Home Novel Komedi/Romantik Komedi YANG MANA SATU NI?
Bab 12 ~ Siapakah lembaga itu?

LANGKAH diatur perlahan menuju ke kereta untuk pulang petang itu sambil menjimbit plastik berisi sekampit gula yang terus menjadi tanda tanya. Siapakah lelaki itu yang beria benar mengirimkan dia gula yang tidak jadi dibelinya itu.

             Nur Najwa mengingat kembali malam itu bila dia sudah membancuh satu mug kopi, dia baru perasan dia sudah kehabisan gula. Tekaknya pula memang mengada-ngada kerana tidak mahu menerima minuman bersusu pada waktu malam. Mungkin sudah terbiasa tinggal dengan emak dan ayahnya yang berbekalkan seteko kopi bila malam sambil menghadap TV.

             Oleh kerana tidak berpuas hati, Nur Najwa tergesa-gesa keluar rumah tanpa memeriksa dompetnya terlebih dahulu. Rasanya masih ada berbaki duit tunai setelah dia membayar harga minyak kereta di setesen Petronas siang tadi. Tetapi terlupa pula di mana diselitkannya. Masakan dia hendak membayar menggunakan kad kredit di premis 7 Eleven itu hanya untuk membeli sekampit gula?

             Memang dia ingat lagi wajah gaya Pak Lebai yang ditemuinya di dalam premis itu. Dari sisi pun sudah nampak kacak walau dengan jambang dan janggutnya yang sejemput itu. Pak Lebai itulah barangkali yang datang menghantar gula yang tolong dibayarkannya itu ke Mega Bina. Nur Najwa senyum mengingat wajah itu. Bagus juga kalau dia berubah arah mencari lelaki berpenampilan begitu... sudah tentu lain dari yang lain.              

             Biasanya lelaki gaya ustaz begitu isteri-isterinya tentu dengan ikhlas hati membenarkan suaminya beristeri lebih dari satu, kan? Tetapi setelah teringatkan wajah Mak Zah, Nur Najwa terus memadamkan hasratnya itu. Hehehe... buatlah kalau berani.

             Tetapi kemudian mukanya ketat kembali bila teringatkan kejadian tengahari tadi waktu keluar bertemujanji dengan Datin Sabariah.

             Ek eleh! Nur Najwa menggumam. Apahal pulak siap beri amaran? Masakan dia sampai hendak berhenti kerja hanya kerana amaran dari Datin Sabariah itu. Bukan dia melayan pun Dato’ Khairy tu... orang tua tu aje yang perasan sendiri.

             Kalau dia hendak melayan dari dulu dah lama dia cari pengganti Jalal. Siapa di taman perumahan tempat tinggal emaknya itu yang menaruh minat dengannya selepas dia ditinggal pergi buat selamanya oleh Jalal?

             Jeffri anak Mak Som yang kerja dengan JKR tu? Cuma dia tidak berkenan dengan Mak Som itu yang gaya Mami Jarum. Bergerak kaki, bergerak juga mulutnya. Kalau dah jadi mentua, sudah tentu bila orang mengata, dia sama dapat tempiasnya. Itu yang dia reject lamaran dari Jeffri dahulu.

Yusman yang pakai motor Aprillia RSV tu? Hisy! Lelaki tu memang buat orang sakit jantung dengan bunyi deruman motosikalnya yang berkuasa tinggi itu ibarat guruh membelah bumi. Habis satu taman pakat-pakat menggelarnya dengan nama Man Tonggek kerana motorsikalnya itu.

Pantang nampak Kelisanya sudah berparkir di depan rumah, mulalah dia lalu lalang mengendeng pagi, petang, siang dan malam.

Tiba-tiba matanya tertancap pada sekujur tubuh yang sepanjang hari itu bermain di mindanya. Lelaki yang berjubah dan berserban putih itu berada di situ terpacak menunggu. Lamunannya terus mati bila dia teringatkan hari itu hari Jumaat. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Ternyata hanya dia sendirian sahaja di kawasan parkir di bahagian basement itu. Apalagi!

“Aaaa!!!” Nur Najwa lari lintang pukang menuju ke lif sambil menjerit. Di dalam hatinya membaca ayat-ayat suci dari surah-surah al-Quran yang diingat waktu itu tanpa menoleh ke belakang lagi.

Khairul Syafiq urut dada sama terkejut dengan tindakan Nur Najwa. Dia terkedu di situ tidak tahu apa yang patut dilakukannya. Dia mahu berjumpa wanita itu untuk memperkenalkan dirinya, sebab itu dia datang tampil berpakaian begitu. Tidak disangka pula wanita itu takut dengan penampilannya itu. Puas dia menyimpan jambang dalam seminggu itu hingga dia dimarah oleh mamanya yang terserempak dengannya pagi itu.

Sekarang ini macam mana? Bila lagi dia ada peluang untuk bertemu dengan Nur Najwa kerana dia tidak mahu menimbulkan rasa marah mamanya yang tidak gemarkan penampilannya yang begitu. Kalau dia berpakaian biasa-biasa pula, Nur Najwa dilihat macam tidak endah sahaja.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh