13
Erry Edrian mencampakkan surat khabar ke atas meja. Dia
meraup mukanya perlahan. Headline itu
ditenungnya sepi. PELAKON DAN MODEL POPULAR SAH BERCERAI? Wajah Amylea
terpampang di bawah headline tersebut. Wajah bekas isterinya kelihatan sugul di
sebelah peguam bela. Dia melepaskan keluhan berat. Setelah beberapa kali kes
mereka ditangguh akhirnya sebulan penantiannya berakhir hari ini apabila mereka
disahkan bercerai.
Erry Edrian tidak pernah menduga bahawa ini adalah
kesudahan hidupnya. Cinta yang dibina bertahun-tahun lamanya musnah sekelip
mata. Erry Edrian sedar itulah hakikat kehidupan. Walau pahit namun dia
terpaksa telan juga. Adakalanya terbit rasa sesal di hati. Tapi apakan daya
takdir penentu segalanya. Telefon bimbitnya berbunyi. Tertera perkataan mama di
skrin. Erry Edrian mengeluh berat. Dia tahu apa yang mahu dibicarakan oleh
mamanya. Lantas dia hanya membiarkan telefon itu menjerit. Setelah jeritan
telefon bimbitnya berhenti, dia mematikan terus telefonnya.
Erry Edrian merebahkan tubuhnya di sofa. Ruangan itu
dipandangnya kosong. Sepi, itulah perasaannya kini. Tiada lagi gelak tawa,
pujuk rayu daripada insan yang bergelar isteri, tiada lagi tangisan dan
rengekan daripada anak tunggalnya. Pembantu rumahnya pun telah diberhentikan
kerja. Segalanya telah berakhir. Mahligai cinta yang dibina musnah. Bertahun
dia menyulam cinta dan menjaga cinta itu agar tidak dicemari. Sayangnya hati
manusia itu sukar diramal. Apabila muncul insan yang mampu memberi lebih
sedikit dari yang sedia ada, maka yang sedia ada dilupai. Dan sesungguhnya dia
reda dengan ujian Tuhan ini.
“Ya ALLAH,
berikanlah hambamu ini kekuatan untuk menempuh kehidupan ini. Jika ini
yang terbaik untukku maka hilangkanlah rasa pilu di hatiku. Berikanlah aku
ketabahan dan hidayahMu agar aku mampu teguh di jalanMu.”
Erry Edrian bangkit dari pembaringannya. Tangannya pantas
mencapai kunci kereta yang terletak di atas meja. Honda civic miliknya menderum
laju meninggalkan perkarangan rumah. Dia tidak pasti mahu ke mana, yang dia
tahu saat ini dia ingin menenangkan jiwanya yang kosong.
***
Elfira sampai lebih awal dari kebiasaannya. Dia
mendongakkan kepalanya melihat bilik Firuz Eidil. Bilik itu kelihatan gelap.
Dia pasti lelaki itu masih belum bangun lagi. Elfira mengambil kunci rumah Firuz
Eidil yang diletakkan di poket seluarnya. Kemudian dia mengambil barang-barang
yang dibelinya semalam lalu dibawa ke dapur. Dia mengeluarkan barang-barang
yang dibelinya daripada plastik. Dia mengasingkan barang-barang tersebut dan
selebihnya di simpan ke dalam peti sejuk dan tempat yang telah dikhaskan.
Elfira mengambil bawang merah. Dia mengupas bawang merah
dengan penuh tekun. Pedih dimatanya tidak dihiraukan. Dia berasa bersalah
kerana mempermainkan Firuz Eidil semalam. Oleh sebab itu dia nekad untuk
membuat sarapan pada pagi ini. Sudahlah semalam seharian Firuz Eidil tidak berbual
dengannya. Marah benar agaknya. Jika diikutkan lelaki itu yang memulakan dulu.
Walaubagaimanapun dia tetap bersalah juga. Mana ada pekerja yang sesuka hati
membuli bos. Dia saja yang buat begitu. Nasib baik dia tak diberhentikan kerja.
Kalau tidak aniaya dia nak jawab dengan mama dan papanya.
Ya ALLAH ampunilah hambamu yang kerdil ini. Amin.
Elfira meneruskan kerjanya.
