21
Pusat beli belah Mid Valley sesak dengan pengunjung. Biasalah
pada awal bulan begini, duit tengah banyak. Waktu beginilah warga kota sibuk
membeli barang keperluan harian dan peribadi masing-masing. Bahkan ramai
anak-anak muda mengambil kesempatan untuk merehatkan minda mereka dengan
menonton wayang dan bermain bowling.
Dalam kesibukan orang ramai kelihatan Elfira jalan
berpimpin tangan dengan Erry Edrian. Lagak mereka bagaikan pasangan kekasih.
Dahulu masa sekolah pun ada yang takut menghampirinya kerana menyangkakan Erry
Edrian adalah teman lelakinya. Memang lucu!
“Angah, kita dah lama tak main bowlingkan? Apa kata kalau
hari ini kita main bowling. Nak tak?” ajak Elfira. Wajah Erry Edrian
ditatapnya. Pergelangan tangan Erry Edrian dipautnya erat. Erry Edrian masih
lagi berfikir.
“Jomlah angah. Tak payahlah nak fikir lagi. Nanti kalau
angah dah pergi sambung belajar, tak dapatlah L nak main bowling dengan angah
lagi jomlah,” pujuk Elfira.
“Adik angah ni masih tak berubah. Kalau nakkan sesuatu
pandai memujuk. Tak boleh angah nak kata tidak.” Erry Edrian mencuit manja
hidung Elfira.
“Biasalah, L kan adik kesayangan angah.” Elfira
mengeratkan pautan. Lagaknya seperti pasangan kekasih yang sedang hangat
dilamun cinta.
“Hem yelah. Jom kita pergi main bowling.”
Mereka menuju ke Cosmic Bowl. Setelah memilih dan memakai
kasut, mereka mengambil tempat. Tanpa mereka sedar, sejak mereka masuk ke
Cosmic Bowl itu ada mata yang memerhati gerak-geri mereka.
Riezman berdehem. Firuz Eidil berpaling ke arah Riezman.
“Kau tengok siapa?” tanya Riezman.
“Itu...” Firuz Eidil menunjukkan ke arah Elfira dan Erry
Edrian. Riezman mengalihkan pandangan ke arah yang ditunjukkan oleh Firuz Eidil.
“Kau kenal mereka ke?” soal Riezman ingin tahu.
“Kawan aku,” jawab Firuz Eidil ringkas.
“Kawan ke spare
part? Aku tengok macam ada riak-riak cemburu diwajah kau? Kau jangan buat
hal Firuz. Nanti Julia tahu masak kau.”
“Dia itu pemandu peribadi aku. Kau ingat aku ni tak ada
citarasa ke? Aku kalau nak cari biarlah yang macam Julia itu. Pandai memujuk, penyayang
dan yang paling penting manja. Ha...perempuan yang macam itulah yang aku nak.
Dia itu kasarnya mengalahkan lelaki. Lagi pun aku sayangkan Julia.”
“Kau kata sayang Julia. Tapi aku rasa masa kau dengan
Julia sekarang ni dah kurang.”
“Mana kau tahu?”
“Aku kan kawan kau. Setiap kali aku telefon mesti kau ada
di rumah atau paling tidak pun kau ada di pejabat. Tak pernah aku dengar kau
keluar dengan Julia. Kalau dulu asal telefon je dengan Julia. Sekarang ni asal
telefon je ada kat rumah.”
“Sebenarnya, aku malas nak keluar. Membazir duit je.
Julia itu kalau keluar mesti nak habiskan duit aku. Ini belum kahwin aku dah
dikikisnya. Esok kahwin jangan papa kedana sudahlah.”
“Hai, belum apa-apa dah merungut.”
“Bukan merungut tapi dia tu high taste. Bila jarang keluar ni bolehlah kawal pengeluaran duit.
Kamikan nak kahwin. Banyak pakai duit.”
“Betul juga kata kau. Kita berbalik kepada pemandu kau
itu. Siapa lelaki yang kat sebelah dia tu? Aku tengok bukan main mesra lagi.
Tengok tu siap pegang tangan dan peluk-peluk lagi. Bahagia betul aku tengok
mereka.” Riezman sengaja berkata demikian.
“Kau tanya aku manalah aku tahu! Mungkin pakwe dia
agaknya!” suara Firuz Eidil sedikit tinggi.
