5
Elfira menolak daun pintu dengan kasar. Sakit hatinya
dilempiaskan pada pintu. Sebaik masuk ke dalam rumah Firuz Eidil, mulut Elfira
ternganga luas. Dia ternganga bukan sebab kagum dengan hiasan rumah tersebut
atau melihat betapa cantik dan bersihnya rumah itu tetapi ia adalah sebaliknya!
Rasa macam nak pengsan! Ambulance please!
“Hish ini rumah
atau tempat pembuangan sampah? Bersepah! Eee...berhabuk lagi. Macam mana nak
kemas ni. Dahlah aku tak pernah kemas rumah,” omel Elfira panjang lebar.
Rumah teres dua
tingkat itu kelihatan tunggang-langgang. Ini baru di tingkat bawah belum lagi
di tingkat atas. Elfira mengatur langkah menuju ke tingkat atas. Harapannya
agar tingkat atas tidak seperti di bawah. Dia berdoa di dalam hati. Jika tidak
teruk dia kena kemas rumah itu. Lagipun dia mana pernah mengemas rumah.
Semuanya pembantu rumahnya yang buat.
Pintu bilik ditolaknya.
Matanya terkasima memandang ke dalam bilik itu. Dia seperti tidak percaya
dengan apa yang dilihatnya. Kepalanya rasa bagai nak pitam.
“Berseleraknya! Ini
bilik ke apa?” jeritnya kuat seolah-olah sedang memarahi seseorang.
Satu keluhan berat
dilepaskannya. Dia menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal. Pening, pening!
Haru-biru! Dia berlalu menuju ke bilik utama. Kali ini dia tidak berharap bilik
itu akan bersih. Pintu bilik ditolak kasar. Ha! Kan dah kata mesti bersepah
juga. Elfira ketawa kuat. Dia ketawa bukan sebab suka tapi sebab sakit hati
terlampau kepada Firuz Eidil.
“Lelaki ni memang
sengaja nak kenakan aku. Apalah dosa aku padanya. Dia ingat dia tu siapa?”
Masih
terngiang-ngiang kata-kata Firuz Eidil pagi tadi di telinganya.
“Ada ke patut dia
kata aku miskin. Dia tak tahu ke yang aku ni anak Tan Sri Lukman Hakim!” Elfira
menjerit kuat melepaskan geram yang bersarang di hatinya.
“Tapi kalau
fikir-fikir balik memanglah dia tak tahu aku ni anak Tan Sri. Ya ALLAH inikah balasan sebab menipu mama dan
papa? Tapi L tak ada niat untuk menipu mereka,” luahnya dengan nada kesal.
Elfira merapati
katil Firuz Eidil. Gambar lelaki itu dipandangnya dengan penuh benci. Lidahnya
dijelirkan. Dia mengejek lelaki itu seolah-olah lelaki itu ada di hadapannya
kini.
“Ini mesti tunang
dia. Amboi bukan main seksi lagi. Macam dah tak cukup kain kat Malaysia ni.
Sepadan sangatlah dengan si Firuz Eidil itu,” omelnya lagi.
Dia teringatkan
kata-kata Sofea tentang tunang Firuz Eidil yang dipanggil minah over. Memang
sesuai pun gelaran yang diberikan Sofea kepada tunang Firuz Eidil itu. Elfira
meletakkan gambar itu kembali ke tempat asalnnya. Dia kemudian menyelak langsir
yang menutupi tingkap. Setelah itu daun tingkap dikuak lebar. Dia turun semula
ke tingkat bawah. Lalu ke dapur. Kabinet diselongkarnya. Akhirnya dia bertemu
juga dengan apa yang dicarinya. Lalu dia kembali ke tingkat atas. Dia mengutip
kain baju kotor dengan penyepit kuih lalu di masukkan ke dalam bakul untuk
dibasuh.
Setelah itu Elfira
turun semula ke tingkat bawah. Dia mencari mesin basuh.
“Wah, bagus betul
bos aku ni! Basuh baju pun ada bilik khas. Siap tulis ‘mencuci pakaian sahaja’.
Gila gempak mamat ni,” bebel Elfira.
Elfira segera
menyepit pakaian Firuz Eidil lalu di masukkan ke dalam mesin basuh. Manakala sebelah
tangannya lagi menutup hidung. Dia mengambil liquid pencuci pakaian dan ditenungnya.