Firuz Eidil menggeliat malas. Jam di atas meja
dilihatnya. Jarum jam menunjukkan angka 7.30 pagi. Dia tidak sedar bila dia
tertidur semula. Yang pastinya sesudah subuh tadi dia hanya mahu merehatkan
dirinya sebentar sebelum bersiap ke pejabat. Cadangnya dia mahu bergerak lebih
awal ke pejabat. Dia menguap besar. Kantuk masih bersisa. Matanya dikerlipkan
berulangkali. Setelah sedikit segar, dia lantas bangkit lalu menuju ke bilik
mandi.
Langkahnya terhenti apabila terbau aroma masakan. Dia merasakan
dirinya bagai sedang bermimpi. Pipinya ditampar kuat. ‘Ouch!’ sakit! Dia mengusap
pipinya perlahan. Terasa pijar pipinya akibat tamparan kuat daripada dirinya
sendiri. Dia yakin aroma itu datang dari arah dapur. Untuk ke dapur kakinya
terasa malas. Dia yakin Elfira masih belum sampai. Kebiasaannya gadis itu akan
sampai di rumahnya sekitar jam 7.50
pagi. Namun aroma itu bagai menarik hatinya untuk menyiasat. Dengan tubuh yang
hanya dibaluti tuala, dia menuju ke dapur.
Dia mendengar bunyi senduk dan kuali berlaga. Firuz Eidil
mengintai dari sebalik dinding. Dilihatnya seorang gadis sedang memasak. Firuz
Eidil mengamati susuk tubuh gadis itu. Dari susuk tubuh gadis itu dia yakin itu
adalah Elfira. Elfira tidak sedar bahawa dirinya sedang diperhatikan oleh Firuz
Eidil. Dia leka dengan tugasnya. Dia menyendukkan mi goreng itu ke dalam
mangkuk. Dia membawa mangkuk yang berisi mi itu menuju ke ruang makan. Firuz
Eidil yang sedang bersembunyi di sebalik dinding segera berlalu dari situ
apabila melihat Elfira berjalan menuju ke ruang makan. Dia tidak mahu gadis itu
sedar akan kehadirannya. Namun dia tersilap langkah apabila kakinya terlanggar
kerusi. Dia mengaduh sakit. Dengan kaki yang masih berbisa dia segera mendaki
anak tangga.
Elfira terkejut dengan bunyi kerusi yang seperti
dilanggar. Dia meletakkan mangkuk mi itu di atas meja dapur. Dia kemudiannya
menuju ke ruang makan. Elfira mengintai-intai jika ada sesiapa di situ. Tetapi
dia tidak nampak sebarang kelibat orang.
Tanpa mengesyaki apa-apa, dia kembali mengambil mangkuk
mi itu lalu dibawanya ke ruang makan. Setelah itu dia menyediakan air kopi.
Kemudian dia meletakkan empat pinggan dan empat cawan di atas meja. Semuanya
disusun dengan teratur. Pada cawan Firuz Eidil diletakkan nota yang tertulis
perkataan maaf dan gambar senyum. Elfira tersenyum sendiri. Lalu dia menuju ke
bilik Firuz Eidil. Dia menyangka Firuz Eidil masih belum bangun. Sebaik sahaja
tiba di muka pintu, dia dapat mendengar desiran air dari bilik Firuz Eidil. Dia
tahu lelaki itu sudah bangun. Kemudian dia berlalu ke bilik Ain Nadia dan Dira
Nadia. Baru sahaja dia hendak mengetuk pintu, pintu bilik itu terbuka. Ain
Nadia menghadiahkan senyuman manis buat Elfira.
“Selamat pagi Kak L.”
“Selamat pagi Ain. Dira mana?”
“Tengah mandi. Dia itu kak kalau dah jumpa air mana boleh
sekejap. Lama mandinya.”
“Biasalah itu.”
“Jom kak, kita turun dulu. Kejap lagi along dengan Dira
turunlah itu.”
Sebaik tiba di ruang makan, Ain membuka tudung saji.
“Wah akak masak ke ni?”
Elfira mengangguk perlahan.
“Wah! Nampak sedap. Kak L buat ni sebab nak pujuk along
ya?”
“Tak adalah. Kak L saja nak masak untuk kau orang.”
“Hem yelah itu.”
“Kak L kalau Ain tanya Kak L marah tak?”
“Bergantung kepada pertanyaan Ain.”
“Kak L dah ada pakwe?”
“Soalan apa itu?”
“Soalan cepu emas. Cepatlah Kak L ada ke tak?”
“Tak.”
“Tipulah takkan orang comel macam Kak L ni tak ada
pakwe?”
