“AYAH!” panggil Noor Azizah malam itu di ruang tamu.
Mereka tinggal dua beranak sahaja. Anak
sulongnya Najmi, entah bila mahu pulangnya belum lagi dengar khabar berita. Tan
Sri Azizan pula memang sedang sibuk dengan projek Bina Ceria yang menyediakan
rumah-rumah kediaman setelah rumah-rumah kedai mereka siap terjual. Kini Bina
Ceria bakal melancarkan penjualannya, sebab itulah pihaknya harus menyiapkan
rumah contoh untuk dipertontonkan kepada pembeli-pembeli yang berminat.
Tan
Sri Azizan yang keletihan itu menyandar menonton berita perdana mengangkat
kening memandang anak perempuannya.
“Kalau
Jaja tanya, ayah jangan marah tau?”
“Apa
dia?” tanya Tan Sri Azizan malas rasanya hendak bermain teka teki ni. Nak
tanya, tanya ajelah...
“Ayah
tak ada cadangan nak kahwin lagi ke?”
Tan
Sri Azizan sentap. Dia terus menegakkan badannya. Terkejut dengan cadangan si
anak. Mana ada anak yang suka emak dan ayah mereka berkahwin lagi? Pelik pula
dengan anaknya ini.
“Kesian
Jaja tengok ayah ni... sendirian aje. Kalau ada teman dapat ayah berborak
sambil-sambil menonton TV. Mama pun dah lama pergi ayah, tak kan ayah nak harap
Cik Tipah yang jaga ayah?”
“Kenapa
tiba-tiba nak suruh ayah kahwin ni? Ayah ingatkan Jaja nak beritahu ayah, Jaja
yang nak kahwin?”
“Jaja
kena tukar mengajar ke kolej cawangan baru... siapa nanti nak teman dan
tengokkan ayah?” Kata Noor Azizah yang asyik memikirkan soal itu semenjak dia
diberitahu akan ditukarkan ke cawangan baru kolejnya. Dia tidak dapat menolak
kerana kampus pusat itu menempatkan pensyarah-pensyarah yang berkelulusan dari
luar negeri. Jika dia hendak naik ke pangkat yang bergelar pensyarah, dia
dikatakan harus ada Master dan PhD pula. Adoi! Semakin canggih dunia sekarang
ini. Bagaimana dengan mereka yang tidak punya sijil pendidikan yang tinggi?
Tan
Sri Azizan terus merenung wajah anak perempuannya itu. Daripada dia sibuk
hendak mengajar dan bertukar ke tempat lain, mengapa tidak dipelawa bekerja
sahaja dengan syarikatnya? Kebetulan buat masa ini, Mega Bina Holdings memang
sedang memerlukan kakitangan lebih bersempena akan membuka jualan projek Bina
Ceria.
“Tak payahlah...” tiba-tiba Tan Sri Azizan
bersuara keras.
Noor
Azizah sedikit terkejut.
“Apa yang tak payahnya?”
“Tak
payahlah pindah-pindah sana sini...” ujar Tan Sri Azizan membetulkan duduknya.
Sudah lama dia merindukan suasana riuh di
dalam rumah itu. Sekarang ini, semakin sunyi pula. Jika dibenarkan anak
perempuannya itu berpindah keluar, tentu nyanyuk dia jadinya. Masakan dia
hendak ajak Cik Tipah itu melayan dia berborak? Hisy! Tak manis sungguh. Malah
dia sendiri pun asyik melarikan diri sahaja bila terpaksa tinggal di rumah
tanpa anak-anak.
“....kerja aje dengan ayah. Dapat tolong
Nur Najwa di pejabat tu. Kami tengah sibuk sekarang ni dengan penjualan rumah
projek Bina Ceria yang sedang dalam pembinaan tu.”
“Ayah
ni... orang cakap lain, dia buka cerita lain pulak,” jawab Noor Azizah.
Tapi memang dia cadang nak tanya pasal
kerja dengan syarikat ayah aje sekarang ni. Kesian ayahnya tinggal sendirian
jika dia ikut arahan pihak pentadbiran kolejnya.
“Ayah nak Jaja kerja dengan syarikat ayah
ke?” soal Noor Azizah pura-pura terkejut dengan pelawaan ayahnya itu. Hehehe...