“Banyak mana nak
guna ni? Ah tuang jelah.” Dia menuang pencuci pakaian semahunya ke dalam mesin
basuh. Lalu butang start ditekannya.
“Nasib kaulah
Firuz.”
Elfira berlalu. Dia
kemudian mengemas seluruh rumah tersebut. Elfira mengelap peluh yang membasahi
mukanya. Dia kemudiannya bercekak pinggang. Dia mengukir senyum. Puas hati dengan
hasil kerjanya. Inilah kali pertama dia mengemas rumah sepanjang usianya 24
tahun. Hidungnya terasa gatal, lalu dia bersin. Sah penangan habuk! Diakan
memang alergik dengan habuk.
Usai sahaja
kerjanya, dia terus pulang ke rumah untuk bersihkan diri dan solat zohor.
Selesai sahaja solat zohor Elfira terus menuju ke pejabat.
“Hai Fea,” Elfira
menegur Sofea sebaik sahaja dia tiba di meja sahabatnya itu.
“L, kau pergi mana?
Puas aku dan bos cari kau. Ini baru hari pertama kau kerja, kau dah buat hal.
Susahlah kalau begini.”
“Kau tanya aku
pergi mana? Takkan bos kesayangan kau itu tak beritahu dengan kau?”
“Beritahu apa?”
“Sah dia tak cakap
dengan kau ni. Kalau kau nak tahu dia suruh aku jadi bibik kat rumah dia. Dia
ingat aku ni siapa yang dia boleh arah sesuka hati dia. Geram aku tengok dia.
Aku rasa macam nak cekik-cekik aje dia itu.”
“Apa? Dia suruh kau
jadi bibik? Kau biar betul L? Takkanlah bos aku tu nak kau jadi bibik. Bukan ke
dia tawarkan kau jadi pemandu dia aje?”
Sofea seperti tidak
percaya dengan kata-kata Elfira.
“Betullah. Apa
faedahnya aku nak tipu kau. Aku rasa bos kau ni ada sakit mental. Tak pun dia
ada masalah jiwa. Kalau kau masuk rumah dia pun kau akan seram. Mesti kau fikir
apa yang aku fikir.”
“Kau fikir apa L?”
Sofea begitu
teruja. Dia rasa macam tak nak percaya aje dengan apa yang dikatakan oleh Elfira.
“Aku rasa dia tu
baru terlepas dari mana-mana rumah sakit jiwa. Bahaya tu. Kau nampak dia di
luar tu punyalah hensem tapi rumah dia macam dilanda tsunami,” bisik Elfira
kepada Sofea.
Bab ni dia tak
bolehlah cakap kuat-kuat nanti orang dengar dah mengaibkan bosnya pulak!
Sofea tidak dapat
menahan tawa lalu dia ketawa kuat. Elfira bingung. Dia serius boleh pulak Sofea
ketawa. Rasanya dia tak buat lawak tadi.
“Fea, kenapa kau
gelak? Apa yang lucu sangat?”
“Kaulah yang lucu.
L, bos aku tu tak sakit mental. Yang sakit mental tu kau.”
“Eh, aku pulak yang
kena.”
“Sudah, sudah. Kita
lupakan hal kau tu tadi. Sekarang ni aku nak tanya kenapa kau tak jawab
telefon? Dah lenguh tau aku dail nombor kau.”
“Mana ada telefon
aku berbunyi,” jawab Elfira. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya.
“Alamak bateri
habislah. Aku lupa nak cas tadi.”
“Hem, patutlah.
Lain kali cas bateri telefon kau tu sampai penuh.”
“Maaf,
tak sengaja. Mat singa tu mana?”
“Mat singa? Siapa
tu?”
“Siapa lagi bos
kesayangan kaulah.”
“Oh. Dia keluar lunch dengan tunang dia. Lupa pulak, dia
suruh kau masukkan cek.”
“Aku?” Elfira
menuding jari ke arah dirinya.
Sofea mengangguk
perlahan.
“Dia kata kau akan
jadi despatch sementara.”
“Kan aku dah cakap
yang bos kau tu sengal. Dia ingat aku ni robot agaknya.”
“Yang tu aku tak
tahu. Tapi rasanya aku pelik jugalah sebab setahu aku dia tak macam ni. Tapi dengan
kau, dia...entahlah susah aku nak cakap.”