“Buat apa Kak L nak tipu. Memang betul tak ada.”
“Kak L tengok along macam mana orangnya?”
“Soalan apa yang Ain tanya Kak L ni?”
“Ala jawab jelah. Saja Ain nak tahu pandangan Kak L
tentang along.”
“Along Ain itu...” Elfira diam seketika. Dia sedang
memikirkan jawapan yang terbaik.
“Cepatlah Kak L, Ain tak sabar nak tahu ni.”
“Dia itu kepala angin, suka mengarah itu ini, tak tahu
nak jaga hati dan perasaan orang dan dia teramatlah sengal dan yang paling
penting perangai macam singa. Huh!”
“Tapi along pandai ambil hati perempuan tau.”
“Ya ke? Kenapa Kak L tak rasa begitu?”
“Mungkin sebab Kak L dan along tak mahu mengalah.”
“Eee, buat apa Kak L nak mengalah dengan mat singa itu?”
“Mat singa Kak L panggil along Ain. Haish. Kak L dengan
along memang padan. Dua-dua suka bertekak. Cubalah Kak L dengan along lancarkan
misi kedamaian. Ini tidak, asyik nak lancar perang aje.”
“Buat apa Kak L nak berdamai?”
“Bila ada perdamaian, Kak L akan kenal siapa along yang
sebenarnya.”
“Hish, tak naklah! Biar kami begini aje.”
“L, saya nak ke pejabat sekarang!” arah Firuz Eidil yang
tiba-tiba muncul tanpa menoleh ke arah Elfira. Dia membetulkan tali leher.
Wajah Firuz Eidil tetap serius seperti semalam.
“Apa lagi yang awak tercegat tu? Cepatlah saya dah nak ke
pejabat ni!” jerkah Firuz Eidil.
“Encik Firuz tak nak sarapan dulu? Saya ada buatkan mi
goreng.”
“A’ahlah along. Sarapanlah dulu. Penat Kak L masakkan
untuk kita.”
Firuz Eidil memandang ke arah hidangan yang telah
disediakan oleh Elfira. Kecur air liurnya melihat mi goreng yang masih panas
itu. Namun segera ditahan rasa hatinya.
“Tak apalah. Saya tak makan mi,” jawabnya tegas.
“Tapi...”
“Tapi apa? Saya dah lambat ni! Kalau saya nak makan saya
boleh makan dekat kedai nanti. Cepatlah!” Firuz Eidil segera memintas bicara Elfira.
Dia tidak mahu bersoal jawab dengan gadis itu. Suaranya sengaja ditinggikan.
“Tapi sekurang-kurangnya Encik Firuz makanlah sikit. Buat
alas perut itu.” Elfira masih cuba memujuk. Dia merendahkan egonya semata-mata
untuk berbaik semula dengan Firuz Eidil.
“Makan? Kejap...”
Firuz Eidil mengambil mi goreng tersebut lalu dimasukkan
ke dalam tong sampah. Dia melakukan itu di hadapan Elfira dan Ain Nadia. Elfira
dan Ain Nadia terkejut dengan tindakan Firuz Eidil. Ain Nadia tidak menyangka
alongnya itu akan bertindak sejauh itu.
Elfira tergamam dengan perbuatan Firuz Eidil. Hatinya
sakit diperlakukan begitu oleh Firuz Eidil. Niatnya untuk berbaik semula dengan
Firuz Eidil tapi nampaknya lelaki itu menolak kebaikannya. Firuz Eidil telah merobekkan
hatinya.
“Kalau Encik Firuz tak nak makan, minumlah. Saya dah
buatkan kopi untuk Encik Firuz,” beritahunya perlahan. Dia cuba menahan rasa
hati.
“Kopi?” Dia menuju kembali ke ruang makan, lalu teko yang
berisi kopi diambilnya dan kemudian dibawanya ke sinki lalu dibuangnya air kopi
tersebut.
“Kopi ini pula biar sinki ni yang tolong minumkan. Yelah
sinki ni asyik rasa air sabun dan air paip aje, apa salahnya kalau sekali
sekala kita hidangkan kopi kepada dia,” sinis bicara Firuz Eidil.
“Along! Kenapa buat Kak L begitu? Dia dah susah payah
sediakan semua itu untuk kita. Kalau along tak nak makan sekali pun, janganlah dibuang makanan itu. Ain dengan
Dira boleh makan mi tu. Betul kata Kak L along ini orang yang tak tahu nak jaga
hati dan perasaan orang. Sejak bila along berperangai macam ni? Dulu, along tak
macam ni. Along tahu hormatkan orang.”