“Jaja
kahwinlah... lepas tu tinggal aje sini. Tidaklah ayah tinggal sendirian,” jawab
Tan Sri Azizan mudah.
Dari dulu lagi ayahnya pernah offer selepas
dia tamat pengajian tetapi ditolak mentah-mentah kerana dia lebih suka
mengajar. Dia tidak mahu mengikut seperti di dalam drama-drama Melayu di mana
anak-anak orang kaya bekerja dengan syarikat sendiri. Namun, apabila dia kini
diarah untuk bertukar dari daerah itu, baru dia terasa akan kepayahan
meninggalkan ayahnya yang masih solo.
“Ayah
nak Jaja kerja dengan syarikat ayah ke?” tanya Noor Azizah minta kepastian.
“Kalau
Jaja hendak, lagi ayah suka...” jawab Tan Sri Azizan bangga.
Kalau anak sendiri yang mengurus, tentu
lebih senang. Anaknya itu bukan tidak punya kelulusan?
“Okey...
nanti Jaja settlekan dengan pihak kolej untuk surat perletakan jawatan dan ayah
kena sediakan jawatan untuk Jaja di syarikat ayah tu.” Petah Noor Azizah
mengatur rancangan.
Bagus
juga cadangan ayahnya itu... dari dia berpindah keluar dari situ, lebih baik
dia terima sahaja tawaran dari ayahnya yang sudah tentu menyenangkan hidupnya.
Rumah ada, kereta ada dan Cik Tipah juga ada. Dia sepatutnya sudah mengambil
keputusan untuk bekerja dengan syarikat ayahnya sejak dahulu lagi semasa
abangnya Najmi memberitahu mahu bermastautin di US. Entah mengapa waktu itu dia
tidak terfikir langsung. Dulu dia memang benci sungguh jika anak-anak dari
keturunan keluarga yang kaya-kaya itu terus mengambil keputusan bekerja dengan
syarikat keluarga.
Pernah
dia bertengkar dengan teman lelakinya Khairul Syafiq, yang memberitahu bahawa
mamanya yang empunya Maya Sutera, mahu dia bekerja di butik itu sebaik dia
tamat pengajian.
“Eleh!
Klise sungguhlah family you ni... balik-balik kena kerja dengan syarikat
sendiri... macam tak pandai nak berdikari pulak. Bukankah bagus kalau you
terima aje lamaran pekerjaan dari gedung-gedung pakaian yang berjenama seperti
H&M dan Macy di sana tu? Sekurang-kurangnya dapat cari pengalaman bekerja dengan
orang putih di luar negeri,” bidasnya tajam dan pedas.
Namun,
apabila dirinya dilanda masalah, dia terpaksa menjilat ludahnya kembali. Tawaran
dari ayahnya itu cukup lumayan untuk ditolak. Sudah pastilah dia tidak perlu
menyusahkan diri untuk mencari kerja lain atau menyambung belajar untuk mencari
kedudukan yang lebih tinggi di kolej tempat dia mengajar itu. Baru dia tersedar
diri... tetapi teman lelakinya itu entah ke mana perginya setelah perbuatannya
menduakan lelaki itu diketahui.
“SAYA letak anak perempuan saya di bahagian
pemasaran. Kita sangat memerlukan orang di bahagian itu sekarang memandangkan
tidak lama lagi Bina Ceria akan dibuka untuk jualan,” terang Tan Sri Azizan
yang memanggil Nur Najwa datang ke rumah agamnya untuk memberitahu tentang
perlantikan baru itu.
Nur
Najwa apa ada hal? Dia angguk ajelah.
“Tapi...
saya nak bagi surprise,” ucap Noor Azizah sambil petik jari seakan dia ada idea
baik punya. “Kalau boleh saya dengan awak macam tidak pernah kenal diantara
satu dengan yang lain,” tambah Noor Azizah.
“Saya juga tidak mahu kakitangan tahu saya ni,
anak kepada tuan punya Mega Bina Holdings,” sambung Noor Azizah.
Nur
Najwa kemudian angguk faham. Nampak macam dia merendah diri pula kerana tidak
mahu dikenali sebagai anak Tan Sri Azizan, tuan punya syarikat.