“Kalau kau pelik
aku lagi pelik. Entah apalah dosa aku kat dia agaknya.”
“Sabarlah L,
mungkin ada hikmah disebaliknya. Entah-entah dia jatuh hati dengan kau tak?”
“Heeee...geli aku
dengar. Kau jangan nak mengarut okey. Nanti tak pasal-pasal aku muntah hijau
kat sini.”
“Siapa yang nak
muntah hijau tu?” sapa satu suara dari arah belakang.
Elfira dan Sofea
tergamam. Mereka memandang ke arah suara yang menyergah mereka sebentar tadi.
Kelihatan Firuz Eidil sudah berdiri tegak di belakang Elfira.
“L, masuk pejabat
saya sekarang!” arah Firuz Eidil. Wajahnya begitu serius.
Elfira memandang
Sofea sambil mengangkat keningnya manakala Sofea mengangkat bahunya.
“Apa lagi tercegat
di situ. Masuk sekarang!” bentak Firuz Eidil.
“Eeee...dia ingat
aku ni pekak ke nak terjerit-jerit macam itu. Boleh pecah gegendang telinga aku
ni tahu tak. Dah macam singa lapar,” bebel Elfira kepada Sofea.
“Baik kau pergi
sekarang. Kalau tak teruk nanti kau di ‘ngap’ nya.”
“Okeylah aku jumpa mat
singa itu dulu.”
Elfira mengenyitkan
matanya nakal. Namun bibirnya sudah memuncung panjang. Sofea geli hati melihat
gelagat Elfira. Dia hairan melihat sikap Firuz Eidil yang tiba-tiba suka
membuli. Walhal sepanjang dia bekerja di sini tidak pernah pulak dia dibuli
begitu.
Di bilik Firuz
Eidil, kelihatan Elfira berdiri kaku di hadapan meja Firuz Eidil. Dia sekadar
jadi pemerhati. Manakala Firuz Eidil sedang sibuk mengemas fail yang berselerak
di atas meja.
“Kenapa tercegat di
situ, duduklah. Pejabat saya belum nak runtuh lagi,” sindir Firuz Eidil.
“Dah orang tak
jemput duduk takkan saya nak duduk. Nanti kata saya tak hormatkan majikan
pula,” balas Elfira.
Firuz Eidil
buat-buat tidak dengar dengan apa yang dicakapkan oleh Elfira.
“Kenapa awak tak
jawab panggilan telefon saya? Kalau tak nak guna telefon bimbit itu campak
sahaja kat longkang habis cerita. Ada telefon tapi tak nak guna buat apa,”
bebel Firuz Eidil.
“Hish, Encik Firuz kalau
cakap tak menyakitkan hati saya tak boleh ke? Bateri telefon habis. Lupa nak
cas.”
“Betul apa saya
cakap. Awak itu driver sepatutnya
bateri telefon bimbit awak itu kena penuh sepanjang masa. Faham!”
“Ha! Encik Firuz
sedar pun kerja saya ni sebagai driver
tapi kenapa ya saya kena jadi bibik dan minah despatch? Itu merangkumi kerja
seorang personal driver ke?” sinis
bicara Elfira. Keningnya diangkat tinggi. Ingat Ziana Zain je ke yang boleh angkat
kening. Dia pun boleh juga tau!
Firuz Eidil
terkedu. Dia tidak menyangka Elfira akan berdebat dengannya. Dia menarik nafas
lalu dilepaskan perlahan.
“Okey, saya memang
ambil awak sebagai pemandu peribadi saya, tapi saya juga perlukan seorang
pembantu rumah dan despatch. Jadi saya rasa awak layak untuk buat kerja-kerja
tu. Awak jangan risau saya akan bayar gaji awak dengan setimpal.”
“Layak? Apa maksud
Encik Firuz dengan layak? Oh...saya layak sebab saya miskin, begitu? Atau pun
Encik Firuz rasa kerja-kerja macam itu lebih layak buat saya daripada kerja
kilang? Encik Firuz nak buat amal kebajikan dengan bagi saya kerja dan bayar
gaji saya dengan lumayan. Macam itu ke maksud Encik Firuz? Hina ke kalau saya
miskin? Saya tak susahkan orang.”