“Relakslah bro. Yang kau angin ni kenapa? Aku tanya je.”
“Yelah siapa suruh kau tanya soalan yang aku tak tahu.”
“Kalau kau tak ada perasaan dengan budak itu buat apa kau
nak angin? Jangan-jangan kau ada hati dengan dia tak? Mungkin cinta dalam
diam.” Riezman semakin galak mengusik.
“Diam boleh tak?” Wajah Firuz Eidil serius. Bengang dia
apabila Riezman sengaja membakar hatinya.
“Jom kita berkenalan dengan mereka. Manalah tahu kau
boleh korek rahsia siapa lelaki itu dengan driver kau. Dapat juga aku
berkenalan dengan driver kau,” ajak Riezman.
“Tak nak aku. Buat apa nak menyibuk hal orang. Kau pun
nak buat apa berkenalan dengan driver aku? Nanti buah hati dia itu bagi sedas
dekat kau baru kau tahu.”
“Apa aku kisah. Aku cuma nak kenal dengan dia je. Takkan
itu pun salah. Lagi pun diakan pemandu
peribadi kau, jomlah.”
Riezman menarik tangan Firuz Eidil. Firuz Eidil terkejut
dengan tindakan spontan rakannya itu. Dia tidak mempunyai pilihan. Dia
membontoti langkah Riezman. Apabila difikirkan semula kata-kata Riezman itu ada
kebenaran. Sekurang-kurangnya dapatlah dia tahu siapa lelaki di sisi Elfira.
Dia sendiri bingung dengan perasaannya kini. Mengapa hatinya terasa bagai
dicabar? Konfius dibuatnya.
“Hai,” Riezman menegur Elfira dan Erry Edrian.
Elfira dan Erry Edrian yang terkejut disapa berpaling ke
arah suara yang menegur mereka.
“Eh, awak pun ada di sini?” soal Elfira bersahaja. Walhal
dia terkejut dengan kehadiran Firuz Eidil.
“Kenapa tak boleh ke saya ada di sini?” soal Firuz Eidil
sinis.
“Ada ke saya kata tak boleh?” jawab Elfira bengang.
“Hai, saya Riezman.” Riezman menghulurkan tangan untuk
bersalam dengan Erry Edrian.
“Erry Edrian.” Erry Edrian menyambut huluran salam
Riezman.
“Ini kawan saya...”
“Firuz Eidil Tan Sri Mikhail.” Firuz Eidil terlebih
dahulu memperkenalkan dirinya. Dia
berkata dengan penuh angkuh. Seukir senyuman bangga meniti di bibir. Dia yakin Erry
Edrian pasti tidak menandingi kehebatan keluarganya.
Elfira mencebikkan bibir. Menyampah dia melihat sikap Firuz
Eidil yang berlagak tidak bertempat. Dia menghadiahkan jelingan tajam buat Firuz
Eidil. Namun Firuz Eidil berpura-pura seolah-olah tidak perasan jelingan yang
dihadiahkan Elfira buatnya. Erry Edrian
tersenyum lalu menyambut huluran Firuz Eidil.
“Saya Erry Edrian Tan Sri Lukman Hakim.”
“Oh, awak ni anak Tan Sri Lukman Hakim ahli perniagaan
yang terkenal itukan? Wah, patutlah awak ni nampak hebat. Bertuah cik...” Riezman
memandang ke arah Elfira.
“L,” Elfira memperkenalkan dirinya kepada Riezman.
“Bertuah awak dapat kekasih macam Erry,” sambung Riezman.
Elfira senyum. Jika diikutkan hatinya ingin sahaja dia
ketawa saat ini. Ada ke angahnya dikatakan kekasihnya. Alang-alang dah disalah
anggap apa salahnya dia meneruskan lakonan ini.
“Memang saya bertuah. Dia baik, penyayang, sopan. Tak
pernah nak sakitkan hati saya. Dia terlalu sempurna buat saya.” Elfira berkata
dengan penuh semangat.
Tangannya memaut lengan Erry Edrian. Sesekali matanya
merenung nakal ke arah Erry Edrian. Erry Edrian hanya mengukir senyum. Geli
hatinya melihat telatah adiknya mengenakan dua orang pemuda di hadapannya.