“Kau diam Ain. Jangan nak masuk campur urusan along!”
jerkah Firuz Eidil. Dia merenung wajah adiknya dengan pandangan tajam.
Ain Nadia yang tersentak dengan kata-kata Firuz Eidil
melangkah menuju ke bilik. Sebaik sahaja dia berselisih dengan Firuz Eidil, Ain
Nadia sengaja melanggar tubuh Firuz Eidil sambil menghadiahkan sebuah jelingan
tajam buat Firuz Eidil.
“Okey, semuanya dah selesai. Boleh kita pergi pejabat
sekarang?” soal Firuz Eidil dengan nada selamba. Seolah-olah tiada apa yang
berlaku.
“Okey,” jawab Elfira perlahan. Dalam hatinya hanya Tuhan
sahaja yang tahu betapa bengang dan
sakit hatinya terhadap lelaki di hadapannnya itu. Jika diikutkan rasa hati
ingin sahaja dia cekik-cekik lelaki itu. Masalahnya jauh di sudut hatinya ada
kesayuan yang menjengah jiwa. Dia sedih apabila niat baiknya ditolak
mentah-mentah oleh Firuz Eidil.
Elfira mengambil kunci kereta lalu menuju ke kereta milik
Firuz Eidil. Air matanya tumpah sedikit.Segera disekanya dengan jari. Dia tidak
mahu Firuz Eidil melihat kelemahannya. Dia adalah gadis berjiwa kental.
Firuz Eidil mendapatkan briefcasenya. Dia kemudian
memboloskan dirinya ke tempat duduk belakang.
“Awak buta ke? Bukankah pintu rumah tak bertutup lagi.
Awak ingat saya ni siapa yang perlu menutup pintu itu. Bukankah saya yang bayar
gaji awak,” ujar Firuz Eidil tegang.
Tanpa bicara, Elfira turun dari kereta lalu menutup pintu
rumah. Setelah itu dia meninggalkan perkarangan rumah tersebut. Mereka hanya
melayani perasaan masing-masing sepanjang perjalanan.
Dalam diam, Firuz Eidil berasa terkilan kerana tidak
dapat menikmati masakan Elfira. Dia tahu gadis itu memasaknya dengan ikhlas.
Namun dek kerana egonya yang tinggi, dia rela biarkan tekaknya terkulat-kulat
daripada memakan makanan yang dimasak oleh Elfira. Apatah lagi apabila
mengenangkan aroma kopi yang menusuk ke hidung. Tapi sayangnya kerana kedegilan
hati, akhirnya air kopi itu diratah enak oleh sinki. Kata-kata Elfira terhadap
dirinya masih terngiang-ngiang dipendengarannya.
Peristiwa pagi tadi bermain di ruang matanya, bagaimana
dia yang begitu berselera hendak makan
tiba-tiba mendengar perbualan antara Elfira dan Ain Nadia. Entah mengapa dan di
mana silapnya dia berasa terbakar hati dengan kata-kata Elfira. Niatnya untuk
menjamah mi goreng itu akhirnya terbantut. Bahkan dek kerana perbuatannya
adik-adiknya tidak dapat menikmati mi goreng buatan Elfira pagi tadi. Disebabkan
hal itu juga dia telah melukai hati adiknya. Sedikit rasa sesal menghimpit
dirinya. Setibanya di Firuz Land sekali lagi Firuz Eidil mencari masalah dengan
Elfira. Firuz Eidil menghulurkan briefcasenya kepada Elfira.
“Apa lagi yang awak tenung saya? Ambillah briefcase ni
bawa ke pejabat saya,” arah Firuz Eidil.
Elfira merampas kasar briefcase di tangan Firuz Eidil.
Sakit hatinya mengenangkan sikap Firuz Eidil. Sudahlah niatnya untuk berbuat
baik dengan Firuz Eidil tidak menjadi.
Apabila dia mengenangkan peristiwa semalam dia hanya membatukan diri. Mungkin
Firuz Eidil masih terasa dengan dirinya.
Nasib kaulah L. Biar kau rasa bagaimana seronoknya kena
main. Semalam kau kenakan aku, hari ini aku pula yang kenakan kau. Barulah
adil.
