” balas Mak Su Sharifah lembut.
“Haa… Erena dah tunggu tu. Dia pun dah tak sabar nak
bergelar tunang orang tu. Apa lagi? Marilah kita mulakan majlis pertunangan ni
sekarang. Lagi cepat, lagi bagus. Lagipun, benda yang baik ni jangan
dilengahkan,” Tiba-tiba Pak Lang Osman, adik Datuk Harris bersuara.
Erena mendengus halus, lalu gadis itu menjeling geram.
Bila masa pula aku tak sabar? Aku ada cakap macam tu ke? Hisy, pandai-pandai
aje buat cerita tau. Argh! Kalau boleh, sekarang juga aku nak jadi burung.
Terbang jauh-jauh dari kena bertunang dengan mamat serius 24 jam tu, gerutu
hatinya geram.
Datuk Harris tersenyum lebar. “Haa… betul tu. Apa lagi?
Jomlah kita mulakan sekarang.”
Hajah Kamariah tersenyum lebar. Dia mengangguk. Wanita
itu bangun lalu berjalan ke arah Erena. Dia melabuhkan duduk di sebelah bakal
menantunya itu.
Erena mengukir senyuman manis di hadapan Hajah Kamariah.
Entah mengapa hatinya rasa berdebar. Jantungnya seakan mahu melompat keluar
sahaja. Pelik betullah! Eh, kau ni dah kenapa, Erena? Relax okey… just calm down.Buat macam tak ada apa-apa aje, okey?
pujuk Erena di dalam hati.
Hajah Kamariah tersenyum manis. Wanita itu mengusap
lembut pipi Erena. Ya ALLAH, cantiknya bakal menantu aku ni, pujinya di dalam
hati. “Assalamualaikum, Amani.”
Erena tersenyum manis, membalas senyuman bakal ibu
mentuanya itu. Huhh, bakal mentualah sangat! “Err… waalaikumussalam,” balasnya
sedikit gugup. Eh, kenapa panggil aku Amani? Specialke nama tu? ucap hatinya hairan.
Senyuman manis masih lagi tidak lekang di bibir Hajah
Kamariah. “Kamu tak kisah kalau mak cik panggil kamu Amani, kan?” tanyanya
ingin tahu.
Erena mengangguk. “Err… tak apa, mak cik.”
“Amani, izinkan mak cik sarungkan cincin tunang ni ke
jari manis Amani, ya?” pinta Hajah Kamariah.
Erena mengangguk.
Hajah Kamariah segera menyarungkan cincin tunang ke jari
manis sebelah kiri Erena. Sebaik sahaja tersarung cincin itu ke jari manis
Erena, maka gadis cantik itu sudah sah bergelar tunang Dr. Qasyiful a.k.a Dr. serious.
Argh! Aku dah sah jadi tunang orang? Hee, macam tak
percaya aje. Haa… tunangku Dr. serious?
Oh… my encik tunang… Dr. serious? Biar tembikai? Hisy! jerit hatinya,
seakan sukar mahu percaya dengan status dirinya kini.
Erena spontan menyalami tangan Hajah Kamariah sebagai
tanda hormatnya kepada wanita yang bergelar ibu kepada tunangnya itu, merangkap
bakal mentuanya! Eh, bakal mentualah sangat! Sorrynaik lorry la… tak
hingin aku! Selamat jalan, Romeo…
Tanpa diduga, Hajah Kamariah menarik tubuh Erena ke dalam
pelukannya. Lama sekali wanita itu memeluk tubuhnya.
Erena tergamam. Dia agak terkejut dengan tindakan itu.
Kenapa dia peluk aku? Tapi, kenapa ada rasa lain yang menyelinap masuk ke dalam
hati aku? soal hatinya aneh.
Erena kelihatan seakan baru tersedar. Ah, kau jangan nak
bikin panas, Erena Amani! Ingat, kau tak rela ditunangkan dengan mamat serius
24 jam tu okey!
Setelah lama berpelukan, akhirnya Hajah Kamariah
meleraikan pelukan mereka. Wanita itu mengusap lembut pipi Erena. Senyuman
nipis meniti di bibir wanita itu. “Mak cik dah tak sabar nak bermenantukan
Amani. Mak cik dapat rasa, Amani adalah pilihan yang tepat untuk Qasy.”
Erena tersenyum kelat. “Insya-ALLAH, mak cik,” jawabnya
perlahan. Aku? Gadis yang tepat? Huhh! Memang taklah!