Firuz Eidil berasa sakit hati. Hatinya mendongkol geram.
Dia menyumpah-nyumpah di dalam hati. Jika diikutkan hatinya, ingin sahaja dia
menarik tangan Elfira. Namun dia tidak berdaya.
“Tak sangka saya, awak ni rupanya gilakan harta orang
kaya. Dia tahu ke awak kerja sebagai pemandu peribadi dan bibik sahaja. Layak
ke awak nak berdampingan dengan anak Tan Sri? Kalau Encik Erry nak tahu, L ni
kerja dengan saya.”
Firuz Eidil sengaja ingin memalukan Elfira di hadapan Erry
Edrian dan Riezman. Dia berasa puas apabila melihat riak terkejut di wajah Erry
Edrian. Dia yakin pasti pasangan kekasih itu akan bergaduh besar. Malulah
seorang anak Tan Sri jatuh cinta kepada perempuan yang bekerja sebagai pemandu
dan pembantu rumah.
Elfira merenung tajam ke arah Firuz Eidil. Dia tidak
menyangka Firuz Eidil akan berkata demikian di hadapan Erry Edrian dan Riezman.
Hatinya terguris dengan perbuatan Firuz Eidil yang tidak proffesional.
Erry Edrian tersentak dengan tutur bicara Firuz Eidil. Riak
wajahnya berubah. Tiba-tiba otaknya mula teringatkan sesuatu. Dia yakin Firuz
Eidil adalah orang yang dimaksudkan Elfira suatu ketika dulu. Lantas tawanya
tercetus dihujung bibir. Dia memandang wajah adiknya. Mereka saling berbalas
pandangan.
Elfira kehairanan dengan
tingkah Erry Edrian. Bahkan Riezman dan Firuz Eidil juga dihantui
kehairanan. Lantas Erry Edrian memeluk erat pinggang Elfira. Lalu dahi adiknya
dikucup lembut. Penuh dengan kasih sayang. Dia sengaja berbuat demikian untuk
melihat reaksi daripada Firuz Eidil. Elfira tergamam dengan tindakan angahnya. Erry
Edrian mengenyitkan matanya. Elfira yang bagai mengerti hanya tersenyum manja.
Pautannya dilengan Erry Edrian dikejapkan penuh dengan kemanjaan. Dalam hatinya
hanya ALLAH yang tahu. Kalau diikutkan rasa hati ingin sahaja dia meledakkan
tawanya saat itu.
Firuz Eidil dan Riezman ternganga melihat telatah
keduanya. Dalam diam ada api cemburu yang menyelubungi diri Firuz Eidil. Air
mukanya berubah tatkala melihat kemesraan dua insan itu. Penumbuk digenggamnya
kuat. Bengang dan sakit hati!
“Saya tak pernah kisah dengan pekerjaannya. Asalkan kerja
yang dilakukannya itu halal. Hina sangat ke kerja sebagai pemandu dan bibik itu, Encik Firuz Eidil?” soal Erry
Edrian lalu senyum.
Firuz Eidil terdiam. Dia tidak menyangka Erry Edrian akan menerima berita itu dengan
tangan terbuka. Tak pasal-pasal dia yang pedih telinga. Riezman hanya ketawa
dalam hati. Nak ketawa depan-depan, bimbang Firuz Eidil berkecil hati pula.
Nasib kaulah Firuz. Itulah suka sangat pandang rendah
pada orang. Ha, sekarang dah jumpa dah, buku dengan ruas, bisik hati kecil
Riezman.
“Kami sedang main bowling. Jom main sekali,” pelawa Erry
Edrian.
“Boleh juga.” Firuz Eidil terus bersetuju.
Riezman dan Elfira memandang tepat ke arah Firuz Eidil.
Kemudian mereka saling berpandangan. Riezman dan Elfira sedar ada sesuatu yang
tidak kena dengan Firuz Eidil. Elfira mula berasa tidak sedap hati.
Elfira memandang ke arah wajah Erry Edrian. Erry Edrian
menghulurkan senyuman manis buat adiknya. Elfira menggelengkan kepala kepada
angahnya. Erry Edrian menggenggam erat jari-jemari adiknya. Dia tahu adiknya
berasa kurang senang dengan cara Firuz Eidil.