Mereka masih tetap membisu. Sofea yang sedar akan
kedatangan Firuz Eidil segera memberi salam kepada Firuz Eidil. Dia dapat
melihat ketegangan antara Firuz Eidil dan Elfira. Wajahnya Elfira yang tampak bengang
membuatkan hatinya berasa hairan.
“Sofea, tolong belikan saya sebungkus mi goreng dan
tolong buatkan saya air kopi yang kaw-kaw.” Firuz Eidil sengaja menekankan perkataan
mi goreng dan kopi.
Sofea berasa hairan. Wajah Elfira ditatapnya. Elfira
hanya membuat muka kosong. Elfira memekakkan telinganya. Buat sakit hatinya
sahaja. Kalau nak bertekak pun setakat membuang masa sahaja.
“Tapi bos,” Sofea ingin berkata sesuatu.
“Tak ada tapi-tapi lagi. Awak tak dengar ke arahan saya.
Saya suruh awak beli mi goreng. Lepas itu buatkan air kopi. Dah jangan bantah
cakap saya!”
“Kenapa awak tercegat di sini lagi, hantarlah briefcase
saya itu ke dalam bilik. Takkan itu pun nak tunggu saya suruh. Makan gaji buta
ke apa?” jerkahnya kepada Elfira.
Elfira yang terkejut memandang Firuz Eidil tajam.
Seingatnya tiada seorang pun yang berani meninggikan suara kepadanya kecuali
alongnya sahaja.
“Yang awak tenung saya tu kenapa? Tak puas hati?” soalnya
lagi.
Banyak mata yang memandang ke arah Elfira dan Firuz Eidil.
Setahu mereka Firuz Eidil bukanlah seorang bos yang suka meninggikan suara
kepada pekerja. Kalau dia marah pekerja sekali pun, tidaklah sampai semua
pekerja tahu. Biasanya mereka akan ditegur secara berhemah. Apabila Firuz Eidil
memandang ke arah para pekerjanya, mereka kelam kabut membuat kerja
masing-masing.
Elfira segera meletakkan briefcase Firuz Eidil ke dalam
pejabat lelaki itu. Kemudian dia keluar semula. Kini dia berhadapan dengan Firuz
Eidil.
“Saya dah letakkan briefcase Encik Firuz. Saya nak balik
dulu untuk uruskan rumah Encik Firuz pula.”
“Sofea mana surat-surat yang nak dihantar?”
“Ini bos.” Sofea menghulurkan surat-surat dan cek yang
perlu dihantar dan didepositkan.
“Ambil surat dan cek ini. Hantar dan depositkan. Kemudian
baru balik rumah dan kemas rumah saya sampai berkilat dan jangan ada habuk pun.
Faham!” jerkahnya lagi.
Elfira sekadar mengangguk. Hatinya sebal. Jika diikutkan
hati ingin sahaja dia memarahi Firuz Eidil.
“Pergilah sekarang!” arah Firuz Eidil. Lalu langkah
kakinya diatur menuju ke pejabat tanpa menoleh ke arah Elfira.
Elfira terpempan apabila Firuz Eidil menghalaunya. Bukan
setakat Elfira sahaja yang terkejut bahkan Sofea dan semua pekerja di situ
turut terkejut. Elfira hanya menghantar langkah Firuz Eidil dengan ekor
matanya.
“Jomlah L. Aku pun nak pergi beli mi goreng untuk mat
singa kesayangan kau itu.”
“Helo tolong sikit. Dia tak pernah jadi kesayangan aku
tau. Kalau ikutkan hati aku yang bengkak ni dah lama aku tenyeh-tenyeh dia jadi
lempeng. Dia itu memang menyakitkan hati!” gumam Elfira bengang.
“Sabar, jangan marah-marah.”
“Aku geram! Ada ke patut dia buat aku begitu. Kalau
marahkan aku sekali pun janganlah sampai memalukan aku. Aku rasa sedih dan
terhina,” lemah bicaranya. Wajahnya kelihatan sugul.
“Aku hairanlah. Apa yang dah berlaku sebenarnya? Bukan ke
kau yang kata nak masak mi goreng pagi ini. Lagipun semalam bukan main beria-ia
lagi kau suruh aku ajar memasak. Apahal pulak dia boleh suruh aku pergi beli mi
goreng. Kau tak buat sarapan untuk dia pagi ini?”soal Sofea mahukan penjelasan.
Elfira melepaskan keluhan perlahan.
