PAK Hussin, pemandu Tan Sri Azizan sesekali
mengerling cermin pandang belakang. Anak sulong Tan Sri Azizan ini tidak berapa
ramah orangnya. Semenjak dijemput dari airport tadi dia tidak bersuara
langsung. Anak kecilnya yang di ribaan nampak terus tertidur dek kepenatan
barangkali. Tidak sempat pun mereka hendak berkenalan.
Najmi yang menyandarkan kepalanya itu
sengaja memejamkan mata tidak mahu nanti ditanya bermacam cerita. Penat sudah
dia memikirkan jalan penyelesaian tentang rumahtangga yang dibina dari pilihan
hatinya. Akhirnya dia mengalah dan menerima permintaan ayahnya untuk pulang
mengurus syarikat mereka. Kejadian terakhir itu memang membuat dia hilang
sabar.
“How dare you!” jerit Christine yang
menahan perit kesakitan.
Satu penampar sulong hinggap di pipi
Christine satu malam bila anaknya dengan tidak sengaja telah memecahkan pasu
yang dibeli oleh Christine semasa percutiannya ke Beijing. Mujur Najmi ada di
rumah waktu itu dan melihat bagaimana Christine telah memaki hamun anaknya
sendiri sambil memukul teruk si kecil itu.
Christine kemudian meluru untuk memukul
lagi si kecil. Najmi cepat merangkul anaknya dan membawanya keluar dari rumah
itu untuk mendapatkan rawatan. Christine kemudian disabit kesalahan kerana
mendera anaknya dan Najmi yang sudah lama menahan sabar itu akhirnya mengambil
keputusan untuk berpisah.
Sebab itulah setelah
mendapat tahu Najmi sudah berpisah dengan isterinya itu, Tan Sri Azizan dengan
segera mengarahkan anaknya itu agar pulang ke tanahair untuk menguruskan
syarikat yang memang sedang amat memerlukan tenaganya.