“Saya tak cakap
awak miskin,” dalih Firuz Eidil.
“Saya rasa Encik Firuz
Eidil ni dah nyanyuk. Pagi-pagi lagi Encik Firuz Eidil dah kata saya ni miskin
sekarang nak nafikan pulak?”
Firuz Eidil ketawa.
Menyampah Elfira melihat tawa Firuz Eidil. Menyakitkan hati!
“Awak ni
kelakarlah, L. Cik adik, miskin tak bermakna miskin dari sudut harta atau wang
ringgit. Tetapi ia jua boleh dikategorikan dalam sudut pandang yang lain. Yang
saya maksudkan pada awak pagi tadi adalah miskin attitude. ”
“Maksud Encik Firuz?”
“Itu awak kena cari
sendiri. Kalau awak nak talian hayat saya boleh bagi. Tapi tengok dari cara
awak ni saya yakin awak ni budak kampung je. Entah tamat SPM ke tak?”
Firuz Eidil
mengenyitkan matanya nakal. Elfira mengecilkan anak matanya. Jika ikutkan
hatinya ingin sahaja dia cekik-cekik lelaki itu sekarang juga. Belum ada lelaki
yang berani buat dia begitu.
“Tak apalah Encik Firuz.
Saya pun tak teringin nak tahu. Simpan sahajalah talian hayat Encik Firuz tu.
Terima kasih.”
“Kasih diterima,”
jawab Firuz Eidil bersahaja. Dia masih mahu membakar hati dan perasaan Elfira.
“Kalau tak ada
apa-apa lagi saya nak keluar.”
“Keluarlah. Tapi
sebelum itu ambil cek dari Sofea dan tolong depositkannya. Jangan lupa my miss driver aka bibik.” Firuz Eidil
mengenyitkan matanya.
Elfira menjeling
tajam ke arah Firuz Eidil.
“Lepas tu terus
datang ofis jangan balik rumah buat tahi mata pulak.”
“Ya, Encik Firuz
Eidil!” jawab Elfira meluat.
Elfira terus
berlalu keluar dari bilik Firuz Eidil. Sebaik sahaja dia menutup pintu bilik Firuz
Eidil, dia mengajuk kembali kata-kata Firuz Eidil. Dia mengejek. Puas hati dia.
Sofea yang nampak akan perbuatan Elfira sekadar menggeleng kepala.
“Aku nampak apa kau
buat tadi. Dah puas hati? Kalau ya pun nak lepaskan geram jangan jadikan pintu
itu mangsanya. Kau ejek kat pintu bukan si mat singa kau itu nampak.”
“Tak kisahlah.
Janji aku puas hati.”
“Apa yang dia dah buat
pada kau sampai kau marah sangat ni?”
“Kau tahu dia kata
aku miskin attitude! Lepas itu boleh
dia kata aku ni entah lulus SPM ke tak? Sakitnya hati aku! Dia tahu tak yang
dia tu sedang bercakap dengan Elfira Tan Sri Lukman Hakim?”
“Kau beritahulah
dia siapa kau sebenarnya? Kan mudah. Mesti dia tak akan layan kau macam ni.”
“Tak nak! Dan kau
jangan nak mengada-ngada beritahu dia siapa aku. Kalau tak putus sahabat.”
“Eh aku pula. Ya, aku
janji tak cakap dengan dia. Nanti, dia kata kau miskin attitude? Apa maksudnya?”
“Manalah aku tahu.
Malaslah aku nak fikir. Buat sakit otak aku aje. Nanti tak pasal-pasal aku pula
yang masuk hospital sakit jiwa.”
“Sabarlah L.”
“Sabarlah ni kalau
tak dah lama aku cekik-cekik dia. Aku penyek-penyekkan dia. Aku ada taekwando,
silat dan karate do, dia ada?”
Sofea menggelengkan
kepalanya.
“Dahlah, aku nak
pergi bank in kan cek itu. Kalau tak membebel aje dia nanti.” Elfira berlalu
meninggalkan Sofea terkulat-kulat.
Sofea menggeleng.
“Alahai L, ini baru
hari pertama dah kecoh begini. Macam manalah agaknya hari-hari seterusnya. Hish
yang aku sibuk hal mereka ni kenapa? Suka hati merekalah kan?”
Sofea kembali
menjalankan tugasnya.