Home Novel Komedi/Romantik Komedi YANG MANA SATU NI?
Bab 3 ~ Kisah Cik Tipah

     CIK Tipah yang ditinggalkan terkebil-kebil memerhati dari sebalik langsir tingkap kelibat Tan Sri Azizan di dalam kereta yang dipandu oleh Pak Hussin. Dulu dia tidak pernah berpeluang melambai pergi suaminya. Mereka sama-sama bekerja dan sering sahaja berebut-rebut untuk keluar rumah waktu pagi.

     Perkahwinan mereka sangat bahagia pada tahun pertama, tetapi mengalami masalah bila si suami sering bertanyakan tentang dirinya yang masih belum nampak ada perubahan.

     “Bila kita boleh nak ada anak ni?” tanya si suami.

     “Belum ada rezekilah agaknya,” jawab Cik Tipah pada kali pertama itu.

     Dia memang mengelak kalau boleh kerana dia sendiri sudah merasa tidak enak dan seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya. Pemeriksaan yang dibuat tanpa pengetahuan suaminya itu memberi jawapan yang ngeri dan nyeri. Mampukah dia memberitahu suami tersayangnya tentang itu?

     “Cik Tipah nak keluar ke laman? Marilah Nor tolong tolak dengan kerusi roda ni.”

     Tiba-tiba Cik Tipah teringat dengan suara yang memujuknya untuk dibawa keluar dari bilik tempat dia mengurung diri setelah mendapati dirinya cacat teruk selepas kemalangan. Dia terus menjerit terlolong setiap hari bila tersedar. Berapa lama suaminya boleh bertahan dengan perangainya?

     Mujur adiknya yang masih belum berumahtangga itu mahu membantu menjaganya. Tidak secara langsung, adiknya terpaksa juga melayan makan minum suaminya. Lama dia perhatikan apa yang berlaku kepada suaminya yang ketika itu sudah rupa hidup segan, mati tak mahu. Padahal yang mengalami kemalangan itu bukan dia.

     “Abang ambillah Nor jadi isteri abang, Tipah izinkan.”

     Akhirnya Cik Tipah memberi keizinan untuk suaminya menikahi adiknya sendiri yang telah banyak membantu dia dan suaminya di dalam rumah itu.

     Adiknya yang ramah dan ringan tulang itu dilihat dapat menceriakan suaminya.

     “Ikut warna yang dah ditanda ni ke?”

     Cik Tipah masih ingat suara adiknya yang rajin membantu suaminya seorang arkitek itu membuat kerja-kerja mewarna.

     “Jangan silap tau? Nanti puas abang kena buat balik,” sahut suaminya.

     Adiknya itu memang kelihatan manja dengan suaminya, mungkin kerana dia tidak punya abang dan tidak pernah pula merasakan kasih sayang dari seorang ayah.

     “Tipah! Ada kawan abang ajak kongsiniagalah...” suaminya memberitahu dia pada satu hari elok dia pulang dari kerja. “Kalau abang ada modal besar, abang dapat miliki syarikat itu 51/49 peratus selain usaha abang membuat pelan bangunannya.”

     “Ya ke?” sampuk adiknya yang datang dengan dulang berisi teko kopi dan cawan seperti kebiasaan di waktu petang setiap kali suaminya pulang.

     “Bestnya! Abang tentu boleh dapatlah... Cik Tipah kan bekas akauntan? Tentu Cik Tipah boleh bantu kerana ramai kenalan.” Celah adiknya yang terlebih gembira dengan khabar itu. Lebih kepada hendak mengembirakan hatinya.

     “Macam mana Tipah?”

     “Katakan boleh Cik Tipah! Ada fakta mengatakan, berfikir adalah satu cara terbaik untuk melatih otak kita. Kurang berfikir membuatkan tahap kecerdasan otak menurun,” jawab adiknya yang beria-ia memberi semangat untuk dia bangun semula setelah jatuh terduduk itu.

