29
SEBULAN KEMUDIAN
Elfira meletakkan bagasinya di sebelah almari. Dia
merebahkan tubuhnya ke katil.
“Penatnya!” keluh Elfira.
Dia menguap lebar. Matanya dipejamkan rapat. Dia terus terlena.
Sofea membelek
begnya mencari kunci rumah. Sekilas pandangannya tertancap pada mangga yang
tidak berkunci.
Eh, aku lupa mangga
pintu ke pagi tadi? bisik hati Sofea. Dia cuba mengingat kembali.
Aku memang kunci
mangga pagi tadi. Jangan, jangan ada pencuri tak? getus hatinya. Jantungnya
berdegup kencang. Dia memulas tombol pintu.
‘Tak berkunci
juga?’ Sofea gusar.
“Ini tak boleh
jadi. Ya ALLAH, kau selamatkanlah hambamu ini dari sebarang bencana. Amin.”
Sofea mengaminkan doanya.
Daun pintu
dikuaknya perlahan. Dia mengambil payung yang terletak disebelah rak kasut. Sofea
berjingkit-jingkit menuju ke ruang tamu, matanya melilau-lilau bagai sedang
mencari sesuatu. Kemudian dia bercekak pinggang. Payung diletakkan di atas
meja.
Tak ada orang pun.
Rumah pun nampak kemas tak ada beza dengan sebelum aku keluar rumah pagi tadi.
Aku lupa kunci pintu agaknya.
Dia menghenyakkan
punggungnya ke sofa. Otaknya masih ligat berfikir. Matanya masih melilau ke
sekitar rumah. pandangannya tertumpah pada bilik Elfira. Jantungnya sekali lagi
berderau. Debar kian terasa. Dia mengambil payung yang diletakkan di atas meja
tadi. Langkah kaki diatur menuju ke bilik Elfira. Sofea mengintai dari luar.
Kemudian dia menolak perlahan pintu bilik Elfira. Alangkah terkejutnya dia
apabila melihat Elfira begitu enak dibuai mimpi. Sofea tersenyum sendiri.
“Kau rupanya L.
Buat terkejut aku aje lah budak ni,” rungut Sofea. Macam manalah dia boleh tak
teringatkan Elfira.
“L, bangunlah! Hari
dah petang ni.” Sofea menepuk–nepuk tangan Elfira.
Elfira mendengus
kasar. Dia memusingkan tubuhnya ke kiri. Sofea masih lagi menepuk-nepuk lengan Elfira.
“L bangunlah. Aku
dah balik ni.” Sofea masih mengejutkan Elfira dari lenanya.
“Ala aku
mengantuklah Fea. Janganlah kacau aku tidur.” Elfira menarik selimut hingga ke
mukanya.
“Aku kata bangun,
bangunlah!” Sofea menepuk kuat lengan Elfira.
“Sakitlah!” rungut Elfira.
“Bangun!” jerkah
Sofea.
Elfira rimas.
Lantas dia bangkit dan duduk. Matanya masih terpejam. Dia menguap lebar.
“Kau ni kenapa Fea?”
tanya Elfira yang masih lagi mengantuk.
“Kau tanya aku
kenapa? Kau tahu tak yang kau itu dah buat aku kecut perut. Apa pasal kau tak
mangga pintu dan kunci pintu rumah? Nasib baik rumah kita ni tak dimasuki
pencuri. Kau ni cuai betullah.” Sofea menepuk bahu Elfira dengan kasar.
“Adoi, sakitlah
Fea.” Elfira menggosok-gosok bahunya.
“Padan muka kau.”
“Ala maaflah. Aku lupa
nak kunci pintu tadi.”
“Lain kali jangan
buat begitu.”
“Orait.”
“Awal kau balik?
Dah habis pusing Malaysia?” tanya Sofea sekadar berbasa-basi.
“Dah, setiap negeri,
aku pergi tempat yang terpilih aje. Kalau nak pergi setiap tempat menarik, mahu
pokai papa aku. Seronok Fea cuti mengejut macam ni. Rugi kau tak ikut aku.”
“Ewah, ewah, kalau
aku ikut kau siapa nak gantikan tempat aku. Nanti bos aku tu berhentikan aku
pulak!”
“Yelah kau kan
pekerja kesayangan si mat singa itu,” usik Elfira.
“Bukan kau ke L.
Yelah aku tengok dulu kau orang pun macam belangkas. Setiap kali kau hantar dan jemput dia bukan
main berseri lagi muka si mat singa itu,” usik Sofea pula.
Elfira ketawa.
“Bila masa pulak
aku dengan dia macam belangkas. Macam anjing dengan kucing ada lah. Lagi pun
antara aku dengan si mat singa tu tak lebih dari seorang pekerja dan majikan.
Dan tak lebih dari seorang kawan,” beritahu Elfira tegas. Wajahnya diseriuskan.
“Kalau ya pun tak
payahlah nak buat muka serius kau tu.”
“Dahlah, malas aku
nak layan kau. Terima kasih kejutkan aku. Aku nak pergi mandi. Kau pun patut
mandi. Dah bau cik kam,” usik Elfira lagi.
“L!” Sofea memukul
L dengan bantal.
Elfira tidak sempat
mengelak. Dia mengusap lengannya yang menjadi mangsa Sofea sambil ketawa. Sofea
turut ketawa.
“Okeylah aku pun
nak mandi.”
“Fea, malam ni
teman aku pergi rumah mama aku. Kita makan malam kat sana.”
“Okey.”
Sofea berlalu
keluar dari bilik Elfira.