6
“Assalamualaikum mama,” Erry Edrian menghulurkan salam. Puan
Sri Karmila menyambut huluran salam tersebut.
“Angah dah
sarapan?” soal Puan Sri Karmila sekadar berbasa-basi.
“Belum lagi ma,” Erry
Edrian menarik kerusi. Dia duduk berhadapan dengan Puan Sri Karmila.
“Mari sarapan
sekali.”
“Papa mana ma?”
“Ke mana lagi dah
ke pejabatlah papa kamu itu. Yang kamu ni, pagi-pagi lagi dah ke sini, kenapa?
Bergaduh dengan Lea ke?”
Erry Edrian
membatukan dirinya. Nasi goreng disuapkan ke mulutnya.
“Hem betullah itu.
Angah, angah, mama tak faham dengan kamu berdua. Sekejap baik sekejap bergaduh.
Dah tiga tahun kamu berdua kahwin dan dah ada anak pun. Sampai bila nak
bertegang urat?” Puan Sri Karmila melepaskan keluhan berat. Dia memang tidak
memahami karenah anak dan menantunya yang satu itu.
Erry Edrian masih
seperti tadi. Diam membisu. Dia seolah-olah tidak tercuit dengan bicara
mamanya. Suapannya dilajukan. Hanya keluhan sahaja yang kedengaran
dipendengaran.
“L mana ma?”
soalnya. Sekadar ingin mengubah topik perbualan. Dia tidak mahu masalah
rumahtangganya dibicarakan.
“L tak tinggal kat
sini. Dia tinggal dengan Sofea. Dia kan dah kerja satu pejabat dengan Sofea.”
“Sofea yang mana
ma?”
“Hai berapa banyak
Sofea yang adik kamu berkawan. Sofea kawan sekolah dia itulah.”
Erry Edrian cuba
mengingat Sofea yang dimaksudkan oleh mamanya.
“Oh. Ingat dah.
Tapi kenapa L tinggal dengan Sofea?”
“Itulah kamu asyik
sibuk je. Hal adik sendiri pun tak tahu. Dia dah kerja sekarang ni. Dia kerja
sekali dengan Sofea. Dia jadi pembantu peribadi. PA bos di syarikat tempat
Sofea bekerja.”
“Eloklah itu ma.
Biar dia belajar hidup berdikari. Selalu orang lain yang buat untuk dia
sekarang dia pulak yang kena buat kerja untuk orang.”
“Betullah itu. Tapi
kadang-kadang mama risau juga. Yelah selama ini semua kerja orang buatkan untuk
dia.”
“Tak perlu risaulah
ma. Angah yakin L boleh sesuaikan diri. Inilah masanya untuk dia belajar
menerima arahan daripada orang lain.”
Erry Edrian
mengerling ke arah jam tangannya. Dia
harus segera. Jam 11 nanti dia ada kes di mahkamah. Lagi-lagi kes tuntutan hak
ke atas penjagaan anak. Dia sendiri tidak pasti sampai bila agaknya kes-kes
seperti itu akan selesai. Inilah perkara yang ditakutkan. Sebab itu selagi dia
boleh pertahankan rumahtangganya dia akan cuba pertahankan.
“Ma, angah dah nak
kena gerak dulu ni. Pukul 11 nanti ada perbicaraan di Mahkamah Gombak Timur.”
“Yelah angah. Mama
bukan nak sibuk hal angah tapi mama nak pesan, sebagai imam dalam keluarga
cubalah bimbing isteri itu. Banyakkan bersabar. Anggap ini dugaan buat angah
untuk ALLAH lihat sejauh mana kesabaran angah.”
“In shaa ALLAH
mama. Angah pergi dulu ya.”
Erry Edrian
menyalami tangan Puan Sri Karmila lalu mencium wajah mamanya lalu memeluk erat
mamanya. Dia dapat merasakan kedamaian dalam pelukan mamanya. Dapat dirasakan
kasih seorang ibu. Puan Sri Karmila melepaskan pelukan anaknya. Dia tahu
anaknya itu dalam dilema. Erry Edrian menghulurkan senyuman manis walaupun
jiwanya terseksa saat itu. Puan Sri Karmila menghantar pemergian Erry Edrian
dengan pandangan yang sayu.
“Ya ALLAH, kau
lapangkanlah dada anakku, kau mudahkanlah perjalanan hidupnya, kau berikanlah
petunjuk kepadanya agar dia dapat menyelesaikan masalah rumahtangganya, kau
lindungilah anakku dari segala bahaya. Sesungguhnya kepadaMU aku meminta
pertolongan. Rabb, berikan anakku kekuatan untuk mengubah kesedihannya kepada
kegembiraan. Amiin.”