Tan
Sri Azizan yang sama berpandangan dengan Nur Najwa itu angkat keningnya sambil
mencebikkan bibir. Dia sendiri pun tidak tahu apa motif anaknya berbuat begitu.
Nak surpriselah sangat. Habis namanya yang berbintikan Azizan tu nak diletak di
mana?
Nur
Najwa senyum dalam hati. Sudah tentulah raut wajah tu macam diphotocopy... cuma
bezanya dia berambut panjang separas bahu yang dipotong lurus menyerupai
penyapu. Jika dia bertudung, mungkin tidak nampak akan persamaan itu.
“Ayah
pun, jangan tersasul nak panggil Jaja dekat pejabat tu nanti.” Noor Azizah
memberi amaran. “Dekat opis, panggil Cik Noor Azizah,” pesannya lagi.
Tan
Sri Azizan senyum sumbing. Bangga juga kerana nama yang isterinya cadangkan
untuk anak perempuan mereka itu adalah dari cantuman nama isterinya Normah dan
namanya Azizan. Cuma nama anak lelakinya sahaja pilihan Cik Tipah yang sangat
teringinkan anak tetapi tidak mampu.
“ORANG perempuan ni, kalau pakai baju kurung kan
cantik?” Tegur Tan Sri Azizan pagi itu semasa mereka menghadap sarapan pagi
sebelum bertolak ke pejabat. Noor Azizah gemar memakai slack dan blaus
berbanding Nur Najwa yang sering berbaju kurung.
Noor
Azizah menjeling ayahnya dengan teguran itu. Ni apa hal nak suruh pakai baju
kurung pulak?
“Ayah
ni, dah tersangkut hati dengan Najwa tu ke?” perli Noor Azizah.
Dia tahu, ayahnya seakan suka dengan
penampilan Nur Najwa yang seperti perempuan Melayu terakhir itu. Dia pun suka
juga... tetapi tidak biasa dari mula, maka segalanya terasa payah dan serabut rasanya.
Apatah lagi hendak mengenakan tudung... adoi! tengok wajah sendiri di cermin
pun terasa pelik.
“Tanyalah... lelaki mana yang tidak
sukakan perempuan yang berpakaian sopan seperti Najwa tu?” soal Tan Sri Azizan.
“Mata memang gatal hendak memandang yang seksi, tetapi kalau isteri sendiri,
mereka tentu mahukan yang menutup aurat,” ujar Tan Sri Azizan mengingatkan anak
gadisnya.
Noor Azizah mencebik. “Payahlah ayah... serabut.
Jaja suka yang ringkas, agar dapat bergerak pantas,” jawabnya pula.
“Keseluruhan tubuh wanita itu merupakan
auratnya kecuali muka dan kedua tapak tangan.” Tan Sri Azizan cuba mengingatkan
lagi anak gadisnya. “Jika Jaja mendedahkan aurat Jaja untuk perhatian orang,
ayah sama menanggung dosa kerana tidak mengingatkan,” tambah Tan Sri Azizan. “Jaja
bukan tak tahu balasan di akhirat nanti kepada perempuan yang terdedah
auratnya? Bukankah Jaja pernah baca tentang kisah Nabi Muhammad SAW yang
diangkat ke langit di hari Isra’ dan Mikraj... di mana baginda ditunjukkan azab
yang diterima oleh kaum perempuan yang mendedahkan auratnya?”
“Ayah ni dah nak bertazkirahlah pulak,”
tegur Noor Azizah tidak dapat menerima apa yang ayahnya cuba sampaikan itu.
Bukan dia tidak boleh menerima, mungkin
kerana lebih kepada rasa malu bila ditegur di hadapan Cik Tipah dan seakan cuba
dibandingkan pula dengan Nur Najwa. Lagipun, sebagai tenaga pengajar, dia biasa
menegur sebab itu dia tidak dapat menerima bila ditegur.
“Bukankah itu sememangnya tanggungjawab
ayah untuk menegur? Jika Jaja dah berkahwin, itu menjadi tanggungjawab suami
Jaja pula,” jelas Tan Sri Azizan lagi.
Tan Sri Azizan bukan tidak pernah menegur,
tetapi tegurannya itu seakan menjirus air ke daun keladi. Jika masih kecil,
boleh juga dipukul bantai. Apabila sudah besar panjang, Tan Sri Azizan berharap
benar anaknya itu mendapat hidayah dan akan berubah ke arah yang lebih baik.