“Aku dah buat sarapan pagi untuk dia. Aku buat sama macam
kau ajar.”
“Habis itu kenapa dia suruh aku beli mi goreng untuk dia?
Dia tak makan ke sarapan yang kau buat tu?”
“Makan...tapi bukan dia yang makan.”
Sofea terlongo. Dia tidak mengerti dengan patah bicara Elfira.
Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Aku tak fahamlah apa yang kau cakap. Kau kata dia makan
tapi bukan dia yang makan. Bahasa apa yang kau pakai ni?”
“Tong sampah yang makan mi aku.”
“Apa?” Sofea terkejut. Matanya tidak lepas-lepas pandang
ke arah Elfira. Meminta kepastian. Elfira menganggukkan kepalanya sebagai tanda
membenarkan kata-katanya sebentar tadi.
“Tapi kenapa?”
Belum sempat Elfira menjawab pertanyaan Sofea, telefon
bimbitnya terlebih dahulu mengalunkan lagu sayang.
“Sekejap ya, aku jawab panggilan telefon dulu.”
Elfira bergerak sedikit jauh dari Sofea.
“Assalamualaikum mama.”
Huluran salam disambut oleh Puan Sri Karmila. Elfira
mendengar bicara mamanya dengan tekun. Sesekali kepalanya mengangguk memahami.
Sesekali dahinya berkerut-kerut seolah-olah ada masalah besar yang sedang
menghimpit. Tidak lama kemudian talian telefon dimatikan. Dia mendengus kasar.
Sofea memandang dengan penuh kehairanan.
“Sofea, aku nak minta tolong dengan kau boleh tak?”
tanyanya sedikit ragu.
“Boleh. Kau nak aku tolong apa? Kenapa kau nampak cemas
L?”
“Kau tolong bagi ini pada mat singa itu. Kau cakap aku
nak ambil cuti tanpa gaji. Mungkin dalam seminggu dua. Tolong ya.” Elfira
memberikan kunci kereta bersama surat dan cek yang sepatutnya dihantar.
“Apa yang dah berlaku L?” tanya Sofea lagi.
“Papa aku, surat khabar!” Elfira berlari menuju ke kedai
berdekatan.
“Kenapa ni L?” Sofea mengejar Elfira.
Elfira pantas mencapai surat khabar. Dia terkejut melihat
berita tentang penceraian abang dan kakak iparnya menjadi tajuk utama. Sofea mengambil
akhbar tersebut daripada Elfira. Dia terkejut membaca berita tersebut.
“L.”
Sofea menyentuh lembut bahu Elfira. Mereka saling
berbalas pandang. kelihatan mata Elfira bergenang. Elfira mengambil akhbar
tersebut lalu dibayarnya.
“Fea, sebab ni papa aku masuk hospital. Angah aku hilang
entah ke mana. Aku kena cari angah aku. Kau tolong aku ya Fea. Tapi kau janji jangan cerita hal yang sebenar dan
jangan beritahu dia siapa aku sebenarnya. Tolong Fea,” rayu Elfira.
“Okey. Sekarang ni
kau balik dan uruskan keluarga kau. Soal bos itu biar aku yang uruskan.”
“Terima kasih Fea. Kau lah sahabat dunia dan akhirat
aku.”
Elfira memeluk Sofea. Air mata yang cuba ditahan sedari
tadi akhirnya tumpah juga. Elfira sudah tidak mampu menahan sebak di dada.
Sakit rasanya! Elfira menahan sebuah teksi yang kebetulan lalu di situ. Dia
harus mengambil keretanya yang diletakkan di rumah Firuz Eidil.
Hati Elfira bergelodak. Nombor telefon Erry Edrian
didailnya berulangkali. Namun hampa. Panggilannya masuk ke peti simpanan suara.
Air matanya masih belum mahu berhenti. Degup jantungnya terasa kian pantas.
Seolah-olah masa bergerak terlalu pantas dan tiada waktu untuknya berlengah.
“Angah, angah di mana? Kenapa boleh jadi begini?” omelnya
sendiri. Tanpa sedar dia telah melahirkan bicara tersebut dan didengari oleh
pemandu teksi.
“Cik kata apa tadi?”
“Ha?” Elfira terperanjat apabila disoal begitu. Rasanya
tadi dia hanya berkata di dalam hati.
“Tak ada apa-apa,”
beritahu Elfira. Bibirnya mengukir senyum. Terpaksa!