Firuz Eidil yang melihat keadaan itu semakin mendidih
hatinya. Rasa marahnya cuba dikawal. Dia bersemangat untuk mengalahkan Erry
Edrian. Sekurang-kurangnya maruahnya tidak jatuh di hadapan Elfira.
“Firuz mulakan dulu,” ujar Erry Edrian lembut.
Firuz Eidil mengangguk. Permainan bermula. Elfira kian
resah. Persaingan di antara Firuz Eidil dan dan Erry Edrian semakin sengit.
Mata Firuz Eidil bertambah sakit. Hatinya kian membengkak
apabila melihat tingkah Elfira. Setiap kali Erry Edrian berjaya membuat strike Elfira
pasti akan bersorak keriangan dan dia akan memeluk Erry Edrian. Akhirnya
keputusan memihak kepada Erry Edrian. Firuz Eidil terpaksa mengakui kehebatan Erry
Edrian.
“Seronok bermain dengan awak. Permainan awak hebat.
Mungkin bukan rezeki awak untuk menang kali ini. Mungkin lain kali. Kalau ada
masa kita boleh main lagi. Kami minta diri dulu,” beritahu Erry Edrian dengan
tenang. Dia menghulurkan tangannya kepada Firuz Eidil dan Riezman. Firuz Eidil
menyambut salam itu dalam keterpaksaan. Bibirnya dipaksa untuk mengukir senyum.
Erry Edrian dan Elfira berlalu dari Cosmic Bowl. Elfira memaut lengan Erry
Edrian.
“Menyampah aku! Perempuan gatal!” rungut Firuz Eidil
tidak puas hati.
“Siapa gatal?” soal Riezman.
“Siapa lagi? Perempuan itulah. Tak sedar diri langsung.
Dia ingat dia dapat pikat anak Tan Sri dia hebat!” luah Firuz Eidil dalam nada
geram.
“Eh, hebatlah itu. Dia dapat bergandingan dengan anak Tan
Sri Lukman Hakim. Siapa yang tak kenal dengan Tan Sri tu. Salah seorang ahli
perniagaan yang berpengaruh. Dan nampaknya anaknya juga sehebat ayahnya.”
“Ayah aku pun hebat juga. Aku rasa Erry Edrian tu mesti
buta. Ada ke perempuan yang macam L tu dibuatnya kekasih. Dia tu layak jadi
kuli je.”
“Yang kau marah-marah ni kenapa? Dia bukan kekasih kau.
Ingat Firuz kau tu dah bertunang. Tak payah kau nak sibukkan hal si L dengan Erry
tu.”
“Aku bukan marah tapi aku menyampah tengok gelagat dia.”
“Aku rasa kau ni dah parah. Kau kena jumpa doktor sakit
jiwa. Biar doktor tu betulkan mana-mana fius kau yang dah tak betul itu.”
Firuz Eidil menjeling tajam ke arah Riezman. Hatinya
berasa sebal dengan kata-kata Riezman. Dia tidak mengendahkan bicara Riezman.
Dia mengatur langkah keluar dari pusat bowling.
“Malu aku. Bagaimana dia boleh menang dalam permainan
tadi?” rungut Firuz Eidil.
“Sudahlah, kau jangan tension sangat. Adat permainan ada
menang dan kalah.”
“Kau bisinglah. Hati aku tengah mendidih tahu tak!”
“Apa lagi yang membuatkan kau mendidih? Cuba kau cerita
dengan aku.”
“Aku mendidih tengok perempuan tergedik sana tergedik
sini. Tak malu langsung. Boleh dia menunjukkan kemesraan depan kita. Tak
beradab langsung.”
“Dia menggedik pun dengan kekasih dia, yang kau sibuk
sangat tu kenapa? Daripada kau sibukkan
hal yang tak ada kena mengena dengan kau, lebih baik kita pergi tengok wayang
ke, pergi makan ke, ada juga faedahnya.”
“Aku malaslah. Aku nak balik rumah dulu. Kalau kau rasa
nak pergi makan, kau makanlah seorang. Aku nak balik rumah dan tidur.”
“Hah? Macam itu pulak? Sentap dengan L lah itu.”
Firuz Eidil malas melayan Riezman. Mereka menuju ke
tempat letak kereta dan membawa haluan masing-masing.