Tidaklah bersusah payah dia hendak membebel atau bertazkirah yang sudah
tentunya tidak digemari oleh anak-anak yang berpelajaran tinggi dan berkerjaya
seperti anak-anaknya.
Itu sebabnya semasa pertama kali dia
bertemu dengan Nur Najwa secara tidak sengaja suatu pagi itu, dia terus
tertarik hati dengan penampilannya. Hatinya terasa sejuk memandang wanita itu
dan terus terpanggil untuk membantu mendapatkan kerja di syarikatnya walhal,
semasa dia menelefon Hans Yusof, pengurusnya itu, beliau sudah ada seorang yang
memenuhi kriteria jawatan yang ditawarkan.
“Tan Sri, kalau Nur Najwa tu payahlah
sikit... perempuan tu kan bertudung? Masakan dia hendak mengikut saya ke sana
ke mari?” Begitu jawab Hans Yusof semasa ditanya
oleh Tan Sri Azizan tentang temuduga yang dijalankannya pada hari itu.
“Awak nak bawak dia ke mana?” soal Tan Sri
Azizan dengan pernyataan pengurusnya itu.
“Tak adalah... sopan ayu macam tu, mampu
ke dia buat kerja yang diarahkan nanti?”
“Dia ada bersama saya sekarang ini... dan
saya gerenti dia mampu buat apa yang awak arahkan nanti, melainkan yang di luar
dari batasnya.”
“Baik Tan Sri,” jawab Hans Yusof menerima
arahan.
“Ayah carikan suami ustaz untuk Jaja,
nanti Jaja berubah macam Najwa tu,” jawab Noor Azizah memecahkan lamunan
ayahnya.
Tan Sri Azizan merenung wajah anaknya.
Perangai dan sikapnya lebih kurang Nur Najwa sahaja kerana masing-masing tegas
dan tangkas dalam melakukan kerja-kerja yang dipertanggungjawabkan. Apa orang
lelaki boleh buat, mereka juga mampu melakukannya. Cuma bezanya, anaknya Noor Azizah
ini kurang sifat femininnya.
“BOS!” panggil Tina yang menghantar masuk
surat-surat yang perlu diambil perhatian oleh Nur Najwa di bilik pejabatnya.
“....bini baru Tan Sri ke tu?” tanyanya ingin sangat tahu kerana Tan Sri Azizan
datang bersaing dengan Noor Azizah satu kereta dihantar oleh Pak Hussin.
“Entah!”
Nur Najwa angkat bahu.
“Manalah akak tahu,” jawab Nur Najwa tanpa
melihat wajah kepoh yang bertanya. Dia mula menarik surat-surat rasmi yang siap
dibuka untuknya, tinggal ditandatangan sahaja untuk disimpan di dalam fail.
“Ala
bos... dia yang dah biasa dengan keluarga Tan Sri tu... tak kan tak tahu kut?”
usik Tina sambil berpaling untuk keluar dari bilik itu.
Dia pun pandai juga menghormati bos
barunya, staff kesayangan Tan Sri Azizan itu. Kalau baik prestasi kerjanya
sudah tentu cepat naik pangkat serta naik gaji juga. Siapa sangka wanita itu
dulu cuma setiausaha sahaja? Bila Hans Yusof meletakan jawatan, Tan Sri Azizan
terus mengarahkan Nur Najwa mengambil alih jawatan itu sementara dia melantik
pengurus baru.
Suasana
di dalam Mega Bina Holdings itu kini bertambah gosipnya apabila Tan Sri Azizan
datang dengan seorang lagi perempuan muda. Eksekutif bahagian pemasaran itu
dilihat bukan main mesra lagi dengan Tan Sri Azizan. Siap pegang-pegang lengan
dan kekadang tu Tan Sri Azizan sendiri berjalan sambil memeluk bahu perempuan
itu. Amboi! Tak sangka boleh tahan juga perangai Tan Sri Azizan itu.
Nur
Najwa hanya memberikan senyuman. Dia sudah berjanji dengan Noor Azizah untuk
tidak saling mengenali, jadi dia tidak berani hendak memberikan apa-apa komen
tentang hal itu.