     Adiknya yang tamat belajar dalam jurusan graphic design itu tidak dibenarkan mencari kerja dahulu kerana harus membantu Cik Tipah di rumah sehingga dia benar-benar pulih. Suaminya berjanji akan mengambil dia bekerja di syarikatnya nanti untuk membalas budi baiknya itu.

     “Cik Tipah kan boleh buat kerja dari rumah aje?” pujuk adiknya yang ternyata risau dengan perubahan yang berlaku di dalam dirinya.

     Setelah pulih, Cik Tipah menolak pelawaan untuk bekerja kembali. Dia malu dengan keadaan fizikalnya. Dia mahu tinggal di rumah sahaja, tetapi dia tidak dapat menjadi isteri kepada suaminya sebab itu dia cadangkan suaminya menikahi adiknya pula.

     “Tipah cakap apa ni? Dah fikir betul-betul ke?” marah suaminya malam itu.

     Cik Tipah angguk sambil menahan sedih di hati. Dia sudah berjanji tidak mahu menangisi diri jika itu sudah suratan takdir.

     “Tapi Tipah nak minta dilepaskan. Kalau ikatan itu sudah diputuskan, tidaklah Tipah merasa sakit hati dan cemburu melihat abang dengan orang lain,” pinta Cik Tipah. “Sekurang-kurangnya jika abang ambil Nor, Tipah dapat tumpang tengok anak sedara Tipah yang berayahkan abang.”

     “Tipah nak ke mana? Nak hidup sendiri dalam keadaan diri Tipah macam ni?” Marah suaminya.

     Mungkin selama ini dia ada juga terfikir untuk mencari lain tetapi dimanakah isterinya yang cacat itu hendak ditempatkan?

     “Tipah dah tentunya akan terus macam ni, bang. Abang tu yang mengharapkan zuriat sendiri macam mana pula?”

     “Nantilah abang fikirkan dulu.”   



“KENAPA Cik Tipah sampai buat keputusan macam tu?” marah adiknya bila dia mengutarakan cadangannya.

     “Buat untuk Cik Tipah... tolonglah!” rayu Cik Tipah terus. Dia lebih senang jika suaminya mengahwini Normah... sekurang-kurangnya dia dapat lagi ke situ untuk menjenguk anak-anak saudaranya nanti.

     “Cik Tipah nak ke mana?” tangis adiknya menghambur keluar. “Nor boleh bantu Cik Tipah sampai benar-benar pulih, Nor janji,” ujar adiknya mengangkat tinggi tangan kanannya. Mana boleh dia lupakan jasa baik Cik Tipah yang telah membiaya pelajarannya sehingga dia berjaya?

     “Itu sahajalah cara kalau Nor nak balas jasa Cik Tipah.”

     “Cik Tipah ni dah tak ada hati ke? Itu kan suami Cik Tipah, Cik Tipah nak suruh Nor kahwin dengan dia pulak? Apa kata orang keliling nanti?”

     “Kita susah orang tak tolong Nor, orang cuma pandai bercakap aje.” Cik Tipah masih berusaha memujuk agar cadangannya itu diterima.

     Lama kelamaan, adiknya Normah dan suaminya menyetujui kehendak Cik Tipah dengan syarat Cik Tipah tidak dibenarkan keluar dari rumah itu.

     Syarat itu terpaksa diterima untuk memudahkan urusan. Semenjak dari hari itu Cik Tipah terus menyendiri dan pura-pura hilang ingatannya untuk menyesuaikan keadaan. Dia mula membantu kerja-kerja rumah bila adiknya disahkan mengandung anak pertama. Tidak sabar Cik Tipah hendak menunggu kelahiran anak saudaranya iaitu anak kepada bekas suaminya.

     “Kalau lelaki, Cik Tipah nak letak nama dia Irfan Najmi,” kata Cik Tipah yang memang sudah lama menyimpan nama itu tetapi tidak mampu memilikinya.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh